Friday, July 31, 2009

KENAPA HENDAK MEMAKSA BELIA ISLAM MINUM ARAK?

Saya tidak faham kenapa ada yang marah apabila hendak diadakan
peraturan melarang atau menyusahkan umat Islam untuk membeli arak.

Umat Islam bukan hendak menyekat orang bukan Islam meminum arak tetapi sekadar hendak memastikan umat Islam terutamanya para belia tidak dirosakkan oleh arak. Kenapa susah sangat hendak memahami?

Saya lihat masalah arak di kalangan belia Islam membimbangkan. Saya pernah menghalang seorang remaja Islam membeli arak di kedai 7-11 di Pandan Indah. Di padang permainan berdekatan rumah saya di Taman Kencana kadang-kala penuh dengan botol-botol arak kosong yang dibeli di pasaraya KK yang berhampiran. Saya tahu yang minum bukan orang Cina atau India kerana mereka boleh minum di "pub" dan "bar".

Semua ini membimbangkan umat Islam terutamanya yang mempunyai anak-anak remaja. Seolah-olah ada "tangan-tangan ghaib" yang mahu memusnahkan belia-belia Islam. Saya pernah terlibat di dalam bantahan terhadap sebuah kedai 7-11 di AU2, Taman Seri Keramat. Ia di kawasan hampir 100 peratus penduduk Islam dan di hadapan Pejabat Agama Gombak Timur tetapi menjual arak. Untuk siapa arak itu? Tidak hairan apabila ada yang mengatakan wujud konspirasi untuk menghancurkan generasi muda umat Islam.

Ada yang berkata ini semua terpulang kepada kekuatan diri masing-masing. Sebagai seorang Islam dan lebih-lebih lagi sebagai ahli sebuah parti Islam, saya tidak boleh berdiam diri melihat belia-belia Islam dirosakkan. Ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka dari kecil tidak rela melihat anak-anak itu dirosakkan oleh mereka yang mahu mencari keuntungan yang lebih. Setelah bersusah-payah membesar mereka tiba-tiba ada pula orang yang hendak merosakkan anak-anak mereka. Kononnya ini hak mereka untuk menjual arak kepada siapa sahaja. Seperti yang pernah diucapkan oleh seorang bapa, "Kita jaga anak kita betul-betul dari kecil tetapi mereka sesuka-hati hendak hendak menghancurkan masa depan mereka".

Orang Melayu, orang Islam mungkin lemah lembut dan berbudi bahasa. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh diperbodoh, dihina, ditengking, dibentak atau diperlakukan menurut sesuka hati. Belajarlah dari sejarah.

PAS bukan hendak menghalang orang bukan Islam meminum arak. PAS hanya tidak rela melihat belia Islam hancur kerana PAS tidak akan mengorbankan prinsipnya. MEMPERTAHANKAN PRINSIP DAN AQIDAH LEBIH PENTING DARI SEGALA-GALANYA. PAS TIDAK RELA ORANG BERKATA KETIKA PAS DAN RAKAN-RAKANNYA MEMERINTAH SELANGOR, BELIA ISLAM RAMAI YANG ROSAK DAN MAKSIAT BERKEMBANG SUBUR.

1 Ogos 2009

Monday, July 27, 2009

Pakatan Rakyat Guna Logo Sama?

Saya bersetuju dengan cadangan tersebut. Ia akan menampakkan kesatuan dan perpaduan pakatan tersebut. Tetapi ..........

Tetapi perlulah diputuskan beberapa perkara pokok dahulu.

Apabila menggunakan satu logo bermakna perlu ada peraturan dan perlu ada undang-undang. Perkara ini perlu dipersetujui terlebih dahulu. Sekarang ini kita difahamkan ada satu perjanjian persefahaman tetapi dengan satu logo bukan sekadar satu perjanjian yang diperlukan. Mesti ada peraturan-peraturan tentang gabungan ini walaupun setiap parti mengekalkan organisasi dan identiti masing-masing. Bukan peraturan yang diandai-andaikan, sesuatu yang konkrit. Sesuatu yang boleh dirujuk apabila timbul sebarang perbezaan pendapat.

Juga perlu ada struktur organisasi yang jelas di semua peringkat. Dari peringkat kebangsaan hingga sekurang-kurangnya ke peringkat DUN. Siapa pula yang memimpin di negeri-negeri juga perlu jelas. Siapa yang memimpin di Selangor, siapa yang memimpin di Kedah, siapa yang memimpin di Perak dan seterusnya. Perlu jelas mungkin berdasarkan kerusi yang dimenangi, kerusi yang ditandingi atau jawatan di dalam kerajaan. Tanpa organisasi yang jelas, maka ramailah yang merasakan diri mereka yang paling layak memimpin atau membuat keputusan sama ada di peringkat paling atas atas paling bawah. Sudah tentu haru biru keadaannya.

Saya berpandangan hanya setelah perkara-perkara seperti ini dapat dipersetujui maka barulah kita fikirkan logo bersama. Dengan persetujuan-persetujuan ini maka akan lenyaplah masalah-masalah lain seperti pembahagian ahli-ahli majlis atau apabila hampir tiba pilihanraya, pembahagian kerusi. Masalah-masalah yang akan timbul kerana mungkin setiap parti mempunyai intepretasi sendiri tentang peraturan di dalam pakatan ini.

28 Julai 2009

PAS JUMPA UMNO?

Betulke Mursyidul Am mahu PAS bekerjasama dengan UMNO? Atau kerajaan Negeri bekerjasama dengan kerajaan Pusat?

Kalau kerjasama antara parti tidak mungkin tetapi kerjasama kerjasama antara kerajaan memang perlu. Negara kita mengamalkan sistem Persekutuan. Kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri ada tanggungjawab masing-masing.
Perlu ada kerjasama untuk kebaikan rakyat. Ada perkara di bawah kerajaan Negeri dan dan ada perkara di bawah kerajaan Pusat. Tetapi tanpa kerjasama sesuatu perkara tidak dapat dilaksanakan.

Contohnya pendidikan. Kerajaan Pusat membina sekolah tetapi kelulusan tanah adalah di bawah bidangkuasa kerajaan Negeri. Kalau kerajaan Negeri tidak lulus, sekolah tidak dapat dibina.

Di dalam pengangkutan pula, PBT mungkin mahu mewujudkan perkhidmatan bas mereka sendiri tetapi tidak akan dapat dilakukan tanpa lesen dari kerajaan Pusat melalui LPKP.

Oleh itu perlu ada hubungan dua hala. Bukankah cukai-cukai dipungut oleh kerajaan Pusat dari rakyat tidak kira dari negeri Pakatan atau BN? Kerajaan-kerajaan Negeri ada hak mereka.

Tetapi kerajaan Pusat yang selalu lari dari tangggungjawab. Contohnya Kelantan tidak mendapat royalti walapun petroleum digali di perairan negeri itu.

Sunday, July 26, 2009

PAS CALONKAN MASYARAKAT INDIA SEBAGAI AHLI MAJLIS PIHAK KERAJAAN TEMPATAN (PBT) DI SELANGOR.

PAS telah mencalonkan nama-nama pemimpin India sebagai ahli-ahli Majlis PBT. Sebagai satu usaha untuk mengiktiraf kebolehan mereka dan meyakini kemampuan mereka, PAS telah mencalonkan beberapa orang dari Kelab Penyokong PAS. Terdapat beberapa orang lagi ahli-ahli Majlis yang masih belum dilantik oleh Kerajaan Negeri.

Mereka yang dicadangkan oleh PAS adalah,

1. Deepakaran A/L Karuppiah - Majlis Perbandaran Klang
2. Mativanan A/L Subramaniam - Majlis Perbandaran Sepang
3. B. Sivabalan A/L N. Balasundram - Majlis Daerah Kuala Selangor

Maka PAS bukan lagi sebuah parti yang hanya memikirkan kepentingan orang Islam dan orang Melayu sahaja. Pencalonan ini adalah satu bukti bahawa PAS memperjuangkan nasib semua kaum tidak mengira bangsa. Oleh itu, saya berharap Menteri Besar dan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat Selangor yang lain bersetuju dengan pencalonan-pencalonan itu.

Selain dari mereka masyarakat India, PAS juga telah mencalonkan nama-nama mereka yang aktif di dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Iskandar Abdul Samad
Timbalan Pesuruhjaya 2
PAS Negeri Selangor
27 Julai 2009

Wednesday, July 22, 2009

SIASAT HINGGA JAM 3.00 PAGI .......

Akhirnya satu Suruhanjaya Diraja atau Royal Commission untuk menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock telah ditubuhkan. Di antara perkara yang rakyat diberitahu akan disiasat adalah cara penyiasatan SPRM. Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi hendak komen sikit tentang satu perkara yang nyata.

Yang nyata, Teoh disoalsiasat hingga jam 3.00 pagi, 16 Julai. Dia dibawa ke pejabat SPRM pada jam 6 petang, 15 Julai, hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri Selangor. Hari itu adalah yang paling sibuk dan meletihkan bagi para Exco dan ADUN serta kakitangan mereka. Maka apa yang cuba dilakukan oleh SPRM apabila menyoal siasat Teoh sehingga jam 3.00 pagi? Lebih-lebih lagi setelah satu minggu dewan bersidang. Satu tindakan yang tidak beperikemanusian! Satu jenayah! Satu kekejaman!

Datuk Nazri Abdul Aziz kata SPRM telah menggunakan strategi soalsiasat yang sama sejak berpuluh tahun. Oleh itu, bukankah masanya untuk dikaji semula cara-cara soalsiasat yang kuno itu.

Wednesday, July 15, 2009

SOALAN NO. 60 - PERANCANGAN PERUMAHAN NEGERI SELANGOR UNTUK 5 TAHUN AKAN DATANG.

Menurut kajian, bilangan unit kediaman yang diperlukan bagi Negeri Selangor bagi tahun 2015 adalah 1,519,678 berbanding dengan 1,224,948 bagi tahun 2010. Ini adalah satu penambahan sebanyak 294,730 unit.

Daerah terbanyak adalah Petaling dengan 434,948, Klang 263,839 dan Hulu Langat 293,375.

Menurut laporan terkini, jangkaan jumlah unit kediaman yang akan siap pada tahun-tahun 2009 ke atas berdasarkan kelulusan bangunan adalah 97,903. Pecahannya adalah,

1. Rumah kos rendah – 19.2% (18,764 unit)
2. Rumah kos sederhana rendah – 11.9% (11,659 unit)
3. Rumah kos sederhana – 41.9% (40,981 unit)
4. Rumah kos tinggi – 27.0% (26,499 unit)

Secara tradisi, kerajaan negeri tidak secara langsung membina rumah untuk rakyat tetapi ia dilakukan menerusi 2 cara iaitu,

1. Melalui polisi dengan meletakkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju-pemaju perumahan.
2. Pembinaan rumah oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Dari segi polisi, syarat-syarat berikut perlu dipatuhi oleh para pemaju,

1. Di dalam kawasan Lembah Kelang - Bagi setiap pembangunan yang melebihi 10 ekar, mereka mestilah membina 20% rumah kos rendah (Harga maksima RM42,000), 20% rumah kos sederhana rendah (Harga maksima RM72,000) dan 20% rumah kos sederhana (Harga maksima RM100,000).
2. Di luar kawasan Lembah Kelang - Bagi setiap pembangunan yang melebihi 10 ekar, mereka mestilah membina 20% rumah kos rendah (Harga maksima RM42,000), 10% rumah kos sederhana rendah (Harga maksima RM72,000) dan 20% rumah kos sederhana (Harga maksima RM100,000).

Bagi tanah-tanah di bawah 10 ekar,

1. Di dalam kawasan Lembah Klang, di antara 2 ekar hingga kurang 10 ekar, 30% mestilah rumah kos sederhana.
2. Di luar kawasan Lembah Klang. Di antara 5 ekar hingga kurang dari 10 ekar, 30% mestilah rumah kos sederhana.

Selain dari polisi kerajaan negeri untuk menggalakkan pemaju-pemaju perumahan membina rumah untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah, PKNS sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah diarah untuk kembali kepada matlamat asalnya iaitu untuk menyediakan rumah untuk rakyat.

Tetapi PKNS juga perlu membangunkan projek-projek “high-end” untuk “cross subsidised” pembinaan rumah-rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang akan dibina.
Dewan ini telah juga diberitahu bahawa PKNS akan membina rumah-rumah mampu milik sebagai alternatif kepada rumah kos rendah sekarang. Buat permulaan ianya akan dibina di Bangi mulai 1 Mei 2010.

Selain dari itu, kerajaan negeri juga sedang mencuba satu polisi baru.

Di dalam satu projek syarikat pemaju TPPT Sdn. Bhd. di Rawang, kerajaan negeri telah meminta mereka membina rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah. TPPT akan membina rumah mampu milik dengan keluasan 700 kaki persegi dengan harga tidak lebih dari RM65,000. Rumah kos rendah biasa berkeluasan 600 kaki persegi.

Kerajaan negeri berharap ianya akan menjadi “prototype” kepada rumah-rumah mampu milik yang akan dating.

Walau bagaimanapun kerajaan negeri tidak akan mengabaikan golongan berpendapatan rendah yang memerlukan rumah kos rendah.

Hingga ke hari ini 28,724 pemohon sedang menunggu tawaran untuk rumah kos rendah.
Daerah yang paling tinggi pemohon adalah Petaling dengan 11,397 permohonan diikuti dengan Kuala Langat 5,488 dan Gombak 3,658.

Kerajaan negeri akan memastikan keperluan ini dipenuhi adalah dengan kerajaan memastikan pemaju-pemaju mematuhi syarat-syarat membina 20 peratus rumah kos rendah. Tidak pengecualian akan diberikan terutamanya bagi daerah-daerah yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Monday, July 13, 2009

JAWAPAN KEPADA SOALAN NO. 35 - STATUS RUMAH EXCO SELANGOR.

(A) APAKAH PERANCANGAN JANGKAPENDEK DAN JANGKAPANJANG KERAJAAN NEGERI TERHADAP TEMPAT KEDIAMAN EXCO SELANGOR?

Rumah-rumah Exco itu sekarang dikenali sebagai Banglo-Banglo Kerajaan Seksyen 7, Shah Alam.

Dari 10 unit banglo, 2 unit sedang didiami oleh YB Pegawai Kewangan Negeri dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri. Sementara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan 2 unit untuk didiami oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syar’ie dan Yang Arif Hakim Syari’ie.

Untuk 6 unit selebihnya, De Palma Hotels Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat PKNS telah bersetuju untuk mempromosi dan menguruskannya.

Ianya akan dipromosikan untuk sewaan jangkapanjang dan jangkapendek sama ada untuk tetamu-tetamu Kerajaan Negeri, agensi-agensi Kerajaan Negeri atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti pelabur-pelabur atau orang-orang kenamaan yang lain.

Selain dari itu, De Palma akan juga memasarkan banglo-banglo itu untuk acara-acara khusus seperti mesyuarat berprofil tinggi dan perjumpaan-perjumpaan korporat. 1 unit banglo telah telah diperlengkapkan untuk acara-acara ini bagi mempromosikannya kepada pihak-pihak yang berminat.

De Palma telah menganjurkan beberapa majlis untuk mempromosikan banglo-banglo ini,

a. Majlis untuk ahli-ahli korporat
b. Majlis untuk “event managers” (pengurus acara).
c. Majlis untuk “travel agents” (ejen pelancungan).

Lebih kurang 120 orang dari 28 organisasi telah hadir di majlis-majlis itu.

Untuk jangkapanjang, banglo-banglo itu akan terus diuruskan oleh De Palma untuk sewaan jangkapendek dan jangkapanjang.

(B) BERAPAKAH KOS YANG PERLU DIBAYAR KEPADA KONTRAKTOR UNTUK MENYELENGARAKAN RUMAH EXCO TERSEBUT?

Kos penyelengaraannya ialah RM 1,950,000 setahun atau RM 162,500 sebulan bagi 10 unit banglo.

Kontrak telah ditandatangani dengan syarikat Adilob Sdn Bhd. Pada Mac 2007 dan sah sehingga Mac 2012.

Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan syarikat itu untuk mengecilkan skop kerja syarikat itu agar kos penyelenggaraan ini dapat dikurangkan.

Pihak syarikat mencadangkan penurunan kos penyelenggaraan kepada RM 135,600 setahun tetapi Kerajaan Negeri mahu mengecilkan skop mereka sehingga kos penyelenggaraan adalah RM 72,800.

Perkara ini akan diputuskan setelah segala urusan dengan De Palma dimuktamadkan.

(C) APAKAH PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH KONTRAKTOR YANG MENYELENGGARAKAN KEDIAMAN EXCO ITU ADALAH BERBALOI DENGAN PERBELANJAAN YANG DIKELUARKAN SEDANGKAN IANYA MENJADI GAJAH PUTIH?

Perkhidmatan yang disediakan adalah :

i.) Perkhidmatan Mekanikal (Mechanical Works)
- Menyelenggara sIstem penghawa dingin
- Menyelenggara booster pump
- Menyelenggara sistem air panas dan sejuk

ii) Perkhidmatan Elektrikal (Electrical Works)
- LV (DB Board) / Switch System
- Lightning Protection System
- Telephone / Streamyx
- Struktur pendawaian
- Master antenna
- Penggantian bulb-bulb lampu.

iii) Perkhidmatan sivil
- Pemantauan dan pembaikan kerja-kerja bangunan
- Sistem paip
- Sistem pembentungan
- Pembaikan pintu / tingkap / lantai / dinding
- Pengecatan dalaman

iv) Perkhidmatan awam
- Pembersihan dalaman dan luaran
- Penyelenggaraan Landskap

v) Computerised Maintennance Management Service

vi) Penyelenggaraan kolam renang

vii) Kawalan Serangga

viii) Kawalan keselamatan

Penyelenggaraan ini perlu dilakukan agar aset Kerajaan Negeri ini tidak dibazirkan. 2 unit sedang didiami, 2 akan didiami sementara 6 unit akan ditadbirkan oleh De Palma maka penyelenggaraan perlu dilakukan.

SOALAN-SOALAN TAMBAHAN

1. Kerajaan Negeri tidak melakukan sebarang penilaian harga terhadap banglo-banglo itu kerana bukan menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjualnya.

2. Kerajaan Negeri memang merasakan nilai kontrak penyelenggaraan banglo-banglo ini agak tinggi kerana ianya secara komprehensif dan merangkumi pelbagai perkara. Kerajaan Negeri merasakan tidak perlu penyelenggaraan yang komprehensif dengan kakitangan “on stand-by”. Lebih menjimatkan dengan penyelenggaraan “as and when required”. Perubahan akan dibuat.

3. Pada mulanya Kerajaan Negeri hendak menyewakan banglo-banglo ini untuk sewaan jangkapanjang. Mungkin publisiti buruk yang menyelubungi banglo-banglo ini yang menyebabkan kita susah untuk mendapatkan penyewa. Mungkin kepada masyarakat Cina, “feng shui”nya kurang baik dan tidak mahu tinggal di sana. Tetapi mungkin sebab utamanya adalah banglo-banglo ini merupakan simbol pembaziran Barisan Nasional maka kurang menarik kepada para penyewa jangkapanjang.

Dewan Undangan Negeri Selangor
Shah Alam
13 Julai 2009

Saturday, July 11, 2009

TUKAR EXCO? ROMBAK DAHULU STRUKTUR PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI!

Ada yang berkata tukar Exco. Ada yang kata bawa masuk muka-muka baru!

Sebelum kita mengambil apa-apa tindakan, saya kata kita teliti dahulu apa masalahnya. Jika benar-benar ada masalah.

Telah banyak kali saya suarakan sama ada di blog ini atau kepada umum bahawa kita perlu rombak struktur pentadbiran kerajaan negeri.

Exco hanyalah Pegerusi Jawatankauasa Tetap berlainan dari Menteri di peringkat kerajaan pusat. Mereka ada Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan ramai lagi kakitangan yang bertanggung jawab dan "answerable" kepada beliau.

Tetapi apa yang ada pada Exco? Benar ada jabatan-jabatan kerajaan tetapi terpaksa dikongsi bersama Exco-Exco lain. Tidak ada jabatan benar-benar di bawah Exco. Ianya terpisah dari Exco-Exco. Kena tunggu giliran. Kena menagih simpati. Ini tidak adil bagi Exco yang melihat perancangan mereka lambat dilaksanakan. Juga tidak adil kepada kakitangan kerajaan yang bingung arahan mana yang perlu didahulukan.

Walaupun terdapat jabatan yang seolah-olah khusus untuk Exco tertentu tetapi dari sudut pentadbiran bukan di bawah Exco tersebut. Contoh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor yang menjalankan kerja-kerja untuk Exco Perumahan. Tetapi ianya satu badan yang ditubuhkan melalui enakmennya sendiri. Ianya ada Pengerusi yang bukan Exco Perumahan dan ahli lembaga pengarahnya sendiri. Walaupun Exco Perumahan adalah ahli lembaga pengarah tetapi segala keputusan-keputusan besar perlu melalui lembaga pengarah. Jadi siapa yang hendak mendengar arahan Exco Perumahan?

Di dalam sidang yang lepas, ADUN Hulu Kelang memohon YAB Dato’ Menteri Besar merombak semula pentadbiran kerajaan. YB itu mahu Exco berada di tengah. Dengan segala kakitangan-kakitangan sokongan di sekeliling. Membantu Exco. Menurut arahan Exco. Bila ianya hendak dilaksanakan? Saya harap secepat mungkin. Kita sudah tukar kerajaan. Kenapa susah sangat kita hendak menukar sistem pentadbiran? Kenapa perlu ikut cara BN?

Masa telah berubah. Exco-Exco sekarang bukan hanya sekadar datang menjenguk sekali-sekala. Membiarkan jabatan-jabatan menjalankan kerja-kerja mereka. Mereka bukan sekadar pergi bermain golf sepanjang minggu dan menjenguk ke pejabat sekali-sekala. Tidak ada Exco yang pandai bermain golf. Mereka buat perancangan, buat “follow-up” dan turun padang. Dari A sampai Z mereka terlibat.

Tetapi yang disediakan untuk pejabat Exco adalah hanya seorang setiausaha kerja dan seorang kerani. Ini sudah lapuk. Di dalam budaya kerja sekarang tidak wajar hanya dengan 2 orang ini sahaja. Ramai Exco yang menggaji sendiri kakitangan tambahan yang dibayar dari gaji Exco atau dari duit Parti. Malang sekali ini berlaku di dalam negeri maju seperti Selangor.

Penyelesaiannya? Rombak. Tambah kakitangan. Di Sabah dan Sarawak pun Exco dipanggil Menteri. Nama tidak penting, Exco atau Menteri atau apa sahaja nama, yang penting rombakan. Buat permulaan mungkin meletakkan sebilangan kakitangan-kakitangan kerajaan di dalam pejabat Exco bukan di luar. Kakitangan kerajaan yang tahu perjalanan dan peraturan kerajaan. Jika tidak, hendak membelanjakan peruntukan yang sememangnya telah diluluskan kepada Exco sekalipun mengambil masa berbulan-berbulan kerana .......... “Tidak ikut prosedur”. Kadang-kala kerani jabatan kelihatan lebih besar dan berkuasa dari Exco. Exco yang diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negeri akhirnya menjadi sekadar bola ping-pong sahaja.

11 Julai 2009

Thursday, July 9, 2009

Soalan No. 5 : Jawapan oleh YB Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan.

(a) Berapakah projek yang telah diambil alih oleh pemaju baru? Sila senaraikan.

- Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai telah ditubuhkan pada Jun 2008 dengan 3 syarikat bekerjasama dengannya.

- Sejak itu 1 telah menarik diri dan 2 yang lain telah menawarkan diri.

- Dipengerusikan oleh YB Hulu Kelang. (YB Saari Sungib)

- Tugasnya mengkaji dan menilai projek-projek terbengkalai dan mengenal pasti projek-projek yang berpotensi untuk dipulihkan.

- Seterusnya mencari pihak-pihak yang berminat untuk menyelamatkannya.

- Sehingga 30 Jun 2009, sejumlah 42 projek terbengkalai telah diambil alih oleh pemaju/kontraktor yang baru.

- Selain dari itu dari bulan Jun 2008 hingga Disember 2008, sebanyak 8 projek telah di siapkan di mana di antaranya hasil dari pemantauan yang terperinci oleh Kerajaan Negeri.

- Sebagai rumusan,

Jumlah projek terbengkalai Jun 2008 – 141

Jumlah aduan baru dari Jun 2008 hingga Jun 2009 - 10

Jumlah yang dinilai oleh Task Force perlu diberi perhatian atau perlu dikaji – 29

Jumlah yang telah disiapkan dalam tahun 2008 - 8

Jumlah yang telah diambil alih oleh pemaju/kontraktor baru - 42

Jumlah yang masih dalam senarai - 130

- Senarainya adalah seperti berikut :

1. Projek Taman Malim Mas, 131 unit Rumah Teres Kos Sederhana, Daerah Hulu Selangor.

· Pemaju asal: Rimbun Corporate (Liquidator).

· Pemaju baru: Sri Wilayah Enterprise Sdn Bhd.

· Jumlah unit: 131 unit.


2. Projek di Lot 1640 (70 unit Rumah Teres), Kg Sg. Ramal, Kajang, Daerah Hulu Langat.

· Pemaju asal: ZM Development Sdn Bhd.

· Pemaju baru: Bina Siap (M) Sdn Bhd.

· Jumlah unit: 70 unit.


3. Projek Putera Intan Kondominium ( 210 unit Pangsapuri 8-10 Tingkat) & 30 unit Pangsapuri Kos Sederhana Rendah, 60 unit Rumah Pangsa Kos Rendah), Dengkil, Daerah Sepang.

· Pemaju asal: Lembah Kerjaya Sdn Bhd.

· Pemaju baru: Pembinaan Purcon Sdn Bhd.

· Jumlah unit: 300 unit.


4. Projek pembinaan 175 unit Pangsapuri Taman Sri Angsana Hilir, Mukim Ampang.

· Pemaju asal: Kabra Holdings Sdn Bhd. & RSS PMC Sdn. Bhd.

· Pemaju baru: Pertiwi Prestij Sdn. Bhd.

· Jumlah unit: 175 unit.

5. Cadangan membina 1 Blok Pangsapuri (RPKR), 19 Tingkat di atas sebahagian Lot 163, seluas 9.19 ekar, Ukay Bistari, Mukim Hulu Klang, Daerah Gombak.

· Pemaju asal: Y-Talis Housing Sdn. Bhd & Damai Bistari Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Weiru Capital Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 256 unit – Pangsapuri Kos Rendah.


6. Cadangan perumahan di Taman Ukay Bistari di atas Lot 648, 649, 621, & 824, Kampung Pasir, Mukim Hulu Klang, Daerah Gombak.

· Pemaju asal: Damai Bistari Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat:
~ Pertiwi Prestij Sdn. Bhd.
~ Syarqiah Holdings Sdn. Bhd.
~ NBH Standard Links Enterprise Sdn. Bhd.
~ Raih Zaman (M) Sdn. Bhd.
~ Sama Sejati Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 146 unit – Pangsapuri Kos Rendah 16 Tingkat.
~ 120 unit – Pangsapuri Kos Sederhana Rendah 12 Tingkat.
~ 60 unit – Kos Sederhana 8 Tingkat.
~ 1027 unit – Service Apartment 6 Blok.
~ 79 unit – Kedai Dan Pejabat.


7. 32 projek perumahan terbengkalai di Daerah Klang (12 projek) dan Daerah Kuala Langat (20 projek).

· Pemaju asal: Rhid Development Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat:
~ Faza Impiana Sdn. Bhd.
~ Inventive Power Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 964 unit - Rumah Berkembar & Banglo.

8. Cadangan pembinaan Rumah Kos Rendah, Jalan Plato U5/138, Seksyen U5, Shah Alam.

· Pemaju asal: Unique Creation Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: ECL Management Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 840 unit – Rumah Kos Rendah.
~ 10 unit – Kedai.


9. Cadangan pembinaan rumah teres di atas Lot Sub Lot 1 hingga 244 (Fasa 5e) Di atas sebahagian Lot 48729 (16929), Mukim Petaling, Daerah Petaling.

· Pemaju asal: Lestari Puchong Sdn. Bhd. (Talam Corporation Berhad).

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: RSS PMC Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 244 unit – Rumah Teres.


10. Cadangan Pembinaan Rumah Pangsa Kos Rendah, Saujana Puchong Mukim Petaling, Daerah Petaling.

· Pemaju asal: Expand Factor Sdn. Bhd. (Talam Corporation Berhad).

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: RSS PMC Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 228 unit – Rumah Teres.


11. Projek Pembinaan Gombak Perdana Villa di Atas Lot 5311 HS(D) 1733 Mukim Setapak, Daerah Gombak.

· Pemaju asal: RSS PMC Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Pertiwi Prestij Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 222 unit – Rumah Teres.


12. Projek Taman Malim Mas, 131 unit rumah teres kos sederhana, Daerah Hulu Selangor.

· Pemaju asal: Rimbun Corporate (Liquidator).

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Sri Wilayah Enterprise Sdn. Bhd.

· Bilangan Unit:
~ 131 unit.


13. Projek di Lot 1640 (70 unit Rumah Teres), Kg. Sg. Ramal, Kajang, Daerah Hulu Langat.

· Pemaju asal: ZM Development Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Bina Siap (M) Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 70 unit.


14. Projek Putera Intan Kondominium Dengkil, Daerah Sepang.

· Pemaju asal: Lembah Kerjaya Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Pembinaan Purcon Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 300 unit.


15. Projek pembinaan 175 unit Pangsapuri Taman Sri Angsana Hilir, Mukim Ampang.

· Pemaju asal: Kabra Holdings Sdn. Bhd. & RSS PMC Sdn. Bhd.

· Pemaju / Kontraktor penyelamat: Pertiwi Prestij Sdn. Bhd.

· Bilangan unit:
~ 175 unit.


(b)Berapakah projek terbengkalai yang belum diambil alih oleh pemaju? Apakah masalahnya?

- Terdapat 130 projek yang masih belum mempunyai kontraktor/pemaju penyelemat.

- Tetapi ini tidak bermakna ianya tidak boleh diselamatkan.

- Mereka masih menunggu pemaju/kontrak yang bersetuju untuk mengambil alih.

- Rundingan terus akan dijalankan untuk projek-projek itu.

- Di antara sebab-sebab kenapa sebuah projek memerlukan masa untuk mendapatkan pemaju/kontraktor penyelamat adalah:-

1) Baki pembiyaan oleh bank tidak dapat menampung kos menyiapkan projek tersebut.

Ini berlaku kerana 2 sebab :

a. Kos pembinaan yang meningkat bagi projek yang telah terbengkalai hampir 10 hingga 15 tahun.

b. Pemaju telah membuat tuntutan daripada pembeli lebih dari yang sepatutnya.

Contohnya kerja-kerja di tapak hanya 50% tetapi tuntutan telah dibuat 80%.

c. Pemaju gagal mengambil kira semua kos-kos yang terlibat seperti gagal memasukkan kos infrastruktur.

2) Tidak mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa dan melanggar undang-undang yang sedia ada.

- Ada yang tidak ada kelulusan pelan bangunan.

3) Isu Tanah

- Ada yang masih tanah pertanian.

- Pemaju tidak memohon tukar syarat tanah kepada perumahan.

- Premium yang perlu dibayar tidak dimasukkan ke dalam kos projek.

4) Tiada persefahaman di antara pihak-pihak terlibat

- Kebanyakan projek terbengkalai adalah projek defisit.

- Untuk menghidupkan semula projek-projek itu semua pihak perlu berkorban atau mengambil “haircut”.

- Pihak pemaju dan bank mesti bersedia untuk mengorbankan keuntungan mereka.

- Pembeli juga kadang-kadang perlu membuat pembayaran tambahan.

- Tetapi persetujuan ini susah diperbaiki.

- Kita telah melalui fasa pertama

- Selaras dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, satu sessi percambahan fikiran telah diadakan dengan memanggil lebih ramai pihak yang berminat.

- Ianya untuk mempercepatkan lagi pemulihan projek-projek tersebut dengan lebih banyak pihak-pihak dijemput untuk mengambil bahagian.

Jawapan Kepada Soalan-Soalan Tambahan

- Sebelum sebarang tabung ditubuhkan untuk memulihkan projek-projek terbengkalai ini seperti Danaharta, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan jumlah sebenar dana yang diperlukan.

- Untuk langkah pertama, Kerajaan Negeri menerusi Task Force sedang menyenaraikan jumlah dana tambahan yang diperlukan untuk memulihkan projek-projek yang berupaya (viable) untuk dipulihkan.

- Selepas itu, Kerajaan Negeri akan mengkaji sama ada dana ini wajar ditubuhkan.

- Buat masa ini, pemulihan lebih 43 projek adalah melalui inisiatif swasta tanpa melibatkan sebarang dana dari Kerajaan Negeri.

- Tentang kes bekas peneroka bandar Bukit Botak, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak telah mula menjalankan tugasnya.

- Jawatankuasa ini mempunyai pejabat di Pejabat Daerah Gombak dan orang ramai dialu-alukan untuk datang ke pejabat itu.

- Segala-gala maklumat mereka yang telah diberi milik tanah boleh dilihat oleh orang ramai.

- Jawatankuasa ini mesti menamatkan siasatan mereka pada 18 Ogos depan.

- Tujuan siasatan ini adalah untuk mencari keadilan bagi semua bukan untuk membalas dendam.

- Mereka yang layak tidak perlu bimbang.

Thursday, July 2, 2009

WAJIB TUKAR KE METER INDIVIDU

Menteri Besar Selangor hari ini di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mewajibkan setiap pembangunan perumahan bertingkat yang belum mempunyai meter individu menukar ke meter individu.

Para pemaju, ejen pengurusan, MC dan JMB mesti berbincang dengan Syabas untuk pertukaran atau migrasi ini.

Sebelum ini Syabas hanya membenarkan migrasi jika 100 peratus pemilik bersetuju dan sebarang tunggakan kepada Syabas diselesaikan.

Sekarang Syabas dan pemaju mestilah menyelesaikan sebarang isu-isu yang boleh menghalang migrasi ini. Mana-mana pemaju yang enggan akan disenarai hitam oleh Kerajaan Negeri.

Migrasi akan memberi manfaat kepada penduduk. Dengan meter individu, mereka boleh mendapat 20 meter padu air percuma yang ditawarkan melalui program negeri berkebajikan Pakatan Rakyat.

Potongan bekalan air juga tidak akan melibatkan mereka yang membayar bil-bil mereka kerana potongan akan dibuat hanya pada meter-meter mereka yang gagal membayar bukan di meter pukal.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
3 Julai 2009