Skip to main content

TUKAR EXCO? ROMBAK DAHULU STRUKTUR PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI!

Ada yang berkata tukar Exco. Ada yang kata bawa masuk muka-muka baru!

Sebelum kita mengambil apa-apa tindakan, saya kata kita teliti dahulu apa masalahnya. Jika benar-benar ada masalah.

Telah banyak kali saya suarakan sama ada di blog ini atau kepada umum bahawa kita perlu rombak struktur pentadbiran kerajaan negeri.

Exco hanyalah Pegerusi Jawatankauasa Tetap berlainan dari Menteri di peringkat kerajaan pusat. Mereka ada Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan ramai lagi kakitangan yang bertanggung jawab dan "answerable" kepada beliau.

Tetapi apa yang ada pada Exco? Benar ada jabatan-jabatan kerajaan tetapi terpaksa dikongsi bersama Exco-Exco lain. Tidak ada jabatan benar-benar di bawah Exco. Ianya terpisah dari Exco-Exco. Kena tunggu giliran. Kena menagih simpati. Ini tidak adil bagi Exco yang melihat perancangan mereka lambat dilaksanakan. Juga tidak adil kepada kakitangan kerajaan yang bingung arahan mana yang perlu didahulukan.

Walaupun terdapat jabatan yang seolah-olah khusus untuk Exco tertentu tetapi dari sudut pentadbiran bukan di bawah Exco tersebut. Contoh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor yang menjalankan kerja-kerja untuk Exco Perumahan. Tetapi ianya satu badan yang ditubuhkan melalui enakmennya sendiri. Ianya ada Pengerusi yang bukan Exco Perumahan dan ahli lembaga pengarahnya sendiri. Walaupun Exco Perumahan adalah ahli lembaga pengarah tetapi segala keputusan-keputusan besar perlu melalui lembaga pengarah. Jadi siapa yang hendak mendengar arahan Exco Perumahan?

Di dalam sidang yang lepas, ADUN Hulu Kelang memohon YAB Dato’ Menteri Besar merombak semula pentadbiran kerajaan. YB itu mahu Exco berada di tengah. Dengan segala kakitangan-kakitangan sokongan di sekeliling. Membantu Exco. Menurut arahan Exco. Bila ianya hendak dilaksanakan? Saya harap secepat mungkin. Kita sudah tukar kerajaan. Kenapa susah sangat kita hendak menukar sistem pentadbiran? Kenapa perlu ikut cara BN?

Masa telah berubah. Exco-Exco sekarang bukan hanya sekadar datang menjenguk sekali-sekala. Membiarkan jabatan-jabatan menjalankan kerja-kerja mereka. Mereka bukan sekadar pergi bermain golf sepanjang minggu dan menjenguk ke pejabat sekali-sekala. Tidak ada Exco yang pandai bermain golf. Mereka buat perancangan, buat “follow-up” dan turun padang. Dari A sampai Z mereka terlibat.

Tetapi yang disediakan untuk pejabat Exco adalah hanya seorang setiausaha kerja dan seorang kerani. Ini sudah lapuk. Di dalam budaya kerja sekarang tidak wajar hanya dengan 2 orang ini sahaja. Ramai Exco yang menggaji sendiri kakitangan tambahan yang dibayar dari gaji Exco atau dari duit Parti. Malang sekali ini berlaku di dalam negeri maju seperti Selangor.

Penyelesaiannya? Rombak. Tambah kakitangan. Di Sabah dan Sarawak pun Exco dipanggil Menteri. Nama tidak penting, Exco atau Menteri atau apa sahaja nama, yang penting rombakan. Buat permulaan mungkin meletakkan sebilangan kakitangan-kakitangan kerajaan di dalam pejabat Exco bukan di luar. Kakitangan kerajaan yang tahu perjalanan dan peraturan kerajaan. Jika tidak, hendak membelanjakan peruntukan yang sememangnya telah diluluskan kepada Exco sekalipun mengambil masa berbulan-berbulan kerana .......... “Tidak ikut prosedur”. Kadang-kala kerani jabatan kelihatan lebih besar dan berkuasa dari Exco. Exco yang diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negeri akhirnya menjadi sekadar bola ping-pong sahaja.

11 Julai 2009

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi