Manusia sentiasa berubah. Masyarakat sentiasa berubah. Suasana politik juga berubah dari masa ke semasa. Seorang Perdana Menteri UK pernah berkata seminggu adalah terlalu lama di dalam politik. Walau bagaimanapun di dalam dunia hari ini bukan seminggu tetapi 24 jam adalah terlalu lama di dalam politik. Mereka yang tidak berubah seiring dengan perubahan yang berlaku akan ketinggalan.
Telah hampir 5 tahun sejak Perikatan Nasional ditubuhkan. Ketika ia ditubuhkan, Perikatan Nasional adalah kerajaan Persekutuan. Tan Sri Muhyidin Yassin adalah Perdana Menteri. Hari ini beliau bukan lagi Perdana Menteri. Dulu Perikatan Nasional adalah kerajaan Persekutuan tetapi hari ini adalah pembangkang. Negara telah melalui 2 pilihan raya. Pilihan raya umum dan pilihan raya negeri. PAS hari ini memiliki 4 Menteri Besar. Ada yang dulu Ahli Parlimen bukan lagi Ahli Parlimen. Ada yang dulu bukan Ahli Parlimen hari ini adalah Ahli Parlimen.
Suasana politik hari ini telah berubah. Sudah tentu rakyat juga telah juga berubah. Harapan mereka, aspirasi mereka, pandangan mereka, keperluan mereka dan persepsi mereka telah juga berubah. Tambahan pula di bawah Pakatan Harapan tumpuan diberikan untuk menekan dan mewujudkan persepsi yang buruk terhadap Perikatan Nasional. Pembohongan yang diulang-ulang akan dilihat sebagai kebenaran. Perikatan Nasional perlu lebih bersih dari bersih.
Justeru Perikatan Nasional perlu responsif terhadap suasana politik yang baharu. Rakyat mengharapkan pembelaan tetapi rakyat hari ini lebih bijak. Mereka menilai dan menyuarakan pandangan mereka menerusi pelbagai saluran. Pemimpin politik tidak boleh memekakkan telinga atau membutakan mata. Mereka tidak lagi memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan. Rakyat akan mempertikai dan mempersoal walaupun mereka menyokong Perikatan Nasional. Kadang-kala mereka yang berada di luar kotak mempunyai pandangan yang lebih luas dan lebih tepat.