Skip to main content

Serangan Ke Atas Anak YB Iskandar A. Samad : Polis Digesa Menyiasat Dari Segala Sudut.

Saya amat berharap pihak Polis akan menyiasat dari segala sudut di dalam kejadian serangan ke atas anak saya di Pulau Pinang awal pagi Rabu.

Anak saya seorang pelajar semester kedua sebuah IPTA telah ditumbuk, disepak dan ditikam bertubi-tubi di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya yang disewanya bersama 2 orang pelajar lain.

Pada lebih kurang jam 3 pagi, lima orang lelaki berjaya memasuki pangsapuri itu setelah mengaku diri mereka anggota Polis.

Setelah dibenarkan masuk, mereka telah menggari 2 orang rakan anak saya dan terus menyerang dan menikam anak saya.

Selepas mencederakan beliau, mereka telah membawa lari komputer riba, telefon bimbit dan dompetnya.

Pada pendapat saya, kejadian ini bukan kes rompakan biasa kerana,

1) Mereka datang ke pangsapuri itu bertujuan untuk mencari anak saya dengan memanggil nama penuhnya.

2) Mereka hanya menyerang anak saya dan tidak rakan-rakannya.

3) Mereka hanya membawa lari barang-barang anak saya dan tidak rakan-rakannya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis yang sedang menjalankan siasatan.

Saya amat menghargai akan kerjasama pihak Polis yang memaklumkan kepada saya status penyiasatan yang sedang berjalan.

Walau bagaimanapun saya berharap pihak Polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk sudut politik.

Lebih-lebih lagi kita berada di dalam suasana di mana pihak media setiap hari meniup api permusuhan di kalangan rakyat dengan pembohongan bahawa terdapat pihak yang mahu mencetuskan huru hara. Mereka juga sentiasa berusaha untuk melaga-lagakan rakyat dengan hasutan-hasutan yang meracuni fikiran mereka.

Tetapi walau apa sekalipun motif serangan tersebut, saya berharap mereka yang bertanggung jawab akan ditahan dan didakwa secepat mungkin demi keselamatan pelajar-pelajar lain dan masyarakat di Seberang Jaya amnya.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menyelamatkan anak saya dari kecederaan yang lebih parah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu beliau ketika saat yang mencabar ini terutamanya kakitangan institut pengajian tinggi beliau, pihak hospital, pihak Polis, rakan-rakan beliau dan orang ramai yang telah sudi membantu.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan /
ADUN Chempaka
1 Julai 2011

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...