Thursday, June 23, 2011

Penyampaian bantuan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kafa Integrasi Al Huda, Taman Bukit Teratai, Ampang.

Cek bernilai RM50,000 telah disampaikan oleh YB Iskandar A. Samad kepada Tuan Haji Ahmad Turmidzi, Pengerusi Lembaga Pengarah Kafa Integrasi Al Huda, Taman Bukit Teratai dalam satu majlis ringkas di sekolah itu pada 24 Jun lepas.

YB Iskandar pada awal tahun ini telah membuat permohonan kepada Exco Pendidikan Dan Pembangunan Modal Insan, YB Dr. Hjh. Halimah Ali, untuk bantuan di bawah skim bantuan sekolah-sekolah agama.

Beberapa sekolah agama di DUN Chempaka dan Teratai telah menerima bantuan hasil dari permohonan yang dibuat oleh YB Iskandar.

Turut menerima bantuan adalah SKJC On Pong 2, Pandan Mewah yang menerima bantuan di bawah skim bantuan sekolah-sekolah Cina hasil dari permohonan yang dibuat oleh YB Iskandar.

Bersih 2.0 : Provokasi pihak Polis dikesali.

PAS Kawasan Pandan kesal dengan tindakan pihak Polis memanggil Timbalan Yang Dipertua dan Ketua Pemuda kami ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi kenyataan.

Sebelum itu pada 21 Jun lepas sekumpulan anggota Polis telah datang ke Pejabat PAS Kawasan Pandan di Pandan Indah untuk mengambil gambar kain rentang Bersih yang digantung di situ.

Walau bagaimanapun, Haji Meor Rithuan Mohd Said (Timbalan Yang Dipertua) dan Sdra. Zahriezan Jamaluddin (Ketua Pemuda) telah dinasihati oleh peguam mereka untuk tidak pergi memberi kenyataan.

PAS Kawasan Pandan menyifatkan tindakan pihak Polis ini adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan rakyat.

Adalah lebih baik jika pihak Polis menumpukan masa dan tenaga mereka untuk membanteras jenayah dan bukan membantu Barisan Nasional di dalam agenda politik mereka.

Kes ragut, samun dan pecah rumah sentiasa menghantui penduduk Ampang maka adalah lebih baik jika pihak Polis berusaha memastikan jenayah-jenayah ini dapat dapat dikawal terlebih dahulu.

YB Iskandar A. Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
Selangor DE
24 Jun 2011

Wednesday, June 22, 2011

Penjualan VCD cetak rompak masih meluas

Nampaknya penjualan VCD cetak rompak masih meluas sehingga ianya dijual lebih kurang 200 meter dari Menara MPAJ di Pandan Indah.

Di pasar malam ini berhampiran Surau Sofwa, VCD-VCD bukan dijual secara 'hit and run' tetapi mempunyai petak yang khusus seperti peniaga-peniaga.

Kes seperti ini saya telah maklumkan kepada Dato' YDP MPAJ dan mahu tindakan yang sewajarnya diambil.

Jika tidak, rakyat akan mula melempar pelbagai tuduhan kepada pegawai-pegawai penguatkuasa MPAJ.

(Peniaga ini terus tutup kedai dan cabut lari setelah gambar ini diambil pada 21 Jun lepas)

Geylang Serai 3 Disember 2010 - Di manakah bas no. 13?

Dialog di Surau Jalan Kem, Pelabuhan Klang 23 Jun 2011

Projek Perumahan Terbengkalai : Kontraktor penyelamat dilantik oleh bank, bukan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah melantik kontraktor atau pemaju untuk menyelamatkan mana-mana projek terbengkalai.

Terpulanglah kepada pemaju asal, bank atau pelikuidasi untuk memilih tawaran yang terbaik dari pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan sesuatu projek.

Kerajaan Negeri Selangor hanya bertindak sebagai fasilitator.

Jawatankuasa Khas Projek Terbengkalai Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Perumahan bermesyuarat dua minggu sekali untuk membincangkan cara-cara untuk mempercepatkan pemulihan projek-projek yang terbengkalai.

Wakil-wakil Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Selangor serta Pentadbir Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan merupakan ahli jawatankuasa tersebut. Turut dijemput adalah wakil-wakil Syabas dan TNB. Wakil-wakil pembeli juga kadang kala dijemput jika ada keperluan.

Pemaju atau kontraktor penyelamat akan membentangkan projek mereka.

Masalah-masalah yang selalu dibincangkan adalah yang melibatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan.

Walaupun pemulihan projek-projek menjadi keutamaan namun Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang melibatkan keselamatan dan kemudahan rakyat. Pemaju mestilah mematuhi segala kehendak undang-undang.

Terdapat juga kontraktor dan pemaju penyelamat yang mendapati projek mereka dibebani dengan cukai-cukai yang tertunggak. Di dalam hal ini mereka boleh memohon agar cukai ini dibayar secara berperingkat.

Oleh itu, secara kesimpulannya jawatankuasa itu bertindak sebagai 'one stop centre' untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
23 Jun 2011

Tuesday, June 21, 2011

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD : RM 9.7 JUTA UNTUK BAIKPULIH PANGSAPURI KOS RENDAH.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah meluluskan RM 7.7 juta untuk Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan.

Jumlah ini adalah tambahan kepada RM 2 juta yang telah diperuntukkan di dalam Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor. Oleh itu, jumlah yang diperuntukkan adalah RM 9.7 juta.

Skim ini adalah bagi membantu pemilik-pemilik pangsapuri kos rendah membaikpulih kediaman mereka.

Pemilik-pemilik pangapuri telah ditawarkan untuk menyertai skim ini di mana Kerajaan Negeri akan membaikpulih pangsapuri mereka melalui kaedah perkongsian 80:20. Kerajaan Negeri akan membiayai 80 peratus dari kos membaikpulih dan penduduk hanya 20 peratus.

Tawaran telah diberikan kepada pemilik-pemilik melalui Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB), dan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC).

Sebanyak 62 kawasan pemajuan telah ditawarkan untuk menyertai skim ini dan setakat ini 19 pemajuan telah dipilih berdasarkan peruntukan asal sebanyak RM 2 juta.

Dengan tambahan sebanyak RM 7.7 juta lebih banyak pemajuan akan dapat dibaikpulih.

Adalah dianggarkan dengan peruntukan tambahan ini sekurang-kurangnya 70 pemajuan akan dibaikpulih.

Walau bagaimanapun JMB dan MC mestilah bersetuju kepada syarat syarat berikut untuk menyertai skim ini,

1. Hanya satu pembaikan bagi satu pemajuan.
2. JMB / MC / Persatuan Penduduk telah berdaftar.
3. Rekod kewangan yang memuaskan selama 6 bulan terdahulu.
4. Membayar 10%pendahuluan terlebih dahulu.
5. Pemajuan yang terpilih perlu menandatangani akujanji bagi membayar baki 10% dalam

Selain dari itu hanya kerja-kerja baikpulih yang kritikal seperti di bawah akan diutamakan :

1. Lif
2. Bumbung
3. Tangki air
4. Sistem pembentungan

Iskandar bin Abdul Samad Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan & Setinggan
Negeri Selangor
23 Jun 2011

Monday, June 20, 2011

Turun padang berjumpa dengan peneroka bandar PJS1, Petaling Jaya 16 Jun 2011

Konvoi Anak Muda Geng Kita DUN Chempaka

Pandan Indah, 20 Jun 2011 - Konvoi motorsikal "Anak Muda Geng Kita" telah mengelilingi DUN Chempaka pada 19 Jun lepas.

Program tersebut adalah anjuran ADUN Chempaka, YB Iskandar A. Samad dan JKKK Kg. Pandan.

Konvoi telah dilepaskan oleh YB Iskandar dan Ketua Kampung Kg. Pandan, Tuan Haji Arshad Ahmad di Pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 17, Tuan Haji Meor Rithuan Mohd Said di Pandan Jaya.

YB Iskandar telah turut menunggang motorsikal bersama-sama konvoi itu dari checkpoint Taman Angsana Hilir ke checkpoint Surau Ubudiah, Pandan Indah dan terus ke Dataran Komuniti Kg Pandan di Lorong G.

Di Dataran Komuniti peserta konvoi telah bersarapan bersama ADUN dan Ketua Kampung itu.

Konvoi selepas itu telah berlepas ke Rumah Anak-Anak Yatim India Wawasan dan Pusat Tarbiyyah Pandan di Pandan Indah.

Di rumah anak-anak yatim itu, sumbangan jamuan makanan telah diserahkan kepada anak-anak yatim di situ.

Sementara di Pusat Tarbiyyah Pandan, peserta konvoi telah berpeluang mendengar persembahan nasyid dan ceramah motivasi oleh Sdra. Sani Hamzan, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor.

Konvoi itu telah disertai oleh hampir 40 motorsikal.

Menurut YB Iskandar, di antara tujuan utama konvoi itu adalah agar mereka yang meminati sukan bermotor dapat menikmatinya dengan selamat dan dalam lingkungan batas undang-undang.

"Kita tidak boleh hanya memberitahu anak-anak muda apa yang tidak boleh dilakukan tetapi kita juga mesti menyediakan alternatif-alternatif yang sesuai dengan jiwa muda mereka", kata YB Iskandar.

Iskandar juga berkata dalam dakwah kita janganlah mengambil sikap bermusuhan dengan mereka yang hendak kita dekati tetapi kita perlu menjadikan mereka kawan sepertimana tajuk konvoi hari itu, "Orang Muda Geng Kita".

Program hari itu juga dilihat oleh ramai sebagai dapat membantu membentuk keperibadian peserta-pesertanya dengan lawatan ke rumah anak-anak yatim, persembahan nasyid dan ceramah motivasi - Chempaka Kini

Monday, June 13, 2011

Lawatan YB Iskandar A. Samad ke PJS1, Petaling Jaya dan dialog bersama penduduk rumah panjang.

YB Iskandar A. Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor akan melawat peneroka bandar yang berkhemah di PJS1 pada 16 Jun 2011, jam 11 pagi.

Rumah-rumah mereka telah dirobohkan pemaju Peter Brickworks Sdn. Bhd. pada 3 Jun lepas.

Selepas itu, beliau akan berdialog dengan penduduk rumah panjang PJS1 di Majlis Bandaraya Petaling Jaya tentang masa depan mereka.

Satu penyelesaian jangkapanjang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Wartawan dan jurufoto adalah dijemput membuat liputan.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi 019-756 3581 ( Siti Hawa ).

Lt (B) Kamaruzaman Ahmad Nor
Setiausaha Kanan Kepada
Iskandar bin Abdul Samad
ADUN Chempaka /
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
Negeri Selangor
15 Jun 2011

Air percuma untuk pangsapuri kos rendah : Sistem kupon akan digantikan dengan potongan terus di meter pukal.

Sistem kupon untuk memberi air percuma kepada penduduk pangsapuri kos rendah akan digantikan dengan potongan terus di meter pukal.

Dengan kaedah yang baru ini, potongan bersamaan dengan kos 20 meter padu air akan dilakukan bagi setiap unit yang didiami.

Pemaju atau JMB kemudian akan memotong jumlah ini dari bil-bil penduduk.

Jika bil di meter pukal adalah RM 5,000 dan terdapat 100 unit yang diduduki maka jumlah yang perlu dipotong adalah RM 11.40 ( jumlah yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri ) kali 100 unit.

Jumlah besar iaitu RM 1140 akan dipotong dari bil meter pukal maka jumlah yang perlu dibayar adalah RM 3,860 sahaja.

Potongan RM 11.40 perlu dilakukan kepada bil-bil yang dikeluarkan bagi unit-unit pangsapuri itu.

Walau bagaimanapun sekiranya terdapat tunggakan pada bil-bil itu maka potongan ini dibenarkan dibuat pada tunggakan tersebut dan bukan dari bil-bil semasa.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor ( LPHS ) sedang mengumpul maklumat bagi jumlah unit yang diduduki untuk setiap pangsapuri di Negeri Selangor.

Skim potongan di meter pukal ini akan dilaksanakan berperingkat-peringkat.

Gambar atas : Majlis penyampaian 'mock' kupon air di Pangsapuri Angsana, USJ1 pada 13 Jun lepas di mana penduduk telah diberitahu sistem kupon ini akan diganti dengan potongan di meter pukal.

LAWATAN YB ISKANDAR A. SAMAD KE PENEMPATAN SEMENTARA MANGSA KEBAKARAN RUMAH PANJANG KG. SUNGAI KERTAS, BATU CAVES, GOMBAK.

Adalah dimaklumkan bahawa Y.B. Tuan Iskandar bin Abdul Samad akan melawat mangsa-mangsa kebakaran rumah panjang Kg. Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak seperti berikut :

Tarikh - 15 Jun 2011 (Rabu)
Masa - 3.00 petang
Tempat - Dewan Orang Ramai Kg. Sg. Kertas, Batu Caves, Gombak.

Di antara tujuan lawatan tersebut adalah :

1. Untuk mengenalpasti bantuan yang diperlukan.
2. Untuk menyelesaikan masalah perumahan mereka.

Wartawan dan jurufoto adalah dijemput membuat liputan.

Lt (B) Kamaruzaman Ahmad Nor
Setiausaha Kanan Kepada
Iskandar bin Abdul Samad
ADUN Chempaka /
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
Negeri Selangor
14 Jun 2011

Sunday, June 12, 2011

Bersama cikgu sekolah rendah

Pada 11 Jun 2011 saya telah hadir 'reunion' bekas pelajar-pelajar Darjah 6, Sekolah Rendah Sri Petaling, Petaling Jaya. Sekolah yang dekat Jaya Supermarket.

Turut hadir di majlis di RSGC malam itu adalah guru-guru lama. Di antaranya Mr. Siew, Mrs. Khor dan Miss Too.

Mr. Siew adalah guru tuisyen saya. Nama penuh beliau adalah Peter Siew. Beliau masih tinggal di rumah yang sama di Paramount Garden.

Kami tuisyen sama ada di sekolah atau di rumah saya di Seksyen 14. Rakan-rakan yang tuisyen sama pun ada yang hadir malam itu.

Mrs. Khor adalah guru kelas saya semasa Darjah 6. Saya berada di dalam Darjah 6 Melati.

Yang paling menarik adalah Mr. Siew yang masih mengikuti perkembangan terkini politik negara walaupun berusia 69 tahun.

Kalau dulu dia memberi nasihat tentang pelajaran tetapi malam itu dia memberi nasihat tentang politik. Beliau yang mengaku menyokong Pakatan Rakyat menasihatkan saya agar berhati-hati dengan MCA kerana mereka sedang bergerak di bawah untuk mengumpul sokongan.

Ada seorang rakan yang sama-sama tuisyen yang dulu tinggal di Seksyen 17 berpendapat Pakatan Rakyat tidak perlu melayan provokasi BN. Kata beliau Pakatan Rakyat mesti memberi tumpuan kepada agenda untuk membangunkan Selangor dan membantu rakyat. Beliau sekarang adalah seorang pengarah di sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan.

Seorang rakan berbangsa Cina yang memiliki klinik pergigian berpandangan diskaun untuk membeli rumah wajar diberi kepada mereka berpendapat rendah tanpa mengira bangsa. Semasa Darjah 6 beliau adalah Deputy Headgirl (Timbalan Ketua Pengawas Perempuan). Saya adalah Headboy.

Monday, June 6, 2011

Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad - Penularan Penyakit Tibi Di Ampang Jaya : Kementerian Kesihatan Perlu Bertindak Dengan Segera

Kementerian Kesihatan adalah digesa mengadakan kempen besar-besaran untuk membanteras penyakit Tibi di Ampang Jaya.

Ini berikutan dengan beberapa kes penyakit tersebut yang dikesan oleh Hospital Ampang.

Contohnya, seorang pengetua sekolah di Pandan Indah yang telah koma selama 28 hari kerana penyakit itu.

Satu kempen kesedaran perlu diadakan agar masyarakat dapat mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit yang merbahaya itu.

Pihak kementerian juga mesti mengadakan gerakerja pengesanan di sekolah-sekolah, tapak-tapak pembinaan dan penempatan-penempatan warga asing seperti di Kg. Pandan, Pandan Mewah dan Lembah Jaya.

Menurut beberapa pihak, penyakit Tibi ini telah dibawa masuk oleh pendatang-pendatang asing itu.

Penyakit ini telah hampir pupus di negara kita walau bagaimanapun telah muncul kembali apabila berlaku kebanjiran pendatang asing.

Kementerian Kesihatan mestilah memandang serius perkara ini dan tidak menunggu sehingga lebih ramai penduduk Ampang Jaya dijangkiti penyakit tersebut.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
7 Jun 2011

Saturday, June 4, 2011

Peranan Harakah dalam pemilihan di Muktamar PAS Ke 57

Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah terpilih pada pemilihan Muktamar PAS ke 57.

Ramai yang berada di dalam keadaan dilema ketika pemilihan kerana ramai yang bertanding adalah kenalan mereka.

Contohnya bagi jawatan Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Sdra Mohammad Sabu adalah kenalan saya.

Ustaz Nasha kerap memimpin Usrah di Pandan dan Mat Sabu kerap juga turun berceramah di Pandan.

Walau bagaimanapun bagi pemilihan AJK PAS Pusat, pada saya keputusannya adalah tidak memeranjatkan.

Saya berkata begini kerana saya melihat peranan Harakah di dalam pemilihan kali ini begitu besar.

Terdapat mereka yang sering kali disiarkan berita mereka di dalam Harakah telah mendapat undi yang banyak pada pemilihan AJK Pusat tahun ini.

Ini mungkin dapat menjawab persoalan kenapa nama-nama besar menduduki tempat-tempat di bawah di kalangan 18 orang yang terpilih sebagai AJK Kerja PAS Pusat.

Contohnya Jocelyn Tan dalam Sunday Star 5 Jun 2011 menarik perhatian pembaca tentang undi yang diperolehi oleh YB Khalid Samad adalah lebih banyak dari undi yang diperolehi oleh YB Dato' Hasan Ali. Dato' Hasan adalah seorang Exco dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Walhal YB Khalid adalah hanya seorang ahli Parlimen dan Yang Dipertua PAS Kawasan.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang membaca Harakah tentu menyedari berita YB Khalid disiarkan pada setiap edisi Harakah. Kadang kala bukan satu berita tapi lebih dari itu.

Harakah akan meminta ulasan YB Khalid dalam hampir apa saja isu. Tetapi Dato' Hasan bagaimana? Kita tentu sedia maklum jawapannnya.

Saya bukan hendak menidakkan pemilihan sesiapa tetapi saya bimbang 'crediblity' Harakah akan dipertikaikan.

Ia tidak lagi akan dianggap sebagai media yang mewakili semua ahli tetapi hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Mungkin ini berlaku kerana tidak ada saingan kepada Harakah. Mungkin kalau ada saingan maka Harakah akan lebih berhati-hati. Mungkin juga perlu diwujudkan media saingan kepada Harakah.

Jadi bagaimana pemilihan di Muktamar tahun ini?

Saya percaya kepada meritokrasi. Ahli-ahli PAS tidak lagi terpengaruh dengan 'title' seseorang. Mereka melihat kepada hasil. Ini adalah satu perkembangan yang baik. Pemimpin tidak dipilih kerana pandai bercakap sahaja.

Oleh kerana itu Mazlan Aliman mendapat undi yang tertinggi. Beliau sungguh aktif dengan NGO ANAK yang memperjuangkan nasib peneroka Felda. Beliau mendapat liputan yang meluas bukan sahaja di dalam media Pakatan Rakyat tetapi media arus perdana. Mazlan memang layak mendapat liputan tersebut.

Jelas sekali media seperti Harakah amat penting. Yang tidak bekerja boleh dilihat bekerja. Yang bekerja juga boleh dilihat seolah-olah tidak bekerja.

Friday, June 3, 2011

UCAPAN WAKIL PAS SELANGOR DI MUKTAMAR PAS KE 57

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

PAS Selangor mengucapkan tahniah kepada YB Dato' Seri Presiden di atas satu ucapan dasar yang tepat pada masanya.

Tema ucapan dasar 'Membangunkan Negara Berkebajikan' telah memberi harapan baru kepada jutaan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan satu kerajaan yang hampir tidak peduli kepada kebajikan rakyat.

Rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan menunggu untuk diselamatkan dari mimpi ngeri yang sedang membelenggu mereka.

PAS Selangor juga mengucapkan tahniah kerana YB Dato' Seri Presiden yang telah mendedahkan dunia kepada konsep negara berkebajikan dari perspektif Islam.

Selama ini jika kita berbicara tentang negara berkebajikan, ramai yang akan memberi tekanan kepada aspek-aspek material semata-mata.

Sama ada berkaitan pengagihan kekayaan secara sama rata atau bantuan-bantuan yang disalurkan kepada rakyat.

Tetapi semalam, kita telah didedahkan kepada objektif negara berkebajikan yang bertumpu kepada kesejathteraan spiritual.

Ia tidak berlegar-legar semata-mata di sekeliling keperluan materialistik.

Tetapi ia turut merangkumi pembangunan rohani yang dihubungkait dengan pegangan agama.

PAS Selangor yakin negara berkebajikan seperti ini akan dapat menghasilkan satu negara yang benar-benar menepati ciri-ciri Baldatun Toyyibatun Warabbul Ghafur.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

PAS Selangor mempunyai pengalaman selama lebih 3 tahun menjadi sebahagian dari kerajaan yang merupakan sebuah negeri berkebajikan.

PAS Selangor telah sentiasa berusaha untuk memastikan Islam mendapat tempat di dalam kerajaan tersebut.

PAS Selangor juga sentiasa berusaha untuk memastikan kerajaan yang dibentuk dapat memberi keuntungan kepada Islam.

Contohnya kami telah berjaya membebaskan masjid dan surau dengan menyerahkannya kembali kepada rakyat.

Ia telah menjadi pusat-pusat ilmu yang telah membuka pintunya kepada para penceramah bukan sahaja dari Pantai Barat tetapi dari Pantai Timur.

Walau bagaimanapun laluan bagi PAS Selangor adalah tidak mudah.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Ada kalanya kami dikatakan sebagai terlalu perlahan dan terlampau berhati-hati.

Tetapi ada kalanya pula kami dikatakan sebagai keras kepala dan tidak pandai berkawan.

Selangor adalah berbeza dari Kelantan atau Kedah.

PAS tidak menguasai kerusi yang banyak seperti di Kelantan atau di Kedah.

Kami hanya ada 8 kerusi sahaja.

Peratus orang Melayu Islam juga tidaklah setinggi di Kelantan atau di Kedah.

Di banyak kawasan, orang Melayu Islam adalah minoriti.

Maka sudah tentu ini memerlukan pendekatan yang berbeza.

Mungkin ada ketikanya akan berlaku perbezaan pendapat di dalam pakatan kami di Selangor.

Kami tegas di dalam usaha untuk tidak berganjak dari prinsip-prinsip asas perjuangan.

Kalau hendak berkawan dengan PAS, kenalah menghormati prinsip-prinsip perjuangan PAS sepertimana kami menghormati prinsip-prinsip perjuangan rakan-rakan yang lain.

Tetapi janganlah mempunyai tanggapan yang salah terhadap kami.

Pakatan Rakyat teguh di Selangor.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Kami yakin walaupun PAS Selangor tidak dapat mendesak kerajaan negeri meluluskan apa-apa enakmen jenayah syariah seperti di Kelantan, namun nilai-nilai Islam yang universal seperti adil, amanah, jujur dan 'good governance' yang dipromosikan oleh PAS Selangor berupaya menarik masyarakat bukan Islam untuk menerima Islam yang syumul itu.

Nilai-nilai universal di dalam Islam ini telah diserlahkan melalui program-program pimpinan PAS Selangor di dalam kerajaan pada pelbagai peringkat, di samping akhlak dan keterampilan pimpinan PAS Selangor di dalam atau di luar kerajaan.

Kami bukan sekadar retorika-retorika kosong sahaja.

Tetapi apa yang diperlukan adalah kefahaman dan sokongan dari semua pihak terutamanya dari pimpinan Pusat.

Berbaik sangkalah dengan PAS Selangor.

Kadang kala kami amat cemburu dengan pimpinan DAP Selangor yang sentiasa mendapat sokongan dan perhatian dari pimpinan DAP Pusat.

Malah isu sekecil isu pasar pagi sekalipun, pimpinan DAP Pusat telah menunjukkan keprihatinan mereka.

Janganlah menganggap kami sebagai 'budak nakal'.

Mungkin inilah akibatnya apabila PAS Selangor tidak mendapat liputan media yang luas oleh media kita sendiri berbanding dengan negeri-negeri lain.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Pengalaman yang dilalui oleh PAS Selangor saya yakin tidak dilalui oleh kebanyakan negeri-negeri lain.

Lebih-lebih lagi sebagai kerajaan, kami berhadapan dengan pelbagai dilema.

Permasalahan kawalan arak, larangan judi, industri hiburan dan penganjuran konsert tidaklah semudah di negeri-negeri yang lain.

Di dalam aspek ini PAS Selangor memerlukan bantuan dan bimbingan.

Perlu ada satu garispanduan yang jelas.

Tanpa garispanduan ini, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham bukan sahaja di kalangan rakan-rakan kita tetapi di kalangan umat lslam itu sendiri.

Malah kekeliruan ini telah berlaku dan telah dieksploit oleh musuh-musuh kita.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Inilah cabaran sebagai kerajaan di dalam negeri yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan berbilang agama.

Inilah cabaran apabila berkongsi kuasa.

Ianya bukan seperti mentadbir negeri yang hampir 100 peratus orang Melayu Islam.

Ia bukan seperti mentadbir negeri di mana PAS itu parti yang dominan.

Tetapi kita semua akan menghadapinya juga jika kita berjaya menawan Putrajaya.

Inilah realitinya jika kita berjaya menjadi kerajaan Persekutuan.

Dan pimpinan PAS Selangor terpaksa melaluinya setiap hari.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Oleh itu, bukan untuk PAS Selangor sahaja tetapi untuk PAS keseluruhannya, para Ulamak perlulah sentiasa mengikuti akan perkembangan-perkembangan terkini agar dapat mengeluarkan ulasan dan garispanduan kepada sebarang isu yang timbul.

PAS Selangor bukan mendesak agar dikeluarkan fatwa-fatwa baru tetapi perlu ada garispanduan yang terang dan jelas bagi apa saja isu.

Kita tidak mahu ada di antara kita yang bertindak semata-mata kerana kepentingan politik dan membelakang hukum syarak.

Tetapi kita tidak mahu juga gagal meraih keuntungan politik semata-mata kerana kecetekan ilmu kita.

Benar sekali kata YB Dato' Seri Presiden di dalam ucapan dasar bahawa amatlah diperlukan ulasan-ulasan dari kalangan Ulamak terutamanya yang menyentuh suasana yang semakin hari semakin kompleks.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Seperti yang saya ucapkan tadi, Pakatan Rakyat teguh di Selangor.

Terdapat kerjasama yang akrab di dalam dan di luar kerajaan.

Terdapat persefahaman yang mantap di semua peringkat.

Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor bertemu setiap 2 minggu.

Satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre pada bulan Mei lepas telah menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kepada sokongan rakyat Selangor terhadap Pakatan Rakyat.

Sekiranya kerjasama dan persefahaman sedemikian diteruskan maka Selangor akan kekal berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum yang akan datang.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Walau bagaimanapun untuk menawan Putrajaya memerlukan gerakerja dan usaha yang lebih menyeluruh.

Untuk mendapatkan keyakinan rakyat kita mestilah menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat lebih berupaya dari Barisan Nasional.

PAS dan Pakatan Rakyat mestilah menunjukkan bahawa ia mempunyai pimpinan dan tenaga kerja yang menguasai kepakaran-kepakaran yang relevan untuk menguruskan sebuah negara.

Tidak memadai memainkan retorika-retorika kosong.

Tidak memadai hanya dengan mendedahkan kesilapan dan kesalahan UMNO dan Barisan Nasional sahaja.

Tetapi perlu ada penyelesaian-penyelesaian yang tangible.

Bukan sekadar gula-gula, pemancing undi atau penyelesaian jangka pendek.

Alhamdulillah kita telah ada buku jingga yang merupakan tawaran komprehensif kita.

Tetapi ianya perlulah disusuli dengan menonjolkan pimpinan yang akan memikul tanggung jawab ini.

Kita perlu ada kumpulan pakar yang membayangi setiap kementerian dan bukan beberapa pimpinan sahaja.

Kumpulan pakar yang diketuai oleh pimpinan Parti.

Kumpulan ini akan membayangi sepanjang masa setiap kementerian dan bukan untuk isu-isu tertentu sahaja.

Kumpulan ini juga akan mempersembahkan alternatif-alernatif kita kepada rakyat.

Kumpulan pakar ini perlulah high profile dan berada di hadapan.

Sau cara adalah dengan meluaskan skop kerja Lajnah-Lajnah yang sedia ada.

PAS Selangor yakin jika rakyat jelas dengan perancangan alternatif kita, mereka akan memberi sokongan kepada kita dan menawan Putrajaya bukanlah hanya satu impian.

YB ISKANDAR A. SAMAD
PERWAKILAN PAS KAWASAN PANDAN
MEWAKILI PERWAKILAN-PERWAKILAN PAS NEGERI SELANGOR
4 JUN 2011