Skip to main content

PERMOHONAN MEMBINA RUMAH MAMPU MILIK : JABATAN DAN AGENSI TERLIBAT SEDIA DISIASAT.

Di dalam usaha untuk menambah stok Rumah Mampu Milik, Kerajaan Negeri Selangor telah membenarkan pemaju-pemaju membuat permohonan untuk membina rumah tersebut bagi menggantikan Rumah Kos Rendah yang mereka perlu bina.

Walau bagaimanapun, permohonan untuk membina Rumah Mampu Milik ini hanya boleh diluluskan jika permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan itu terlalu rendah.

Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut.

Bentuk pembangunan, kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar kawasan itu juga diambilkira.

Walau bagaimanapun, terdapat pihak yang mendakwa telah berlaku penyelewengan di dalam proses meluluskan permohonan-permohonan itu.

Oleh yang demikian, saya ingin menerangkan di sini prosedur untuk meluluskan sesuatu permohonan.

Setiap permohonan akan disiasat oleh jabatan dan agensi berikut yang akan mengemukakan ulasan-ulasan teknikal kepada Mesyuarat Exco :

1.) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD);

2.) Pihak Berkuasa Tempatan terlibat (PBT) ;

3.) Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) ;

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan sesuatu permohonan.

Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

Walaupun jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS, badan yang terlibat secara langsung menguatkuasakan dasar perumahan negeri, namun ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco.

Tetapi selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan Kerajaan Negeri, saya tidak mempunyai sebarang halangan jika LPHS atau mana-mana jabatan dan agensi itu diaudit atau disiasat.

Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa keputusan sama ada untuk meluluskan atau menolak dibuat oleh Mesyuarat Exco secara bersama atau 'collective'. Ianya bukan keputusan Exco Perumahan.

Terdapat juga pihak yang mendakwa ciri-ciri Rumah Mampu Milik ini adalah tidak jelas.

Oleh yang demikian, berikut adalah ciri-ciri Rumah Mampu Milik Selangor :

1.) Anggaran jualan di antara RM85,000 hingga RM120,000 ;

2.) Keluasan rumah di antara 850 hingga 1,000 kaki persegi ;

3.) Rekabentuk yang terkini seperti konsep 'green building' ;

4.) Mengambilkira aspek kemampuan dari segi binaan, persekitaran dan komuniti ;

5.) Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi seperti kawasan riadah, berinteraksi dan sebagainya termasuk untuk warga emas dan OKU ;

6.) Kos penyelenggaraan yang murah ;

7.) Perolehan keuntungan pemaju tidak melebihi 10 peratus.

Kerajaan Negeri sentiasa akan memastikan bahawa Rumah Mampu Milik yang dibina mampu dibeli oleh golongan sasaran yang ditetapkan iaitu mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan.

Permohonan untuk membina Rumah Mampu Milik ini pula sentiasa diproses dengan adil.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
18 Disember 2012

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...