Skip to main content

Projek Perumahan Terbengkalai : Kontraktor penyelamat dilantik oleh bank, bukan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah melantik kontraktor atau pemaju untuk menyelamatkan mana-mana projek terbengkalai.

Terpulanglah kepada pemaju asal, bank atau pelikuidasi untuk memilih tawaran yang terbaik dari pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan sesuatu projek.

Kerajaan Negeri Selangor hanya bertindak sebagai fasilitator.

Jawatankuasa Khas Projek Terbengkalai Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Perumahan bermesyuarat dua minggu sekali untuk membincangkan cara-cara untuk mempercepatkan pemulihan projek-projek yang terbengkalai.

Wakil-wakil Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Selangor serta Pentadbir Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan merupakan ahli jawatankuasa tersebut. Turut dijemput adalah wakil-wakil Syabas dan TNB. Wakil-wakil pembeli juga kadang kala dijemput jika ada keperluan.

Pemaju atau kontraktor penyelamat akan membentangkan projek mereka.

Masalah-masalah yang selalu dibincangkan adalah yang melibatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan.

Walaupun pemulihan projek-projek menjadi keutamaan namun Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang melibatkan keselamatan dan kemudahan rakyat. Pemaju mestilah mematuhi segala kehendak undang-undang.

Terdapat juga kontraktor dan pemaju penyelamat yang mendapati projek mereka dibebani dengan cukai-cukai yang tertunggak. Di dalam hal ini mereka boleh memohon agar cukai ini dibayar secara berperingkat.

Oleh itu, secara kesimpulannya jawatankuasa itu bertindak sebagai 'one stop centre' untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
23 Jun 2011

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...