Monday, May 26, 2008

MASIH DI DEWAN .......

Waktu sekarang jam 8.14 malam. Masih berada di dalam Dewan Undangan Negeri.

Sidang sepatutnya tamat jam 4,30 petang tadi tetapi Tuan Speaker telah memberi seluas-luas peluang kepada EXCO dan ADUN, sama ada Kerajaan atau pembangkang, untuk berucap. Hampir kesemua ADUN Pakatan Rakyat, kecuali 2 orang, telah berucap. Seorang darinya, YB Manoharan A/L Malayalam, ADUN Kota Alam Shah, sedang ditahan di bawah ISA di Kamunting.

Sedang berucap sekarang ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungib, menyokong usul mengecam Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Menurut beliau, di Israel "Military Order 1550" membenarkan tahanan untuk 8 hari. Selepas itu, tahanan perlu dihadapkan ke Mahkamah Tentera dan boleh ditahan selama 6 bulan. Tetapi di Malaysia, selepas tempoh tahanan pertama, tahanan boleh ditahan untuk 2 tahun. Maka ini bermakna ISA lebih kejam dari undang-undang Israel.

Malah asal usul ISA yang dikuatkuasakan dalam tahun 1960 bermula dengan Ordinan Dharurat 1948 yang dikuatkuasakan serentak di Malaya dan di Palestine oleh penjajah British.

Telah didedahkan di Dewan malam ini bagaimana tahanan-tahanan telah,

1. Dibogelkan.
2. Disepak dan diterajang.
3. Diliwat dengan kayu.
4. Dipaksa meminum air kencing.

Sekejap lagi kami akan mengundi dan buat pertama kali dalam sejarah negara kita, sebuah Dewan Undangan Negeri akan mengutuk ISA dan menggesa agar mereka yang ditahan dibebaskan.

Ada 95 orang yang sedang ditahan di bawah ISA sekarang.

Tetapi aneh sekali, tidak ada satu pun dari 20 ADUN BN yang hadir pada sessi malam ini.

26 Mei 2008
8.27 malam

Friday, May 23, 2008

PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Tidak ada kita yang tidak akan bersetuju dengan polisi PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Walau bagaimanapun bagi kita di Selangor yang diperintah oleh sebuah kerajaan campuran, pakatan parti-parti yang memerintah perlu menguasai kerajaan.

Ini bermakna polisi bersama pakatan parti-parti itu (bukan polisi individu) perlu menjadi polisi kerajaan dan bukan kehendak mana-mana individu walaupun individu itu adalah Menteri Besar.

Tetapi ianya mesti bermula dengan parti-parti komponen itu sendiri. Ini tidak menjadi masalah kerana setiap parti mempunyai struktur tertinggi di peringkat Negeri seperti Badan Perhubungan Negeri bagi PAS. Tetapi bagaimana pula dengan pakatan parti-parti itu di peringkat Negeri? Perlu ada satu majlis bersama tetap yang mungkin diwakil empat atau lima orang pemimpin tertinggi Negeri bagi setiap parti.

Sekarang ini hanya terdapat jawatankuasa-jawatankuasa ad hoc untuk membincang perkara-perkara tertentu seperti perlantikan ahli-ahli majlis Kerajaan Tempatan. Tetapi terdapat banyak agenda-agenda utama yang perlu diputuskan yang merupakan hidup mati Kerajaan Pakatan Rakyat seperti perlaksanaan manifesto yang perlu dibuat oleh majlis bersama parti-parti dan bukan instrument-instrument pentadbiran Kerajaan Negeri.

Persoalan kedua pula adalah keputusan bagaimana yang perlu dirujuk? Adakah setiap urusan harian (day to day running) perlu dirujuk kepada parti masing-masing atau majlis bersama parti-parti itu? Adakah keputusan hendak membeli pen dari pembekal yang mana perlu dirujuk kepada Parti? Mana tahu ada yang hendak membekal pen tetapi EXCO tidak memilih syarikatnya dan kemudian timbul kontroversi EXCO tidak meraikan ahli-ahli? Atau hanya perkara-perkara utama sahaja?

23 Mei 2008

Tuesday, May 20, 2008

ULASAN IJTIMAK SELANGOR 2008

Ijtimak PAS Selangor ke 18, 19 Mei lepas, merupakan ijtimak yang paling terbuka.

Buat pertama kali, para perwakilan telah berucap tanpa berselindung atau berlapik. Menyatakan pendapat atau mengkritik sesiapa sahaja. Malah Dato Husam Musa yang telah menyampaikan satu kertas kerja, turut menjadi mangsa.

Pada saya keterbukaan dan keberanian ini amat penting bagi PAS Selangor yang sedang memerintah bersama PKR dan DAP. Ia adalah peluang untuk mengukuhkan Parti. Peluang bagi pimpinan dan ahli-ahli mengukur sejauh mana keikhlasan dan kemampuan masing-masing. Satu proses kematangan yang amat penting.

Pada saya inilah ijtimak yang paling tidak dapat dilupakan walaupun saya telah hadir ijtimak pertama PAS Selangor dalam tahun 1992 di Sijangkang, Kuala Langat. Ketika itu, saya adalah seorang Setiausaha PAS Cawangan.

Ataupun ijtimak kedua (1993) yang diadakan di Surau Al-Huda, Taman Maju Jaya Fasa 3, Ampang Jaya ketika saya pertama kali menjadi Setiausaha PAS Kawasan.

Tetapi kali ini, ijtimak kita begitu unik. Kita amat terbuka. Kita bukan seperti UMNO yang mengongkong ahli-ahlinya. Para perwakilan menyatakan apa yang mereka mahu. Apa yang mereka suka. Dan apa yang mereka tidak suka.

Wakil Serdang mempertikaikan kenapa ADUN mereka (Dr. Shafie Abu Bakar) yang berkelayakan dan berpengalaman tidak dilantik sebagai EXCO. Katanya beliau patut diarak ke SUK Shah Alam.

Kenyataan itu membuat saya dan kita di Pandan merasa bersalah. Walaupun Pandan mempunyai ramai professional namun kami tidak merasakan kita sebuah kawasan yang hebat. Mungkin kalau kami tahu jawatan EXCO itu dikejar orang, sudah tentu PAS Kawasan tidak akan merestukan saya menerima jawatan itu.

Itu sebabnya kita perlu keterbukaan. Menyatakan apa hasrat kita.

Wakil Serdang itu juga mahu PAS Selangor mengkaji rahsia kejayaan Bangi yang boleh mendapat majoriti lebih 6000 undi.

Ismath Habib yang mewakili Kelang berpendapat tidak salah ahli-ahli mahukan habuan-habuan selepas kemenangan. Katanya di zaman Rasulullah SAW, tentera Islam turut mengambil "ghanimah".

Beliau juga berharap agar pimpinan sekarang tidak akan menafikan usaha-usaha “orang-orang lama” yang telah merintis jalan sehingga Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan hari ini. Ismath, orang kuat KoHilal sebelum empayarnya tumbang, berkata beliau pernah bertanding di dalam kawasan Parlimen Kota Raja yang kita menang (Dr. Mariah Mahmud) dan kawasan DUN Selat Kelang (Dr. Halimah Ali Abdullah) yang juga kita menang. Menurut beliau, beliau telah membuka jalan kepada kemenangan hari ini.

Sebagai “orang lama”, saya boleh bersetuju dengan pandangan tersebut. Semasa ijtimak tempoh hari saya duduk di sebelah YB Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya). Mungkin hanya kami berdua sahaja di dalam DUN Selangor kali ini yang pernah tersentuh dengan kehebatan Tuan Guru Haji Ismail Hashim, Pesuruhjaya PAS Selangor yang telah meninggalkan kita dalam tahun 1993.

Selain dari itu terdapat perwakilan yang menegur Dato’ Husam Musa dan Dr. Mujahid Yusuf Rawa kerana berkata kemenangan Pakatan Rakyat adalah akibat dari ayunan undi pengundi bukan Islam kepada pembangkang. Perwakilan itu mahu kepimpinan ulamak dan kekuatan dalam PAS juga diberi kredit.

Yang paling teruk dihentam hari itu adalah para ADUN terutamanya EXCO-EXCO (terutama diri saya) yang dikatakan merasakan diri mereka lebih besar dari Parti dan membelakangkan Parti di dalam membuat keputusan dan melakukan perlantikan politik.

Tuduhan-tuduhan itu boleh dijawab kerana kita tidak sampai 100 hari memerintah dan tidak banyak perlantikan politik yang telah dilakukan tetapi yang paling penting ahli-ahli diberi peluang untuk bersuara tanpa merasa takut. Itulah kelebihan PAS.

Sama ada tuduhan itu betul atau tidak, itu adalah cerita lain. Yang penting ahli-ahli diberikan ruang seluas-luasnya. Mungkin di atas dasar itu hanya Dato’ PJ sahaja yang memberi penjelasan. EXCO-EXCO lain dan ADUN-ADUN tidak tampil untuk bercakap walaupun berkali-kali diminta oleh “moderator”. Jika tuduhan-tuduhan itu dijawab maka ianya akan membunuh semangat ahli-ahli. Maka eloklah ia dibiarkan berlalu dan ahli-ahli pulang dengan rasa puas kerana telah menyuarakan pendapat mereka. Kadang kala kita perlu meraikan akar umbi kita walaupun apa yang disuarakan itu tidak benar.

Walau bagaimanapun mesej yang paling penting ijtimak itu adalah salah satu resolusi yang menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengotakan segala janji-janji pilihanrayanya. Walaupun ianya mungkin akan menelan belanja beratus-ratus juta namun jika kerajaan gagal maka tidak mustahil Selangor akan jatuh kembali ke tangan BN. OLEH ITU, LEBIH BAIK HILANG DUIT DARI HILANG NEGERI. KITA TIDAK ADA PILIHAN LAIN.

Sunday, May 18, 2008

ISU TANAH KUBUR

Pada hari Sabtu lepas, telah diadakan dialog membincangkan pembangunan sebuah tanah perkuburan Islam di Taman Bukit Teratai berikutan bantahan dari sebahagian penduduk.

Sehari sebelum itu, saya telah didatangi oleh beberapa penduduk Islam taman itu dan mereka berkata mereka tidak membantah kewujudan perkuburan itu tetapi mahu ia dianjakkan dari pangsapuri mereka. Mereka mahu beberapa bangsal tempat mereka bergotong royong ketika kenduri kendara dikekalkan.

Saya berharap satu jalan penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak dapat dicari dan isu ini akan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin kerana tapak perkuburan Islam yang kosong di sekitar Pandan telah hampir habis.

Terdapat satu tanah perkuburan Islam di Kg. Cheras Baru di sebelah negeri Selangor tetapi tanah di sekelilingnya telah diambil untuk membangunkan sebuah projek perumahan. Lebih baik tanah perkuburan itu dibesarkan untuk keperluan masyarakat Islam tetapi mereka yang berkuasa ketika itu merasakan lebih wajar membangunkan projek tersebut. Malang sekali pula, pembangunan itu dikatakan tidak mampu dibeli oleh kebanyakan umat Islam.

Tanah perkuburan itu pernah menjadi isu pada pilihanraya umum 2004 di mana tanah-tanah dari projek perumahan itu telah runtuh ke dalam perkuburan tersebut dan telah berlaku hakisan apabila air telah mengalir dari projek itu. Tetapi bantahan orang-orang Islam ketika itu dipandang sebelah mata. Mereka hanya dilayan seperti anjing.

Begitulah keadaan tanah-tanah perkuburan orang Islam dan mereka kerap dilayan seperti warganegara kelas kedua. Ada yang susah hendak dimasuki. Ada yang begitu merbahaya kerana berhampiran dengan kabel-kabel penghantaran elektrik.

Malah apabila kami sekeluarga hendak melawat pusara ayah saya di tanah perkuburan Taman Keramat, kami akan mendedahkan diri kami kepada bahaya. Pusara ayah saya hanyalah beberapa kaki di bawah beberapa kabel penghantaran elektrik. Kadang kala ketika kami membaca Yaasin dan berdoa, kabel-kabel itu akan berbuai-buai ditiup angin. Kedudukannya nun jauh di atas bukit di mana angin bertiup agak kuat. Kami terpaksa mendaki bukit yang curam untuk ke sana.

Oleh itu, saya amat berharap isu kubur ini dapat diselesaikan sebelum kita di Pandan terpaksa mengalami nasib yang sama seperti masyarakat Islam di Petaling Jaya. Ada yang terpaksa membawa jenazah sehingga 30 km untuk ke tanah perkuburan yang terdekat. Dan janganlah pula sehingga kita terpaksa membayar berpuluh-puluh malah beratus-ratus ribu RM untuk menempah tapak kubur seperti yang disediakan oleh Nirwana Memorial Park di Nilai.

19 Mei 2008

Thursday, May 15, 2008

BERAS MALAYSIA vs BERAS USA

Saya masih ingat semasa berada di sekolah rendah terdapat satu siaran radio yang bernama siaran sekolah-sekolah. Ianya bermula jam 9.00 pagi hingga jam 1.00 petang dan akan diulang pada jam 2.00 petang hingga jam 5.00 petang setiap hari, dari hari Isnin hingga Khamis.

Siaran tersebut berkongsi dengan saluran siaran Inggeris RTM dan ketika itu merupakan cara yang paling efektif untuk mempelbagaikan cara mengajar. Mungkin generasi zaman Internet sekarang tidak akan dapat memahami kenapa pelajar-pelajar di zaman itu boleh tertunggu-tunggu akan rancangan-rancangan yang dibuat khusus untuk mereka.

Pada lazimnya, siaran pertama pada jam 9.00 pagi atau 2.00 petang adalah untuk Darjah 1 dan ianya meningkat sehingga rancangan terakhir untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas. Saya masih ingat lagi bagaimana, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Rafidah Aziz, sering memberi syarahan di dalam mata pelajaran ekonomi untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksan HSC atau STPM.

Semasa itu, rancangan atau mata pelajaran kegemaran saya adalah sejarah. Saya amat minat mendengar cerita tentang tokoh-tokoh seperti Napoleon Bonaparte atau Alexander The Great dan kadang-kala berangan-angan ingin menjadi seperti mereka. Masa itu cengkaman sekularisma masih kuat di sekolah-sekolah kita. Tidak ada Saidina Ali atau Umar Abdul Aziz di dalam silabus sekolah rendah.

Selalunya saya akan berlari ke radio apabila mendegar lagu pembukaan siaran sekolah-sekolah itu. Lagu patriotik "Putera Puteri" gubahan Jimmy Boyle. Tetapi apa yang ingin saya berkongsi kali ini adalah bukan tentang mata pelajaran yang saya sukai tetapi satu rancangan, mungkin Bahasa Malaysia atau Ilmu Alam, tentang satu keluarga yang menerima lawatan dari seorang pelajar dari Amerika Syarikat.

Yang paling saya ingat adalah bagaimana keluarga tersebut telah membawa pelajar Amerika itu melawat sawah padi kerana kata tidak ada sawah padi di negaranya.

Walau bagaimanapun apabila saya mula-mula sampai di UK setelah mendapat biasiswa JPA, alangkah terkejut bila mendapati beras di UK adalah dimpot dari "USA". Kebanyakan pasar raya-pasar raya menjual dua jenis beras "American Long Grain" dari Amerika atau "Patna" dari India. Jika kami ada duit lebih, kami akan membeli beras "Basmati".

Begitulah ceritanya. Sebelum ini kita menganggap bahawa negara-negara Barat itu maju semata-mata kerana industrinya. Kita tidak tahu yang Amerika pun menanam padi (Gambar kiri - sebuah sawah padi di Amerika). Walhal dagangan beras Amerika adalah 12% dari dagangan beras dunia. Mereka telah mula menanam padi sejak 1694. California yang kita kaitkan dengan Hollywood yang begitu "glamour" adalah negeri penanam padi kedua besar di negara itu.

Di Malaysia kita sedikit masa dahulu menganggap pertanian sebagai satu pekerjaan yang menjijikan. Kita membuang "Pertanian" dari UPM dan digantikan dengan "Putra". Kita perlu menjadi negara industri kata pemimpin-pemimpin kita. Sawah-sawah padi Kedah diratakan untuk dijadikan kilang-kilang. Sekarang apa sudah jadi?

Bila harga beras melambung tinggi kita menggelabah. Kita hanya ada stok untuk dua tiga bulan sahaja. Itupun ianya disimpan oleh taukeh-taukeh. Walhal sebelum penswastaan industri beras, kita mempunyai gudang-gudang dan "silo-silo" yang boleh menyimpan stok untuk jangkamasa yang lebih lama. Dismpan pula oleh kerajaan. Menurut seorang kawan yang bekerja di dalam sektor ini, stok kita dulu boleh bertahan sehingga 1 tahun. Tetapi sekarang.............gudang-gudang dan "silo-silo" seperti di Kedah sudah menjadi taman-taman perumahan.

Dimanakah polisi "food security" negara? Baru sekarang kita hendak melaung-laungkan slogan 'Pertanian satu perniagaan". Selama ini kita lupa bahawa negara Barat seperti Belanda, Canada, Britain dan Amerika tidak meninggalkan terus sektor pertanian. Jadi kalau beras susah menjadi terlalu mahal, apa yang perlu kita makan..............mungkin "microchip". Sesuai dengan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia negara industri!

15 Mei 2008

Thursday, May 8, 2008

ROBOH ATAU TIDAK?

Salah tetap salah tetapi kadang kala faktor kemanusian perlu juga diberi ambil kira.

Setelah tumbangnya kerajaan BN di Selangor, banyak penyelewengan dan salah guna kuasa telah dapat dibongkar.

Saya ingin merujuk kepada kes di mana sekeping tanah untuk tempat meletak kereta telah dibina warung-warung dan gerai-gerai oleh siapa lagi ....... UMNO.

Ianya menyalahi undang-undang tetapi adakah dengan kemenagan Pakatan Rakyat kita akan merobohkan warung dan gerai itu? Ada yang menjawab, "Ya".

Setelah bertanya-tanya di dapati ada lebih kurang 20 peniaga di situ dan mereka menyewa dari UMNO.

Jika setiap peniaga ada 3 orang pekerja maka ada 60 orang pekerja di situ. Jika setiap pekerja pula ada 4 orang tanggungan ( 1 isteri dan 3 orang anak ) maka gerai-gerai itu merupakan sumber rezeki bagi 240 orang.

Jadi hendak dirobohkan atau tidak?

Jika diroboh, UMNO tidak akan rugi apa-apa! Mereka sudah cukup kenyang dengan sewa yang dipungut sejak bertahun-tahun. Tetapi ada 240 mulut yang perlu mencari sumber-sumber lain jika gerai itu diroboh.

Saya ingat lagi zaman dulu-dulu di mana hampir setiap bandar, besar atau kecil, ada bangunan yang dinamakan "Aked MARA". Di sinilah tempat peniaga Bumiputera yang tidak mampu sewa yang tinggi berniaga.

Tetapi sekarang sudah tidak ada lagi "Aked MARA" atau "Bazaar MARA". UMNO akan membina gerai dan warung "haram" dan peniaga-peniaga akan menyewa dari mereka.

Bijak betul penyamun-penyamun tarbus ini.

Jadi roboh atau tidak? Upgradekan gerai dan warung itu dan sewakan kepada peniaga-peniaga yang sah. Sewa pula diberikan kepada majlis perbandaran.

8 Mei 2008

Wednesday, May 7, 2008

SIAPA YANG MERANCANG KEJATUHAN NAJIB?

Jadi Raja Petra sekarang berada di dalam penjara kerana kononnnya di dalam blognya menuduh Timbalan Perdana Menteri terlibat membunuh rakyat Mongolia, Altantuya Sharibu.

Beliau dikatakan juga sedang melancarkan mogok lapar

Kalau dulu hanya mereka yang rajin melayari laman web sahaja yang mengetahui akan dakwaan ini tetapi sekarang ini seluruh rakyat Malaysia sudah tahu!

Nampaknya yang paling parah akibat publisiti dakwaan ke atas Raja Petra bukanlah Raja Petra tetapi Najib sendiri.

Timbalan Perdana Menteri dikaitkan dengan pembunuhan? Teringat saya "Buku 50 Dalil".

Pandai sungguh mereka yang merancang kejatuhan Najib!

7 Mei 2008

Monday, May 5, 2008

TSUNAMI DUA HALA

Di antara berita utama di Eropah hujung minggu ini adalah kekalahan calon parti Buruh kepada calon parti Konservatif di dalam pemilihan Datuk Bandar Kota London.

Ianya amat memalukan bagi kerajaan parti Buruh kerana kota London, ibu negara Britain, sekarang dikuasai oleh Datuk Bandar pembangkang. Lebih memalukan kerana Datuk Bandar itu akan turut bertanggung jawab ke atas Sukan Olimpik yang diadakan di London dalam tahun 2012.

Calon parti Konservatif, Boris Johnson, telah mengalahkan calon parti Buruh, Ken Livingston, yang merupakan Datuk Bandar sebelum ini. Livingston amat popular di kalangan rakyat. Beliau pernah tidak dicalonkan oleh partinya untuk merebut jawatan Datuk Bandar kerana pandangannya yang terlampau berhaluan kiri maka beliau telah bertanding di atas tiket bebas dan menang.

Ketika saya belajar di Britain, Livingston yang dikenali sebagai “Red Ken”, pernah menjadi ketua Greater London Council (GLC) sebelum jawatan Datuk Bandar dipilih rakyat. Beliau menjadi popular apabila tambang pengangkutan awam di London termasuk keretapi bawah tanah atau "tube" diturunkan sehingga 20% dari kadar asal.

Walau bagaimanapun kerajaan pusat parti Konservatif pimpinan Margaret Thatcher telah menghalang tindakan beliau yang mungkin mengurangkan pendapatan GLC tetapi disukai rakyat. Ia memberi kemenangan politik untuk parti Buruh di dalam suasana parti Konservatif berada di puncak kekuasaannya.

Kadang kala di dalam politik, kita perlu mengenepikan faktor-faktor ekonomi dan kewangan. Selagi mana kita asyik mencongak-congak ringgit, dollar, yen, franc atau dinar, selagi itu kemenangan politik akan menjadi impian. Kemenangan politik itu penting agar sentiasa berada di hadapan pada kacamata rakyat.

Nasib yang dialami oleh “Red Ken” mungkin bukan disebabkan dirinya. Setelah 11 tahun berkuasa, Parti Buruh sedang menuju ke arah kekalahan. Pilihanraya kerajaan tempatan minggu lalu melihat prestasi terburuk di dalam 40 tahun. Tidak ramai yang yakin Perdana Menteri Gordon Brown dapat memenangi pilihanraya umum yang akan datang.

Apabila Tony Blair memimpin parti Buruh menumbangkan parti Konservatif dalam tahun 1997 dengan majoriti yang terbesar dalam tempoh 100 tahun, mungkin mustahil hendak dipercayai keadaan yang di alami oleh parti itu sekarang.

Satu demi satu tuduhan-tuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa telah dibuktikan. Parti Buruh dilihat sebagai lebih kotor dari parti Konservatif sebelumnya. Adakah mereka benar-benar kotor atau kurang pengalaman mentadbir sehingga gagal memahami mana yang betul dan mana yang salah?

Ketika parti Buruh menang, kali terakhir mereka membentuk kerajaan adalah 18 tahun yang lalu. Hanya seorang dua saja di dalam kerajaan yang dibentuk mempunyai pengalaman mentadbir sebuah negara.

Ada menteri yang menggunakan pengaruh untuk mendapatkan visa bagi pembantu rumahnya. Ada menteri yang terlibat di dalam pelaburan yang tidak sepatutnya. Pentadbiran kerajaan dipenuhi oleh penasihat-pensihat dan perlantikan-perlantikan politik yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Kerajaan juga dikaitkan dengan amalan menjual anugerah-anugerah kenamaan dan tindakan-tindakan lain yang memberikan publisiti buruk kepada parti itu.

Persoalannya adakah mereka melakukan semua ini di dalam keadaan sedar atau setelah sekian lama menjadi pembangkang mereka tidak dapat membezakan di antara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan ketika berkerajaan?

Apa yang berlaku kepada parti Buruh ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Tsunami rakyat yang membawa mereka ke puncak kuasa akan menurunkan mereka satu hari kelak.

6 Mei 2008