Sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan di peringkat Pusat, ahli-ahli PAS perlu faham tentang struktur dan perjalanan kerajaan. Ia bukan sahaja penting untuk mereka yang memegang jawatan di peringkat tertinggi seperti Menteri, Timbalan Menteri atau yang mengetuai agensi-agensi kerajaan atau GLC-GLC tetapi juga untuk pimpinan di semua peringkat. Malah ahli-ahli biasa agar mereka faham apa yang boleh dicapai, apa yang akan mengambil masa dan apa yang mustahil. Mereka juga mesti memahami akta-akta, peraturan-peraturan kerajaan dan belanjawan kerajaan agar mereka tidak kecewa atau marah apabila sesuatu perkara itu tidak dapat dilaksanakan.
Ada perkara-perkara yang memerlukan pindaan kepada akta-akta atau memerlukan akta-akta yang baharu. Sudah tentu ia memerlukan kelulusan di Parlimen dan sudah tentu memerlukan persefahaman semua parti-parti untuk diluluskan. Ia mungkin mudah jika terdapat hagemoni satu parti seperti ketika di zaman kerajaan Barisan Nasional di satu masa dahulu tetapi tidak mudah ketika tidak ada satu parti yang memiliki majoriti di dalam pakatan kerajaan. Ia tidak mustahil tetapi tidak mudah dan mengambil masa.
Begitu juga dengan peruntukan atau kemampuan kewangan. Perkara-perkara yang hendak dilaksanakan di dalam kerajaan perlu dibajetkan. Ia tidak boleh dilaksanakan sesuka-hati. Ianya juga terpaksa bersaing dengan projek-projek dan program-program yang lain. Bukan kita sahaja yang ada permintaan atau "wish list". Ia perlu dipertimbangkan menurut kepentingan dan keutamaan. Saya masih ingat ketika saya meminta agar dibina sebuah Maahad Integrasi Tahfiz Sains ( MITS ) di dalam kawasan saya. Ia mengambil masa untuk mendapatkan peruntukan. Pada mulanya peruntukan yang diluluskan di dalam belanjawan kerajaan negeri hanyalah RM10. Mungkin mereka yang tidak faham akan marah sebab hanya RM10. Tetapi apabila ia telah berada di dalam belanjawan maka sebarang peruntukan lebihan atau peruntukan dari projek yang lewat boleh disalurkan kepada pembinaan MITS itu. Akhirnya selepas 8 tahun perancangan ia telah mula beroperasi tahun ini.
Selain dari itu kita perlu memahami siapa yang bertanggungjawab terhadap sesuatu keputusan. Jangan pula kita mengecam atau melepaskan kemarahan terhadap sesuatu pihak walhal mereka hanya menjalankan tugas kerana pihak lain yang sebenarnya membuat keputusan dan bertanggungjawab. Setiap pihak ada had-had kuasa dan tanggungjawab mereka sendiri. Kakitangan di kaunter ada had kuasa mereka, pegawai-pegawai ada had kuasa mereka, Menteri, Timbalan Menteri dan Exco ada had kuasa mereka malah Perdana Menteri dan Menteri Besar juga ada had kuasa mereka. Kita bimbang jika "tersilap tembak" ia akan menimbulkan kebencian terhadap sama ada kita atau parti kita.
Saya yakin ramai yang telah lupa kisah seorang Menteri Besar Selangor menghadiahkan kepada Yang Dipertua sebuah Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) sebatang penyapu dalam tahun 2007. PBT tersebut telah gagal memungut cukai semasa dan cukai tunggakan sepertimana yang disasarkan. Menurut Menteri Besar tersebut beliau bukan hendak memalukan PBT itu tetapi sebagai dorogan untuk mereka berusaha dengan lebih keras lagi.
Peristiwa itu berlaku lebih kurang setahun sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang di Selangor. Apabila saya dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, saya berpeluang bertanya pegawai-pegawai kerajaan tentang peristiwa tersebut dan pegawai yang menerima anugerah itu. Saya dapat mengesan rasa kurang senang mereka terhadap peristiwa tersebut. Ini membuat saya terfikir sama ada kekalahan Barisan Nasional tahun 2008 adalah akibat rasa tidak puas hati kakitangan kerajaan, saudara-mara mereka dan kawan-kawan mereka. Bilangan mereka adalah beribu-ribu dan siapa yang mereka undi akan menjadi penentu.
Selain dari undi, doa juga penting. Sebelum pilihan raya umum 2008, saya ada mendengar rungutan dari guru-guru sekolah agama rakyat yang tidak berpuas hati dengan satu keputusan kerajaan negeri yang melibatkan mereka. Ada di antara mereka yang berkata marilah kita berdoa beramai--ramai supaya kerajaan ketika itu tumbang. Memang kerajaan benar-benar tumbang pada pilihan raya umum.
Kadang-kala apabila seorang individu dari satu kumpulan diserang contohnya seorang guru maka bukan sahaja individu yang diserang akan terkesan tetapi kemungkinan besar seluruh kumpulan tersebut akan menerima tempiasnya. Malah mungkin keluarga mereka, saudara mereka malah kawan-kawan mereka turut merasakan kepedihan sesuatu kecaman. Justeru itu akibat serangan anda yang ditujukan kepada hanya seorang individu tetapi beratus-ratus malah beribu-ribu akan menjadi musuh anda akibat solidariti di kalangan mereka.
Satu lagi bahaya tidak memahami struktur dan perjalanan kerajaan adalah kita akan termakan dengan provokasi mereka yang memusuhi kita. Kejahilan kita akan mengakibatkan kita senang dilaga-lagakan di antara kita. Mereka tidak akan berputus asa dan akan memastikan kerajaan akan terus tidak stabil. Sasaran mereka adalah akar umbi setelah gagal memecahbelahkan kerjasama politik yang dijalin di peringkat atasan. Justeru itu kita hendaklah berhati-hati dan menambah ilmu kita.
Mereka yang memegang jawatan di atas juga perlu sentiasa terbuka dan mendengar pandangan orang di bawah. Jangan jemu atau malas untuk memberi penjelasan kepada orang di bawah. Walaupun perkara-perkara yang dibangkitkan itu telah berkali-kali dibangkitkan dan kadang-kala kelihatan tidak masuk akal. Orang di bawah yang akan mempertahankan anda jika anda diserang maka hargai mereka. Buanglah sikap, "Ikut ajelah, kami tahu apa yang kami buat".
Dato' Iskandar Abdul Samad
Bendahari PAS Pusat
29 Ogos 2021