Skip to main content

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD : SAYA TIDAK AKAN TUNGGU PIHAK POLIS, SAYA AKAN BINA SENDIRI PONDOK POLIS.

Tragedi yang menimpa eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar, yang meninggal dunia setelah disamun di Taman Cempaka, Ampang amat menyayatkan hati.

Sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Chempaka, saya ingin menyampaikan ucapan takziah saya kepada keluarga Allahyarhamah.

Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat.

Juga sebagai Ahli Dewan Negeri, saya merasakan sesuatu yang drastik perlu dilakukan di kawasan tersebut untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

Pejabat saya telah menerima terlalu banyak aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat Allahyarhamah disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kg Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

Sebagai langkah awal, Pejabat saya akan mula membina 5 pondok Polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013.

Dalam tahun 2008, saya pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika beliau merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasrat saya untuk membina pondok-pondok Polis. Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak Polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina.

Tetapi suasana hari ini telah menjadi tidak terkawal. Saya tidak akan menunggu jaminan pihak Polis. Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat pada bulan Oktober ini.

Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela. Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan hartabenda mereka terjamin.

YB Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka
30 Ogos 2013

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi