Di dalam lawatan saya ke pangsapuri itu hari ini, saya diberitahu banyak unit-unit yang didiami oleh lebih ramai penduduk dari yang sepatutnya.
Unit-unit yang asal mempunyai 3 bilik tetapi unit-unit yang disewa oleh warga Indonesia telah diubahsuai menjadi sehingga 5 atau 6 bilik. Lebih 60 peratus dari pangsapuri itu disewa oleh mereka.
Dengan ubahsuai yang dilakukan, jumlah penduduk bagi unit-unit itu telah bertambah sehingga 3 kali ganda.
Setiap bangunan direkabentuk untuk menampung jumlah penduduk yang tertentu. Ia tidak akan dapat menampung bebanan penduduk sehingga 3 kali ganda dari yang sepatutnya untuk jangkamasa yang panjang.
Untuk jangkapanjang ia boleh mengakibatkan kegagalan struktur dan bangunan itu boleh roboh.
Mereka yang tinggal di bawah unit-unit yang diubahsuai paling berisiko tinggi. Lantai di atas mereka boleh runtuh jika berlaku kegagalan struktur. Mereka akan mati atau cedera parah dihempap oleh kepingan-kepingan konkrit.
Oleh itu, saya menggesa mereka yang menyewakan pangsapuri mereka supaya sentiasa memeriksanya. Mereka tidak boleh lepas tangan sekiranya berlaku sebarang malapetaka.
Malah terdapat keputusan Exco yang menghadkan jumlah warga asing yang boleh menetap di dalam sebuah pangsapuri kos rendah seperti di Taman Angsana Hilir. Pemilik-pemilik rumah bukan penyewa yang akan didakwa jika melanggar arahan tersebut.
Demi keselamatan, saya akan meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat siasatan yang terperinci dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Kita tidak mahu tragedi Highland Towers berulang di Taman Angsana Hilir.
Saya juga akan menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bersama atau JMC agar mengambil berat akan aktiviti penduduk.
Jumlah penduduk yang lebih ramai dari yang sepatutnya akan juga memberi kesan-kesan sampingan yang lain kepada bangunan.
Sistem perparitan tidak akan dapat menampung penduduk yang lebih ramai dan mengakibatkan ia senang tersumbat.
Saluran najis juga akan kerap tersumbat atau gagal berfungsi dengan baik jika terdapat lebih ramai penduduk dari yang dirancang.
Rumah sampah tidak akan dapat menampung bahan buangan dari penduduk yang lebih ramai. Rumah-rumah sampah yang baru terpaksa dibina.
Tong-tong sampah yang disediakan akan penuh lebih cepat iaitu sebelum ia dijadualkan dipungut. Limpahan sampah akan menarik tikus-tikus dan menggalakkan pembiakannya.
Sebarang penyambungan elektrik sesuka hati untuk bilik-bilik yang baru boleh menyebabkan litar pintas atau "overloading" dan mengakibatkan kebakaran.
Apabila berlaku kerosakan kepada bangunan, penduduk akan memohon bantuan dari pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tetapi kerosakan-kerosakan itu boleh elakkan sekiranya penduduk lebih prihatin.
Selain dari pangsapuri Taman Angsana Hilir, terdapat banyak lagi pangsapuri kos rendah yang menghadapi ancaman yang sama. Di antaranya adalah pangsapuri kos rendah Pandan Utama yang juga dikuasai oleh warga Indonesia.
Iskandar A. Samad
ADUN Chempaka
2 Mei 2010