Monday, March 30, 2009

SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 4

28 Februari adalah hari jadi saya. Dalam tahun 2008 ianya jatuh di dalam tempoh kempen pilihan raya. Ini dilihat sebagai satu peluang kepada PAS untuk mempromosikan calonnya. Secara kebetulan pula, 28 Februari 2008 adalah hari Khamis, hari pasar malam di Pandan Indah yang berada di dalam DUN Chempaka. Kami telah mengadakan majlis menyambut hari ulang tahun itu di pasar malam tersebut.

Pada mulanya, petugas-petugas Muslimat menyediakan meja di atas padang lebih kurang 50 meter dari tapak pasar malam. Apabila saya tiba, saya mengarahkan meja itu dipindahkan di tengah-tengah pasar malam. Kita perlu bersama rakyat, kita tidak boleh lagi menjadi yang eksklusif untuk kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Wartawan telah turun tetapi secara keseluruhan para peniaga nampak takut-takut untuk memberi sokongan. Bukan tidak menyokong tetapi agak berhati-hati. Mungkin mereka masih takut kepada "spy-spy" Umno yang berkeliaran.

Tentang kerjasama dengan DAP, mungkin tidak begitu ketara disedari oleh rakyat. Sebelum pilihanraya, PAS dan DAP sering mengadakan program bersama di Pandan seperti pelancaran BERSIH peringkat Pandan bersama PKR. Mungkin DAP turut berhati-hati kerana takut kehilangan undi Cina jika dilihat berkawan dengan PAS. Tetapi satu ceramah umum besar-besaran telah diadakan di dalam DUN Teratai yang dihadiri oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim serta saya dan Jenice.

Kebanyakan ceramah-ceramah PAS adalah secara kecil-kecilan tetapi berterusan. Setiap malam sekurang-kurangnya satu ceramah, kadang-kadang dua, ada yang tiga.

Dalam tahun 2004, ada ceramah kita di ceruk-ceruk kerana di situ sahaja ada tuan rumah yang sudi. Atau ceramah terpaksa dibatalkan kerana tidak ada tuan rumah yang memberi kebenaran. Kali ini kami ceramah di mana sahaja. Di mana ada orang, di situ ada ceramah. Ceramah "hit and run" kami ini mendapat perhatian rakyat walaupun berlaku pergeseran di antara kami dan pihak Polis. Tetapi kami tidak peduli, kami berceramah di atas lori, di bawah khemah, di pasar malam dan di mana sahaja yang kami suka.

Hari pembuangan berjalan seperti biasa. Ia merupakan hari pembuangan undi ketiga bagi saya sebagai calon selepas 1999 dan 2004. Orang kata "third time lucky", hanya Allah sahaja yang tahu.

Hari tersebut berjalan begitu pantas. Salam, senyum, ketawa dan sembang seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya cuba melawat sebanyak mungkin tempat mengundi sebelum zuhur. Saya telah solat zuhur di Surau Al-Hilal, Pandan Jaya dan selepas itu meneruskan lawatan. Tanpa disedari sudah jam 5 petang. Oleh kerana hujan lebat, saya tidak balik ke bilik gerakan di Jalan H, Kg. Pandan tetapi pulang ke rumah.

Lebih kurang jam 6 petang, Zamri Safaie telah menelefon saya kerana ada masalah di Sekolah Menengah Pandan Indah. Beberapa buah kereta cuba masuk ke sekolah itu dengan alasan untuk membawa masuk makanan untuk petugas-petugas SPR. Petugas-petugas kita menahannya. Berlaku pertengkaran dan Ketua UMNO Pandan Indah cuba masuk campur. Apabila saya tiba di sekolah, keadaan telah reda, hanya beberapa petugas PAS di pintu masuk.

Saya pun balik semula ke rumah dan keadaan basah kuyup kerana hujan begitu lebat. Ketika sampai di tepi Dewan MPAJ, saya mendapat panggilan bahawa kami telah menang beberapa saluran di Pandan Indah. Alhamdulillah, seperti yang diharapkan jika kita hendak menang. Kemudian saya mendapat panggilan lagi, kami kalah di Angsana Hilir. Tidak mengapa, kerana kami tidak mengharapkan kemenangan di situ.

Oleh kerana nampaknya satu demi satu keputusan diperolehi, setiba di rumah saya terus ke bilik gerakan setelah menukar baju.

Di sana satu demi satu Counting-Counting Agent membawa balik borang 14 yang mencatatkan keputusan bagi sesuatu saluran.
Ada yang menang dan ada yang kalah. Tetapi sebelum Maghrib, kami telah merasai bahawa Chempaka akan dapat dirampas.

Setelah solat Maghrib, keputusan-keputusan yang kami terima menunjukkan bahawa kami akan menang. Tetapi ada satu masalah.

Counting Agent bagi Pandan Mewah tidak membawa balik borang 14 yang ditanda tangani oleh Ketua Tempat Mengundi atau KTM. Borang itu dihantar ke bilik gerakan oleh petugas-petugas Muslimat. Mereka telah dimarahi Abdul Jalil Hasan, Pengarah JPrK, sehingga pucat lesi. Akhirnya mereka telah diarah pergi ke pusat penjumlahan undi, Dewan MPAJ, untuk mendapatkan tanda tangan KTM. Mereka berjaya.

Sambil menunggu solat Isyak, ramai yang menunaikan solat hajat. Selepas solat Isyak, kami mengambil keputusan untuk bergerak ke Dewan MPAJ. Saya tidak ingat sama ada berkesempatan untuk menyemak internet atau tidak tetapi ada mendengar seorang sahabat berkata menurut internet Samy Vellu telah kalah di Sg. Siput. Saya sempat menelefon Qasim Abdul Aziz dan beliau berkata beliau telah menang di Lembah Jaya. Saya juga mendapat panggilan telefon yang mengatakan menurut internet saya telah menang.

Kami memang menjangka menang di daerah-daerah mengundi Cina tetapi kami juga menang di daerah-daerah mengundi Melayu di taman-taman. Taman Chempaka, Taman Nirwana, Tamang Dagang dan kawasan Melayu Pandan Indah yang menjadi kubu kuat UMNO dimenangi PAS. Jadi tidak benar kemenangan di Chempaka akibat 100 peratus undi orang Cina. Terdapat juga hayunan yang besar di kalangan orang Melayu di taman-taman.

Saya tiba di Dewan MPAJ lebih kurang jam 10 malam. Secara kebetulan Jenice juga tiba ketika itu. Wartawan yang hadir mahu saya bersalaman dengan Jenice untuk satu "pose". Tetapi saya dan Jenice hanya menunjuk tanda "bagus" untuk "pose" itu.

Di dalam dewan akhirnya saya yakin kami telah menang. Tidak ada wakil-wakil dari UMNO. Begitu juga dengan Gerakan. Hanya dari PAS, DAP, PKR dan MCA yang hadir. Kedua-dua calon Parlimen, Dato' Ong Tee Keat dan Syed Shahir turut hadir. Masih belum jelas kepada kami siapa yang menang. Kami tidak ada maklumat keputusan bagi saluran-saluran kerusi Parlimen.

Pegawai-pegawai SPR yang terdiri pegawai-pegawai MPAJ kelihatan sugul dan agak kebingungan. Mungkin kerana mereka tahu BN telah kalah.

Satu demi satu keputusan diumumkan. Penyokong PAS, PKR dan DAP bersorak apabila calon-calon kami menang. SPR menegur kami supaya tidak membuat bising tetapi kegembiraan kami tidak dapat di tahan-tahan.

Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP dan PKR sekitar jam 12 tengah malam. Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon mengumumkan di kaca TV bahawa Gerakan dan BN telah kalah. Setiausaha Agong DAP turut membuat pengumuman DAP akan bekerjasama dengan PKR untuk membentuk kerajaan. Tetapi tiada berita tentang Selangor.

Kami di dewan tidak berapa pasti sama ada Selangor telah turut jatuh atau tidak. Seorang petugas DAP telah bersalaman dengan saya selepas tengah malam sambil berkata, "Congratulation, you are the new Exco for Selangor". Tetapi keputusan resmi belum diumumkan

Saya tidak faham kenapa sehingga jam 4.00 pagi, keputusan resmi masih belum diumumkan. Bukan susah hendak menjumlahkan tidak sampai 50 saluran mengundi. Ceritanya SPR menunggu pengesahan dari SPR Negeri Selangor. Tetapi sampai jam 4.00 pagi?

Mungkinkah BN merancang sesuatu? Mageran? Membawa lari fail-fail sulit? Provokasi? Memikirkan semua itu, saya telah SMS kepada AJK agar memastikan ahli-ahli dan penyokong-penyokong tidak keluar meraikan kemenangan. Bertenang dulu. Jenice turut memberi arahan yang sama kepada ahli-ahli DAP.

Lebih kurang jam 4.30 pagi, pengumuman di buat oleh RO. Saya, Jenice dan Dato' Ong telah diisytiharkan menang.

Setelah bersalaman saya pun berjalan balik ke rumah. Tidak ramai penyokong yang tinggal. Kurang dari 100 orang dan kami telah terlampau mengantuk.

30 Mac 2009

Thursday, March 19, 2009

PRESMA DAN PRIMAS TIDAK PATRIOTIK

Ugutan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) untuk menaikkan harga teh tarik dan roti canai jika kerajan Persekutuan bertegas menaikkan levi pekerja asing adalah satu tindakan yang tidak patrotik.

Ketika begitu ramai rakyat Malaysia diberhentikan kerja, mereka tetap mahu mengambil pekerja asing maka kesetiaan mereka kepada negara ini boleh dipertikaikan.

Saya kerap didatangi oleh mereka yang menghadapi masalah kewangan kerana telah gagal mencari pekerjaan.

Pada hari Khamis lepa , seorang bapa dari Kg. Pandan telah datang ke rumah saya kerana hendak meminjam wang untuk membeli susu untuk anaknya. Saya tahu beliau sudah beberapa bulan cuba mencari kerja tetapi gagal.

Sebelum itu seorang ibu tunggal berbangsa India dari Pandan Indah telah datang berjumpa saya kerana masalah kewangan. Kerana tidak dapat mencari pekerjaan, beliau terpaksa membasuh kain di rumah-rumah orang dengan pendapatan kurang dari RM200 sebulan. Beliau juga terpaksa menanggung adiknya yang merupakan seorang OKU.

Saya tidak hairan kedua-kedua mereka gagal mendapatkan pekerjaan. Apabila saya pergi ke restoran Mamak, yang melayan saya adalah pekerja dari India. Apabila saya pergi membasuh kereta, yang membasuhnya adalah pekerja dari Nepal atau Bangladesh.

Alasan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja tidak boleh diterima lagi. Kenapa penduduk tempatan tidak mahu bekerja adalah kerana sikap tamak pemilik restoran yang menawarkan gaji yang terlalu rendah. Terlalu rendah sehingga susah bagi sesiapa untuk menampung diri atau keluarga mereka. Tetapi gaji ini mungkin cukup untuk pekerja asing yang menampung keluarga di negara asal di mana kos sara hidupnya lebih rendah.

Di negara-negara lain seperti di Eropah, jika rakyat tempatan menganggur maka majikan-majikan tidak akan berani mengambil pekerja-pekerja asing. Tetapi di Malaysia, kita telah sekian lama diperbodohkan. Sudah sampai masanya pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) menetapkan kuota untuk pekerja-pekerja asing sebelum meluluskan lesen premis perniagaan. Kontrak-kontrak PBT seperti pembersihan dan mengangkat sampah perlu juga menetapkan kuota pekerja asing untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Iskandar Abdul Samad
ADUN Chempaka / Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor
19 Mac 2009

Saturday, March 14, 2009

SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 3

Semua orang terkejut apabila SPR mengumumkan tempoh berkempen lebih panjang untuk 2008. Pada tahun 2004 dan 1999, ianya sekitar satu minggu tetapi kali ini hampir 2 minggu.

Tempoh kempen yang lebih panjang ini telah memberi masa yang secukupnya kepada kami untuk menyampaikan mesej kami kepada pengundi.

Kenyataan Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo juga membantu kami. Beliau membuat kenyataan bahawa terdapat 8 kerusi DUN yang BN akan menghadapi masalah di Selangor. Chempaka dan Teratai adalah di antara. Ini menaikkan semangat kami dan membuat petugas-petugas bekerja dengan lebih keras.

Sebelum ini, kita mungkin memasuki pilihanraya sekadar untuk memberi tentangan yang sengit tetapi kali ini kami bekerja untuk merampas kerusi.

Kepada pengundi pula, kenyataan Dr. Khir adalah pengakuan bahawa UMNO tidaklah sekuat dulu. Ia boleh dikalahkan dan dengan itu mendorong mereka untuk mencuba pilihan yang baru.

Sebenarnya saya telah memberitahu isteri saya sebelum penamaan calon bahawa kita akan menang di Chempaka. Isteri saya pula berkata kalau kalah jangan sampai lari keliling kampung seperti Pak Pandir yang kalah bersabung ayam.

Tetapi UMNO memang menghadapi masalah di Cempaka. Pencalonan Norshimah sebagai calon menggantikan Dato' Mad Aris tidak diterima oleh kebanyakan ahli-ahli UMNO.

Saya tidak nampak jentera UMNO bergerak seperti tahun 2004. Diberitakan jentera Bahagian dan Puteri tidak turun membantu Norshimah.

Saya juga menberitahu isteri saya kita akan menang dengan sokongan pengundi Cina. Saya tidak nampak sebarang pergerakan di kalangan pengundi Melayu. Tetapi sesuatu sedang berlaku di kalangan pengundi Cina dan India. Seolah-olah seperti gunung berapi yang sedang menggelegak dan boleh meletup bila-bila masa.

Saya memberitahu sahabat-sahabat bahawa kita hanya perlu menang di saluran-saluran di Pandan Jaya dan Pandan Indah dan kita akan menang. Saya merasakan undi di daerah-daerah mengundi Cina akan memenangkan kita.

Maka apabila saya diberitahu poster-poster belum dipasang bagi sebuah daerah mengundi 99 peratus Cina, Kg. Baru Ampang, walaupun 7 hari selepas hari penamaan calon, saya bersama isteri dan petugas-petugas telah memasang poster.

Berbalik kepada imej yang positif dan strategi yang efektif, sama ada betul atau tidak, fokus kempen adalah mempromosi calon dan keupayaan beliau melakukan perubahan untuk Chempaka. Tema kempen adalah "Ke arah Chempaka yang mekar" atau "Towards a blooming Chempaka".

Sama ada ini betul atau tidak, ia boleh dibahaskan tetapi DAP di Teratai juga menonjolkan Jenice lebih dari DAP itu sendiri.

Kelebihan strategi ini ialah jika imej parti terjejas akibat dari perkembangan di peringkat nasional, imej calon tidak akan terjejas. Contohnya bagi PAS, dalam tahun 2004 apabila Presiden PAS membuat kenyataan bahawa Lim Kit Siang dan K. Karpal adalah "expired pills", menurut satu kajian kesannya adalah kepada calon-calon PAS yang bertanding.

Poster dan kain rentang PAS di Chempaka juga lain dari yang lain. Ianya berbeza dari poster dan kain rentang calon-calon PAS lain di Selangor. Malah ada yang bertanya, ini calon PAS ke? Ia membawa membawa imej Chempaka yang tersendiri.

Saya difahamkan foto-foto Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk kempen-kempen 2008 diambil di Turki. Dikatakan beliau mempunyai penasihat-penasihat dari AK Parti, Turki untuk kempen tersebut.

Memang kami di Chempaka pun ada merujuk kepada internet untuk cara-cara AK Parti berkempen. Parti yang menggunakan mentol lampu sebagai simbol merancang untuk segala-galanya. Dari payung kepada sampul surat. Semua bahan kempen berdasarkan satu konsep.

Tetapi saya lebih banyak merujuk kepada strategi New Labour ketika memenangi pilihanraya umum 1997 untuk Chempaka.

Kami telah melantik Haji Meor Rithuan sebagai Pengarah Komunikasi. Apabila saya mencadangkan jawatan itu diwujudkan, ramai AJK yang terpinga-pinga. Apa tugasnya?

Tugas beliau adalah untuk mengendalikan media. Beliau perlu menjadi "spin doctor" kami. Beliau perlu menjadi seperti Alistair Campbell untuk New Labour.

PAS agak lemah apabila mengendalikan media. Saya melihat ramai ahli-ahli kita yang bersikap "confrontational" dengan media. Pada beberapa program yang kami anjurkan di Pandan sebelum pilihanraya, kita ada menjemput media. Cara ahli-ahli kita berhadapan dengan mereka amat mengecewakan.

Ada yang terus memarahi mereka, mahukan pendirian mereka. Ada yang bersyarah panjang lebar seperti ceramah umum. Para wartawan tidak mahu semua itu. Mereka ada tugas, mereka hanya mahu menyempurnakan tugas mereka dan balik ke pejabat. Saya tahu sebab Allahyarham ayah saya juga seorang wartawan.

"Spin doctor" seperti Campbell selalunya akan menghasilkan ungkapan-ungkapan menarik untuk Blair yang akan menjadi "highlight" sesuatu berita. Jika ianya digunakan untuk televisyen atau radio, ianya dinamakan "sound bites". Perancangan saya, Haji Meor dan kemudiannya dibantu oleh Rodzi Man akan menjadi penghubung kita dengan media.

Kami telah menjemput Harakah untuk memberi tunjuk ajar tetapi mereka lebih berminat mengajar kami nahu Bahasa Melayu dari bagaimana melakukan "spin" untuk sesuatu berita.

Sinar Harian banyak membantu kerana menyiarkan begitu banyak berita kami sebelum pilihanraya. Malah lebih banyak dari berita-berita BN Pandan.

Mengenai strategi yang efektif, kita juga menggunakan SMS. Ribuan dihantar kepada pengundi. Kami telah melanggan khidmat ini yang agak tinggi kosnya tetapi saya yakin berbaloi.

Pada mulanya saya mencadangkan kita menyewa satu bas untuk tempoh kempen. Ianya akan ditampal dengan poster-poster dan akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti pasar malam, surau atau tempat-tempat tumpuan orang ramai yang lain. Ceramah akan diadakan di tempat itu. Risalah dan "goodies" seperti gula-gula atau belon akan diedarkan juga seperti kempen untuk memilih Presiden Amerika Syarikat.

Tetapi rancangan ini terpaksa dibatalkan kerana kos menyewa bas yang tinggi. Yang kami mampu hanya mengedar belon dengan lambang PAS kepada kanak-kanak.

Friday, March 13, 2009

Ucapan Penggulungan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan 13 Mac 2009.

Tuan Speaker dan Yang Berhormat-Yang Behormat sekelian,

Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyatakan hasrat Baginda agar perumahan kos rendah di bandar seharusnya diberi perhatian yang lebih teliti.

Hasrat ini difahami oleh ahli-ahli Yang Berhormat sekelian dan telah banyak kali disentuh.
Terutamanya perumahan bertingkat yang melibatkan perumahan rakyat dan rumah kos rendah telah terkandung di dalam ucapan-ucapan Yang Berhormat.

AKTA YANG BARU

Ramai penduduk tidak menyedari bahawa akhirnya pengurusan kediaman-kediaman mereka adalah tanggung jawab penduduk menerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Ini tidak mengejutkan kerana akta yang berkaitan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 atau Akta 663.

Pihak yang bertanggung jawab mentadbir dan menguatkuasa Akta ini, Pesuruhjaya Bangunan atau COB juga masih barudi dalam tugas-tugas mereka.

COB sekarang adalah Dato’-Dato’ Bandar dan Yang Dipertua-Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT).

MEMPERKASAKAN COB

Ada beberapa langkah yang perlu diambil unutk mengatasi masalah yang timbul dari perumahan bertingkat.

Pertama untuk menguatkan atau memperkasakan COB.
Oleh itu, saya bersetuju dengan cadangan YB Subang Jaya.

Sehubungan itu, mesyuarat Exco telah mengarahkan agar satu kajian dijalankan untuk menubuhkan sebuah Jabatan COB di setiap PBT yang mungkin kenali sebagai Jabatan Pengurusan Bangunan Dan Harta Bersama.

Walau bagaimana ia memerlukan sedikit masa kerana melibatkan perjawatan, perlantikan dan bajet PBT-PBT.
Dijangkakan kajian ini akan siap pada pertengahan bulan Mei dan sasaran penubuhan jabatan itu adalah pada awal bulan Januari tahun hadapan.

Sementara itu, setiap COB diminta menyatakan keperluan kakitangan mereka supaya dapat dilakukan pergerakan kakitangan dalaman untuk mengukuhkan COB-COB.

Setakat ini terdapat 29 orang pegawai-pegawai baru di PBT-PBT untuk menjalankan tugas-tugas COB.

Selain dari itu mesyuarat Exco telah meluluskan perlantikan Petugas-Petugas Khas Akta 663 untuk membantu kerja-kerja COB di PBT.

Seramai 12 petugas yang dibayar gaji akan membantu COB untuk tempoh 6 bulan.

Petugas-petugas ini akan diberikan kursus pada bulan April ini sebelum menjalankan tugas mereka.

Kursus-kursus juga kerap diberikan kepada pegawai-pegawai COB agar menjadi lebih efektif di dalam menyelesaikan masalah rakyat.

PENAMBAHBAIKAN AKTA 663

Langkah kedua adalah penambahbaikan kepada Akta 663 itu sendiri.

Akta ini mempunyai sekurang-kurangnya 37 kelemahan.

Walau bagaimanapun meminda akta hanya boleh dibuat di Parlimen.
Cara yang lebih mudah adalah dengan mewujudkan garispanduan-garispanduan untuk Akta ini.

Seksyen 41 Akta ini memberi ruang kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat tafsiran kepada Akta ini.

Untuk fasa pertama, garispanduan bagi prosiding mesyuarat penubuhan-penubuhan JMB telah diedar kepada PBT-PBT untuk digunapakai.

Bagi fasa kedua, garispanduan lengkap bagi Akta 663 ini akan disiapkan untuk edaran kepada PBT-PBT selewat-lewatnya pada akhir bulan Mei.

Dengan penambahan kakitangan, petugas khas dan akhir sekali penubuhan jabatan yang baru, perhatian boleh diberikan kepada perumahan-perumahan bertingkat.

Sama ada penguatkuasaan ke atas pemaju-pemaju atau kempen-kempen kesedaran di kalangan penduduk.

Masalah-masalah seperti kebersihan, keselamatan, vandalisme dan penyenggaraan yang tidak sempurna berpunca dari kecuaian pemaju atau sikap penduduk.

KEROSAKAN DAN TANGGUNG JAWAB SIAPA?

Kerosakan-kerosakan dan kerja-kerja baikpulih bangunan bertingkat adalah tanggung jawab pembeli dan pemaju setelah JMB ditubuhkan atau pembeli setelah MC ditubuhkan.

Ianya akan dibiayai oleh satu dana yang dinamakan “sinking fund” yang dipungut secara bulanan dari penduduk dan pembeli.

Masalahnya timbul bagi rumah kos rendah di mana “sinking fund” ini tidak mencukupi kerana ramai yang tidak membayar yuran penyenggaraan.

Satu penyelesaian akan diusahakan seperti di mana kerajaan negeri mendahulukan bayaran untuk membaik pulih tetapi penduduk membayarnya secara berjadual.

Satu contoh di mana penduduk rumah kos rendah tidak mampu memperbaiki kerosakan-kerosakan adalah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Kajian untuk mengenalpasti punca kerosakan dan cara-cara membaiki pulih kerosakan bagi 54 blok rumah telah selesaikan dilakukan dengan kos lebih RM26,000.

Tindakan seterusnya adalah melantik perunding-perunding agar tender dapat dikeluarkan untuk kerja-kerja membaik pulih.
Sasaran untuk memulakan kerja adalah pada pertengahan bulan Mei.

Bajet kerajaan negeri untuk kerja-keja ini adalah RM7 juta.

Kerajaan negeri berharap ini dapat menyelesaikan masalah yang sering dbangkitkan YB Batang Kali.

PENGURUSAN PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR)

Bagi PPR yang disewa kepada orang ramai, pengurusannya adalah tangung jawab kerajaan negeri.

Maka permohonan yang dibuat oleh YB Kota Damansara boleh dipertimbangkan.

Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi RM60 billion untuk membaik pulih PPR.

Oleh kerana negeri Selangor mempunyai banyak PPR maka diharapkan sebahagian besar dari RM200 juta ini, mungkin sehingga RM50 juta, diperuntukkan untuk negeri Selangor.

SEWA PPR

Sewa rumah PPR telah dibangkitkan oleh YB Kota Damansara.
Sewanya tetap RM250 sebulan tetapi pengurangan kepada RM124 (iaitu seperti sebelum keputusan untuk menaikkan sewa pada Jun 2007 oleh kerajaan yang terdahulu) diberikan kepada mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM1,500 sebulan atau per kapita kurang dari RM300 bagi setiap anggota keluarga.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor telah mengadakan bancian di 3 PPR (Lembah Subang, Kg. Baru Hicom dan Kota Damansara) pada 3, 4 dan 5 Disember tahun lepas.

Dari 3,913 penyewa, hanya 1,260 telah membuat permohonan pengurangan sewa. Seramai 860 telah disahkan layak untuk mendapat pengurangan.

Untuk memastikan setiap yang layak mendapat pengurangan, kerajaan negeri mahu penyewa-penyewa pergi ke pejabat-pejabat PBT untuk memohon pengurangan.
Sementara itu, mereka yang merasakan diri mereka layak, sila bayar hanya RM124 sahaja walaupun permohonan belum diluluskan.

YB Kota Damansara memberitahu pejabat beliau ada menghantar kepada MBPJ senarai nama-nama penyewa di PPR Kota Damansara yang layak.

Lembaga Perumahan akan mengkaji senarai ini.

PENDUDUK BEKAS SETINGGAN BUKIT BOTAK

Isu ini telah dibangkitkan oleh YB Taman Templer dan kerajaan negeri amat prihain dengan nasib penduduk.

Kerajaan mengakui hak penduduk ke atas tanah mereka dan tidak akan sama sekali menafikannya.

Oleh itu, permintaan YB Taman Templer agar tanah-tanah itu dikembalikan kepada penduduk tidak menjadi persoalan, tanah itu memang milik penduduk.

Kerajaan tidak akan mengambilnya.
Tetapi masalahnya, sebahagian dari penduduk telah menandatangani surat wakil kuasa atau “power of attorney” (PA) menyerahkan hak tanah mereka kepada pemaju Delpuri Corporation Sdn. Bhd.

Dengan itu, dari aspek perundangan kerajaan negeri atau mana-mana wakilnya tidak boleh menjalankan kerja di atas tapak.

Pejabat Daerah Gombak telah diarah untuk meminta penduduk membatalkan PA ini.

Apabila PA ini dibatalkan, barulah kerajaan negeri boleh berbincang dengan penduduk jika mereka mahu kerajaan membangunkan tanah-tanah itu.

Jika penduduk tidak mahu, tanah-tanah itu kembali kepada mereka.

Alternatif kedua pula jika penduduk tidak boleh atau tidak mampu membatalkan PA, kerajaan boleh mengambil balik tanah menggunakan Kanun Tanah Negara.

Kemudian tanah ini akan dikembalikan kepada penduduk tanpa sebarang bebanan.

Tetapi adalah lebih mudah PA ini dibatalkan.

Kerajaan negeri juga memahami masalah kewangan yang dihadapi oleh bekas peneroka bandar itu.

Kerajaan negeri telah mengumpul maklumat penduduk yang menghadapi masalah dan dikenalpasti lebih 250 keluarga yang menghadapi masalah.

Kerajaan negeri akan mengusahakan bantuan kepada mereka yang memerlukan menerusi saluran-saluran yang ada.

Tetapi kerajaan negeri mendapat maklumat bahawa ada peguam yang mendapat tanah, mereka kita tidak akan member bantuan.

Kerajaan juga akan menyiasat segala penyelewengan pemberian tanah di Bukit Botak.

Sebagai sebuah negeri berkebajikan, kerajaan tidak akan menzalimi atau membiarkan rakyat Marhaen yang terhimpit dizalimi.

YB Taman Templer bertanya kenapa sebuah syarikat yang disahkan oleh MPS tidak berwibawa mendapat projek tersebut.

Saya tidak tahu jawapannya tetapi mungkin kerana ketika itu kerajaan negeri bukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Senarai lembaga pengarah Delpuri menurut rekod kerajaan negeri adalah Ler Cheng Choy (No. KP 570919-01-6687), Sabihin bin Radiman - bekas Pegawai Daerah Kuala Selangor (No. KP 480721-10-5693), Ahmad Nasarudin bin Othman (No. KP 570428-01-6607) dan Anwardi bin Jamil (No. KP 581209-71-5057).

Pemegang saham utamanya adalah Ciptaan Antero Sdn. Bhd. dan menurut rekod kerajaan negeri ahli lembaga pengarahnya adalah Dato' Idris bib Hashim, Prof. Dr. Azman bin Awang dan Chah Yoke Ying. Pemegang saham utama menurut rekod kerajaan negeri adalah Azman Awang dan Lim Beng Huat.

KUOTA PERUMAHAN BUMIPUTERA

Bukit Antarabangsa dan Teratai telah menyentuh tentang kuota Bumiputera di dalam perumahan.

Perkara ini telah dibincangkan dengan panjang lebar di dalam mesyuarat Exco dan di dalam perhatian YAB Dato' Menteri Besar.

Buat masa ini terdapat mekanisme yang jelas untuk memproses permohonan dari pemaju-pemaju untuk menjual unit-unit kuota Bumiputera kepada bukan bukan Bumiputera.

Exco telah meluluskan kes-kes yang "genuine" seperti projek Sepang Gold Coast.

Tetapi terdapat pemaju-pemaju yang memohon menjual kuota Bumiputera mereka walhal masih banyak lagi unit-unit kuota bukan Bumiputera yang belum dijual.

Satu cadangan yang diketengahkan oleh YAB Dato' Menteri Besar adalah kerajaan negeri sendiri membeli kuota-kuota Bumiputera yang tidak terjual dari pemaju. Ini diharap akan dapat meringankan beban para pemaju.

Perkara yang sama dilakukan oleh J-Corp di negeri Johor.

Saya juga telah cuba mengkaji sama ada amalan kuota menurut kaum bagi perumahan ini ada di negara-negara lain di dunia.

Saya mendapati perkara yang sama berlaku di Singapura. Housing Development Board atau HDB yang membina lebih 80 peratus unit-unit kediaman di republik itu mempunyai apa yang dipanggil sebagai "Ethnic Integration Programme" (Program Penyatuan Kaum).

Terdapat kuota bagi kaum untuk setiap pembangunan HDB untuk menggalakkan penyatuan kaum.

Bagi setiap pembangunan HDB tidak dibenarkan kaum Cina melebihi dari 84 peratus dan Melayu tidak lebih dari 22 peratus.

Kuota mengikut kaum mengikut daerah dikaji dari masa ke semasa.

Saya memahami perasaan mereka yang gagal membeli rumah di kawasan yang mereka hasratkan. Saya pernah cuba menyewa rumah di Pandan Indah, di dalam kawasan saya, tetapi diberitahu tuan punya hanya mahukan penyewa Cina.

Thursday, March 12, 2009

SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 2

Ketika Parlimen dibubarkan, gerak kerja kami di Pandan seolah-olah setelah penamaan calon. Malah poster calon telah direkabentuk dan hanya menunggu penambahan-penambahan akhir. Saya telah mengkaji berpuluh-puluh poster dari seluruh dunia untuk mencari reka bentuk yang paling sesuai. Dari Segolene Royal kepada Nicolas Sarkozy, dari Barack Obama kepada poster-poster calon pilihanraya Taiwan dan Jepun.

Hampir 80 foto telah diambil sebelum memilih foto yang terbaik. Ada yang diambil oleh pencetak kita, Nan Azazi Azman yang pernah dicalonkan untuk bertanding. Ada yang diambil di kedai-kedai foto. Satu pemilik kedai tertanya-tanya kerana terlalu banyak kali saya mengambil gambar di kedai beliau.

Untuk pilihanraya kali ini, kami mengambil keputusan untuk memberi tumpuan hanya kepada gerak kerja-gerak kerja yang dapat memberi impak kepada pengundi. Kita kena "work smart" bukan "work hard". We are fighting a modern election.

Pertama kami telah mengurangkan poster dan membanyakkan kain rentang yang dapat menenggelam poster-poster.

Kedua kami tidak mahu pengundi keliru. Hanya beberapa siri risalah yang diedarkan. Pertama 2 edisi khas Harakah yang kami tempah sebanyak 30,000 setiap edisi. Kedua biodata calon yang dilipat dengan begitu kreatif seolah-olah lipatan origami Jepun. Ketiga pula biodata dalam bahasa Cina yang direkabentuk oleh perekabentuk profesional. Itu sahaja. Yang lain mungkin risalah dari PKR. Tetapi kita pastikan ia sampai kepada setiap rumah.

Perbelanjaan kami untuk 2008 adalah lebih kecil berbanding dengan 1999 dan 2004.Imej yang positif dan strategi yang efektif diberi keutamaan.

Banyak pembaharuan telah kami buat seperti pertama kali, calon serta pencadang dan penyokong tidak memakai baju Melayu bersampin tetapi kemeja batik.

Tetapi malang sekali kemeja batik yang saya tempah terkecil sedikit. Mungkin kerana tukang jahit saya tidak ada ketika ukuran dibuat tetapi pekerja Indonesianya.

Bila hampir hari penamaan calon, saya terasa sungguh kurang sihat. Tidak mampu untuk bangun. Akhirnya saya tidak dapat hadir majlis memperkenalkan calon-calon PAS di Shah Alam. Rakan-rakan telah memanggil seorang ustaz ke rumah untuk melihat keadaan saya dan dengan tiba-tiba saya merasa segar.

Hari penamaan calon berjalan lancar. PKR meletakkan tokoh kesatuan kerja Syed Shahir di Parlimen Pandan dan seperti dijangka Jenice Lee untuk DAP di Teratai.

UMNO pula telah menendang penyandang Dato' Mad Aris Mad Yusuf dan menggantikannya dengan Ketua Wanita Bahagian Pandan, Norshimah Hashim di Chempaka. Dato' Ong Tee Keat kekal bertanding di Parlimen Pandan tetapi penyandang Teratai, Yap So Soon digantikan oleh Ng Lum Yong.

Jenice telah mengosongkan ruang saksi. Setiausaha MPAJ, Abdul Hamid Husin selaku Returning Officer (RO) menyuruh beliau mengisinya.
Seorang pegawai MPAJ membisik kepada saya, "Tolong nasihatkan dia". Maka saya dengan nada yang keras menyuruh Jenice mencari seorang saksi dari kalangan ahli-ahlinya. Tidak tahu apa akan jadi jika beliau enggan mengisi ruang untuk saksi. BN pasti akan membuat bantahan.

Tetapi yang membantah adalah PAS. Alamat Norshimah pada borang pencalonan mempunyai poskod Kuala Lumpur. Tetapi BN cukup cekap. Beliau datang dengan bil cukai pintu MPAJ, membuktikan alamatnya di dalam Selangor.

Akhirnya kesemua calon diterima pencalonan mereka. Maka bermulalah pertandingan. (Bersambung)

11 Mac 2009

SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 1

Selepas pilihanraya umum 2004, PAS Kawasan Pandan telah mengadakan satu brainstorming di Cameron Highland. Lebih 100 orang warga Pandan telah mendaki banjaran Titiwangsa untuk sampai ke puncak gunung yang dingin itu.

Pada brainstorming dan juga post mortem yang diadakan, diakui masalah bagi PAS adalah "packaging" kepada mesej yang kita bawa kepada masyarakat. Mesej Islam adalah yang terbaik tetapi strategi kita untuk memastikan ia di terima rakyat tidaklah yang terbaik. Orang yang menjual durian akan memberitahu betapa enak isi durian bukan betapa tajam duri durian. Tambahan pula putar belit media membuat rakyat bertambah bingung.

Persiapan untuk pilihanraya umum 2008 bermula dari saat itu. Beberapa minggu selepas keputusan pilihanraya umum 2004 diumumkan.

Perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah masalah penerimaan rakyat bukan Islam terhadap PAS. Kita telah mengandaikan "worst case scenario". Jika masyarakat bukan Islam tidak menerima PAS, yang mana lebih rendah risikonya, bertanding di Parlimen Pandan atau di DUN Chempaka?

Akhirnya kami berpendapat kerusi DUN dengan peratusan pengundi Melayu yang lebih tinggi adalah lebih sesuai bagi PAS. Kerusi Parlimen yang mempunyai peratusan Melayu yang lebih rendah pula sesuai untuk PKR yang berbilang kaum.

Kami juga telah ada sebuah pusat khidmat masyarakat di Chempaka yang dibuka 3 kali seminggu. Pada mulanya dengan petugas sukarela dan akhirnya dengan petugas bergaji. Jadi tidak hairan Chempaka telah menjadi pilihan.

Cabaran pertama adalah mendapatkan persetujuan ahli-ahli. Jika PAS bertanding di Chempaka maka tidak ada calon PAS di Teratai. Pada 2004, PAS dengan saya sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen yang merangkumi Chempaka dan Teratai.

Isu ini sungguh sensitif kerana ketika itu cawangan-cawangan PAS lebih kuat di Teratai. Lebih ramai petugas di Teratai dari Chempaka. Oleh itu, satu mesyuarat agong khas telah dipanggil untuk membincangkan perkara ini. Alhamdulillah setelah dibahaskan, cawangan-cawangan bersetuju PAS bertanding di Chempaka.

Di dalam ucapan saya pada malam itu, saya telah mengingatkan ahli-ahli bahawa terdapat satu lagi kerusi DUN Chempaka iaitu di Kelantan yang disandang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Oleh itu, kita mesti bekerja keras untuk memastikan kedua-dua Chempaka di menangi PAS.

Cabaran kedua adalah untuk mendapatkan persetujuan PKR Bahagian Pandan untuk bertukar kerusi. Ketika itu PKR Bahagian mula dibantu oleh Zakaria Abdul Rahim yang sebelum ini aktif di Shah Alam membantu Ezam Mohd. Noor.

PAS dan PKR kerap mengadakan mesyuarat dan di dalam salah satu mesyuarat itu kami menyatakan hasrat untuk bertukar kerusi dan PAS berjanji akan membantu calon PKR di dalam gerak kerja di Teratai . PKR bersetuju.

Ketika itu juga, seorang muka baru DAP, Jenice Lee, mula ditonjolkan di Teratai. Pada mulanya kami terkejut kerana kami selalu berurusan dengan calon DAP 2004 untuk Teratai, Khong Chee Seng. Diberitakan dia telah berkrisis dengan pimpinan-pimpinan DAP lain dan telah diketepikan. Akhirnya kami telah mengadakan beberapa program bersama dengan Jenice dan DAP Teratai.

Selepas diputuskan PAS akan bertanding di Chempaka, masalah imej PAS perlu ditangani. Saya banyak mengkaji transformasi Parti Buruh atau Labour Party UK. Dari sebuah parti berhaluan ultra kiri di bawah Michael Foot ketika saya berada di UK kepada New Labour di bawah Tony Blair.

Pada pilihanraya umum 1983, Labour yang menonjolkan polisi-polisi sosialis yang keras telah kalah teruk. Selepas itu, Foot digantikan oleh Neil Kinnock dan kemudian oleh John Smith setelah Labour kalah pada pilihanraya umum 1992.

Transformasi Labour telah bermula sejak zaman Kinnock yang diusahakan oleh penasihat-penasihat beliau seperti seorang Yahudi bernama Peter Mendelsohn. Apabila Blair mengambil alih dari Smith yang meninggal dunia dalam tahun 1995 akibat sakit jantung, Labour telah menjadi New Labour yang segar dan dapat menarik pengundi muda. Labour akhirnya berjaya memenangi pilihanraya umum 1997 dengan majoriti terbesar abad ke 20.

Di Pandan, kami bukanlah hendak menghasilkan New PAS seperti New Labour. Kami hanya mahu PAS dengan "packaging" yang baru. Prinsip Parti tidak berubah hanyalah cara ianya dipersembahkan kepada rakyat. Persoalan imej diberi perhatian khusus di Pandan tanpa meninggalkan prinsip-prinsip asas perjuangan PAS.

Setelah imej ini diputuskan, perkara seterusnya adalah penentuan calon. Siapakah calon yang sesuai untuk membawa imej ini di Chempaka?

Saya telah menolak kerana telah dua kali bertanding (DUN Lembah Jaya 1999 dan Parlimen Pandan 2004) dan mahu memberi peluang kepada orang lain.

Nama pertama yang diketengahkan adalah Nan Azazi Azman, Ketua Penerangan ketika itu. Beliau menolak dan saya telah mencadangkan Ustaz Zulkifli Mohammad dari Taman Cheras Indah kerana dia merupakan "the best of both world". Seorang ustaz dan seorang ahli perniagaan yang senang bergaul dengan masyarakat bukan Islam. Tetapi beliau juga menolak.

Kemudian beberapa nama telah dibincangkan seperti Haji Meor Rithuan Mohd. Said (bekas TYDP), Abdul Jalil Haji Hasan (TYDP) dan Suhaimi Ghazali (NYDP). Setiausaha Dewan Muslimat, Siti Farah Mohammad, telah turut dicadangkan agar dapat melunakkan imej PAS.

Tetapi kebanyakan mereka telah menolak. Maka akhirnya saya terpaksa menerima pencalonan setelah ada AJK yang marah dan berkata, "Kalau tidak ada orang yang sanggup, kita tidak payah bertanding".

Selepas saat itu, gerak kerja dimulakan seolah-olah Parlimen bubarkan. Ceramah, risalah, ziarah dan program-program kemasyarakatan diperhebatkan.

Ceramah tidak hanya dihadkan di rumah-rumah seperti dulu. Jika orang ramai susah hendak datang ke ceramah kerana lokasinya yang terpencil maka kita mesti pergi kepada mereka. Ceramah-ceramah pun diadakan di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti di pasar malam, di hadapan restoran mamak dan di tempat letak kereta. Yang diperlukan hanyalah khemah lipat, beberapa kerusi, "music stand" sebagai rostrum, generator, lampu dan PA system. Dalam masa setengah jam, kami boleh berceramah.

Buletin PAS Kawasan, Visi, yang sememangnya telah diterbitkan sejak 2001 telah dikerapkan penerbitannya. Selain dari itu, diterbitkan buletin Tazkirah Jumaat dan Tazkirah Ramadhan yang diedarkan di masjid dan surau secara berkala.

Program-program kemasyarakatan pula yang berpaksi di pusat khidmat kami di Kg. Pandan telah turut dipertingkatkan dan mendapat perhatian mereka dari luar Pandan sehingga ada yang datang melawat.

Sekarang, hanya menunggu Parlimen dibubarkan.

Saya masih ingat hari Parlimen dibubarkan. Saya baru sahaja melawat sebuah kilang yang membuat "beam" untuk projek ibu pejabat PLUS di Subang. Sebelum makan tengah hari di Restoran Nasi Lemak Cikgu di Kelana Jaya, saya mendapat SMS bahawa PM akan membuat satu pengumum penting pada jam 1.00 petang. Saya menjangka pengumum itu adalah pembubaran Parlimen dan memang benar Parlimen dibubarkan hari itu. Selepas itu, segala-galanya bergerak begitu pantas. (Bersambung)

10 Mac 2009

Wednesday, March 11, 2009

SOALAN NO. 9 – PROJEK-PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI.

Soalan ini telah dijawab pada sidang yang lepas. Hari ini saya akan memberikan perkembangan terkini.

Selain dari meneruskan usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu (seperti pemantauan), kerajaan sekarang telah juga menjalankan usaha-usaha baru untuk menyelesaikan masalah ini.

Yang pertama adalah penubuhan “Task Force / Jawatankuasa Khas Projek-Projek Terbengkalai” yang dipengerusikan oleh YB Hulu Kelang.

3 perunding telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas ini untuk membantu menilai projek-projek yang telah terbengkalai.

Jawatankuasa khas ini telah mengenal pasti pemaju-pemaju baru atau pemaju-pemaju penyelamat bagi projek-projek yang berpotensi untuk dihidupkan semula.

Daripada 144 projek terbengkalai, 80 telah dikaji tahun lepas. 40 telah dikenal pasti sebagai berpotensi.

Dalam tahun 2008, Jawatankuasa Khas ini telah memulihkan 8 projek dan telah siap 100 peratus. 2 darinya telah mendapat sijil layak menduduki bangunan atau CF.

Ianya melibatkan 2,710 unit. Lokasinya adalah 2 projek di Shah Alam, 2 di Klang, 1 di Hulu Langat, 1 di Puchong, 1 di Hulu Selangor dan 1 di Gombak.

Pada 5 Mac lepas pula, 5 lagi projek telah diambil alih oleh pemaju-pemaju baru. 3 projek di Hulu Langat, 1 di Sepang dan 1 di Ampang, merangkumi 694 unit.

Buat masa ini, Jawatankuasa Khas ini sedang mengkaji dengan terperinci 46 projek untuk dipadankan dengan pemaju-pemaju baru. Ini melibatkan 9,364 unit.

Untuk mempercepatkan pemulihan projek-projek ini, kerajaan negeri menjemput pihak-pihak yang berkemampuan untuk mengambil alih projek-projek terbengkalai yang berpotensi.

Ingin saya jelaskan di sini bahawa kita tidak hanya mahu menghadkan kerjasama kita bersama 3 perunding itu. Peluang dibuka dengan seluas-luasnya kepada semua pihak.

Pemulihan ini memerlukan penglibatan sektor swasta. Lagipun masalah ini berpunca dari sektor swasta. Kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas betindak sebagai fasilitator atau pemudah cara.

Kerajaan juga membantu menyelesaikan sebarang masalah di antara pemaju baru dan Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Permintaan telah diterima berkaitan cukai tanah tertunggak yang ditinggalkan oleh pemaju lama. Kerajaan boleh berbincang bagaimana cukai ini dibayar secara ansuran atau selepas projek siap.

Selain dari itu, pada akhir Mac ini, laman web Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor akan memuatkan maklumat status projek-projek terbengkalai di negeri Selangor.

Ini bagi membantu, para pembeli mengetahui tentang status projek-projek mereka dan mereka yang berminat menghidupkan projek-projek itu.

Yang paling penting rakyat dapat mengetahui siapakah pemaju-pemaju yang telah gagal. Kita juga sedang dalam kajian untuk mempamerkan juga nama dan nombor-nombor kad pengenalan lembaga-lembaga pengarah mereka.

Selain dari itu, terdapat pemaju-pemaju yang mempunyai banyak projek-projek yang lambat (tetapi belum lagi terbengkalai), kita telah memantau dengan mengadakan mesyuarat dan lawatan tapak secara berkala.

Terdapat kes-kes di mana pemaju meminta pembayaran tambahan jika mahu rumah mereka disiapkan. Menurut mereka, kos pembinaan telah meningkat.

Ada pembeli-pembeli yang bersetuju jika bayaran tambahan ini berpatutan tetapi mereka tidak lagi percaya kepada pemaju. Mereka bimbang jika bayaran dibuat tetapi rumah masih tidak siap.

Oleh itu, kerajaan akan melantik pihak ketiga seperti firma guaman untuk menerima pembayaran dari pembeli. Pihak ketiga ini akan menyalurkan dana ini kepada pemaju apabila ia diperlukan untuk membuat pembinaan.

Kerajaan juga akan melantik jurukur bahan untuk memastikan pembayaran tambahan yang diminta oleh pemaju adalah wajar.

Ingin juga saya memberikan perkembangan terkini tentang perampasan tanah untuk projek-projek terbengkalai yang diumumkan pada sidang yang lepas.

2 projek di Kuala Selangor telah dihantar notis-notis untuk dirampas.
Ianya dibuat berdasarkan Seksyen 100, Kanun Tanah Negara kerana tidak membayar cukai tanah dan Seksyen 129, Kanun Tanah Negara kerana melanggar syarat guna tanah.

1 projek melibatkan tanah 399.49 hektar dengan 6,620 unit kediaman.

1 lagi projek pula melibatkan tanah 194.58 hektar melibatkan 924 unit

Notis tersebut telah hampir tamat.Exco juga telah meluluskan satu projek di Sg. Buaya untuk dirampas.

Kerajaan berharap dengan rampasan ini projek tersebut dapat dihidupkan oleh pemaju-pemaju yang berwibawa. Maka nasib para pembeli akan terbela.

Usaha-usaha lain yang turut dilakukan termasuk,

1. Melakukan rundingan dengan bank-bank bagi meringankan beban pembeli.

2. Melakukan pemantauan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

3. Membantu pembeli menubuhkan Jawatankuasa Bertindak untuk berunding dengan pemaju atau memulihkan projek.

4. Melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengesahkan projek-projek terbengkalai agar Kementerian Perumahan dapat mengeluarkan surat kepada pembeli supaya mereka dapat berbincang dengan bank untuk menyusun semula pinjaman mereka.

5. Menjadi fasilitator agar pemaju dapat berunding dengan bank untuk menstrukturkan semula pinjaman mereka.

6. Menjadi fasilitator untuk perbincangan di antara pemaju dan “liquidator” / Pegawai Penerima.

YAB Dato’ Menteri Besar juga telah mengumumkan rangsangan baru pakej ekonomi bernilai RM50 billion yang turut merangkumi pembangunan semula perbandaran dan pemulihan projek-projek terbengkalai.

Untuk projek-projek yang sedang berjalan dan di masa akan datang, usaha kerajaan untuk memastikan tidak ada lagi projek-projek terbengkalai termasuk,

1. Bekerjasama dengan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan dengan memaklumkan mereka pemaju-pemaju yang perlu disenarai hitam untuk dibatalkan lesen mereka. Lesen pemaju perumahan dikeluarkan oleh Kementerian.

2. Pihak Berkuasa Tempatan diarah supaya sentiasa memantau projek-projek di kawasan tadbir mereka. Jika ada masalah, kerajaan negeri hendak tahu sebelum menjadi parah. Kerajaan negeri mahu isyarat awal agar dapat mengambil langkah-langkah sepatutnya.

Iskandar Abdul Samad
Pengerusi Jawatankuasa Tetap / Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
12 Mac 2009

Sunday, March 8, 2009

Perlukah Rakyat Merusuh?

Perlukah rakyat merusuh kerana tidak puas hati mereka tiada kerja tetapi kerajaan akan membawa masuk 70,000 pekerja Bangladesh?

TV3 mengesahkan semalam 70,000 rakyat Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini. Jadi jumlah pekerja Bangladesh di Malaysia akan menjadi 500,000 orang.

Saya difafamkan 50,000 rakyat Malaysia telah hilang pekerjaan sejak kegawatan ekonomi dan 12,000 sahaja bulan lepas.

Agaknya apa perasaan mereka bila melihat pekerja-pekerja dari India di restoran-restoran Mamak dan kedai-kedai gunting? Adakah mengambil "order" di restoran dan menggunting rambut kepakaran seperti pakar bedah jantung sehingga kita perlu mengimpot mereka dari Mumbai?

Dua hari lepas saya terpaksa pergi ke sebuah kedai serbaguna KK dan mendapati semua pekerjanya adalah dari Vietnam dan tidak boleh bercakap Melayu!

Baik sungguh orang Malaysia. Kalau di Eropah sudah tentu pekerja-pekerja asing tidak berani datang bekerja bila begitu ramai rakyat tempatan menganggur.

9 Mac 2009

Syabas Jay Jay!

Pada 8 Februari lepas, Pusat Khidmat ADUN Chempaka dan Yayasan Amal telah menganjurkan program Larian Ampang Jaya dan Nasyid On Stage di Pandan Jaya.

Untuk Nasyid On Stage, seorang artis atau kumpulan nasyid perlu dicari sebagai tarikan. Pada mulanya seorang artis nasyid yang popular telah dihubungi tetapi malangnya terlalu mahal. Walaupun lagu-lagu beliau dan imej beliau Islamik tetapi bayaran yang diminta tidak sesuai dengan bajet.

Akhirnya seorang artis pop yang pernah berduet dengan sebuah kumpulan nasyid bersetuju untuk hadir dengan memberi diskaun kerana ianya program amal. Beliau bersetuju untuk menyanyikan lagu-lagu berbentuk nasihat.

Artis itu adalah Jay Jay bekas penyanyi kumpulan Carefree. Walaupun tidak terkenal dengan imej Islamik tetapi sanggup memberi diskaun untuk program amal. Beliau juga lebih popular dari artis nasyid yang "mahal" itu.

Jay Jay telah menyanyikan lagu yang pernah diduet bersama sebuah kumpulan nasyid dan lagu-lagu berbentuk nasihat yang lain. Diselitkan juga lagu-lagu popular beliau, Rindu Bayangan dan Belaian Jiwa.

Terasa tua apabila mendengar Rindu Bayangan. Teringat hampir 30 tahun yang lalu seorang kawan menulis surat memberitahu beliau menyanyikan Rindu Bayangan di satu "show" di UPM lengkap dengan topi seperti Jay Jay. Ketika itu saya sedang membuat A-Levels di Southampton, UK dan beliau mengikuti kursus Diploma Pertanian di UPM dan akhirnya menjadi Pengurus Ladang (Estate Manager) sebelum membuka perniagaan sendiri. Tetapi ketika itu kami di UK yang terpisah dari tanah air tidak kenal Jay Jay atau Carefree yang sedang "meletup" di Malaysia.

Kadang-ka rasa ketinggalan apabila berbual dengan rakan-rakan sebaya kerana terdapat perkara-perkara dan perkembangan-perkembangan ketika saya di luar negeri yang saya tidak tahu. Sama ada ini baik atau tidak, saya tidak pasti.

Berbalik kepada Jay Jay, syabas dan terima kasih kerana sanggup menjayakan program kami di Chempaka walaupun dengan bayaran lebih murah.

8 Mac 2009

Monday, March 2, 2009

PSM YANG BERPRINSIP

PSM memang lain dari yang lain. Walaupun Pengerusi parti itu, Dr. Nasir Hashim, bertanding menggunakan logo PKR namun apabila pendaftaran PSM diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, parti itu tidak menyertai Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini apabila kerajaan negeri meluluskan pembinaan pasaraya Carrefour di Kota Damansara, PSM dengan tegas menyatakan ia tidak bersetuju. Dr. Nasir juga pernah berkata beliau mungkin mengosongkan kerusi DUN beliau.

Walaupun kita tidak bersetuju dengan idelogi sosialisme PSM atau pendirian mereka terhadap Carrefour tetapi kesungguhan mereka mempertahankan prinsip mereka harus dipuji.

PSM pula masih bersama Pakatan (walaupun tidak berada di dalamnya), tidak pula saya dengar ahli-ahli PSM yang menuduh Dr. Nasir gila kuasa hendak menjadi MB. Hebat sungguh "ukhwah" ahli-ahli PSM. Saya rasa tidak ada yang menikam dari belakang di antara "comrade".

Bagaimana pula dengan PAS?

Adakah PAS bersungguh-sungguh mempertahankan prinsipnya atau Islam seperti PSM mempertahankan rakyat Marhaen dan sosialisme?

Mungkinkah pemimpin PAS dapat menyatakan prinsipnya walaupun sedikit tidak selari dengan rakan-rakan lain di dalam Pakatan tanpa dihenyak, diterajang dan dimaki hamun di dalam mesyuarat oleh ahli-ahlinya?

Walau apapun jawapannya, Dr. Nasir, gua tabik sama lu!

2 Mac 2009