Skip to main content

BENTANGKAN GARISPANDUAN "GATED AND GUARDED COMMUNITY" SEBELUM DIKUATKUASA


Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan garispanduan bagi kejiranan berpagar dan berpengawal (gated and guarded community) yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kelmarin Kabinet telah meluluskan satu cadangan bagi garis panduan khusus untuk pembangunan yang berbentuk sedemikian.

Sekarang ini tidak ada garispanduan khusus di peringkat kebangsaan. Hanya terdapat satu garispanduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2007.

Pada Disember tahun lepas, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan satu seminar bagi menambahbaik garispanduan ini. Seminar ini telah dihadiri oleh wakil-wakil persatuan penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbir Tanah Daerah, pemaju-pemaju, badan-badan professional dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Perbincangan lanjut berkaitan dengan garispanduan ini telah juga diadakan selepas itu. Ianya juga telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Exco pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor telah menangguhkan pengeluaran garispanduan yang baru kerana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini telah mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat akan mengeluarkan garispanduan itu.

Tetapi Kerajaan Negeri berharap garis panduan ini dapat dibentangkan kepada orang ramai terlebih dahulu untuk mendapat maklumbalas dari mereka yang terlibat secara langsung dengan pembangunan sedemikian. Kita tidak mahu garis panduan ini terpaksa diubah beberapa kali setelah ia dikeluarkan. Ini hanya akan mengelirukan rakyat.

Contohilah Kerajaan Negeri Selangor yang sebelum ini telah membentangkan kepada orang ramai garispanduan pembangunan di tanah kelas 3 dan 4 sebelum mewartakannya.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan garis panduan 'gated and guarded community' ini digunapakai dan dipatuhi, ianya tidak seharusnya tinggal sebagai 'garis panduan' semata-mata. Ianya perlu menjadi satu Akta yang boleh dikuatkuasakan. Atau garispanduan ini boleh dimasukkan ke dalam Akta-Akta yang sedia ada.

Tetapi bagi penyelesaian jangka panjang, tahap keselamatan terutamanya di bandar-bandar kita mesti ditingkatkan. Jika terdapat satu pelan bersepadu ke arah itu maka tidak perlu lagi 'gated and guarded community'. Oleh itu, cadangan daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) untuk mewujudkan pasukan polis bantuan perlu digalakkan tetapi cadangan ini ditolak oleh pihak polis.

Malah terdapat pemaju seperti Sunway yang mempunyai pasukan polis bantuan dan ianya telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di kawasan mereka.

YB Tuan Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
20 Ogos 2010

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...