ADUN Seri Serdang dan Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor itu telah dipotong elaun RM1,500 kerana gagal menghadiri pendengaran SELCAT. Beliau dirujuk ke SELCAT kerana pada sidang lepas telah memberi gambaran yang tidak tepat tentang kes saman Bank Islam terhadap Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Saya menjangka ADUN-ADUN UMNO akan memprotes hukuman terhadap Satim malah mungkin akan bertindak keluar dewan.
Tetapi hanya tinggal beberapa orang ADUN UMNO di dalam Dewan ketika itu. Ketua pembangkang, Dato' Seri Khir Toyo pun tidak kelihatan ketika Dewan menghukum Satim pada lebih kurang jam 3.30 petang.
Satim pula memang tidak hadir. Beliau hanya hadir sekali dari empat hari Dewan bersidang. Mungkin ada benarnya khabar-khabar angin bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai ADUN.
Tetapi kegagalan Khir Toyo dan ADUN-ADUN UMNO membela Satim menimbulkan tanda tanya. Kenapa Ketua Pembangkang tidak mahu membela Setiausaha Perhubungan? Adakah Khir Toyo dan Satim berada di dalam kem yang berlainan? Siapa di antara mereka yang berada di dalam kem Dato' Seri Najib Tun Razak? Ada berapa kem sebenarnya? Siapa pula yang menunggu untuk disingkirkan? Khir Toyo atau Satim?
UMNO sedang mengadakan siri ceramah "Selamat Selangor" tetapi memandangkan masalah yang dihadapi oleh UMNO Selangor, lebih baik diadakan siri ceramah "Selamatkan UMNO Selangor"
16 Jun 2010