Tuesday, November 20, 2007

POLIS LAMBAT BERTINDAK KERANA CAMPURTANGAN POLITIK?

Ramai yang berpendapat kelewatan pihak polis menangkap dan mendakwa penyerang yang cuba membunuh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Suhaimi Ghazali, berpunca dari campurtangan politik.

Pada 28 September lepas, Suhaimi telah diserang selepas solat Jumaat di luar Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam.
Penyerang yang dikenali masyarakat sebagai “Din Jepun” telah menumbuk Suhaimi sejurus selepas solat dan telah pergi untuk mendapatkan senjata untuk menyerang beliau sekali lagi. Suhaimi telah cedera di kepala, bahu, tangan dan kaki.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang Jaya pada 29 September tetapi Suhaimi atau pihak PAS belum lagi dimaklumkan tentang apa-apa tindakan oleh pihak polis. Ini amat mengejutkan kerana penyerang pernah menumbuk seorang petugas PAS dua tahun lalu dan dikenali oleh polis.

Apa yang paling mengejutkan, penyerang yang juga dikenali ramai sebagai ahli Pemuda UMNO dan “orang kuat Datuk” telah hadir pada solat Jumaat di masjid yang sama pada minggu yang berikutnya. Ketika itu berpuluh-puluh anggota polis kelihatan berkawal sempena lawatan Sultan Selangor tetapi tiada sebarang usaha untuk menangkap beliau.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Abdul Jalil Hasan, berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera untuk mengelakkan masyarakat menganggap mereka tidak berupaya untuk membanteras jenayah.

Di dalam keadaan kadar jenayah yang semakin meningkat, rakyat perlu diberi keyakinan bahawa keselamatan mereka adalah terjamin dan pihak polis bebas dari tekanan mana-mana pihak, tambahnya lagi.