Skip to main content

PENDUDUK KG. KOK DOH, SELAYANG TERIMA SAGUHATI.

PETALING JAYA, 18 JUN 2011 : Seramai 84 keluarga setinggan Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan menempatkan 1,200 peneroka bandar yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah.

Penduduk Kampung Kok Doh, yang tinggal di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri yang terletak di sebelah Kampung Bukit Botak telah menerima saguhati berjumlah keseluruhan RM483,800 daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu majlis penyampaian cek di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang tengahari tadi.

Menurut satu kenyataan dari pejabat MB, saguhati pemindahan tersebut bukan sahaja melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM500 seorang tetapi juga tawaran dan bantuan pembelian rumah Semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah – mengikut kelayakan masing- masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar.

Dari 84 keluarga, 63 telah layak membeli rumah Semi-D Bukit Botak dengan harga RM99,000. Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM3,600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan, serta saguhati pemindahan RM500, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 20 keluarga yang layak membeli rumah kos rendah RPKR di Selayang Mulia yang bernilai RM42,000 telah diberi subsidi RM7,000 untuk pembelian rumah.

"Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memliki rumah RPKR. Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan RM1,500 serta saguhati pemindahan RM500 seorang," terang kenyataan itu.

Dalam ucapannya sempena majlis penyampaian cek itu, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada masalah setinggan dan peneroka bandar.

"Dahulu, penduduk dipujuk menyerahkan hak tanah mereka kepada syarikat pembinaan yang telah gagal untuk membina rumah dan membayar pampasan seperti yang dijanjikan.

Bila kita jadi kerajaan pada Mac 2008 kita dapati sudah 20 tahun mereka menunggu. Dalam masa dua tahun kita dapat merancang penyelesaian yang menyeluruh. Sekarang rumah sedang dibina oleh PKNS dan akan siap mengikut jadual," katanya.

Nasib peneroka bandar terbela

Beliau berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan nasib peneroka bandar terbela di mana perancangan pembinaan projek perumahan dibuat dengan rapi agar mereka mendapat hasil yang baik.

"Dahulu yang dijanjikan rumah kos rendah RM45,000. Untuk penambahbaikan, kita arahkan PKNS membuat perancangan membuat rumah semi-D dengan harga RM99,000. Jika tidak mahu, PKNS bersedia membeli rumah pada harga RM170,000.

"Oleh itu pemilik tanah tidak rugi apa-apa kerana keuntungan mereka terjamin. Di kawasan ini, ada yang sanggup membeli rumah Semi D pada harga RM220,000. Jadi tiada siapa yang rugi," katanya.

Beliau berkata projek ini adalah bukti hasil kesungguhan dan komitmen kerajaan Selangor menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai sejak 25 tahun lalu yang gagal diselesaikan oleh pihak pentadbiran terdahulu.

Kerajaan negeri pada mulanya menghadapi kesukaran untuk membantu membaik pulih projek terbengkalai ini kerana hak milik terhadap lot-lot tanah telah diserahkan kepada syarikat pemaju yang terdahulu.

Menteri Besar kemudian mengambil keputusan mengarahkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sebagai jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan penduduk Bukit Botak.

Kini projek ini berjalan lancar dengan kemajuan di tapak telah mencapai 21 peratus, dan dijangka siap menurut jadual iaitu pada bulan Jun 2012, kata kenyataan itu - FMT.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi