Program Malaysia Rumah Kedua Ku ( MM2H ) yang dibekukan sejak bulan Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 akan diaktifkan semula pada bulan Oktober ini. Walau bagaimanapun permohonan dibuka kembali dengan syarat-syarat yang lebih ketat sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan pada 11 Ogos lepas.
Di antara syarat-syarat baharu itu adalah,
1.) Pendapatan bulanan luar negara peserta adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding dengan RM10,000 sebelum ini.
2.) Peserta mesti memiliki akaun simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta.
3.) Pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
4.) Tempoh Pas Lawatan Jangka Panjang Program adalah 5 tahun bukan 10 tahun seperti sebelum ini walau bagaimanapun boleh dilanjutkan selama 5 tahun lagi tertakluk kepada syarat-syarat.
5.) Tempoh terkumpul ( kumulatif ) peserta perlu berada di dalam negara adalah sekurang-kurangnya 90 hari setahun.
6.) Fi pas dinaikkan dari RM90 kepada RM500 sementara fi untuk memproses permohonan adalah RM5,000 untuk prinsipal dan RM2,500 untuk setiap tanggungan.
Permohonan pula akan diproses oleh Jabatan Imigresen dan bukan oleh Jabatan Pelancongan seperti sebelum ini. Pemohon dan tanggungan perlu juga melalui tapisan keselamatan.
Kerajaan juga telah menetapkan had bilangan peserta dan tanggungan MM2H ini tidak lebih dari 1 peratus dari penduduk Malaysia. Ini bermakna jika penduduk Malaysia adalah 32 juta maka had tersebut adalah 320,000.
Program MM2H telah bermula pada tahun 2002. Sejak itu terdapat 57,478 peserta dan tanggungan mereka yang tinggal di Malaysia. Permohonan yang paling ramai yang diluluskan adalah daripada Negara China seramai 11,820 permohonan setakat bulan Jun 2018. Negara-negara lain termasuk Jepun ( 4,618 ), Bangladesh ( 4,108 ), United Kingdom ( 2,608 ) dan Korea Selatan ( 2,069 ).
Menurut kerajaan, tujuan MM2H ini diaktifkan semula adalah sebagai salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara ( PPN ) bagi menjana semula ekonomi. Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.
Peraturan-peraturan baharu ini telah dibangkitkan oleh sebuah akhbar di Hong Kong ( South China Morning Post ) baru-baru ini yang melihat ia tidak akan menggalakkan penduduk wilayah tersebut berpindah ke Malaysia di bawah program MM2H. Berikutan tindakan-tindakan terkini terhadap pejuang pro-demokrasi dan undang-undang imigresen yang baharu, ramai penduduk Hong Kong yang bercadang untuk meninggalkan wilayah tesebut. Kementerian Dalam Negeri ( Home Office ) UK menjangkakan lebih 1 juta penduduk Hong Kong akan meninggalkannya dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Terdapat cadangan agar kerajaan Malaysia melonggarkan syarat-syarat tersebut. Di antaranya adalah agar syarat akaun simpanan sebanyak RM1 juta dikurangkan jika pemohon telah membeli hartanah bernilai lebih dari RM1 juta. Ada juga yang menggesa syarat pendapat RM40,000 diturunkan memandangkan keadaan ekonomi ketika pandemik.
Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional mengetatkan syarat-syarat MM2H ini adalah sesuatu yang dialu-alukan. Tetapi mungkin ada yang menganggapnya masih terlalu longgar dan mungkin ada juga yang menganggapnya terlalu ketat. Walau bagaimanapun isu warga asing di negara kita adalah satu isu yang akan membangkitkan emosi rakyat.
Sama ada ia melibatkan warga asing tanpa izin ataupun pekerja asing yang memasuki negara kita secara sah. Walaupun MM2H melibatkan mereka yang berpendapatan tinggi namun kita tidak boleh mengulangi kesilapan kita dengan warga asing tanpa izin atau pekerja asing. Akibat kesilapan ini, terdapat kawasan-kawasan di bandar kita di mana penduduk tempatan pula yang merasakan diri mereka seperti warga asing. Kita tidak mahu ada lagi kawasan-kawasan yang dikuasai oleh warga asing sama ada berpendapatan rendah atau berpendapatan tinggi.
Jika kerajaan mahu benar-benar menjana ekonomi negara selepas pandemik maka adakah dengan semata-mata menarik mereka yang memiliki simpanan lebih dari RM1 juta? Adakah dengan memiliki pendapatan luar negeri lebih dari RM40,000 sebulan akan dapat memulihkan ekonomi negara? Berapa peratus dari pendapatan tersebut akan dibelanjakan di dalam negara kita?
Kenapa tidak wujudkan syarat-syarat yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan? Contohnya meluluskan mereka yang menjalankan perniagaan yang menggaji tenaga kerja tempatan. Atau yang menjalankan perniagaan menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan. Atau yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan.
Kita tidak tahu sama ada syarat-syarat baharu ini akan kekal atau tidak. Ia bergantung kepada siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi sudah pasti akan terdapat desakan. Sudah pasti permohonan untuk MM2H akan mencurah-curah masuk jika syarat-syarat ini dilonggarkan. Tetapi fikirkan kesannya kepada masyarakat kita dan kepada bandar-bandar kita. Justeru itu, kerajaan perlu memikirkan dari pelbagai sudut. Kepentingan rakyat perlu diutamakan.
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
16 Ogos 2021