Tuesday, May 31, 2011

Kenyataan akhbar yang diberikan kepada Sinar Harian tentang kepimpinan dalam PAS.

1 ) Saya lebih yakin kepada meritokrasi dari sebarang label.

2 ) Tidak kira label itu 'Ulamak' atau 'Profesional'.

3 ) Seseorang yang mempunyai kualiti, ilmu, kepakaran, komitmen dan visi untuk memikul sesuatu tanggung jawab wajar diberi peluang tidak kira seorang ulamak atau profesional.

4 ) Seseorang tidak boleh bergantung kepada sebarang label sama ada ulamak atau profesional.

5 ) Mereka mestilah berdiri di atas kekuatan diri mereka sendiri.

6 ) Walau bagaimanapun, sebagai sebuah gerakan Islam maka pemimpin-pemimpin PAS perlu ada ciri-ciri tertentu yang sesuai dengan peranan PAS.

7 ) Tetapi sesuai dengan peranan PAS hari ini yang bukan hanya memimpin orang Islam atau orang Melayu sahaja, pemimpin PAS mestilah berupaya untuk memimpin rakyat yang berbilang kaum.

8 ) Juga sesuai dengan peranan PAS yang merupakan kerajaan di beberapa negeri dan juga kerajaan menanti, pemimpin PAS juga mestilah menguasai kedua-dua cabang ilmu, sama ada ilmu-ilmu dunia dan akhirat.

9 ) Konsep kepimpinan ulama' perlu dipertahankan tetapi semua pemimpin perlu memainkan peranan masing2 serta bekerja keras dan tidak hanya bergantung kepada mana-mana label.

Iskandar Samad
1 Jun 2011

Friday, May 20, 2011

Tambahan kepada Surau Ubudiah hampir siap.

Alhamdulillah tambahan kepada Surau Ubudiah, Pandan Indah hampir siap.

Dengan tambahan ini maka tidak payahlah para jemaah berpanas atau basah kuyup ketika bersolat Jumaat.

Surau tersebut telah mendapat kebenaran JAIS untuk mendirikan solat Jumaat pada tahun lepas.

Tambahan ini bermakna bilangan jemaah yang boleh ditampung oleh surau ini meningkat 2 kali ganda.

Ini sesuai dengan peranan surau ini di dalam masyarakat yang telah dipertingkatkan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor.

Selain dari tempat mendirikan solat Jumaat, ia juga merupakan pusat ilmu dengan pelbagai kuliah dianjurkan hampir setiap hari selepas solat Maghrib. Kuliah-kuliah Subuh turut diadakan pada hari-hari cuti.

Selain dari itu, juga dianjurkan kursus-kursus motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah.

Sumbangan juga diedarkan setiap bulan kepada ahli-ahli kariah yang memerlukan. Sumbangan ini berupa beras, tepung atau makanan-makanan asas yang lain.

Kos tambahan surau ini adalah RM170,000 dan disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor, Pejabat ADUN Chempaka dan orang-orang perseorangan.

Terdapat seorang individu yang menderma RM50,000.

21 Mei 2011

Budak-budak di KLIA 20 Mei 2011

Thursday, May 5, 2011

Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad :
40 peratus rumah mampu milik untuk pembeli 35 tahun ke bawah.

40 peratus rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor akan dikhaskan untuk pembeli berumur 35 tahun ke bawah.

Kerajaan negeri telah memperkenal rumah mampu milik yang berkeluasan di antara 750 hingga 850 kaki persegi dan berharga di antara RM69,000 hingga RM100,000.

Rumah-rumah tersebut dalam bentuk pangsapuri akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju-pemaju swasta yang bersetuju menyertai program ini.

Lebih 2,000 unit akan dibina di pelbagai lokasi di Selangor dengan fasa pertama dilancarkan di Bangi pada 31 Mei depan.

Rumah mampu milik ini adalah untuk mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengawal jualan rumah mampu milik ini agar hanya mereka yang layak dapat membelinya.

Sehubungan itu Kerajaan negeri akan menganjurkan seminar rumah mampu milik pada 5 Julai 2011 di SACC Convec, Shah Alam.

LPHS dan PKNS akan mengendalikan seminar ini dan akan membentangkan rekabentuk-rekabentuk rumah mampu milik yang telah dihasilkan oleh PKNS.

Tujuan seminar ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan terhadap rekabentuk-rekabentuk yang telah dihasilkan itu.

Para pemaju, para profesional, ahli-ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dijemput ke seminar tersebut.

PKNS telah mengenalpasti 6 tapak untuk membina rumah-rumah mampu milik.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
6 Mei 2011

Ketika lawatan kerja MB ke Klang 22 April 2011

6 Mei 2011 - Perginya seorang pejuang : Tuan Haji Jaafar, mantan Ketua PAS Cawangan Taman Cheras Indah.

Tuesday, May 3, 2011

Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad - Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan/ADUN Chempaka - UMNO/BN PINDAH PENGUNDI SETELAH GAGAL DAPAT SOKONGAN RAKYAT.

PAS Kawasan Pandan mendapati bilangan pengundi yang ramai telah dipindahkan dari DUN Teratai ke DUN Chempaka untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Kami telah melakukan semakan terperinci ke atas senarai pengundi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk suku tahun pertama 2011.

Kami telah mendapati perkara-perkara berikut berkaitan perpindahan ini,

1) Perpindahan melibatkan AJK-AJK Umno dari DUN Teratai.

Contohnya AJK Umno Bahagian Pandan yang juga Ketua Umno Cawangan Taman Kencana, Abdullah Thani b. Bukhari yang dipindahkan ke Taman Dagang di dalam DUN Chempaka.

Seramai 5 AJK Wanita Umno Cawangan Pangsapuri Intan telah dipindahkan ke DUN Chempaka. 2 ke Taman Bakti, 2 ke Pandan Jaya dan 1 ke Lorong Molek Kg. Pandan

Seramai 10 orang ahli-ahli Umno dari Kg Cheras Baru telah juga dipindahkan ke DUN Chempaka.

2) Mereka yang dipindahkan untuk mengundi di DUN Chempaka itu masih bermastautin di DUN Teratai. Mereka tidak menetap di alamat di mana mereka didaftarkan.

3) Di antara alamat yang digunakan untuk mendaftar pengundi-pengundi dari DUN Teratai adalah Dewan Kemas di Lorong Molek, Kg Pandan.

Penemuan-penemuan ini membuktikan bahawa Umno/BN telah memindahkan pengundi-pengundi ke dalam DUN-DUN tertentu.

Walaupun jumlah yang dikesan di DUN Chempaka adalah kecil tetapi kami yakin ia adalah sebahagian dari gerak kerja besar-besar Umno/BN bagi seluruh Negeri Selangor.

Umno/BN telah kecewa kerana gagal mendapatkan sokongan rakyat maka terpaksa memindahkan pengundi untuk merampas Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat.

Oleh itu, kami berharap jika SPR benar-benar adil dan telus, ia akan melakukan satu penyiasatan yang terperinci ke atas perkara ini.

Kami juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melakukan penyiasatan kerana dibimbangi operasi ini dibantu oleh agensi-agensi kerajaan Persekutuan.

PAS Kawasan Pandan turut akan membuat bantahan kepada SPR mengenai perpindahan ini.

3 Mei 2011

Sunday, May 1, 2011

Jemputan ke sidang akhbar YB Iskandar A. Samad tentang pemindahan pengundi beramai-ramai ke DUN Chempaka oleh UMNO/Barisan Nasional.

YB Iskandar A. Samad, Exco Kerajaan Negeri Selangor/ADUN Chempaka akan mengadakan sidang akhbar sepertimana berikut,

Tarikh : 3 Mei 2011

Masa : 2.00 petang

Tempat : Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Bangunan SUK), Shah Alam

Isu : Pemindahan pengundi beramai-ramai dari DUN Teratai ke DUN Chempaka oleh UMNO/Barisan Nasional.

Pihak media dijemput hadir.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi 0197598622 (Suhaimi).

Lagi gambar-gambar lawatan ke Hospital Ampang - 1 Mei 2011

Lawatan ke 3 wad itu telah mengambil masa hampir 1 jam.

Saya telah diiringi oleh Ketua Penolong Pengarah hospital tersebut.

Lebih 50 pesakit telah diziarahi dan cenderahati telah disampaikan kepada mereka.

Turut menerima cenderahati adalah para jururawat, pengawal keselamatan dan kakitangan-kakitangan lain yang terlibat.

Turut serta dalam lawatan hari ini adalah sukarelawan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pandan dan PAS Cawangan Pandan Mewah.

Di antara tujuan lawatan tersebut adalah memberi sedikit kecerian dan motivasi kepada para pesakit.

Ia juga memberi peluang kepada saya untuk membincangkan dengan pihak hospital bagaimana Kerajaan Negeri Selangor atau Pejabat ADUN dapat membantu mereka.

Saya telah berjanji untuk mengusahakan agar pihak hospital mendapat sumbangan kerusi roda yang amat diperlukan.

Iskandar A. Samad
1 Mei 2011

Lawatan ke Hospital Ampang - 1 Mei 2011