Piala Dunia : Di antara strategi dan kekuatan fizikal

Nampaknya walaupun Piala Dunia kali ini di Afrika tetapi pasukan-pasukan Afrika akan pulang awal. Cameroon dan Nigeria telah kalah dua kali dan gagal ke pusingan kedua. Afrika Selatan walaupun tuan rumah mempunyai peluang begitu tipis untuk mara. Ivory Coast pula setelah kalah sekali dan seri sekali juga tidak selamat. Hanya Ghana mempunyai peluang cerah tetapi akan tersingkir jika kalah kepada Jerman dan Serbia mengalahkan Australia.

Dari segi kekuatan fizikal, pemain-pemain Afrika mengatasi pemain-pemain Eropah dan Amerika Selatan. Saiz tubuh mereka juga lebih besar. Tetapi kenapa pasukan-pasukan Afrika gagal menyaingi pasukan-pasukan Eropah dan Amerika Selatan?

Pada saya pasukan-pasukan-pasukan Afrika gagal kerana dari segi strategi dan taktik mereka gagal menyaingi pasukan-pasukan tersebut. Ghana berhadapan dengan Australia yang hanya tinggal 10 pemain tetapi gagal memanfaatkan kelebihan dan tidak dapat menjaringkan gol. Cameroon pula mengasak Denmark bertubi-tubi kali tetapi gagal menjaringkan sebarang gol walhal Denmark dengan hanya serangan-serangan mengejut dapat menjaring gol dan menang.

Dari segi kawalan emosi dan ketahanan mental, pasukan-pasukan Afrika juga ketinggalan. Nigeria telah mendahului Greece tetapi akibat gagal mengawal emosi seorang pemain Nigeria telah dibuang padang. Akibat dari kejadian itu, Greece telah bangkit dan menang.

Strategi, taktik, ketahanan mental dan kawalan emosi bukan sahaja penting di dalam bolasepak dan sukan tetapi di dalam sebarang pekerjaan.

Banyak yang boleh dipelajari dari Piala Dunia. Ia bukan sekadar sukan sahaja.