Kerajaan negeri Selangor hari ini telah memanggil kontraktor-kontraktor lif utama di negara ini bagi membincangkan masalah lif-lif di rumah kos rendah.
Pertemuan telah dipengerusikan Menteri Besar serta dihadiri oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar YB Iskandar A. Samad dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) Puan Norzaton Aini Mohd. Kassim.
Minggu lepas kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan tabung L'CERIA bertujuan untuk membantu penduduk pangsapuri kos rendah membaik pulih lif-lif mereka. Had tabung ini telah ditetapkan pada RM5 juta.
Sejak 2012 kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA bagi membantu penduduk pangsapuri kos rendah membaikpulih pangsapuri mereka. Lebih RM13 juta telah dibelanjakan bagi Fasa 1.
Pada awal tahun ini kerajaan negeri juga telah juga meluluskan had bagi tabung ini sebanyak RM13 juta.
Walau bagaimanapun 70 peratus dari peruntukan ini akan digunakan untuk membaikpulih lif. Oleh itu satu tabung baru perlu diwujudkan khusus untuk lif.
Ini bermakna Tabung CERIA adalah semata-mata untuk kerja-kerja baikpulih selain dari lif seperti membaikpulih bumbung, tangki air dan paip air serta mengecat bangunan.
Pertemuan dengan kontraktor-kontraktor hari ini telah dapat mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Maka dengan itu kerja-kerja baikpulih yang akan dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.
Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
19 Ogos 2014