Saya amat tertarik dengan negara Turki kerana sejarahnya yang berkait dengan Daulah Uthmaniyah yang merupakan khilafah Islam yang terakhir. Daulah ini yang dikenali Barat sebagai "Ottoman Empire" telah tumbang selepas Perang Dunia Pertama hasil perancangan Barat dan Yahudi.
Ketika saya tinggal di UK pada tahun-tahun 80'an saya dapat melihat kesatuan negara-negara Barat yang begitu padu. Sama ada NATO (North Atlantic Treaty Organisation) atau EC (European Community) mereka bergerak senada dan ini merupakan kekuatan sumber mereka. Walhal negara-negara Islam pula berpecah dan bercakaran. Ketika itu saya selalu terfikir alangkah indahnya jika negara-negara Islam juga dapat bergerak senada seperti itu.
Tetapi saya tidak melihat OIC (Organisation of Islamic Countries) sebagai pencetus kepada perpaduan negara- negara Islam. Saya melihat model sistem khilafah ketika zaman awal Islam sebagai inspirasi saya. Saya mengimpikan ditegakkan semula satu daulah dengan seorang khalifah. Tetapi itu adalah imaginasi saya yang mungkin terlalu liar dan tidak terkawal.
Walau bagaimanapun ketika itu berlaku kontroversi Salman Rushdie yang meyakinkan diri saya bahawa perlu ditegakkan sebuah khilafah. Rushdie adalah seorang penulis berbangsa India warganegara British yang menulis buku "The Satanic Verses". Di antara lain buku tersebut menghina isteri-isteri Rasulullah. Kalau saya tidak silap tahunnya adalah 1989.
Dunia Islam mengecam tindakan Rushdie. Terdapat demonstrasi oleh umat Islam di masjid-masjid di UK dan di seluruh dunia. Pemimpin-pemimpin Islam seluruh dunia turut mengecam beliau.
Tetapi Rushdie tidak mempedulikan kecaman-kecaman tersebut sehinggalah pemimpin Iran Ayatollah Khomeini membuka mulut. Khomeini telah mengumumkan ganjaran untuk sesiapa yang dapat membunuh penulis itu. Seluruh dunia tersentak. Rushdie menggigil ketakutan.
Ketokohan Khomeini begitu terserlah. Sebelum ini pemimpin Islam lain tidak dipedulikan tetapi apabila beliau bersuara dunia membuka mata. Sebelum itu dunia Barat dengan sewenang-wenangnya memperlekehkan Islam di dalam isu buku "Satanic Verses". Tetapi tidak lagi setelah Khomeini bersuara. Ketika itu saya berfikir agaknya beginilah keadaannya jika umat Islam mempunyai seorang khalifah. Tetapi jangan tersilap, saya bukan seorang penyokong fahaman Syiah. Pandangan saya terhadap Khomeini dan fahaman Syiah berubah sama sekali apabila saya menonton video ulamak Syiah menghina Saidatina Aisyah R.A., isteri Rasulullah SAW, malah bukan sahaja menghina tetapi mendoakan beliau dilaknati Allah. Terdapat juga video pengikut-pengikut Syiah berpesta mendoakan isteri Rasulullah itu dimasukkan ke dalam neraka. Peperangan di Syria yang melihat militia Syiah membunuh pengikut Sunni turut membentuk pendirian saya.
Saya telah ke Turki pada tahun 1988. Saya mahu melihat dengan sendiri peninggalan-peninggalan khilafah terakhir umat Islam. Saya telah memilih Istanbul untuk dilawati kerana ia adalah pusat daulah tersebut. Sebagai pelajar Senibina (Architecture) saya mungkin lebih mengenali bangunan-bangunan bersejarah di Istanbul dari tokoh-tokoh Uthmaniyah yang lain. Di antaranya adalah Masjid Biru (Blue Mosque), Istana Topkapi dan gereja peninggalan Empayar Byzantine, Hagia Sophia yang telah dijadikan sebuah masjid apabila umat Islam menawan Constantinople tetapi ketika itu sebuah muzium. Saya juga mengenali arkitek paling terkenal Uthmaniyah iaitu Mimar Sinan. Beliau hidup di zaman Sultan Suleiman atau Suleiman The Magnificent.
Constantinople adalah nama lama Istanbul sebelum zaman Uthmaniyah. Walau bagaimanapun sehingga awal abad ke 20 Barat masih menggunakan nama Constantinople. Mungkin mereka masih tidak dapat menerima kenyataan bandar itu sekarang menjadi milik umat Islam. Di antaranya adalah pensyarah tahun akhir saya yang bernama Peter Burridge yang juga memanggil bandar itu Constantinople apabila saya memberitahu saya hendak ke Istanbul.
Saya telah melawat Istanbul sebelum peperiksaan tahun akhir saya. Sebenarnya peperiksaan akhir saya terdiri dari 2 bahagian. Kursus yang saya ikuti ketika itu adalah Diploma in Architecture. Ia memungkin pemegangnya mendapat pengiktirafan Bahagian 2, Royal Institute Of British Architects atau RIBA Part 2. Part 1 telah saya perolehi apabila memperolehi Sarjana Muda Senibina tiga tahun sebelum itu. Oleh itu kursus diploma saya adalah Postgraduate Diploma.
Untuk peperiksaan tahun akhir saya perlu menyiapkan satu projek bangunan yang lengkap. Saya diberi satu ruang di studio untuk mempamerkan projek saya. Di situ saya akan menggantung pelan dan lukisan saya. Di situ saya akan meletakkan model bangunan saya dan kajian-kajian saya. Pelajar-pelajar akan ditetapkan tarikh dan waktu terakhir untuk meletakkan kerja-kerja mereka. Ketika studio tersebut begitu sibuk bukan sahaja dengan pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan tetapi juga kawan-kawan mereka yang membantu seperti menggantung lukisan atau menyusun model. Sungguh meriah ketika itu.
Selalunya selepas dua minggu selepas tarikh akhir tersebut pelajar akan dipanggil untuk ditemuduga. Panel temuduga adalah terdiri dari pensyarah-pensyarah mereka dan pensyarah atau para profesional dari luar. Mereka akan ditanya tentang projek mereka dan juga mempertahankan rekabentuk atau kajian yang mereka lakukan. Selepas temuduga seseorang pelajar boleh mengagak sama ada beliau akan lulus atau gagal. Sepanjang 2 kali saya melalui temuduga tersebut, sekali di peringkat Ijazah Sarjana muda dan sekali di peringkat Diploma, saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempertahankan projek saya. Namun masih berdebar-debar menunggu keputusan. Selalunya nama-nama mereka yang lulus akan disenaraikan pada sekeping kertas yang ditampal di papan kenyataan jadi apabila kertas ditampal pelajar-pelajar akan berebut-rebut mencari nama mereka.
Saya telah pergi ke Istanbul pada tahun 1988 selepas mengemukakan projek saya tetapi sebelum temuduga. Mungkin ada yang bertanya bagaimana saya boleh terbang ke Istanbul sebelum temuduga, satu saat yang paling penting sepanjang kursus saya. Saya pun tidak dapat menjawab soalan tersebut tetapi mungkin saya agak yakin dengan keputusan saya. Saya tidak rasa saya boleh gagal. Walau bagaimanapun tidak banyak yang kami pelajar-pelajar dapat lakukan selepas mengemukakan projek kami. Pada saya dari memikirkan sesuatu yang belum pasti, lulus atau gagal, lebih baik saya pergi melancong!
Saya telah terbang ke Istanbul dari lapangan terbang Gatwick yang terletak di pinggir kota London. Ia kali pertama saya menaiki kapalterbang dari lapangan terbang tersebut kerana selalunya untuk pulang ke Malaysia atau tiba dari Malaysia saya akan melalui lapangan terbang Heathrow. Saya telah membeli tiket yang termurah dan kalau tidak silap saya nama syarikat penerbangannya adalah Air UK. Ada satu cerita yang melucukan bagaimana saya membeli tiket tersebut.
Saya telah berbasikal ke pejabat Students Union (Kesatuan Pelajar) untuk membeli tiket pergi balik ke Istanbul. Dalam perjalanan saya bertembung dengan seorang pelajar Malaysia. Saya lupa namanya. Tetapi saya ingat nama jalan itu, Newland Avenue. Dia menegur saya dan bertanya, "Nak pergi study ke?". Ketika itu peperiksaan akhir kami hampir tiba. Tetapi saya menjawab, "Tak, nak pergi Union beli tiket pergi Istanbul". Saya dapat melihat wajah kebingungan kawan saya apabila mendengar jawapan tersebut. Saya ketawa di dalam hati. Mungkin dia berkata kepada dirinya, "Orang lain sibuk study, Iskandar sibuk nak pergi Istanbul".
Di atas kapalterbang ke Istanbul baru saya menyedari bahawa saya terlupa untuk memesan makanan halal justeru tidak banyak makanan yang dihidangkan yang dapat saya makan. Saya hanya dapat makan makanan yang pada labelnya dinyatakan kandungan yang saya yakin halal. Walau bagaimanapun penerbangan ke Istanbul dari London memakan masa kurang dari 6 jam.
Seingat saya penerbangan tersebut adalah pada sebelah malam dan saya tiba di Istanbul pada waktu Subuh. Apabila kapalterbang mendarat dan juruterbang mengumumkan ketibaan kami seluruh penumpang bertepuk dan bersorak. Fikir saya ini mungkin kali pertama mereka menaiki kapalterbang. Amat melucukan. Mungkin juga mereka berada di dalam satu rombongan, dari kampung yang sama.
Di lapangan terbang, saya telah melalui pemeriksaan pasport dan bagasi seperti biasa. Tetapi apabila pegawai imigresen bertugas melihat paspot saya, saya telah diminta untuk membuka beg saya dan ia diperiksa dengan teliti. Saya rasa cukup terhina. Penumpang-penumpang warganegara UK tidak diperiksa sebegitu. Beg mereka tidak diperiksa tetapi beg saya diselongkar. Saya berpakaian kemas ketika itu tetapi dilayan begitu buruk. Mungkin orang Turki menyangka orang dari Timur Jauh membawa barang-barang terlarang seperti dadah dan sebagainya.
Di lapangan terbang saya berhadapan dengan kejutan pertama. Di kedai bebas cukai (duty free shop) saya ternampak seorang perempuan bertudung, tudung tiga segi bukan tudung bulat, membeli arak. Beliau bersama pasangan beliau, mungkin suami, membelek-belek botol arak. Ia merupakan " first introduction" saya kepada Turki ala Ataturk. Tetapi mungkin juga saya tersilap. Wanita dari Eropah Timur yang bukan Muslim juga ada yang memakai tudung tiga segi.
Oleh kerana ketika itu masih seorang pelajar saya telah cuba mencari penginapan yang paling murah. Selalunya apabila berjalan di Eropah saya menginap di asrama yang menjadi ahli Youth Hostel Association (YHA). Saya menginap di asrama seperti itu di Istanbul. Saya ditempatkan di dalam satu bilik bersama beberapa orang belia dari Jepun. Saya telah lupa berapa ramai. Mungkin 4 mungkin 5.
Pengembaraan mereka lebih menarik. Mereka memulakan pengembaraan dari Beijing melalui Jalan Sutera (Silk Route) terus ke Russia, Iran dan akhirnya di Turki. Sungguh menarik sekali. Ketika itu saya bercita-cita untuk melalui jalan yang mereka lalui.
Pada malam pertama barulah saya menyedari kenapa bilik asrama di situ begitu murah. Lebih kurang jam 1 pagi saya terdengar bunyi jentera yang begitu kuat. Terlalu kuat sehingga kami sebilik tidak dapat tidur. Hanyalah setelah beberapa jam bunyi jentera itu berhenti. Keesokan hari saya telah bertanya dengan pekerja hotel dan mereka memberitahu asrama tersebut adalah di sebelah kilang mencetak suratkhabar. Barulah saya sedar kenapa sewa di situ begitu murah.
Pada keesokan hari saya telah cuba mencari hotel yang lain. Saya telah melihat satu hotel yang kelihatan agak selesa tetapi mengambil keputusan untuk tidak berpindah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi. Terpaksalah saya pekakkan telinga setiap malam.
Sebagai seorang pelajar wang adalah terhad. Sepanjang saya di Istanbul, saya hanya mampu makan kebab dan roti. Percaya atau tidak, itu sahajalah makanan utama saya ketika di sana.