Saturday, October 13, 2012

KENYATAAN AKHBAR : LANGAT 2 AKAN MENJADI ISU ANTARABANGSA JIKA KERAJAAN PERSEKUTUAN GAGAL MENGHORMATI UNDANG-UNDANG.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri di Johor Baharu semalam bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan Projek Langat 2 walaupun tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri akan memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Kerajaan Persekutuan berkeras untuk meneruskan projek tersebut walaupun ia tidak mendapat Kebenaran Merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan atau bertentangan dengan Rancangan Tempatan yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri.

Dengan keputusan itu, isu air di Selangor tidak akan hanya menjadi isu negeri atau isu kebangsaan tetapi akan menjadi isu antarabangsa.

Apabila sebuah kerajaan dengan sewenang-wenangnya enggan menghormati undang-undang negara ia akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat antrabangsa.

Pelabur-pelabur tidak akan berani lagi melabur di negara kita kerana tidak ada kepastian bahawa sebarang kontrak yang ditandatangani akan dihormati.

Mereka akan merasakan pelaburan mereka tidak akan terjamin kerana undang-undang negara tidak akan dapat melindungi kepentingan mereka.

Juga jika sebuah kerajaan sendiri tidak menghormati undang-undang maka ia tidak memberi contoh yang baik kepada rakyat.

Dua kesan utama akibat dari keputusan Kerajaan Persekutuan itu adalah,

1. Pelaburan di negara kita akan menurun sama ada daripada dalam atau luar negara kerana pelabur-pelabur tidak akan lagi merasakan pelaburan mereka selamat. Peluang pekerjaan baru akan berkurangan.

2. Undang-undang negara tidak lagi akan dihormati kerana rakyat akan beranggapan jika kerajaan boleh membelakangkan undang-undang maka rakyat juga tidak perlu patuh kepada undang-undang. Maka jenayah akan meningkat.

Imej negara juga akan menjunam kerana terdapat negara-negara lain yang mengamalkan sistem Persekutuan seperti di Malaysia. Di antaranya adalah Australia dan Kanada. Kegagalan Kerajaan Persekutuan menghormati hubungan di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri akan memburukkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Maka Kerajaan Persekutuan janganlah tergesa-gesa membuat keputusan untuk melanggar undang-undang negara. Buatlah keputusan dengan penuh kewarasan dan tidak dipacu oleh sentimen politik semata-mata. Kesannya adalah kepada seluruh negara bukan hanya kepada negeri Selangor.

Iskandar Abdul Samad
Exco Kerajaan Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor / ADN Chempaka
14 Oktober 2012