BATU CAVES, 11 MAC 2012 : Satu skim rondaan rukun tetangga akan dilaksanakan di seluruh negeri Selangor dibawah program Kerajaan Negeri bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penghuni selaras dengan Kempen Pangsapuriku Bersih, Ceria dan Harmoni.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Pembangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata inisiatif itu bagi membantu penduduk setempat yang menghadapi kesukaran memohon untuk menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) atau Rukun Tetangga dibawah Kerajaan Persekutuan.
" Terdapat banyak skim rondaan atau rukun tetangga dibawah Kerajaan Persekutuan, antaranya SRS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rukun tetangga, tetapi kebanyakkannya penduduk menghadapi masalah kelewatan untuk memohonnya dan jika mereka ingin membuat rondaan sendiri pula, kadangkala mereka dipertikaikan dan banyak soal jawab.
" Mereka juga akan terdedah dengan bahaya dan yang paling kita menitik beratkannya adalah apabila ketiadaan Insurans Perlindungan, jadi saya telah membuat perbincangan dengan pegawai-pegawai supaya diwujudkan satu skim di bawah Kerajaan Negeri dan ianya akan dilakukan dikawasan perumahan bertingkat terlebih dahulu," katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Banjaria Court.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar bahagian Pentadbiran dan Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Timbalan Pengurus Besar bahagian Teknikal, Abdul Ghani Hashim.
Beliau berkata salah sebuah syarikat Insurans sudah bersetuju untuk memberikan perlindungan kepada penduduk dalam perbincangan yang dilakukan baru-baru ini.
" Saya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini dan akan dipanjangkan di dalam mesyuarat Exco serta akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Tambahnya lagi, skim itu bermatlamat untuk mengurangkan kadar jenayah dan vandalisme dan mewujudkan komuniti bagi menjadikan masyarakat setempat lebih baik.
" Bagi Kerajaan Negeri, kunci keharmonian komuniti bukan hanya kepada infrastruktur sahaja tetapi bagaimana komuniti itu sendiri membawa perubahan dan menaikkan kawasan kediaman mereka," katanya.