Kebanyakan mereka yang datang ke United Kingdom dari Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Heathrow. Walau bagaimanapun terdapat banyak lapangan terbang antarabangsa yang lain di United Kingdom. Di antaranya adalah di Gatwick, Stansted dan Manchester. Lapangan terbang ini turut menerima penerbangan dari Asia dan Timur Tengah tetapi Penerbangan Malaysia hanya mendarat di Heathrow.
Tetapi saya pernah mendengar kawalan imigresen di lapangan terbang yang lebih kecil adalah tidak ketat. Ada seorang rakan saya yang menjangka akan menghadapi masalah dengan imigresen telah memasuki United Kingdom melalui lapangan terbang Cardiff setelah menaiki kapalterbang di Amsterdam. Dari Malaysia dia tidak mendarat di Heathrow tetapi mengambil penerbangan ke Amsterdam.
Mereka yang datang ke United Kingdom untuk melancong pasti akan singgah di kota London. Mereka yang bekerja atau belajar akan terus ke bandar masing-masing tetapi jika mereka menaiki keretapi maka mereka perlu pergi ke stesyen-stesyen keretapi utama di London terlebih dahulu untuk ke tempat mereka.
London adalah bandaraya yang menarik. Ia adalah bandar kosmopolitan. Penduduknya adalah hampir 9 juta orang. Jumlah ini adalah hampir 2 kali ganda penduduk Scotland. Menurut satu kajian di kalangan pelajar-pelajar sekolah pada tahun 2000, terdapat lebih 300 bahasa yang digunakan di rumah-rumah mereka. Satu lagi kajian menunjukkan hanya 44.9 peratus penduduk London berkulit putih.
Mereka yang hanya datang ke London dan hanya berlegar-legar di kawasan-kawasan yang sering dilawati para pelancong seperti di Oxford Street, Knightsbridge, Trafalgar Square, Leicester Square atau Picadilly Circus sudah tentu menganggap London sebuah bandaraya yang teratur dan kaya dengan sejarah. Ia layak menjadi pusat untuk sebuah empayar yang pernah merangkumi 20 peratus penduduk dunia.
Walau bagaimanapun keadaan adalah berbeza hanya beberapa kilometer dari pusat bandar raya tersebut. London memiliki pelbagai wajah. Wajah-wajah yang amat berbeza dan saya berpeluang merasakannya apabila bekerja dan tinggal di sana.
Selepas tamat pengajian saya dalam bidang Senibina ( Architecture ) di Hull pada bulan Jun 1988 saya telah menulis kepada firma-firma arkitek di seluruh England untuk memohon pekerjaan. Ketika itu keadaan ekonomi di United Kingdom dalam proses pemulihan. Beberapa firma telah memanggil saya untuk ditemuduga. Saya telah ke London, Manchester dan Middlesborough untuk menghadiri temuduga. Akhirnya sebuah firma di London telah menerima saya. Sebenarnya lokasi firma itu bukan di London tetapi di sempadan utara bandaraya tersebut.
Selepas mendapat tawaran pekerjaan saya telah pulang ke Malaysia. Saya telah tiba di Malaysia pada 8 Ogos 1988 atau 8.8.88. Heboh ketika itu tentang tarikh tersebut kerana menurut masyarakat Cina nombor 8 membawa tuah. Kepada masyarakat yang lain ia satu tarikh yang cantik dan yang senang diingat. Ada yang melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut.
Di Kuala Lumpur saya telah mendaftarkan diri di bahagian yang berkaitan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam. Setelah mendaftar, pegawai di situ memberitahu saya bahawa ketika itu tidak ada pekerjaan yang dapat diberikan kepada pelajar-pelajar tajaan mereka yang tamat pengajian.
Justeru setelah berehat lebih kurang satu bulan di Malaysia, saya telah kembali ke London untuk memulakan pekerjaan. Firma di mana saya bekerja terletak di sebuah bandar kecil, Enfield Town. Untuk sampai ke sana saya perlu menaiki Tube dari stesyen-stesyen di London seperti King's Cross atau Covent Garden dan terus ke Oakwood. Dari Oakwood saya perlu menaiki bas untuk ke tempat kerja.
Masalah pertama saya adalah untuk mencari tempat tinggal. Untuk tinggal di tengah-tengah kota London atau Central London sudah tentu terlalu jauh dan terlalu mahal. Akhirnya saya dapat menyewa di High Barnet yang terletak di pinggir kota London. Saya perlu menaiki bas untuk ke Enfield. Walaupun perjalanannya hampir 1 jam tetapi tidak perlu bertukar bas. Bas di sana juga akan tiba tepat pada waktunya dan tidak masalah saya tiba di pejabat sebelum jam 9.00 pagi.
Saya telah bekerja di sebuah firma arkitek yang kecil. Ia dimiliki oleh 2 orang rakan kongsi. Terdapat 5 orang pelukis pelan dan seorang kerani yang juga bertindak sebagai penyambut tetamu. Kebanyakan projek-projek firma ini adalah di sekitar Enfield dan utara London. Nama firma itu adalah William Palmer & Partners tetapi William Palmer tidak lagi bersama firma tersebut. Mungkin telah lama meninggal dunia.
Yang unik tentang firma ini hanya seorang dari 5 orang pelukis pelan adalah orang Inggeris. Dua orang berketurunan Greek, seorang berketurunan Turki dan seorang lagi berketurunan Itali. Mereka lahir di England tetapi datuk nenek mereka bukan dari England. Terdapat ramai orang Turki dan Greek di kawasan di sekeliling tempat saya bekerja.
Pada mulanya saya fikir saya akan menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan halal atau bersolat Jumaat. Saya menjangka saya perlu pergi ke Central London seperti ke Masjid Regents Park atau Malaysia Hall untuk bersolat Jumaat. Mungkin saya terpaksa mengambil masa 2 jam untuk ke sana dan balik semula ke pejabat. Saya tidak fikir boss saya akan membenarkannya.
Tetapi satu petang ketika saya merayau-rayau di kawasan-kawasan sekeliling pejabat saya, saya terjumpa satu kawasan yang didiami oleh masyarakat Islam berketurunan Bangladesh. Di situ terdapat sebuah masjid dan kedai-kedai mereka. Kawasan itu bernama Ponders End dan saya juga berjumpa dengan pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di situ. Mereka adalah pelajar-pelajar Middlesex Polytechnic yang terletak berhampiran di Bounds Green.
Ponders End adalah sebuah pekan kecil lebih kurang 5 kilometer dari stadium kelab bolasepak Tottenham Hotspurs. Ketika itu ia merupakan "pekan Bangladesh". Jika anda berjalan di situ anda akan berjumpa dengan orang-orang tua berjanggut panjang, berkopiah dan berjubah Tabligh berjalan-jalan. Begitu juga dengan kanak-kanak berketurunan Bangladesh yang berlari-lari.
Saya masih ingat satu kedai yang menjual daging halal dan barangan masyarakat Bangladesh bernama Jalalabad. Kedai itu juga menjual ikan air tawar yang telah dibekukan ( frozen ) yang diminati oleh masyarakat tersebut.
Saya hairan kenapa kedai itu dinamakan Jalalabad kerana Jalalabad adalah sebuah bandar di Afghanistan bukan di Bangladesh. Mungkin ia ada kena mengena dengan peperangan di Afghanistan ketika itu di mana pejuang-pejuang Mujahidin melancarkan jihad ke atas tentera Soviet yang menduduki negara mereka. Jalalabad dapat terus bertahan walaupun ia di kelilingi oleh pasaraya-pasaraya seperti Tesco dan Sainsbury.
Di Ponders End, penduduk orang berkulit putih adalah hanya 41 peratus. Terdapat ramai yang berketurunan Bangladesh atau Afrika. Hanya 26 peratus orang berkulit putih itu adalah orang British sementara yang lain adalah seperti yang berketurunan Greek dan Irish. Ini jauh berbeza dari High Barnet di mana saya tinggal. Lebih 81 peratus penduduk di situ adalah orang berkulit putih. Dua kali ganda bilangan di Ponders End. Bilangan orang kulit putih British pula adalah 68 peratus.
Perbezaannya dua lokaliti ini bukan sahaja terhad kepada komposisi kaum tetapi juga kepada bentuk bangunan dan perancangan bandar. Rumah-rumah di Ponders End adalah lebih rapat di antara satu sama lain dan tidak banyak kawasan lapang atau pokok-pokok. Tetapi High Barnet adalah kawasan yang boleh digelar sebagai "leafy surburb" atau kawasan pinggir bandar yang berdaun kerana ia dipenuhi dengan pokok-pokok dan kawasan-kawasan terbuka. Lanskap di Ponders End adalah keras tetapi High Barnet adalah lembut.
Walaupun Ponders End dan High Barnet adalah di pinggir kota London namun ia melambang 2 wajah kota itu yang berbeza. Pada saya ia sungguh ketara bagaikan negara yang berbeza. High Barnet adalah England yang anda sering baca dalam buku-buku cerita seperti Agatha Christie atau Enid Blyton.
Walau bagaimanapun saya hanya tinggal di High Barnet untuk beberapa bulan sebelum berpindah ke Ponders End. Perjalanan 1 jam dari rumah saya ke tempat kerja adalah memenatkan. Setiap hari 2 jam masa saya terbuang di dalam bas. Sementara dari Ponders End ke pejabat saya hanya 10 minit kerana ketika itu saya telah membeli kereta. High Barnet memang kawasan yang lebih tersusun dan pemandangan di sana layak untuk menghiasi poster-poster pelancongan namun saya rasa lebih selamat di Ponders End.
Selalunya selepas kerja saya tidak akan balik ke rumah tetapi akan pergi masjid di Ponders End untuk solat Maghrib dan Isyak. Ketika itu waktu Maghrib adalah di antara jam 5.00 hingga 6.00 petang. Sekiranya saya balik terus ke rumah kemungkinan saya akan terlepas waktu Maghrib. Waktu kerja saya adalah sehingga jam 5.00 petang.
Di masjid itu saya telah mendapat kawan-kawan baru. Saya tidak berjumpa dengan masjid di High Barnet dan saya tidak ke pub atau bar justeru tidak berpeluang untuk mengenali masyarakat di sana dengan lebih dekat.
Saya telah cuba bercampur dengan masyarakat tempatan dengan menyertai sebuah kelab badminton di Potters Bar lebih kurang 8 kilometer dari rumah saya. Ketika belajar saya selalu menyertai pelajar-pelajar lain bermain bolasepak atau bermain badminton. Tetapi setelah bekerja tidak ada lagi peluang seperti itu. Itu sebab saya menyertai kelab tersebut, Twenty Badminton Club. Walaupun mereka menjemput saya bermain di dalam liga badminton di situ namun mereka adalah berbeza dari kawan-kawan saya ketika belajar dahulu. Malah berbeza dari kawan-kawan sepejabat saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpindah.