Skip to main content

Cerita monyet dalam zoo .....

Di dalam perbahasan Muktamar ke 55, terdapat perwakilan yang telah menyentuh tentang pemilihan Pesuruhjaya Negeri-Negeri.

Perlembagaan PAS menetapkan pemilihan adalah budi bicara Presiden. Ada yang mahu ahli-ahli PAS atau lebih tepat lagi ahli-ahli Badan Perhubungan sesuatu negeri menentukan siapa Pesuruhjaya mereka. Saya tidak pasti bagaimana. Adakah akan diadakan undian? Atau mereka hanya akan ditanya pendapat mereka?

Jika undian, maka kita tidak ada lagi Pesuruhjaya kerana Pesuruhjaya adalah wakil Presiden. Oleh itu, perlu ditukar kepada Ketua Perhubungan sepertimana Badan Perhubungan UMNO. Tetapi itu bukan isunya.

Jika diadakan undian maka sudah tentu ada pertandingan. Jika ada pertandingan sudah tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang ada penyokong dan yang kalah juga ada penyokong.

Saya tidak bersetuju dengan satu lagi jawatan yang dipertandingkan. Pertandingan di mesyuarat-mesyuarat agong Kawasan di Selangor baru-baru ini begitu sengit di sesetengah tempat. Sengit sehingga ada yang kalah mengugut untuk membuat bantahan hingga ke Presiden. Ada yang menggunakan akhbar untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Mungkin satu perkara biasa apabila PAS sudah berada di dalam kerajaan walaupun hanya kerajaan campuran.

Calon Pesuruhjaya yang kalah mungkin tidak terasa apa-apa. Tetapi bagaimana dengan penyokong-penyokong beliau? Di dalam keadaan Pesuruhjaya dipilih Presiden, pemimpin tertinggi Parti selepas Mursyidul Am, mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan Presiden telah tidak berdiam diri. Bayangkan apa akan terjadi jika diadakan pemilihan secara terbuka!

Masanya adalah untuk mengukuhkan perpaduan Parti. Lebih-lebih lagi apabila kita berada di dalam Pakatan Rakyat dan lebih penting lagi kita berada di dalam kerajaan bersama-sama rakan-rakan Pakatan yang lain.

Untuk mendapatkan "respect", PAS perlu kuat, PAS perlu bersatu padu dan bukan berpecah belah, berpuak-puak serta lemah. Tanpa "respect", keberkesanan wakil-wakil PAS di dalam kerajaan hanyalah satu impian. Mungkin mereka yang tidak berada di dalam kerajaan tidak akan memahami.

Sebagai wakil PAS di dalam kerajaan, saya mengharapkan Muktamar tahun ini membincangkan dengan panjang lebar pengalaman kita menerajui kerajaan atau menjadi rakan kongsi kerajaan di negeri-negeri yang lain.

Sebagai negeri yang mempertahankan kemenangan, saya mengharapkan Muktamar tahun ini juga membahaskan dengan terperinci strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan PAS selain dari menambah kerusi-kerusi kita.

Tetapi nampaknya, isu bertemu dengan UMNO menjadi isu yang paling lantang diperbahaskan. Media telah mengulangnya berkali-kali ungkapan-ungkapan seperti "Kerajaan Perpaduan" sehingga ada yang mempercayai ianya akan berlaku esok lusa. Adakah terdapat satu konspirasi untuk mengganggu tumpuan para perwakilan terhadap tugas mereka yang sebenar?


Berbulan sebelum Muktamar, seolah-olah terdapat satu perancangan untuk mencartakan perjalanan Muktamar kita. Setiap hari, televisyen dan akhbar seolah-olah sepakat membangkitkan isu yang sama sehingga yang paling bijak di antara kita turut mempercayai kewujudannya. Maka tidak hairanlah akhirnya perjalanan dan rentak Muktamar tahun ini adalah menurut aturan yang dirancang oleh mereka. Ucapan-ucapan seolah-olah telah diatur oleh mereka.

Musuh-musuh mahu PAS lemah. Musuh-musuh mahu Pakatan berpecah. Mereka wujudkan isu. Mereka umpankan kita dengan isu. Kerajaan perpaduan dan mungkin perlantikan Pesuruhjaya. Tetapi malang sekali bagai monyet di zoo yang menyambar pisang apabila dibaling, kita menyambar umpan musuh. Kemudian mereka meniup serunai, kita pun menari bagai ular tedung.

Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang sebarang pertemuan PAS dengan UMNO yang nazak itu tetapi ramai yang tidak tahu pemimpin-pemimpin rakan Pakatan di dalam kerajaan juga ada bertemu dengan korporat-korporat BN. Bukan sekadar korporat-korporat tetapi proksi tuan-tuan politik (political masters) mereka. Bukan sekadar bertemu tetapi bersungguh-sungguh untuk membantu mereka. Membincangkan kepentingan bersama. Ianya satu rahsia yang terbuka. Bukan orang-orang politik sahaja yang tahu, pemandu-pemandu orang politik pun tahu. Tetapi tidak pula ia dijadikan isu. Tidak pula dikatakan akan memecah belahkan Pakatan Rakyat. Tidak pula dikatakan mengkhianati mandat pengundi. Kita sahaja yang terkinja-kinja bagai beruk terkena belacan ........

Stadium Malawati
Shah Alam
7 Jun 2009


Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...