Tuesday, June 30, 2009

"ENGLISH @ CHEMPAKA"

-PROGRAM PEMANTAPAN BAHASA INGGERIS UNTUK PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH

-3 KALI SEMINGGU

-HANYA RM30 SEBULAN

-DI PUSAT KHIDMAT PAS PANDAN & ADUN CHEMPAKA, PANDAN INDAH.

-UNTUK MAKLUMAT 0123645634 (RODZI) / 0122462982 (ZAHARAH)

-DAFTARLAH DENGAN SEGERA

-TEMPAT TERHAD

-ANJURAN YB ISKANDAR A. SAMAD

Selangor to revive 38 abandoned projects

SHAH ALAM, June 30 – Thirty-eight abandoned housing and development projects in Selangor will be revived, state Housing, Building Management and Squatter Affairs Committee chairman Iskandar Abdul Samad said today.

He said reviving the abandoned housing projects involving 4,532 units would take 18 to 36 months.

Among the projects are the low-cost apartments involving 402 units and medium-cost apartments (180 units) in Ukay Bistari, Hulu Kelang and 964 units of semi-detached houses and bungalows in Klang and Kuala Langat.

Iskandar had earlier witnessed the signing of an agreement between four original developers and eight contractors who will revive a number of abandoned housing projects in the state.

He said the state government was only acting as facilitator in the effort to revive abandoned projects, while the effort was being undertaken by the task force on abandoned projects and assisted by two consultant companies, Rimbun Capital Sdn Bhd and RSS-PMC Sdn Bhd.

Iskandar said the two consultant companies would evaluate whether an abandoned project could be rehabilitated and they also served as the contact point for the original developers and contractors keen to develop the abandoned projects.

To date, he said, 129 of such projects in the state were not yet completed but this figure was a drop compared to 165 as at Dec 31, 2008 due to interested contractors taking over the stalled projects. – Bernama

(From The Malaysian Insider)

Thursday, June 18, 2009

Bagi komen sikit YB .......

Sejak isu kerajaan perpaduan menjadi hangat, tidak ada pemberita yang meminta ulasan saya tentangnya.

Amat menghairankan kerana selalunya mereka akan menelefon saya apabila ada isu-isu yang panas. Tetapi kali ini tidak ada cerita tentang kerajaan perpaduan. Yang ada bertanya hanya tentang isu-isu perumahan, perancangan atau setinggan.

Atau mungkin saya tidak menjawab telefon sejak beberapa hari yang lepas. Atau mungkin juga pada mereka tidak guna bertanya pandangan tentang kerajaan perpaduan kepada seseorang seperti saya yang sememangnya sudah berada di dalam kerajaan. Lainlah jika saya seorang ADUN di negeri yang dikuasai BN atau ahli Parlimen yang tidak terlibat dengan pentadbiran sesuatu kerajaan. Saya yakin mereka sudah menjangkakan jawapan saya dan ianya bukan sesuatu yang dapat digunakan untuk memecahbelahkan atau sekurang-kurang memburukkan PAS.

Nampaknya ada semacam tiga jenis pendirian atau ulasan yang sedang dimainkan oleh media. Pertama, menyokong. Kedua, menentang. Ketiga pula, menunggu penjelasan Presiden. Tetapi perkara pokoknya, betulkah PAS mahukan sebuah kerajaan perpaduan? Menurut penjelasan Ustaz Nasha, hanya mahu berbincang perkara-perkara tertentu. Bagaimana PAS boleh menyumbang.

Tetapi BN serta jenteranya termasuk media-media arus perdana begitu bijak. Suasana yang wujud sekarang telah diatur oleh mereka langkah demi langkah. Kenyataan oleh Presiden, lawaan oleh Najib, jawapan Ustaz Nasha, tindakbalas oleh Mursyidul Am dan 10 ahli Parlimen PAS menandatangani sokongan kepada beliau, adalah bagai filem skrip Hollywood yang terancang. Mereka mengumpan, kita memakannya.

Bagi yang pernah membaca buku C.C. Too, pakar perang saraf kerajaan Malaysia ketika menentang pengganas komunis, sudah tentu dapat memahami apa yang berlaku sekarang. Kalau belum pernah, sila baca dan anda akan memahami strategi UMNO.

SMS demi SMS telah saya terima. Mengutuk pimpinan ini dan mengutuk pimpinan itu. Bertanya apa pendirian 14 ahli Parlimen yang lain. Mungkin dari SB atau mungkin benar-benar dari ahli. Saya tidak salahkan mereka. Mereka hanya menurut apa orang atas lakukan. Malah yang lebih serius, ada yang membuat pengumuman selepas solat Jumaat supaya para jemaah menyatakan sokongan kepada Presiden atau Mursyidul Am.

Kerja siapa? SB? Biarlah SB dengan kerja-kerja mereka. Jangan kita pula menjadi “nasi tambah”. Api sedang membara. Kita pula yang hendak menyiram minyak. SB mendapat gaji. Kamu mendapat apa?

Betulkah UMNO ikhlas? Kalau kita melihat ulasan media arus perdana, yang mendapat arahan UMNO, kesemuanya menghentam PAS. Kalau UMNO betul-betul ikhlas, kenapa bersungguh-sungguh menghentam PAS? Kenapa bersungguh-sungguh memecahbelahkan PAS?

19 Jun 2009

Wednesday, June 17, 2009

PERANG TERHADAP ALONG : HANYA SATU SANDIWARA!

Sebelum Muktamar, heboh cerita pasal Along. Kononnya polis sedang memburu Along yang merantai mangsa-mangsanya. Ada yang ditangkap, ada yang terlepas.

Cerita Along merantai mangsa bukan perkara baru. Cerita kewujudan "penjara" Along juga bukan satu yang baru. Sudah lama kita mendengar tentang wujudnya "penjara" itu di Pandan Indah. Tetapi kenapa dengan tiba-tiba cerita Along itu hilang begitu sahaja?

Baru satu sahaja kumpulan Along yang diburu. Bagaimana dengan beratus-ratus kumpulan Along yang lain? Apa sebenarnya yang dilakukan pihak polis?

Beribu-ribu poster, kain rentang dan risalah Along ditampal, digantung dan diedar. Mustahil pihak polis tidak dapat mengesan mereka.

SB kita memang hebat. Mas Selamat pun boleh ditangkap. Seorang SB pernah memberitahu dia diarah mengekor saya ke mana-mana.

Oleh itu, kalau mereka berkata susah hendak mengesan Along, rakyat tidak dapat menerima alasan itu. Betul ke susah hendak dikesan atau memang tidak mahu mengesan?

Kezaliman Along ini nampaknya tidak berkesudahan.
Seolah-olah semacam ada konspirasi untuk melindungi mereka. Rakyat akan membuat andaian. Kalau polis tidak bertindak, rakyat akan membuat andaian. Begitu juga jika Along diberi lesen membuka perniagaan, PBT malah Exco PBT akan dituduh melindungi Along.

Tetapi Along terus bermaharaja lela. Rakyat menjadi mangsa. Polis? Rakyat sudah muak dengan alasan demi alasan. Kita takut jika undang-undang dan polis tidak dapat melindungi rakyat maka rakyat tidak akan menghormati undang-undang dan akan bertindak sesuka hati. Sudah ada banyak kes Along dipukul, dibelasah malah dibakar hingga mati.

17 Jun 2009

Monday, June 8, 2009

LAWATAN KE TAPAK KEJADIAN KEJUTAN ELEKTRIK DI KAMPUNG SETINGGAN BAWAH TALIAN ELEKTRIK BERVOLTAN TINGGI, PANDAN JAYA/KG PANDAN.

Lawatan akan diadakan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor seperti berikut,

Tarikh - 9 Jun 2009 (Selasa)
Masa - Mulai jam 3.00 petang
Tempat Berkumpul - Di hadapan Sekolah Kebangsaan Pandan Jaya.

Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau tahap keselamatan kampung tersebut setelah 4 penduduk kampung terbakar terkena kejutan elekytrik. 2 dari mereka sedang koma di HKL.

Selain dari itu, ia juga untuk membincangkan penyelesaian jangkapanjang bagi penduduk.

Turut akan hadir adalah pegawai-pegawai dari MPAJ dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor. MPAJ telah diarah untuk mengemukakan satu perancangan terperinci untuk memindahkan penduduk keluar dalam masa 6 bulan.

Pihak media dijemput hadir.

Saturday, June 6, 2009

Cerita monyet dalam zoo .....

Di dalam perbahasan Muktamar ke 55, terdapat perwakilan yang telah menyentuh tentang pemilihan Pesuruhjaya Negeri-Negeri.

Perlembagaan PAS menetapkan pemilihan adalah budi bicara Presiden. Ada yang mahu ahli-ahli PAS atau lebih tepat lagi ahli-ahli Badan Perhubungan sesuatu negeri menentukan siapa Pesuruhjaya mereka. Saya tidak pasti bagaimana. Adakah akan diadakan undian? Atau mereka hanya akan ditanya pendapat mereka?

Jika undian, maka kita tidak ada lagi Pesuruhjaya kerana Pesuruhjaya adalah wakil Presiden. Oleh itu, perlu ditukar kepada Ketua Perhubungan sepertimana Badan Perhubungan UMNO. Tetapi itu bukan isunya.

Jika diadakan undian maka sudah tentu ada pertandingan. Jika ada pertandingan sudah tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang ada penyokong dan yang kalah juga ada penyokong.

Saya tidak bersetuju dengan satu lagi jawatan yang dipertandingkan. Pertandingan di mesyuarat-mesyuarat agong Kawasan di Selangor baru-baru ini begitu sengit di sesetengah tempat. Sengit sehingga ada yang kalah mengugut untuk membuat bantahan hingga ke Presiden. Ada yang menggunakan akhbar untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Mungkin satu perkara biasa apabila PAS sudah berada di dalam kerajaan walaupun hanya kerajaan campuran.

Calon Pesuruhjaya yang kalah mungkin tidak terasa apa-apa. Tetapi bagaimana dengan penyokong-penyokong beliau? Di dalam keadaan Pesuruhjaya dipilih Presiden, pemimpin tertinggi Parti selepas Mursyidul Am, mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan Presiden telah tidak berdiam diri. Bayangkan apa akan terjadi jika diadakan pemilihan secara terbuka!

Masanya adalah untuk mengukuhkan perpaduan Parti. Lebih-lebih lagi apabila kita berada di dalam Pakatan Rakyat dan lebih penting lagi kita berada di dalam kerajaan bersama-sama rakan-rakan Pakatan yang lain.

Untuk mendapatkan "respect", PAS perlu kuat, PAS perlu bersatu padu dan bukan berpecah belah, berpuak-puak serta lemah. Tanpa "respect", keberkesanan wakil-wakil PAS di dalam kerajaan hanyalah satu impian. Mungkin mereka yang tidak berada di dalam kerajaan tidak akan memahami.

Sebagai wakil PAS di dalam kerajaan, saya mengharapkan Muktamar tahun ini membincangkan dengan panjang lebar pengalaman kita menerajui kerajaan atau menjadi rakan kongsi kerajaan di negeri-negeri yang lain.

Sebagai negeri yang mempertahankan kemenangan, saya mengharapkan Muktamar tahun ini juga membahaskan dengan terperinci strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan PAS selain dari menambah kerusi-kerusi kita.

Tetapi nampaknya, isu bertemu dengan UMNO menjadi isu yang paling lantang diperbahaskan. Media telah mengulangnya berkali-kali ungkapan-ungkapan seperti "Kerajaan Perpaduan" sehingga ada yang mempercayai ianya akan berlaku esok lusa. Adakah terdapat satu konspirasi untuk mengganggu tumpuan para perwakilan terhadap tugas mereka yang sebenar?


Berbulan sebelum Muktamar, seolah-olah terdapat satu perancangan untuk mencartakan perjalanan Muktamar kita. Setiap hari, televisyen dan akhbar seolah-olah sepakat membangkitkan isu yang sama sehingga yang paling bijak di antara kita turut mempercayai kewujudannya. Maka tidak hairanlah akhirnya perjalanan dan rentak Muktamar tahun ini adalah menurut aturan yang dirancang oleh mereka. Ucapan-ucapan seolah-olah telah diatur oleh mereka.

Musuh-musuh mahu PAS lemah. Musuh-musuh mahu Pakatan berpecah. Mereka wujudkan isu. Mereka umpankan kita dengan isu. Kerajaan perpaduan dan mungkin perlantikan Pesuruhjaya. Tetapi malang sekali bagai monyet di zoo yang menyambar pisang apabila dibaling, kita menyambar umpan musuh. Kemudian mereka meniup serunai, kita pun menari bagai ular tedung.

Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang sebarang pertemuan PAS dengan UMNO yang nazak itu tetapi ramai yang tidak tahu pemimpin-pemimpin rakan Pakatan di dalam kerajaan juga ada bertemu dengan korporat-korporat BN. Bukan sekadar korporat-korporat tetapi proksi tuan-tuan politik (political masters) mereka. Bukan sekadar bertemu tetapi bersungguh-sungguh untuk membantu mereka. Membincangkan kepentingan bersama. Ianya satu rahsia yang terbuka. Bukan orang-orang politik sahaja yang tahu, pemandu-pemandu orang politik pun tahu. Tetapi tidak pula ia dijadikan isu. Tidak pula dikatakan akan memecah belahkan Pakatan Rakyat. Tidak pula dikatakan mengkhianati mandat pengundi. Kita sahaja yang terkinja-kinja bagai beruk terkena belacan ........

Stadium Malawati
Shah Alam
7 Jun 2009


TERIMA KASIH PARA PERWAKILAN .......

Bagi pihak Jawatankuasa Panitia Muktamar Ke 55 saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama para perwakilan.

Kami telah melakukan persiapan yang rapi dan terperinci untuk memastikan kejayaan Muktamar tahun ini dan berharap ia akan dapat meninggalkan kenangan manis kepada perwakilan sekelian.

Kami juga memohon maaf kepada para pimpinan, perwakilan, pemerhati, pengunjung dan peniaga sekiranya terdapat sebarang silap dan salah yang dilakukan oleh kami.

Untuk Muktamar tahun ini, 15 jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan selain dari jawatankuasa induk. Keseluruhannya lebih 100 orang telah terlibat di dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah bermula sejak bulan Mac lagi.

Untuk mengendalikan Muktamar yang ke 55 ini, telah dikerahkan lebih 100 petugas keselamatan, 400 anggota Unit Amal, 60 petugas dewan atau Bentara, 60 petugas protokol, 60 petugas pemilihan serta petugas-petugas lain untuk jamuan, persegaran, gerai, penerangan, media dan lain-lain lagi.

Kami telah berusaha untuk menjadikan Muktamar kali ini bertaraf dunia atau 'world class'. Sesuai dengan PAS yang telah mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia tetapi telah turut menarik tumpuan masyarakat antarabangsa.

Beberapa pendekatan baru telah kami lakukan sesuai dengan suasana masyarakat dan teknologi yang telah beredar jauh dari ketika PAS mula ditubuhkan 58 tahun yang lalu.

Selain dari ceramah umum yang sering diadakan setiap tahun, beberapa aturcara-aturcara telah diadakan untuk menarik masyarakat kepada Muktamar tahun ini. Forum perdana dan pertunjukan kesenian Islam merupakan di antara acara yang telah berjaya menarik orang ramai.

Iskandar Abdul Samad
Pengarah
Jawatankuasa Panitia Muktamar Ke 55
Shah Alam
7 Jun 2009

Thursday, June 4, 2009

TRAGEDI SETINGGAN PANDAN JAYA : MPAJ PERLU PINDAHKAN PENDUDUK DALAM MASA 6 BULAN

Saya berharap keluarga mangsa-mangsa kejutan elektrik dari sebuah kampung setinggan di Pandan Jaya dapat bersabar.

Dalam kejadian 3 Jun 2009 jam 6.30 petang, dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak telah cedera parah akibat kejutan elektrik. Kampung mereka terletak di bawah talian elektrik bervoltan tinggi.

Saya telah melawat mangsa kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur malam tadi. Seorang dari mereka terbakar sehingga 100% manakala seorang lagi 30%. Dua lagi mangsa dewasa berada di HUKM di mana seorang dari mereka juga terbakar 100%.

Kejadian semalam memang tidak disangka-sangka. Ketika itu kanak-kanak tersebut sedang bermain basikal di bawah talian elektrik itu. Menurut penduduk tempatan, dengan tiba-tiba mereka disambar arus elektrik yang juga telah membakar kawasan di sekeliling mereka.

Sebagai ADUN mereka, saya akan cuba membantu mangsa-mangsa tetapi satu penyelesaian jangkapanjang perlu dicari untuk penduduk setinggan yang tinggal di bawah talian elektrik itu. Telah terbukti bahawa nyawa mereka berada dalam bahaya. Semalam 4 orang penduduk telah menjadi mangsa. Mungkin lebih ramai akan juga tidak bernasib baik di masa akan datang.

Oleh itu sesuai dengan polisi Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kediaman yang sempurna untuk rakyatnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan diarah mengemukan satu pelan bertindak untuk memindahkan penduduk dalam masa 6 bulan.

Penduduk akan ditawarkan untuk membeli rumah kos rendah dengan harga RM42,000. Mereka juga akan dibayar untuk kos perpindahan. Sementara mereka yang tidak mampu akan dicarikan 'council homes' untuk disewa. Mereka yang telah memiliki rumah kos rendah perlu berpindah keluar.

Diharap usaha-usaha ini akan dapat memastikan penduduk dapat hidup di dalam persekitaran yang lebih selesa.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor
4 Jun 2009

Wednesday, June 3, 2009

PEMANSUHAN YURAN PENDAFTARAN RM50 PENIAGA PASAR MALAM MPAJ

Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Dato' Menteri Selangor yang bersetuju kos mengambil alih pasar-pasar malam MPAJ akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Ini bermakna pengurus-pengurus pasar malam yang baru tidak perlu memungut yuran pendaftaran RM50 dari para peniaga.

Sebelum ini para peniaga telah mengadu menghadapi masalah untuk membayar yuran pendaftaran ini. Perkara ini telah dibangkitkan semasa mesyuarat Exco hari ini dan keputusan telah diambil untuk memansuhkan yuran RM50 ini. Keputusan ini menguntungkan semua pihak sama ada peniaga atau pengurus pasar malam.

Kebanyakan pengurus-pengurus pasar malam yang baru terdiri dari jawatankuasa penduduk atau JKP yang baru dibentuk dan tidak mempunyai modal. Semasa pemerintahan BN, kebanyakan pasar-pasar malam dikendalikan oleh cawangan-cawangan parti komponen BN yang mempunyai modal yang banyak.

Saya berharap keputusan Exco hari ini akan mewujudkan situasi menang-menang atau 'win-win' bagi semua.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor /
ADUN Chempaka
3 Jun 2009

Tuesday, June 2, 2009

KONSPIRASI TERHADAP EXCO-EXCO PAS : SAYA BELUM NAMPAK LAGI SEBARANG BUKTI!

Saya belum lagi nampak sebarang bukti bahawa terdapat satu konspirasi untuk mengagalkan Exco-Exco PAS di Negeri Selangor. Walaupun terdapat khabar-khabar angin tetapi saya belum lagi nampak sebarang bukti-bukti yang kukuh.

Memang terdapat perancangan-perancangan yang gagal dilaksanakan dengan lancar tetapi ini mungkin akibat dari prosedur kerja yang lapuk dan usang yang masih digunapakai.

Perkara ini dan struktur pentadbiran kerajaan negeri pernah dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas oleh beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat. Mereka mahu Exco bukan hanya menjadi Pengerusi Tetap sesuatu portfolio yang bermesyuarat dari ke semasa tetapi mereka mahu Exco-Exco diperuntukkan kakitangan-kakitangan kerajaan khusus di pejabat mereka. Buat masa ini, setiap Exco hanya diperuntukkan seorang setiausaha kerja dan seorang kerani untuk mentadbir seluruh negeri Selangor!

Yang membantu perancangan dan perlaksanaan Exco-Exco adalah jabatan-jabatan kerajaan yang terpaksa dikongsi bersama-sama Exco-Exco lain. Jabatan-jabatan ini pula mempunyai pengarah masing-masing dan di dalam sistem sekarang kadang-kala seorang kerani kelihatan lebih berkuasa dari Exco-Exco.

Sistem yang tidak efisien ini yang telah dibahaskan oleh ADUN-ADUN itu dan cadangan mereka telah mendapat perhatian Dato' Menteri Besar pada sidang Dewan Undangan Negeri tersebut yang berjanji akan mengkajinya.

Berbalik kepada teori konspirasi, saya tidak fikir ia benar tetapi sekurang-kurangnya ia akan membuat mereka yang terlibat sentiasa berwaspada. Mungkin ianya juga akan disentuh oleh para perwakilan pada Muktamar PAS hujung minggu ini yang tentunya akan membahaskan keberkesanan Exco-Exco PAS di dalam kerajaan.

4 Jun 2009