Saturday, March 19, 2016

KHIDMAT MALAYSIA WILAYAH PERSEKUTUAN DILANCARKAN.




KUALA LUMPUR, 19 Mac 2016 - Khidmat Malaysia perlu melahirkan pakar dalam misi menyelamat dan dalam waktu yang sama perlu bertindak pantas bila berlaku sesuatu bencana. Itulah hasrat YB Dato' Iskandar Abd Samad Naib Presiden PAS selaku Ketua Pengarahnya semasa melancarkan Khidmat Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan pada petang 18 Mac 2016 di Darul Ummah, Kampong Pandan.

YB Dato' Iskandar memaklumkan bahawa dalam usia muda iaitu 3 tahun penubuhan Khidmat Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM), ia telah berjaya dalam hasratnya untuk menjadi sebagai sebuah badan penyelamat yang cekap disemua peringkat yang diperolehi melalui pelbagai latihan.

"Khidmat Malaysia mempunyai dua fungsi utama. Pertama ia akan  bertindak sebagai penyelaras terhadap pelbagai aktiviti kemanusiaan yang dilakukan oleh pelbagai unit dalam PAS. Kedua sebagai penaung kepada pelbagai kepakaran penyelamat semasa bencana" tambah YB Dato' Iskandar lagi.

Sementara itu Tuan Hj Mohamad Noor Mohamad, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli PAS disemua peringkat atas keperihatinan dan usaha kebajikan untuk  turun  ketengah-tengah  masyarakat. Ia sesuai dengan seruan alQuran untuk berlumba-lumba membuat kebajikan (fastabiqul khairat).

PAS mesti dilihat sebagai satu badan yang prihatin dan sensitif, bersedia turun ke lapangan pada bila-bila masa. Ia bukan sahaja sebuah badan syiasah atau dakwah, tetapi aktif dalam misi kemanusiaan dan kebajikan, tambah Tuan Pesuruhjaya lagi.

Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi bagi Wilayah Persekutuan, Tuan Hj Yaccob Omar  pula memaklumkan bahawa penjenamaan semula Khidmat Malaysia yang kini di bawah kelolaan YB Naib Presiden telah memberikan nafas baru bagi memastikan PAS berada di tengah-tengah  masyarakat memberikan khidmat kemanusiaan dan kebajikan.

Tuan Hj Che Othman Husin, mantan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Pahang kemudiannya berkongsi pengalaman beliau. Pengisian beliau dalam program Bual Bicara menjurus kepada pelbagai tata-cara pengurusan bencana khususnya pihak agensi kerajaan.

YB Dato' Iskandar kemudiannya melancarkan Kenderaan Khidmat Malaysia yang terdiri dari beberapa buah kenderaan pacuan empat roda, van, lori dan pick-up truck.

Majlis pelancaran tersebut diserikan juga dengan pelbagai aktiviti menarik. Di samping pameran kegiatan Khidmat Malaysia, beberapa meja perkhidmatan Paramedic & Pemeriksaan Perubatan serta Dapur Rakyat juga dipertontonkan kepada umum.