Thursday, August 6, 2015

SAH GHB TIDAK BERANI TUBUH PARTI POLITIK BARU - ISKANDAR

SHAH ALAM, 5 OGOS 2015 : Kenyataan Ahli Jawatankuasa Gerakan Harapan Baru (GHB) Datuk Kamarudin Jaafar bahawa 'tiada keperluan untuk ahli PAS dalam GHB keluar parti' membuktikan pergerakan itu tidak berani menubuh parti politik baru.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Kenyataan Datuk Kamaruddin Jaafar mengiyakan kenyataan saya sebelum ini bahawa kumpulan progresif PAS (yang menubuhkan GHB) tidak berani menubuhkan parti baru itu", katanya kepada Antarapos.

Iskandar sebelum ini berkata GHB sehingga kini tidak menubuhkan parti politik baru kerana tiada hala tuju dan kurang yakin berikutan masih mencari sokongan rakyat terhadap mereka.

GHB bukan sahaja berkali-kali menangguh penubuhan parti politik baru malah sehingga kini bekas pemimpin PAS yang menyertai gerakan itu enggan meletakkan jawatan dan keluar parti.

"Mereka telah mengangguhkan pelancaran (parti) beberapa kali. Mereka mendakwa akan menubuhkan parti baru tetapi tidak mahu keluar dari PAS.

"Saya menggesa kepada mereka (kumpulan progresif) yang bersama dengan GHB diatas alasan untuk menyertai parti baru agar meninggalkan GHB. Saya berharap mereka kembali bersama PAS yang begitu jelas halatujunya", ujar Iskandar.

Sabtu lalu, Iskandar yang Pesuruhjaya PAS Selangor berkata PAS sedia untuk menerima kembali kumpulan progresif berkenaan sekiranya hilang kepercayaan terhadap gerakan berkenaan.

Sebelum ini Iskandar turut memberi amaran kepada kepimpinan GHB agar tidak mendekati mana-mana pemimpin atau ahli PAS untuk menyertai gerakan itu dan seharusnya mencari ahli lain untuk mengukuhkan kedudukan pembangkang di negara ini.