Dalam Bahagian 1 saya telah menegaskan betapa penting tugas Perbadanan Pengurusan ( Management Corporation ) atau MC dan Badan Pengurusan Bersama ( Joint Management Body ) atau JMB. Walau bagaimanapun masyarakat tidak mengenali MC dan JMB sepertimana Ketua Kg dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung ( JKKK ). Kita sering mendengar seorang pendakwah terkenal membuat lawak tentang JKKK tetapi kita jarang mendengar pendakwah, pemimpin kerajaan atau tokoh-tokoh menyebut tentang MC atau JMB.Walhal terdapat MC atau JMB yang bertanggungjawab ke atas bilangan penduduk yang lebih ramai dari sebuah kampung tradisional.
JKKK tidak perlu memikirkan tentang kerja-kerja menurap jalan atau membersihkan longkang kerana kesemuanya akan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri. Tetapi MC dan JMB perlu menguruskan kerja-kerja di dalam pembangunan mereka termasuk mendapatkan dana untuk melaksanakannya.
Justeru pengiktirafan dari kerajaan adalah penting. Ketika saya Exco Perumahaan Selangor, Mesyuarat Exco membuat keputusan untuk membenarkan Pengerusi MC dan JMB mengesahkan permohonan-permohonan untuk program-program kebajikan kerajaan negeri dari penduduk di pembangunan mereka. Sebelum itu di antara yang boleh mengesahkannya adalah Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ), Ahli Majlis dan Ketua Kampung. Walaupun ia merupakan pengiktirafkan yang kecil namun ia meletakkan mereka sebaris dengan pelantikan-pelantikan kerajaan.
Saya tidak tahu sama ada amalan ini diteruskan oleh kerajaan negeri hari ini tetapi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu memikirkan cara-cara untuk memberi insentif atau galakan kepada wira-wira pembangunan strata ini. Ketua-Ketua Kampung sering dijemput ke majlis-majlis rasmi kerajaan termasuk program-program Istana mungkin sudah sampai masanya MC dan JMB turut diberikan penghargaan yang sama.
Tekanan yang dirasakan oleh MC dan JMB bukan hanya dirasai oleh Pengerusi atau Setiausaha tetapi keluarga mereka. Sering kali berlaku penduduk yang tidak berpuas hati akan menyerang bukan sahaja Pengerusi tetapi keluarga Pengerusi. Hartabenda beliau seperti kenderaan akan dirosakkan. Justeru tidak hairan terdapat pembangunan di mana tidak ada penduduk yang sanggup menerima tugas yang berat ini.
Hari ini walaupun terdapat MC dan JMB yang memiliki dana yang banyak namun bilangannya adalah tidak banyak. Kebanyakan MC dan JMB menghadapi masalah untuk membayar kerja-kerja penyelenggaraan atau baikpulih kerana tidak berjaya memungut yuran penyelenggaraan dengan sepenuhnya. Keadaan menjadi bertambah parah ketika penularan pandemik Covid-19 apabila ramai yang sama ada hilang punca pendapatan atau mendapati pendapatan mereka berkurangan. Kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih perlu diteruskan tetapi dana yang dipungut berkurangan.
Hanya kerajaan yang mampu membantu MC dan JMB yang menghadapi masalah ini. Satu tabung khas perlu diwujudkan untuk membantu pembangunan-pembangunan strata di seluruh negara yang memerlukan. Dana ini sama seperti peruntukan-peruntukan tahunan yang diberikan kepada Ahli-Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Kampung. Di Selangor ketika PAS bersama di dalam kerajaan telah diwujudkan tabung untuk kerja-kerja baikpulih di bawah program bernama CERIA.
Terdapat juga cadangan agar kerajaan memberikan elaun kepada MC dan JMB. Elaun memang boleh dibayar kepada mereka dari pungutan yuran tetapi ia perlu mendapat kelulusan mesyuarat agung dan Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner Of Buildings ( COB ). Walau bagaimanapun bukan semua MC dan JMB yang mempunyai kemampuan untuk membayar elaun ini dan jika mampu sekalipun tidak semua yang akan menerimanya. Elaun ini wajar dibayar tetapi ia amat membebankan kepada kerajaan untuk membayar walaupun kepada 30 peratus dari lebih 71,600 pembangunan strata di negara kita. Imbuhan dari masa ke semasa seperti BR1M di zaman kerajaan Barisan Nasional adalah lebih praktikal dan realistik.
Tanpa JMB dan MC, pembangunan strata tidak akan dapat diselenggara kecuali diserahkan kepada syarikat swasta. Di Selangor pernah terdapat desakan dari penduduk agak Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) mengambil alih tugas MC dan JMB. Tetapi mampukah PBT menyediakan pekerja-pekerja untuk menyapu setiap koridor dan setiap tangga di setiap bangunan strata di kawasan mereka? Adakah cukai taksiran yang dibayar cukup untuk menampung kos membaikpulih lif atau mengecat facade bangunan? Bolehkah PBT turun dengan segera apabila bumbung diterbangkan oleh angin ketika ribut? Atau apabila tangki air meletup pada jam 3 pagi? Mungkin boleh jika sebulan sekali tetapi bagaimana jika setiap hari di pembangunan yang berbeza-beza?
Justeru penghargaan dan pengiktirafan perlu diberikan kepada MC dan JMB. Kerajaan dan penduduk patut bersyukur terdapat mereka yang sanggup memikul tanggungjawab tersebut. Mereka juga bukan ditubuhkan secara sesuka hati tetapi menurut akta yang diluluskan oleh Parlimen, Akta Pengurusan Strata 2013 atau Akta 757.
7 Oktober 2020