Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2003 dan 2005 telah meluluskan 1367 lot-lot tanah kepada individu-individu di tapak yang sebelum ini merupakan Kg. Bukit Botak. Asalnya tanah tersebut adalah tanah kerajaan. Sehingga hari ini, sebanyak 1002 individu telah menerima surat hakmilik atau geran mereka. Walau bagaimanapun dari 1367 lot, 237 lot telah diklasifikasikan sebagai lot-lot hilang. Di antara sebab-sebabnya adalah kerana lot-lot tersebut terletak di dalam rizab TNB, terletak di dalam tapak sekolah, bersempadanan dengan tanah kelas 3 atau terlibat dengan cadangan parit. Selain dari itu, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak di dalam siasatan mereka telah mengesahkan terdapat 117 bekas penduduk Bukit Botak telah tercicir di dalam penyelesaian yang diusahakan oleh kerajaan negeri yang lepas. Jawatankuasa ini telah menyemak senarai bekas penduduk Kg. Bukit Botak, memanggil bekas-bekas penduduk, menerima aduan, mengadakan siasatan dan mengadakan temuduga Oleh itu, keluasan tanah yang ada di tapak bekas Kg. Bukit Botak tidak dapat menampung kesemua penduduk yang layak jika ia dibangunkan dengan pembangunan yang "landed" seperti rumah teres, rumah berkembar atau rumah banglo. Menurut kajian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), untuk menyiapkan projek ini berdasarkan perancangan asal iaitu rumah berkembar dengan harga RM42,000 hingga RM79,000, PKNS terpaksa membelanjakan sehingga RM136.4 juta. Sebelum ini, PKNS telah membelanjakan RM48 juta apabila mereka mengambil alih projek ini dari pemaju asal, Delpuri Corporation Sdn. Bhd. Oleh itu, Kerajaan Negeri berpendirian projek Bukit Botak ini tidak praktikal diteruskan menurut perancangan yang asal. Maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih tanah-tanah tersebut. Di bawah Kanun Tanah Negara, penduduk berhak mendapat pampasan yang sewajarnya. Notis siasatan telah dikeluarkan minggu ini. Proses siasatan akan diadakan mulai Disember ini. Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan dengan PKNS tentang pembangunan yang paling sesuai untuk menyediakan kediaman untuk semua bekas penduduk Kg. Bukit Botak yang layak tanpa menambah kerugian yang ditanggung oleh PKNS. Kerajaan Negeri mahu penduduk bukan sahaja mendapat kediaman yang sempurna tetapi pulangan dari hasil usaha mereka meneroka tanah mereka sebelum ini. Sehingga itu, Kerajaan Negeri berharap agar mereka yang terlibat sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak meduduki rumah-rumah yang tidak memiliki sijil-sijil menduduki bangunan. Oleh : Iskandar Abdul Samad Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan 12 November 2009 |
Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk menempatkan semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...