Saturday, March 2, 2013

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD : PIHAK POLIS PERLU LINDUNGI JMB DAN MC DARI UGUTAN.

Saya telah menerima laporan bahawa terdapat Pengerusi JMB yang diugut oleh sebuah parti politik kerana mengeluarkan notis bahawa mana-mana parti politik yang mahu menampal poster di dalam kawasan pentadbiran JMB itu perlu mendapat kelulusan JMB.

Pengerusi JMB tersebut, Hazni Harun, Pengerusi JMB Pangsapuri Kos Rendah Taman Cahaya, Pandan telah membuat laporan Polis di Cyberjaya pada 27 Februari lepas sehubungan ugutan tersebut. Ugutan yang diterima adalah berapa ugutan untuk membakar. Laporan dibuat di Cyberjaya kerana ugutan diterima melalui telefon ketika beliau di Cyberjaya.

Menurut beliau ugutan itu dibuat pada 26 Februari oleh seorang individu yang mengenalkan dirinya sebagai Azmi dan mengaku sebagai Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Chempaka sebuah parti politik.

JMB atau MC bertanggung jawab mengurus dan menyelenggara sesebuah pembangunan berstrata seperti pangsapuri atau kondominium.

Sebarang notis yang dikeluarkan oleh JMB atau MC agar kelulusan mereka diperolehi sebelum poster-poster ditampal di tempat awam adalah wajar kerana menjadi tanggung jawab mereka untuk menentukan kebersihan kawasan-kawasan tersebut. Ianya bukan tanggung jawab Pihak Berkuasa Tempatan.

Adalah juga menjadi tugas JMB dan MC untuk melakukan sebarang kerja-kerja baikpulih seperti mengecat semula sekiranya penampalan poster-poster itu mengakibatkan kerosakan kepada hartabenda milik bersama (common properties) di sesebuah pembangunan.

Lazimnya JMC dan MC akan mengenakan deposit kepada pemilik-pemilik kediaman yang ingin menjalankan kerja-kerja "renovation" kepada kediaman mereka. Deposit ini akan dipulangkan setelah kerja-kerja tersebut selesai.

Oleh itu, notis daripada JMB di Ampang itu adalah bukan sesuatu yang tidak munasabah.

Walau bagaimanapun, JMB dan MC hendaklah bertindak adil, sesuai dengan amalan demokrasi di negara kita.

Parti-parti politik hendaklah juga memahami tugas dan tanggung jawab JMB dan MC. Tindakan mengugut seperti di Pandan itu mesti dianggap sebagai satu jenayah yang serius oleh pihak Polis.

Pihak Polis mesti menyiasat kes ini dan melindungi mana-mana JMB atau MC yang diugut.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka
3 Mac 2013
Tel : 019 298 9835

Attachment : Foto Hazni Harun di Balai Polis Cyberjaya.