Selalunya ketika cuti panjang pelajar-pelajar Malaysia di UK akan pergi melawat kawan-kawan mereka di bandar-bandar lain. Maklumlah sebagai pelajar keupayaan kewangan adalah terhad oleh itu jika hendak pergi bercuti yang paling menjimatkan adalah dengan menumpang di rumah kawan-kawan. Tidak perlu menyewa hotel. Kadang-kala makan minum pun ditanggung. Tambang keretapi pun adalah murah kerana penuntut-penuntut boleh membeli tiket dengan harga diskaun jika memiliki "Students Railcard".
Selalunya kami akan melawat kawan-kawan yang pernah pergi ke sekolah yang sama ketika di Malaysia atau yang datang dari kampung yang sama. Tetapi terdapat juga mereka yang tiba di satu bandar tanpa mengenali sesiapa dan terus mencari orang Melayu untuk menumpang bermalam.
Selalunya jarang yang keberatan kerana mereka mungkin pernah berjumpa di Malaysia Hall di London ketika berurusan dengan pegawai-pegawai Jabatan Penuntut-Penuntut Malaysia atau Malaysian Students Department ( MSD ) atau semata-mata untuk singgah sebentar jika berada di London.
Di Malaysia Hall tedapat satu kantin ( pada saya hanya sebuah kantin kerana terlalu kecil untuk dipanggil restoran ) yang menghidangkan makanan Malaysia dengan harga yang murah. Terdapat juga sebuah surau di mana solat Jumaat didirikan. Malaysia Hall ketika itu adalah di Bryanston Square berhampiran dengan stesyen Tube Marble Arch.
Selalunya kami akan memastikan kami mengenali mereka di bandar yang akan dilawati. Walaupun kami datang berkumpulan tetapi jika ada seorang dari kami yang mengenali sekurang-kurangnya seorang di bandar tersebut maka kemungkinan untuk menumpang bermalam adalah cerah.
Saya masih ingat satu cuti musim sejuk ( winter holiday ) saya telah pergi ke London. Kalau tidak silap saya pada tahun 1984 ketika saya berada di tahun akhir peringkat ijazah. Saya bertolak ke London dari Hull tanpa sebarang perancangan dan dengan duit sama ada di dalam poket atau di dalam akaun bank yang terhad.
Di London, saya perlu mencari tempat tinggal. Sudah tentu bukan di hotel kerana bukan murah hotel di London walaupun "Bed & Breakfast". Asrama di Malaysia Hall pula selalu penuh.
Saya bernasib baik kerana teringat seorang kawan kepada kawan saya di Hull yang tinggal di London. Dia pernah datang ke Hull untuk melawat kawan saya. Saya ada menyimpan alamat beliau dan ini adalah peluang bagi saya. Tidaklah perlu saya tidur di tepi jalan malam itu. Saya pernah tidur di dalam kereta di luar sebuah Pusat Islam ketika musim sejuk. Pengalaman menunggu sehingga Pusat Islam itu dibuka pada waktu Subuh adalah amat menyiksakan.
Kawan kepada kawan saya itu masih mengingati saya dan dapatlah saya menumpang di rumah beliau. Saya telah lupa lokasi sebenar tetapi ia terletak di utara London. Saya hanya mengenali kawan kepada kawan saya dan ketika penghuni-penghuni rumah itu sama-sama menonton televisyen saya hanya berdiam diri walaupun mereka juga adalah pelajar-pelajar Senibina seperti saya tetapi di London. Mereka melayan saya dengan baik tetapi saya merasa tidak selesa.
Justeru setelah berfikir panjang, keesokan hari saya telah membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan saya. Mungkin juga untuk tidak membebankan kawan-kawan saya yang baru itu. Cuti saya masih panjang, saya mempunyai peluang untuk melawat bandar-bandar lain.
Sebagai seorang pelajar Senibina pengalaman dari lawatan-lawatan ini adalah penting. Kami dapat melihat bangunan-bangunan dan pembangunan-pembangunan yang dapat diterapkan ke dalam projek-projek yang perlu kami hasilkan untuk peperiksaan kami.
Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih destinasi saya yang seterusnya. Ketika itu saya melihat tidak terdapat banyak bangunan-bangunan moden yang menarik di London atau di bandar-bandar lain di UK. Orang British ketika itu adalah terlalu konservatif. Bangunan-bangunan moden di benua Eropah seperti di Perancis dan Jerman adalah lebih menarik. UK mungkin lebih terkenal dengan bangunan-bangunan bersejarah iaitu yang dibina pada abad ke 18, 19 dan awal ke 20. Ketika negara itu masih memiliki tanah-tanah jajahan yang banyak dan kekayaan darinya disedut ke pulau yang menjadi pusat kepada empayar di mana matahari tidak pernah terbenam ( where the sun never sets ).
Selepas London saya telah membuat keputusan untuk menuju ke Paris. Saya masih ingat ketika saya meninggalkan rumah kawan-kawan baru saya itu selepas waktu Maghrib. Ada yang bertanya saya hendak ke mana ketika saya meninggalkan rumah tersebut. Dengan selamba saya berkata saya hendak ke Paris. Dia tercengang kerana saya rasa dia tidak percaya saya hendak ke Paris seorang diri. Sebelum ini saya juga tidak membayangkan kepada sesiapa bahawa saya hendak ke Paris. Saya hanya membuat keputusan untuk menyeberangi Selat Inggeris beberapa jam sebelum bertolak. Maka saya pun menaiki Tube untuk ke stesyen Victoria di mana saya akan menaiki keretapi ke Dover untuk ke Perancis melalui jalan laut.
Tetapi apa yang hendak saya lihat di Paris? Ketika itu ada sebuah bangunan yang terkenal di Paris yang sering menarik perhatian pelajar-pelajar Senibina malah para arkitek. Bangunan itu adalah Pompidou Centre atau Centre Pompidou dalam Bahasa Perancis yang siap dibina dalam tahun 1977. Nama bangunan ini mengambil sempena nama Presiden Perancis dari 1969 hingga 1974, Georges Pompidou. Tetapi ia juga dikenali sebagai Beaubourg iaitu lokasi di mana ia berada.
Bangunan ini adalah sebuah pusat kebudayaan dengan perpustakaan, muzium dan pusat penyelidikan muzik dan akustik. Arkitek-arkitek bagi bangunan ini adalah arkitek British, Richard Rogers dan arkitek Itali, Renzo Piano.
Bangunan ini terkenal kerana ia merupakan bangunan utama "inside out" ( dalam keluar ) yang pertama di dunia. Sistem struktur, sistem mekanikal dan sistem sirkulasi didedahkan di luar bangunan dan tidak disembunyikan di dalam seperti bangunan-bangunan lain. Kesemua itu diwarnakan dengan warna-warna yang tertentu. Contonhya paip hijau untuk bekalan air, saluran biru ( ducts ) untuk kawalan suhu, kabel bekalan-bekalan elektrik disalut warna kuning dan elemen-elemen keselamatan seperti pencegahan kebakaran berwarna merah. Hasilnya adalah sebuah bangunan "Postmodern" dan "High-tech" yang sungguh menarik dan telah memenangi banyak anugerah. Ketika dibina, rekabentuk bangunan ini dianggap radikal. Rogers berumur 38 tahun dan Piano berumur 34 tahun ketika rekabentuk mereka terpilih dari 681 rekabentuk yang lain dalam tahun 1971.
Di Paris seperti biasa saya telah tinggal di sebuah Youth Hostel ( Asrama Belia ) kerana ia adalah yang termurah. Ianya selesa walaupun ia merupakan bilik-bilik asrama dengan katil-katil dua tingkat. Di situ saya berjumpa dengan seorang pemuda Algeria yang juga seorang pengembara seperti saya. Saya jangka umur beliau adalah seperti saya, awal dua puluhan. Kami berbual-bual walaupun Bahasa Inggeris beliau tidak berapa baik dan Bahasa Perancis saya juga hanya terhad kepada beberapa perkataan sahaja. Di asrama ini saya telah membuat satu kesilapan besar.
Pada hari kedua, selepas bersarapan saya telah kembali ke bilik asrama tetapi telah mendapati kamera saya yang disimpan di dalam beg dan ditinggalkan di dalam almari telah hilang. Hanya pemuda Algeria itu yang nampak saya menyimpan kamera saya di situ. Saya mengesyaki beliau yang mengambilnya kerana beliau telah menghilangkan diri. Seingat saya hanya kami berdua yang diberikan bilik tersebut. Walau bagaimanapun Allah sahaja yang tahu siapa sebenar pencurinya.
Mengenang kembali peristiwa tersebut, saya perlu menerima kenyataan bahawa ia adalah kesilapan saya. Almari itu tidak berkunci. Kamera yang hilang adalah kamera SLR, Nikon FG, yang dibelikan oleh ayah saya di Malaysia ketika cuti musim panas dengan harga lebih kurang RM1,000.
Saya terlampau percaya dengan pemuda itu kerana saya amat kagum dengan orang Algeria yang telah membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajahan Perancis melalui satu peperangan yang mengambil masa 7 tahun, 4 bulan, 2 minggu dan 4 hari. Lebih 150,000 anggota tentera pembebasan Front de Libération Nationale atau FLN telah terkorban menentang tentera Perancis dari 1954 hingga 1962. Lebih 25,000 tentera Perancis dan lebih 6,000 orang awam Perancis telah terkorban.
FLN menganggarkan peperangan tersebut mengakibatkan 1.5 juta orang awam Algeria terkorban sementara Perancis menganggarkan 900,000. Tidak kira statistik siapa yang anda guna, rakyat Algeria terpaksa memberikan nyawa mereka untuk menikmati kemerdekaan negara mereka. Itu sebab saya memandang tinggi orang Algeria walau bagaimanapun selepas peristiwa di Paris itu saya lebih berhati-hati dengan mereka dari Afrika Utara.