Tuesday, December 17, 2013

BUKA SELUAS-LUAS RUANG UNTUK MEREKA YANG MAHU BERPERANAN DI DALAM PAS - ISKANDAR

Klang, 17 Dis - Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad, mahu seluas-luas ruang dibuka untuk mereka yang mahu berperanan di dalam PAS.

Beliau berucap sedemikian ketika membuat lawatan ke Klang malam tadi untuk bertemu dengan pimpinan dan ahli-ahli PAS di sana.

Iskandar yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya 1 Disember lepas berkata terdapat ramai  yang bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran maka ia seharusnya digembelingkan untuk memacu PAS ke hadapan.

"Mereka seharusnya diberi peranan sesuai dengan kemampuan masing-masing kerana masih terdapat banyak ruang di dalam PAS untuk semua," katanya.

Menurut beliau juga, ahli-ahli PAS hendaklah mengamalkan sikap bersangka baik dan mengenepikan budaya label melabel yang sengaja diwujudkan oleh musuh.

Iskandar juga menasihatkan pimpinan PAS di Selangor agar memandang ke luar dengan menganjurkan program-program bukan sahaja untuk ahli-ahli PAS tetapi untuk seluruh masyarakat sesuai dengan tema Muktamar PAS tahun ini "Rahmat Untuk Semua".

Majlis telah berlangsung di Pejabat PAS Cawangan Palm Grove dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Ustaz Ahmad Nazri Nawi selaku tuan rumah.

Iskandar yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan malam tadi bahawa beliau sedang mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan Parlimen di Selangor untuk bertemu pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Disediakan oleh Unit Media PKM Chempaka.