Skip to main content

BAB 16 - PONDOK TELEFON BEWARNA KRIM.

Satu perkara yang unik bagi Hull adalah pondok telefon awam di sana yang bewarna krim. Di seluruh Britain, pondok telefon awam bewarna merah. Pondok telefon merah ini menjadi ikon negara itu yang dikenali di seluruh dunia. Pelancong-pelancong ke sana akan membawa balik model kecil pondok telefon merah itu yang dijual secara meluas di pusat-pusat tumpuan pelancong seperti di kota London. Tetapi tidak di Hull, pondok telefon di sana berwarna krim.

Tetapi kenapa sedemikian? Perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Britain dikendalikan oleh British Telecom tetapi di Hull sahaja ia kekal di bawah majlis bandaraya ( city council ) di sana. Hanya pada tahun 2007, ia dikendalikan oleh sebuah syarikat, KCOM ( Kingston Communication ) tetapi masih dimiliki 100 peratus oleh majlis. Walau bagaimanapun bukan ini sahaja yang unik tentang Hull.

Rumah sewa pertama saya di Hull adalah di Field Street yang merupakan sebuah jalan yang bercantum dengan jalan utama ke bahagian barat bandaraya ini, Holderness Road. Rumah saya itu lebih kurang 3.2 km dari pusat bandaraya. Selalunya saya akan menaiki bas ke stesyen bas utama di pusat bandaraya, Paragon Station. Dari situ saya akan berjalan kaki lebih kurang 1.6 km ke kolej saya di Strand Close. Saya boleh menaiki bas ke sana tetapi berjalan kaki adalah lebih cepat dari menunggu bas.

Sebelum ini di Southampton saya banyak berjalan kaki tetapi di Hull saya lebih banyak menaiki bas kerana jarak di antara satu tempat ke satu tempat adalah jauh. Selain dari itu cuaca di Hull adalah lebih sejuk kerana ia terletak jauh ke utara. Ia juga selalu hujan di sana.

Kedua-dua Hull dan Southampton terletak di tepi laut. Tetapi Southampton adalah di tepi Selat Inggeris ( English Channel ) yang terlindung walhal Hull terletak di tepi Laut Utara ( North Sea ) yang luas dan bergelora. Justeru angin di Hull adalah begitu kuat dan anda terpaksa memakai baju hujan kerana jika anda memakai payung ia akan diterbangkan. Justeru saya lebih selesa menaiki bas dari berjalan kaki.

Berbeza dari Southampton, Hull juga adalah pelabuhan perikanan. Kapal-kapal yang menangkap ikan di Laut Utara akan berlabuh di Hull untuk memunggah ikan-ikan untuk diproses atau diedarkan ke seluruh negara. Justeru tidak menghairankan pada waktu-waktu tertentu dan jika angin yang kencang bertiup dari laut bau ikan akan menyelubungi bandaraya tersebut. Mungkin hari ini tidak lagi tetapi begitulah keadaan ketika saya tinggal

Di Southampton saya hanya berlegar-legar di kawasan berhampiran dengan kolej saya tetapi di Hull saya telah menerokai ke empat-empat penjuru bandaraya tersebut. Mungkin disebabkan kursus Senibina yang saya ikuti di mana tapak-tapak projek yang perlu saya siapkan adalah di sekitar Hull. Malah ada projek-projek yang di luar Hull seperti di Beverley, 14 km dari Hull dan Hornsea, 24 km Hull. Lawatan dan kerja kursus juga melihat pelajar-pelajar terpaksa pergi sejauh London dan Newcastle. Bandaraya Newcastle adalah lebih 230 km dari Hull.

Pelajar-pelajar bukan sahaja dikehedaki mengkaji bangunan atau lanskap. Kami juga perlu mengkaji muka bumi sama ada semulajadi atau buatan manusia. Ketika tahun pertama kami pernah berjalan merentas hutan dan ladang gandum. Saya tidak pasti berapa jauh kami berjalan tetapi ianya berjam-jam. Ketika dalam perjalanan, ada seorang pelajar yang bertanya berapa jauh kami perlu berjalan dan seorang pensyarah kami menunjuk jauh di hadapan di mana pokok-pokok di sana kelihatan begitu kecil kerana begitu jauh jaraknya. 

Pada malam tersebut kami perlu bersesak-sesak di dalam dewan sebuah kampung kecil ( village hall ). Saya masih ingat malam itu kami juga kesejukan kerana dewan itu tidak disediakan dengan pemanas ( heater ) yang mencukupi tetapi kami telah terlalu penat untuk memikirkan tentang keselesaan.

Saya tidak memilih ketika mencari rumah sewa di Hull. Saya tidak berkira sama ada dekat atau jauh dari kolej saya. Jika jauh saya akan menaiki bas. Perkhidmatan bas di Hull adalah tepat pada waktunya. Jika ia dijadualkan tiba jam 8.30 pagi maka ia akan tiba jam 8.30 pagi. Saya pernah menaiki bas dan ia berhenti di satu perhentian dan tidak bergerak. Saya mendapat tahu bas itu tiba beberapa minit awal di perhentian tersebut. Bas itu hanya boleh bergerak pada waktu yang ditetapkan. Tidak awal dan tidak lambat.

Saya juga tidak cerewet bila memilih kawasan untuk rumah sewa. Selalunya pelajar-pelajar akan mencari kawasan di mana terdapat ramai pelajar-pelajar seperti mereka. Kadang-kala rumah sewa di kawasan seperti itu adalah mahal kerana terdapat permintaan yang tinggi. Rumah sewa pertama saya di Hull yang terletak di Field Street bukan di kawasan yang selalu didiami oleh pelajar-pelajar kerana ia terletak terlalu jauh. Saya pernah beberapa kali minum di sebuah kafe berhampiran dengan rumah itu dan mendapati majoriti pengunjung adalah warga emas. Tidak ada pelajar-pelajar.

Saya amat tertarik dengan kafe itu kerana ia seolah-olah menjadi tempat tumpuan "orang-orang pencen". Setiap hari Sabtu kafe itu akan menyediakan makan tengah hari yang khas. Ia bertukar setiap minggu dan menu untuk minggu itu akan ditulis dengan kapur putih pada papan hitam di hadapan kafe tersebut. Mereka akan datang untuk makan tengah hari dan ia seolah-olah satu pertemuan mingguan. Walaupun saya tidak mengenali sesiapa di situ namun saya seronok melihat gelagat mereka. 

Di Hull ada satu jalan utama yang bermula dari pusat bandaraya dekat stesyen keretapi dan berakhir di pekan Beverley. Ia bermula sebagai Beverley Road untuk 7 km pertama tetapi berakhir sebagai Hull Road walau bagaimanapun ia adalah jalan yang sama.

Saya telah membuat kesilapan ketika tiba di Hull buat pertama kali untuk menghadiri temuduga untuk memasuki kursus ijazah. Saya telah sampai pada waktu malam di stesyen keretapi di Paragon Station. Seorang kawan telah memberikan saya alamat pelajar-pelajar Malaysia yang menyewa di atas sebuah kedai antik, Mills Antique, di Beverley Road. Saya bercadang untuk tumpang bermalam sebelum temuduga saya keesokan hari. Saya fikirkan ianya tidak jauh tetapi hanya setelah berjalan dalam hujan dan kesejukan sejauh lebih kurang 3 km saya telah tiba di rumah pelajar-pelajar itu.

Temuduga saya pada keesokan hari adalah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Saya ditemuduga oleh seorang pensyarah bernama Dr Peter Burridge. Beliau akhirnya akan menjadi penyelia projek saya yang terakhir sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Yang melucukan dia bertanya saya tentang bolasepak. Di dalam borang permohonan saya, tutor saya ketika A-Levels, Brian Hoole, yang juga merupakan jurulatih bolasepak telah menyatakan saya bermain bolasepak. Temuduga tersebut bukan seperti temuduga rasmi tetapi bagaikan "borak-borak" di antara dua orang kawan. Memang begitu orang di Yorkshire, mereka cepat mesra berbanding dengan mereka di London atau di selatan. Ini adalah satu faktor kenapa saya memilih untuk belajar di Hull bukan London.

Di Hull terdapat veteran tentera East Yorkshire Regiment yang bertugas di Malaya ketika Darurat ( 1948-60 ) melawan pengganas komunis. Ada seorang bernama Allan yang apabila beliau ternampak pelajar-pelajar Malaysia beliau akan memanggil dengan kuat dari jauh, "Apa khabar?". Memang dia boleh berbahasa Melayu tetapi sedikit. Kami sering juga berbual dengan dia. Memang begitulah perangai orang Yorkshire.

Tetapi ada orang di Britain yang memandang rendah kepada orang Yorkshire atau Yorkshiremen. Loghat ( slang ) Yorkshire bukan sesuatu yang dipandang tinggi. Ada yang menganggap mereka yang menggunakan loghat tersebut sebagai "tidak cerdik" atau "kampung". Terdapat siri-siri komedi dan pelawak-pelawak yang menghina Yorkshire. Siri televisyen seperti "Last Of The Summers Wine" telah mewujudkan "stereotype" untuk Yorkshire. Hanya terdapat seorang Perdana Menteri Britain yang berasal dari Yorkshire iaitu Harold Wilson dari Parti Buruh ( Labour Party ) yang menjadi Perdana Menteri 2 kali ( 1964 hingga 1970 dan 1974 hingga 1976 ). Beliau yang dilahirkan di Huddersfield mengekalkan loghat Yorkshire beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

Di atas cadangan Dr Burridge yang merupakan pengurus pasukan, saya telah menyertai pasukan bolasepak Hull School of Architecture. Pasukan itu telah bermain di dalam liga tempatan yang bermain setiap hari Ahad. Di England, liga seperti ini di nama "Sunday League" yang disertai oleh pasukan-pasukan amatur. Saya sempat bermain beberapa kali sebelum saya hilang minat. 

Pada saya ia amat membebankan. Sebelum ini saya bermain hanya untuk "seronok-seronok" sahaja tetapi bermain di dalam liga walaupun seminggu sekali adalah membebankan. Kami bermain setiap hari Ahad dan sepatutnya saya berehat pada hari Ahad atau menghabiskan kerja-kerja kursus. Selain dari itu saya terpaksa menghadiri latihan pada waktu malam seminggu sekali. Tambahan pula kesemua rakan sepasukan saya adalah pelajar-pelajar tempatan. Saya seorang sahaja yang bukan "Mat Salleh". Saya pula adalah penjaga gol dan ia adalah beban tambahan kerana saya tidak boleh membuat kesilapan. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menarik diri. 

Walau bagaimanapun saya akan tersenyum seorang diri mengenangkan perlawanan akhir saya kerana ia adalah di Hospital De la Pole, sebuah hospital sakit mental di Hull. Saya telah meninggalkan pasukan ketika saya masih waras. Selepas itu hanya bermain dengan bersama rakan-rakan untuk "seronok-seronok" sahaja.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...