Friday, August 20, 2010

BENTANGKAN GARISPANDUAN "GATED AND GUARDED COMMUNITY" SEBELUM DIKUATKUASA


Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan garispanduan bagi kejiranan berpagar dan berpengawal (gated and guarded community) yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kelmarin Kabinet telah meluluskan satu cadangan bagi garis panduan khusus untuk pembangunan yang berbentuk sedemikian.

Sekarang ini tidak ada garispanduan khusus di peringkat kebangsaan. Hanya terdapat satu garispanduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2007.

Pada Disember tahun lepas, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan satu seminar bagi menambahbaik garispanduan ini. Seminar ini telah dihadiri oleh wakil-wakil persatuan penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbir Tanah Daerah, pemaju-pemaju, badan-badan professional dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Perbincangan lanjut berkaitan dengan garispanduan ini telah juga diadakan selepas itu. Ianya juga telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Exco pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor telah menangguhkan pengeluaran garispanduan yang baru kerana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini telah mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat akan mengeluarkan garispanduan itu.

Tetapi Kerajaan Negeri berharap garis panduan ini dapat dibentangkan kepada orang ramai terlebih dahulu untuk mendapat maklumbalas dari mereka yang terlibat secara langsung dengan pembangunan sedemikian. Kita tidak mahu garis panduan ini terpaksa diubah beberapa kali setelah ia dikeluarkan. Ini hanya akan mengelirukan rakyat.

Contohilah Kerajaan Negeri Selangor yang sebelum ini telah membentangkan kepada orang ramai garispanduan pembangunan di tanah kelas 3 dan 4 sebelum mewartakannya.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan garis panduan 'gated and guarded community' ini digunapakai dan dipatuhi, ianya tidak seharusnya tinggal sebagai 'garis panduan' semata-mata. Ianya perlu menjadi satu Akta yang boleh dikuatkuasakan. Atau garispanduan ini boleh dimasukkan ke dalam Akta-Akta yang sedia ada.

Tetapi bagi penyelesaian jangka panjang, tahap keselamatan terutamanya di bandar-bandar kita mesti ditingkatkan. Jika terdapat satu pelan bersepadu ke arah itu maka tidak perlu lagi 'gated and guarded community'. Oleh itu, cadangan daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) untuk mewujudkan pasukan polis bantuan perlu digalakkan tetapi cadangan ini ditolak oleh pihak polis.

Malah terdapat pemaju seperti Sunway yang mempunyai pasukan polis bantuan dan ianya telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di kawasan mereka.

YB Tuan Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
20 Ogos 2010

Semoga Ramadhan diberkati dan Syawal diredhai



Ikhlas dari saya sekeluarga,

Iskandar Abdul Samad

Salasiah Zakaria

Muhammad Ibrahim

Muhammad Idris

Insyirah Zaharah

Muhammad Ismail Fadhil

Muhammad Ilyas Faatih

Muhammad Ishaq Ilyasa'

Thursday, August 19, 2010

Buka puasa dan tarawih bersama rakyat

Sepanjang bulan Ramadhan ini saya akan berbuka puasa dan solat tarawih di masjid dan surau di kawasan DUN Chempaka dan DUN Teratai. Saya akan cuba turun ke setiap surau dan masjid di Chempaka dan beberapa di DUN Teratai. Berbuka puasa dan solat tarawih di tempat yang berlainan supaya dapat turun ke sebanyak mungkin masjid dan surau.
Gambar - Moreh di Surau Taman Dagang Fasa 1.

Sunday, August 15, 2010

Tabiklah Puteri Umno!

Saya tertarik dengan posting di dalam laman web Puteri Umno Bahagian Pandan tentang program JOM MASAK BUBUR LAMBUK mereka semalam di mana 5 kawah bubur lambuk telah dimasak dan diedar.

Tabik kepada Puteri kerana ianya satu-satunya organisasi Umno di Pandan yang masih bergerak.

Bahagian dan Pemuda entah ke mana dan hanya syok sendiri dengan kain-kain rentang yang lawa-lawa.

Wanita pula nampak masih belum pulih dengan kekalahan ketua mereka untuk merebut DUN Chempaka pada PRU2008.

Maka tinggallah Puteri terkontang-kanting keseorang memegang panji-panji Umno di Pandan.

Walaupun kita tahu siapa di belakang Puteri Umno di Pandan tetapi modus operandi atau M.O. mereka memang efektif. (Siapa di belakang Puteri Pandan? Rasanya mantan ......)

Inward dan outward looking. Masak bubur lambuk dengan kerjasama NGO dan turun dari rumah ke rumah untuk mengedarnya.

Tak payah tunggu orang datang kepada mereka. (Takde orang nak datang pun .....) Tapi turun bertemu rakyat.

Kita memang memantau program-program Umno di Pandan dan program Puteri yang lain seperti 'Menyusur Akar' juga menggunakan M.O. yang sama.

M.O. ini sebenarnya M.O. PAS sejak bertahun-tahun ketika menjadi pembangkang. Tetapi bila dah jadi kerajaan, lain pulak ceritanya. Terlalu selesa. Boleh guna dewan dan banyak lagi kemudahan dan institusi yang boleh dimanfaatkan.

Akhirnya kita berkubu di dalam dewan, masjid, surau dan sebagainya. Menunggu orang datang kepada kita dengan hanya menghantar handbill, menampal poster dan menggantung kain rentang. Cukup ke?

Akhirnya kita akan menjadi juara kampung. Syok sesama sendiri saja. Atau bersama orang-orang yang memang hendak menyokong kita. Atau kalau program gagal, kita akan bergaduh sesama sendiri di dalam Facebook. Kadang-kala kita rasa kita hebat tetapi pada hakikatnya dunia mentertawakan kita.

Untuk maju ke hadapan kita mesti belajar dari semua orang. Walaupun dari Puteri Umno. Lagipun ini M.O. kita, mereka ciplak dan kita yang telah lupa.

Oleh itu, kalau buat program, libatkan penduduk tempatan. Jangan buat sendirian. Kalau ada persatuan penduduk lagi baik, ajak kerjasama.

Jangan harapkan kain rentang, handbill dan poster. Jemput secara peribadi penduduk setempat. Kalau tidak dapat jumpa semua, paling kurang jemput ketua-ketua, imam-imam atau mereka berpengaruh yang lain.

Selitkan aturcara yang menghargai orang tempatan. Penyampaian anugerah, sumbangan atau cenderahati selalunya amat bermakna.

Pastikan juga adakan lawatan kepada penduduk tempatan. Contohnya ziarah atau penyampaian bantuan dari rumah ke rumah.

Inilah formula kita yang telah ditiru orang.

16 Ogos 2010

DIRIKANLAH SOLAT DHUHA DI BULAN RAMADHAN INI DAN TERUS MENGAMALKANNYA SEPANJANG TAHUN

"Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan." (Hadith Riwayat Tirmizi)

Solat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu Dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi galah (kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

Solat sunat Dhuha ini dilakukan sebanyak 2 rakaat, boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap dua rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam.

Cara melakukan solat Dhuha :

Lafaz niatnya, "Sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala".

Bacaan rakaat pertama surah Al-Fatihah dan As-Syams.

Bacaan surah rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Ad-Dhuha.

Doa yang dibaca setelah selesai solat,


Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.

Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.

Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu.

KALAU KITA SELALU PERGI MINUM PAGI DALAM JAM 10.00 MAKA DI BULAN RAMADHAN GUNAKANLAH WAKTU ITU UNTUK MENGERJAKAN SOLAT DHUHA.

Bantahan berkhemah 24 jam oleh penduduk Taman Permata, Dengkil 14 dan 15 Ogos 2010.

Hebat sungguh makcik-makcik ni membantah keadaan rumah yang mereka beli apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih ladang yang mereka bekerja untuk membina Putrajaya. Ladang Sedgeley, Prang Besar telah diambil alih sekitar tahun 1995 tetapi rumah yang mereka beli penuh dengan masalah.

Mungkin tidak ramai yang tahu Prang Besar sebelum ini. Yang saya ingat ketika di sekolah rendah apabila hendak ke selatan akan berjumpa satu simpang tiga di dalam kebun getah, belok kiri ke selatan dan belok kanan ke Prang Besar. Saya akan bertanya ayah saya apa ada di situ dan dia akan berkata mungkin di zaman dahulu ada perang di situ.

Makcik-makcik berbangsa India ini sanggup tidur di bawah khemah yang didirikan di tepi jalan besar ke Dengkil di tepi warung tom yam yang kerap saya makan ketika terlibat dengan projek Putrajaya. Pagi tadi pula mereka bergotong-royong memasak sarapan.

Susah kita nak lihat makcik-makcik berbangsa Melayu berbuat demikian. Kecuali mungkin yang terlibat dengan perjuangan peneroka bandar.

Mungkin budaya orang Melayu hanya pandai 'sok sek' 'sok sek' antara mereka. Itu sebab apabila tanah hendak diambil, tanah orang Melayu akan dicari. Apabila pembangunan semula hendak dilakukan, kampung Melayu akan menjadi sasaran.

Orang Melayu mesti belajar erti 'empowerment'. Bagaimana hendak memperkasakan diri mereka sendiri. Tanpa menunggu orang lain untuk membantu mereka. Mencartakan sendiri masa depan mereka. Belajar menyatakan dengan lantang apa yang mereka hendak.

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...