Saturday, May 25, 2013

KENYATAAN AKHBAR : AHLI-AHLI PARTI WAJAR DILIBATKAN DI DALAM GLC.

Saya bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan PKR Selangor, YB Shuhaimi Shafie, agar ahli-ahli parti Pakatan Rakyat dilibatkan di dalam anak syarikat kerajaan negeri ( GLC ).

Di Selangor kita telah masuk penggal kedua, ramai ahli-ahli parti telah terdedah kepada perjalanan dan pentadbiran kerajaan negeri maka telah tiba masanya mereka diberi peluang terlibat di dalam GLC.

Pada penggal pertama, terdapat GLC-GLC yang tidak mempunyai ahli parti kecuali Menteri Besar. Mungkin keadaan sedemikian sesuai pada penggal pertama tetapi untuk penggal kedua satu 'tajdid' atau pembaharuan perlu dilakukan.

Dengan penglibatan ahli-ahli parti, halatuju atau perjalanan sebuah GLC dapat dipastikan selari dengan tujuan dan aspirasi Pakatan Rakyat. Tidak mungkin satu 'tajdid' dapat dilakukan tanpa penglibatan ahli-ahli parti.

Penglibatan mereka juga dapat mengelakkan mana-mana GLC telah tersasar dari tujuannya atau dituduh tidak membantu kerajaan negeri mencapai matlamat-matlamatnya.

Pada penggal kedua ini, harapan rakyat sudah tentu lebih besar maka peranan GLC-GLC adalah begitu penting.

Walau bagaimanapun mereka yang dilantik mestilah mempunyai kelayakan dan pengalaman yang berkaitan.

Memandangkan jumlah kerusi Dewan Negeri parti-parti Pakatan Rakyat adalah hampir sama maka bilangan ahli-ahli parti di GLC-GLC mestilah adil.

Iskandar Abdul Samad
Ahli Dewan Negeri Chempaka/
YDP PAS Kawasan Pandan
24 Mei 2013