Setelah kekalahan PR di Hulu Selangor dan segala macam kontroversi yang timbul dari industri pasir, kenyataan kedua-dua pimpinan tinggi PR ini telah menenangkan keadaan. Ia memberi peluang kepada kami di Selangor untuk meneruskan agenda membantu rakyat dan memajukan negeri tanpa perlu berhadapan dengan pelbagai khabar-khabar angin dan ketidaktentuan. Hanyalah kerajaan yang stabil dapat melaksanakan agenda-agendanya dengan berkesan. Kenyataan tersebut juga telah menutup sebarang ruang bagi Umno dan BN untuk mengkucar kacirkan pentadbiran negeri Selangor.
Saya akui pilihanraya kecil Hulu Selangor merupakan satu 'wake up call' bagi kami. Kami boleh terus menuding jari di antara satu sama lain atau belajar dari kekalahan tersebut.
Walau bagaimanapun agar semua agenda-agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya, ia mesti mendapat sokongan rakyat. Untuk mendapat sokongan rakyat, ia mesti difahami oleh rakyat.
Rakyat pada saya bermakna seluruh rakyat negeri Selangor. Bukan sahaja yang ada 'internet' tetapi yang tidak pernah menyentuh komputer juga perlu memahami hasrat kerajaan. Bukan sahaja yang di Subang Jaya atau Damansara sahaja yang perlu diajak berdialog tetapi mereka di kawasan-kawasan pendalaman juga perlu diberi peluang memberi pandangan. Memang ia tugas yang berat. Menteri Besar, Exco-Exco, ADUN-ADUN dan pimpinan kerajaan di semua peringkat perlu mendengar kepada rakyat dan tidak bersikap mereka tahu segala-segalanya atau mereka betul sepanjang masa. Selangor bernasib baik terdapat ramai pakar-pakar dari dalam dan luar negara yang ingin membantu tetapi pandangan rakyat biasa tidak seharusnya diketepikan.
Kerajaan negeri juga tidak boleh melakukannya bersendirian. Jentera kerajaan tidak boleh sampai kepada seluruh pelusuk negeri ini. Jika rakyat memahami maka mereka yang akan membantu menyebarluas segala maklumat. Maka tidak akan berulang kisah di Hulu Selangor di mana ada yang tidak tahu rakyat Selangor mendapat air percuma. PAS Selangor akan memastikan setiap Cawangan dan ahli PAS akan menjadi agen penyebar maklumat bagi kerajaan negeri.
Saya juga menyambut baik keputusan PKR untuk menubuhkan satu pasukan khas yang juga akan mengkaji isu-isu yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat Islam. Sokongan masyarakat Melayu kepada PR di Hulu Selangor tidak memberangsangkan seperti sokongan masyarakat Cina maka usaha tersebut adalah dialu-alukan. PR mesti mencari penyelesaian kepada isu-isu ini jika mahu kekal di Selangor. PAS akan sentiasa berkongsi pengalaman dan kajian dalam isu ini.
Iskandar A. Samad
Timbalan Pesuruhjaya II
PAS Selangor
29 Mei 2010