Skip to main content

BAB 4 - PELUANG DAKWAH YANG TERLEPAS.

Kami tidak kekal lama di rumah yang dicari oleh senior kami. Kediaman itu adalah di tingkat atas sebuah kedai menjual daging. Kami menyewa dari pemilik kedai tersebut. Di rumah itu hanya terdapat 2 bilik tidur. Kami terpaksa berkongsi satu bilik berdua berbanding dengan kawan-kawan lain yang mendapat satu bilik seorang. Kami merasakan perlu untuk memiliki ruang sendiri. Lebih mudah untuk memberi tumpuan kepada kerja masing-masing.

Satu masalah bagi kami adalah bekalan gas. Pemanas ( heater ) rumah kami menggunakan gas. Cuaca di sana sejuk dan pemanas ini amat penting. Masalahnya kami perlu memasukkan duit syiling untuk mendapatkan bekalan. Ini adalah kali pertama kami berjumpa dengan sistem sedemikian. Di Malaysia hanya telefon awam yang menggunakan duit syiling. Masalahnya kotak untuk dimasukkan duit syiling berada di tingkat bawah tanah ( basement ).

Di situ sejuk dan gelap. Ketika kami tercari-cari suis lampu terasa seperti Dracula akan melompat keluar. Bayangkan sedang kami membuat kerja rumah pada waktu malam tiba-tiba terputus bekalan gas maka terpaksa turun dari tingkat atas. Selalunya jika telah lewat malam, kami akan terus tidur. Tetapi ini adalah masalah kecil kerana yang lebih penting kami perlu ruang sendiri.

Akhirnya kami berjaya mendapatkan satu rumah sewa di kawasan yang sama. Kami berjaya menguruskannya tanpa bantuan senior kami. Bagi kami yang baru beberapa bulan tiba di England ia adalah satu kejayaan. Pelbagai perkara boleh berlaku jika kami tidak berhati-hati. Kami boleh ditipu. Walaupun pemilik rumah baru kami adalah juga orang Asia namun kami berhati-hati.

Di kawasan tempat tinggal kami terdapat banyak rumah-rumah dan kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Asia seperti orang Pakistan dan orang India. Walaupun peratusan mereka tidak ramai di Southampton namun mereka menguasai kawasan tempat kami tinggal. 

England telah menjadi tumpuan kepada mereka dari seluruh British Empire untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Sebelum satu akta yang bernama "Commonwealth Immigration Act 1962" dikuatkuasa rakyat negara-negara Komanwel seperti India, Pakistan malah Malaya bebas untuk memasuki United Kingdom dan menetap di sana. Mereka dari negara-negara benua kecil India dan juga pulau-pulau Carribean seperti Jamaica dan Barbados telah mengambil kesempatan.

Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Pakistan dan India telah datang beramai-ramai ke Britain untuk bekerja akibat kekurangan tenaga kerja. Mereka telah datang bekerja di dalam industri  tekstil, pembuatan, kereta dan memproses makanan. Mereka telah menetap di daerah-daerah ( county ) seperti Lancashire, Yorkshire dan West Midlands. Bandar-bandar seperti Luton, Slough, Blackburn, Dewsbury, Bolton, Lancaster, Manchester dan Preston mempunyai peratusan mereka yang tinggi.  Ada juga yang bekerja di dalam perkhidmatan pengangkutan. Mereka sering diberikan pekerjaan yang orang tempatan tidak mahu seperti pekerjaan yang kotor atau yang melibatkan syif waktu malam.

Pada tahun 1951 dianggarkan terdapat hanya 10,000 orang Pakistan di Britain ( British Pakistanis ) tetapi pada tahun 2011 bilangan mereka adalah 1.17 juta orang. Sementara bilangan orang India di Britain ( British Indians ) pada tahun 1951 adalah 31,000 orang tetapi pada tahun 2011 bilangan mereka meningkat kepada 1.45 juta orang.

Kadang-kala saya terfikir kenapa orang Melayu dari Tanah Melayu tidak behijrah ke Britain seperti mereka? Mereka bebas untuk memasuki Britain dan menetap di sana sebelum akta 1962 itu dikuatkuasa. 

Tanah Melayu ketika itu adalah satu negara yang makmur. Orang dulu-dulu berkata campak apa sahaja ke tanah ia akan tumbuh. Mereka cukup makan dan cukup pakai. Tidak perlu berhijrah ke negara orang. Malah orang luar yang datang ke sini hingga ke hari ini.

Pada saya isunya bukan cukup makan atau tidak tetapi tanggungjawab dakwah. Iannya adalah peluang untuk menyebarkan risalah Islam ke negara yang pernah menjajah mereka. Tetapi peluang ini tidak dimanfaatkan.

Begitu banyak jasa mereka yang datang dari Pakistan dan India. Di mana sahaja mereka tinggal mereka akan membuka masjid-masjid. Ada yang membuka madrasah dan ada yang membuka sekolah. Mereka masih berpegang kepada ajaran Islam walaupun mereka adalah generasi ketiga atau keempat. Mereka adalah bagai ikan di laut yang tidak menjadi masin walaupun dikelilingi oleh air yang masin. Walaupun ada yang hanyut namun masjid-masjid tetap penuh di hari Jumaat.

Saya pernah berjumpa dengan seorang pelajar Malaysia di dalam penerbangan ke London dalam tahun 1983 dan beliau hendak ke Bolton untuk belajar di sebuah tahfiz di sana. Bukan di Kelantan atau di Kedah tetapi di Bolton, 26 km dari Manchester. Hari ini di Southampton terdapat 9 masjid dan 1 sekolah Islam walaupun penduduk Islam di sana dianggarkan hanya 10,000 orang. Ini adalah jasa-jasa mereka.

Pada tahun kedua saya di Southampton saya berpindah keluar dari kawasan masyarakat Asia. Saya dan 3 orang rakan telah menyewa rumah di Portswood, sebuah lokaliti 2 km dari Nicholstown. Rumah kami lebih jauh dari kolej dan kami terpaksa menaiki bas. Walau bagaimanapun jika kami keluar awal kami akan berjalan kaki. Jaraknya lebih 3 km tetapi cuaca di sana adalah sejuk oleh itu tidak terasa penat.

Tidak ramai orang Asia yang tinggal di kawasan rumah kami. Budaya masyarakat di situ adalah berbeza. Mereka hanya duduk di dalam rumah. Di kawasan orang Asia atau orang Afrika adalah lebih meriah. Penduduk di situ terutamanya orang Afrika suka bersidai ( hang around ) di tepi-tepi jalan. Mereka berbual, gelak dan ketawa dengan kuat. Ia adalah berbeza bagi orang putih. Senyap dan sunyi. Pernah sekali anggota Polis telah datang ke rumah kami kerana terdapat jiran yang mengadu kami terlalu bising.

Walau bagaimanapun rumah tersebut hanya 20 minit berjalan kaki dari stadium Southampton FC ketika itu, The Dell. Hari ini mereka bermain di stadium baru, St Mary's Stadium, yang berhampiran dengan kolej kami. Justeru tidak menghairankan kenapa saya masih mengikuti perkembangan kelab tersebut walaupun harapan mereka untuk memenangi sebarang kejuaraan adalah tipis. 

Saya ada beberapa kali pergi ke The Dell untuk menyaksikan perlawanan bolasepak. Perlawanan pertama saya adalah pada bulan Februari 1980 di mana Southampton telah mengalahkan Brighton 5-1. Perlawanan terakhir saya pula adalah sebelum pulang ke Malaysia untuk bekerja pada bulan Oktober 1989 di mana Southampton telah seri dengan Crystal Palace 0-0.

Pada tahun pertama saya di Southampton, mereka menduduki tempat ke 8 divisyen 1, divisyen teratas sebelum kewujudan Liga Perdana Inggeris ( EPL ). Pada tahun kedua mereka menduduki tempat ke 6 dan layak ke Piala UEFA. Kejayaan mereka itu setelah mengejutkan dunia apabila mendapatkan khidmat kapten England dan pemenang Ballon d'Or, Kevin Keegan dari SV Hamburg dengan yuran perpindahan 400,000 pound. 

Selain dari menonton bolasepak, saya juga bermain bolasepak kerana ia adalah aktiviti sukan utama pelajar-pelajar Malaysia di sana. Kami selalu bermain di kawasan lapang bersimen di sebelah kelab belia ( Newtown Youth Centre ) bersama belia-belia tempatan. Tidak ada gol di situ tetapi hanya tiang lampu yang di jadikan sasaran. Jika bola terkena pada tiang gol ia dikira sebagai gol. Seminggu sekali kami juga bermain "indoor football" di University of Southampton bersama pelajar-pelajar Malaysia di sana. Universiti itu terletak 3.5 km dari tempat kami. Jika cuaca mengizinkan kami bermain di taman berhampiran dengan pusat bandaraya ( East Park ) di mana terdapat tugu peringatan untuk mereka yang karam bersama-sama kapal RMS Titanic. 

Untuk perlawanan bolasepak pula kami akan bermain di Southampton Common milik majlis bandaraya atau di padang universiti di Wide Lane. Ada satu kisah melucukan ketika saya dan seorang rakan mengambil teksi untuk bermain di Wide Lane. Oleh kerana tergesa-gesa kawan saya meminta pemandu teksi itu membawa kami ke "White Hart Lane". Pemandu itu kebingungan kerana "White Hart Lane" adalah stadium Tottenham Hotspurs di London tetapi kami sempat membetulkan kesilapan itu.

Kami juga mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan menentang pelajar-pelajar Malaysia di bandar-bandar lain. Selalunya bukan setakat bermain bolasepak tetapi badminton, sepak takraw dan ping pong. Kami akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Kami pernah mengadakan perlawanan-perlawanan menentang pelajar-pelajar di Cardiff dan Portsmouth. Program-program seperti ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia atau Malaysian Students Association ( MSA ) di tempat kami.

Kami dapat menubuhkan MSA kerana bilangan kami adalah ramai. Satu lagi negara yang menghantar pelajar-pelajar ke England adalah Zimbabwe-Rhodesia. Saya ada seorang rakan sekelas dari negara itu. Apa khabar agaknya beliau dan negara beliau hari ini?

Ketika saya di Southampton, mereka baru sahaja terlepas dari cengkaman regim kulit putih setelah satu perang gerila yang berlarutan hampir 15 tahun. Satu pilihan raya telah berlangsung pada bulan Februari 1980 dan rakyat termasuk pelajar di kolej kami menyokong Robert Mugabe dan parti Zimbabwe African National Union ( ZANU ) beliau.

ZANU telah menang dan Mugabe menjadi Perdana Menteri. Nama negara itu pun ditukar kepada Zimbabwe sahaja. Usaha-usaha telah dilancarkan untuk membetulkan keadaan setelah lebih 100 ratus tahun dijajah, ditindas dan didiskriminasi oleh orang putih. Tetapi terdapat tindakan seperti merampas tanah orang putih yang menyebabkan keganasan sehingga terdapat orang kulit putih yang mati terkorban. 

Di Malaysia kita perlu bersyukur kerana tidak ada tindakan-tindakan ganas untuk membetulkan jenayah dan diskriminasi yang dilakukan oleh penjajah-penjajah sejak 1511. Selagi kita menghormati di antara satu sama lain, kita akan terus hidup aman.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...