Monday, January 26, 2009

AYAM MATI DI KEPUK PADI .......

Web Sutera dari Kg Pandan menulis :-

YB, apa kategori "peniaga-peniaga warga asing"? Patutkah kita halang mereka berniaga sekiranya mereka tidak buat kacau? Adakah "peniaga-peniaga warga asing" itu yang rajin berniaga dan ambil kesempatan atau orang Melayu yang malas berniaga?

Komen saya :-

Tidak adil malah satu jenayah apabila warga asing boleh berniaga sesuka hati apabila peniaga-peniaga tempatan terpaksa membayar lesen, menghadiri kursus kesihatan dan mendapatan suntikan mencegah jangkitan penyakit jika mahu berniaga.

Rajin atau pandai mencari kesempatan tidak boleh menghalalkan perbuatan yang salah. Sebagai wakil rakyat saya perlu melindungi kepentingan rakyat tempatan.

Warga asing juga mempunyai latar belakang yang berbeza. Kos sara hidup mereka adalah rendah. Ada yang sanggup tinggal sehingga 4 atau 5 keluarga satu rumah. Oleh itu, kalau sewanya RM800 sebulan, satu keluarga hanya membayar lebih kurang RM200 sahaja. Tetapi warga tempatan yang tinggal satu keluarga satu rumah terpaksa membayar sewa penuh.

Setiap rumah ada hadnya. Contohnya rumah kos rendah hanya boleh didiami oleh 6 orang dewasa. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan mereka yang membenarkan sebuah rumah menjadi penuh sesak boleh didenda atau dipenjara.

Ini penting kerana sistem pembentungan dan perparitan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain hanya boleh menampung bilangan penduduk yang tertentu. Sekiranya lebih dari yang direkabentuk, ia akan gagal.

Itu sebabnya banyak rumah-rumah kos rendah mengalami banyak kerosakan seperti sistem pembentungan yang tersumbat dan lif-lif yang rosak kerana terpaksa menampung penduduk yang lebih ramai dari yang sepatutnya. Rumah yang dibina untuk satu keluarga kadang-kadang didiami oleh 15 orang pekerja Vietnam atau 4 keluarga Indonesia.

Parit dan tandas selalu tersumbat di Kg. Pandan adalah kerana kawasan tersebut tidak dapat menampung penduduk seramai itu. Kebanjiran warga Indonesia yang tinggal beberapa keluarga dalam satu rumah merupakan penyumbang utama kepada masalah ini.

Pada 21 Januari yang lepas, saya telah mengadakan serbuan bersama Majlis Perbandaran Kajang untuk mengenalpasti rumah-rumah kos rendah yang disalahguna. Ada yang telah dijadikan asrama pekerja untuk pekerja asing dan ada yang telah diubahsuai kepada pusat perjudian.

Berbalik kepada kos sara hidup warga asing yang rendah, ramai dari mereka yang meninggalkan keluarga di negara asal. Kos untuk menanggung mereka yang masih tinggal di Indonesia, Myanmar atau Bangladesh adalah jauh lebih murah berbanding seorang peniaga tempatan yang terpaksa menanggung keluarga di Lembah Kelang.

Seorang pekerja Bangladesh pernah datang ke pusat khidmat saya mengadu kerana terpaksa membayar permit kerja setiap tahun. Dia berkata ini tidak adil.

Saya memberitahu dia, kehidupannya di Malaysia ditanggung oleh rakyat Malaysia. Contohnya bila dia makan, bahan makanan seperti minyak masak, gula dan tepung dijual dengan subsidi yang ditanggung oleh rakyat Malaysia. Harga bahan-bahan itu sepatutnya lebih mahal tetapi menjadi murah dengan subsidi yang dibiayai oleh cukai-cukai yang rakyat Malaysia bayar.

Dia tidak membayar cukai pendapatan, cukai taksiran atau cukai tanah tetapi masih merungut.

Jika benar warga asing rajin dan pandai mencari kesempatan, kenapa mereka perlu datang ke Malaysia? Sudah tentu mereka boleh mencari kesempatan di negara sendiri.

Kita tidak boleh menghukum warga tempatan dengan mendedahkan mereka kepada persaingan-persaingan yang tidak seimbang atau tidak adil. Warga asing sepatutnya hanya mengisi sebarang kekosongan dan bukan menjadi saingan kepada warga tempatan.

Tugas sebuah negara untuk melindungi rakyatnya. Saya berharap pengurus-pengurus pasar malam memahami jika mereka dikenakan tindakan oleh MPAJ dan MPAJ pula jangan 'tutup sebelah mata'.

27 Januari 2009

Sunday, January 25, 2009

MANSUHKAN PUNGUTAN RM1.00 PASAR MALAM

Pada 22 Januari lepas saya telah mempengerusikan satu dialog di antara MPAJ dan peniaga-peniaga pasar malam di Menara MPAJ, Pandan Indah.

Saya menyokong tuntutan para peniaga agar dimansuhkan pungutan RM1 oleh MPAJ bagi setiap petak setiap kali pasar malam diadakan.

Pungutan ini pada mulanya RM2 dan dimulakan dalam tahun 2006. Tetapi akibat bantahan peniaga, ianya telah diturunkan kepada RM1.

Walau bagaimanapun, para peniaga tetap membantah dan PAS dalam tahun 2007 telah menyokong tuntutan mereka. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa PAS perlu mengubah pendiriannya sekarang.

Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk meringankan beban rakyat.

Peniaga-peniaga telah pun membayar RM3 bagi setiap petak setiap kali pasar malam kepada pengurus pasar malam.

Pungutan RM1 ini dikatakan akan digunakan untuk memperbaiki sebarang kerosakan pada tapak pasar malam. Sepertimana yang kami pernah suarakan sebelum pilihanraya, MPAJ perlu menyalurkan dari peruntukan lain untuk kerja-kerja tersebut. Sekiranya tapak itu adalah jalanraya maka sudah tentu ada peruntukan untuk memperbaiki jalanraya.

Para peniaga telah membayar lesen RM48 setahun untuk setiap tapak pasar malam yang mereka berniaga, saya yakin jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung kos-kos pentadbiran dan baikpulih tapak.

Saya berharap ahli-ahli majlis MPAJ akan menyokong tuntutan ini. Bagi PAS, kami memahami masalah yang dihadapi oleh para peniaga. Kami bukan baru bersama mereka dan memahami akan masalah mereka. Kami bukan baru hendak turun bersama mereka selepas pilihanaya. Kami pernah berdemonstrasi bersama mereka di Pandan Jaya dalam tahun 2005.

Sehubungan itu, saya juga berharap para pengurus pasar malam akan bersungguh-sungguh membanteras peniaga-peniaga warga asing yang menjejaskan pendapatan peniaga tempatan. MPAJ mesti mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka yang gagal.

26 Januari 2009

Friday, January 16, 2009

TUKAR PEGAWAI PBT?

Pertukaran kakitangan di antara PBT perlu dilakukan dengan lebih kerap kerana ia satu cara untuk memastikan pengalaman dan kepakaran mereka dikongsi oleh semua PBT.

Tahap kecekapan, bentuk kepakaran dan jenis pengalaman setiap kakitangan adalah berbeza dan boleh dimanfaatkan bersama oleh semua PBT-PBT.

Selain dari itu, ianya dapat menghilangkan kelesuan dan kebosanan apabila seorang kakitangan terpaksa berkhidmat di PBT yang sama sehingga bertahun-tahun lamanya.

Ia akan dapat memberikan pengalaman baru kepada mereka kerana akan berhadapan dengan cabaran-cabaran baru.

Kehadiran kakitangan baru juga boleh menyuntik semangat baru terutamanya jika ianya adalah seorang Ketua Jabatan dan lebih-lebih lagi jika seorang Yang Dipertua atau Dato' Bandar.

Pertukaran juga perlu dilakukan kerap untuk mengelak sebarang amalan-amalan yang kurang sihat seperti pilih kasih, salah guna kuasa dan rasuah berakar umbi. Pihak polis juga mengamalkan perkara yang sama di dalam menempat pegawai-pegawai mereka seperti OCPD di daerah-daerah.

KT
17/01/09

MPAJ TIDAK WAJAR MENGURANGKAN CUKAI PINTU BAGI KORPORAT-KORPORAT BESAR.

MPAJ tidak wajar melayan sebarang permohonan pengurangan cukai pintu dari korporat-korporat besar.

Adalah tidak adil cukai pintu bagi mereka dikurangkan tetapi rakyat terpaksa membayar cukai pada kadar yang biasa. Lebih-lebih lagi ramai yang terpaksa disita harta mereka kerana gagal atau lewat membayar.

Jika para korporat berhadapan dengan kelembapan ekonomi, rakyat juga berhadapan dengan kelembapan ekonomi Oleh itu, tidak ada sebab kenapa mereka perlu diberi layanan istimewa.

MPAJ juga akan terdedah kepada pelbagai tuduhan jika tunduk kepada permintaan tersebut.

17 Januari 2009

Thursday, January 15, 2009

TENTERA OIC?

Selain tekanan ekonomi dan boikot, OIC digesa kerah bala tentera untuk lindungi rakyat Palestin kata Setiausaha Agung PAS Dato Kamarudin Jaffar - HRKH

Tapi negara-negara Islam hanya pandai menggunakan tentera dan pasukan keselamatan terhadap rakyat mereka sendiri. Beribu-ribu polis dan SB dikerah ke P.036 Kuala Terengganu, alangkah baik jika mereka dikerahkan untuk melindungi penduduk Gaza dari keganasan Zionis.

HOTEL PERLU SIJIL HALAL!

Mesyuarat Exco putuskan semua program kerajaan Selangor mesti dibuat di hotel yang dapat sijil halal kata Pengarah Jais - HRKH

TAHNIAH KEPADA PETUGAS-PETUGAS P.036

Tahniah kepada petugas-petugas Pakatan Rakyat terutamanya dari Selangor yang telah berkampung di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon.

Semoga segala usaha-usaha tuan/puan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

DIALOG DI ANTARA PENIAGA-PENIAGA PASAR MALAM DAN YDP MPAJ ANJURAN ADUN CHEMPAKA.

Tarikh - 22 Januari 2009
Hari - Khamis
Masa - 10.30 pagi
Tempat - Menara MPAJ, Pandan Indah.

"Semua peniaga-peniaga pasar malam dijemput hadir"

Saturday, January 10, 2009

“NAFI LEMBAGA PERUMAHAN LEMBAB”

Saya menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) lembab di dalam menangani masalah rakyat.

Punca kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk pangsapuri dan kondominium adalah akta utk kediaman bertingkat yang lemah dan tidak jelas. Ini dieksploitasi oleh pemaju untuk terus menindas penduduk.

Pemaju telah menggunakan kelemahan akta ini untuk memastikan pengurusan bangunan terus di bawah kawalan mereka. Jawatankuasa yang menguruskannya (JMB) dirancang supaya terdiri dari mereka yang memihak kpd pemaju.

Ada mesyuarat penubuhan JMB yang diadakan pada hari dan waktu yang tidak munasabah supaya hanya “orang-orang pemaju” sahaja yang hadir. Akta ini tidak menetapkan hari dan waktu mesyuarat itu patut diadakan.

Oleh itu, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 7 Januari lepas telah meluluskan garis panduan bagi mesyuarat tersebut. LPHS akan mengeluarkan garispanduan yang lengkap dalam masa seminggu.

Garis panduan yang akan dikeluarkan itu menetapkan hari dan waktu mesyuarat penubuhan JMB boleh diadakan. Ianya juga melarang mesyuarat diadakan jauh dari kediaman penduduk.

Satu garis panduan yang lengkap akan disiapkan oleh LPHS merangkumi semua aspek akta itu dalam masa satu bulan. Ini diharap akan melicinkan lagi pengurusan kediaman bertingkat.

Tetapi Kementerian Perumahan & Kerajan Tempatan perlu mengkaji semula akta ini yang tidak jelas, lemah dan bercanggah dengan akta-akta lain. Akta ini kelihatan terlalu berat sebelah kerana memihak kepada pemaju. Pada saya kementerian yang sebenarnya lembab.

Sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah diarah untuk memastikan pemaju-pemaju memanggil mesyuarat penubuhan JMB secepat mungkin. Sepatutnya semua JMB telah ditubuhkan sebelum 12 April tahun lepas tetapi ramai pemaju yang ingkar. Oleh itu, saya telah mengarahkan PBT mendakwa pemaju-pemaju itu di mahkamah sepertimana yang termaktub di dalam akta. PBT yang gagal perlu memberi penjelasan atau akan menghadapi tindakan disiplin.

Iskandar Abdul Samad
11 Januari 2009

Siapa pulak pasang banner macam ni?

Idris, Ismail, Ilyas dan Ishaq di sebuah warung Kg. Raja.

Sunday, January 4, 2009

SYABAS PERLU LONGGARKAN SYARAT-SYARAT MIGRASI

Saya mendapat banyak aduan dari ramai penduduk rumah bertingkat sama ada pangsapuri atau kondominium bahawa mereka terbeban kerana tidak dicaj secara terus oleh Syabas.

Sebaliknya Syabas hanya membaca meter pukal di pembangunan-pembangunan seperti itu dan bukannya meter-meter individu di unit-unit kediaman. Pemaju atau ejen pengurusan akan kemudiannya mengeluar bil-bil kepada penduduk.

Bil yang dikeluarkan selalunya dipertikaikan oleh penduduk kerana,
Kadar caj adalah jauh lebih mahal dari kadar Syabas dan kadang kala sehingga dua kali ganda kerana pemaju atau ejen pengurusan akan mengambil untung. Bacaan meter oleh pemaju atau ejen pengurusan sering dipertikaikan kesahihannya.

Akibat dari rasa tidak puas hati penduduk, ramai yang enggan membayar bil air mereka. Terdapat juga yang tidak membayar bil-bil air mereka kerana tidak puas hati dengan tahap pengurusan dan penyelenggaraan bangunan mereka seperti keadaan yang kotor atau lif yang tidak berfungsi.

Sekiranya ramai yang mempunyai bil-bil yang tertunggak, pemaju atau ejen pengurusan tidak akan membayar kepada Syabas caj pada meter pukal. Jika jumlah yang tertunggak ini tinggi maka akhirnya Syabas akan memotong bekalan air bagi pembangunan tersebut. Ini sungguh tidak adil bagi penduduk yang telah membayar bil-bil air mereka.

Satu cara untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku adalah dengan Syabas membaca meter-meter individu di setiap unit kediaman. Dengan cara ini, hanya mereka yang tidak membayar bil akan dipotong bekalan air mereka.

Syabas akan membaca meter-meter individu jika terdapat permohonan dari penduduk. Proses perubahan dari membaca meter pukal kepada membaca meter-meter individu dinamakan “migrasi” oleh Syabas.

Tetapi terdapat banyak syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum ini dapat berlaku dan di antara yang membuat proses “migrasi” ini terlalu sukar adalah,

(1) Permohonan perlu dibuat oleh kesemua penduduk atau 100% permohonan kecuali bagi unit yang terlibat dengan lelongan atau unit-unit di mana pemilik berada di luar negara.

(2) Sebarang tunggakan bil air oleh pemaju atau ejen pengurusan (bil di meter pukal) perlu dijelaskan sebelum “migrasi” dapat dilakukan.

(3) Perlu mendapat persetujuan atau menerima permohonan dari pemaju atau ejen pengurusan.

Ketiga-tiga syarat ini pada lazimnya akan menggagalkan proses “migrasi” dan saya mencadangkan beberapa pembaharuan iaitu,

(1) Tidak perlu lagi 100% permohonan dari penduduk tetapi memadai peratusan yang lebih rendah seperti 50% ke atas untuk proses “migrasi” diluluskan. Kadang kala penduduk yang gagal membayar caj air kepada pemaju akan menentang proses “migrasi” atau tidak memberi kerjasama.

(2) Syabas tidak perlu menunggu bil yang tertunggak dijelaskan oleh pemaju atau ejen pengurusan sebelum meluluskan sebarang “migrasi”. Bil-bil yang tertunggak adalah di antara mereka dan pemaju atau ejen pengurusan. Syabas akan menuntut dari pemaju atau ejen pengurusan dan jika perlu mengambil tindakan tindakan mahkamah. Terpulanglah kepada pemaju atau ejen pengurusan untuk memikirkan cara yang terbaik untuk mendapatkan bayaran-bayaran tertunggak dari penduduk. Pemotongan bekalan oleh Syabas bagi mereka yang masih berhutang kepada pemaju atau ejen pengurusan adalah juga salah satu cara.

(3) Tidak perlu persetujuan atau pemohonan dari pemaju atau ejen pengurusan untuk “migrasi” diluluskan. Memadai dengan permohonan dari lebih dari 50% penduduk sebelum ia boleh dipertimbangkan dan diluluskan.

Cadangan-cadangan ini akan memastikan proses “migrasi” dapat dilakukan dengan lebih mudah. Mereka yang membayar bil-bil air tidak akan menjadi mangsa disebabkan seglintir yang enggan. Tambahan pula penduduk akan mendapat air percuma untuk 20 meter padu yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sebelum “migrasi” atau dengan meter pukal, Syabas akan kehilangan pendapatan kerana bayaran dari penduduk yang menjelaskan bil-bil mereka kepada pemaju atau ejen pengurusan tidak akan sampai kepada mereka. Tetapi selepas “migrasi” bayaran akan sampai terus kepada mereka.

5 Januari 2009