Skip to main content

SYABAS PERLU LONGGARKAN SYARAT-SYARAT MIGRASI

Saya mendapat banyak aduan dari ramai penduduk rumah bertingkat sama ada pangsapuri atau kondominium bahawa mereka terbeban kerana tidak dicaj secara terus oleh Syabas.

Sebaliknya Syabas hanya membaca meter pukal di pembangunan-pembangunan seperti itu dan bukannya meter-meter individu di unit-unit kediaman. Pemaju atau ejen pengurusan akan kemudiannya mengeluar bil-bil kepada penduduk.

Bil yang dikeluarkan selalunya dipertikaikan oleh penduduk kerana,
Kadar caj adalah jauh lebih mahal dari kadar Syabas dan kadang kala sehingga dua kali ganda kerana pemaju atau ejen pengurusan akan mengambil untung. Bacaan meter oleh pemaju atau ejen pengurusan sering dipertikaikan kesahihannya.

Akibat dari rasa tidak puas hati penduduk, ramai yang enggan membayar bil air mereka. Terdapat juga yang tidak membayar bil-bil air mereka kerana tidak puas hati dengan tahap pengurusan dan penyelenggaraan bangunan mereka seperti keadaan yang kotor atau lif yang tidak berfungsi.

Sekiranya ramai yang mempunyai bil-bil yang tertunggak, pemaju atau ejen pengurusan tidak akan membayar kepada Syabas caj pada meter pukal. Jika jumlah yang tertunggak ini tinggi maka akhirnya Syabas akan memotong bekalan air bagi pembangunan tersebut. Ini sungguh tidak adil bagi penduduk yang telah membayar bil-bil air mereka.

Satu cara untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku adalah dengan Syabas membaca meter-meter individu di setiap unit kediaman. Dengan cara ini, hanya mereka yang tidak membayar bil akan dipotong bekalan air mereka.

Syabas akan membaca meter-meter individu jika terdapat permohonan dari penduduk. Proses perubahan dari membaca meter pukal kepada membaca meter-meter individu dinamakan “migrasi” oleh Syabas.

Tetapi terdapat banyak syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum ini dapat berlaku dan di antara yang membuat proses “migrasi” ini terlalu sukar adalah,

(1) Permohonan perlu dibuat oleh kesemua penduduk atau 100% permohonan kecuali bagi unit yang terlibat dengan lelongan atau unit-unit di mana pemilik berada di luar negara.

(2) Sebarang tunggakan bil air oleh pemaju atau ejen pengurusan (bil di meter pukal) perlu dijelaskan sebelum “migrasi” dapat dilakukan.

(3) Perlu mendapat persetujuan atau menerima permohonan dari pemaju atau ejen pengurusan.

Ketiga-tiga syarat ini pada lazimnya akan menggagalkan proses “migrasi” dan saya mencadangkan beberapa pembaharuan iaitu,

(1) Tidak perlu lagi 100% permohonan dari penduduk tetapi memadai peratusan yang lebih rendah seperti 50% ke atas untuk proses “migrasi” diluluskan. Kadang kala penduduk yang gagal membayar caj air kepada pemaju akan menentang proses “migrasi” atau tidak memberi kerjasama.

(2) Syabas tidak perlu menunggu bil yang tertunggak dijelaskan oleh pemaju atau ejen pengurusan sebelum meluluskan sebarang “migrasi”. Bil-bil yang tertunggak adalah di antara mereka dan pemaju atau ejen pengurusan. Syabas akan menuntut dari pemaju atau ejen pengurusan dan jika perlu mengambil tindakan tindakan mahkamah. Terpulanglah kepada pemaju atau ejen pengurusan untuk memikirkan cara yang terbaik untuk mendapatkan bayaran-bayaran tertunggak dari penduduk. Pemotongan bekalan oleh Syabas bagi mereka yang masih berhutang kepada pemaju atau ejen pengurusan adalah juga salah satu cara.

(3) Tidak perlu persetujuan atau pemohonan dari pemaju atau ejen pengurusan untuk “migrasi” diluluskan. Memadai dengan permohonan dari lebih dari 50% penduduk sebelum ia boleh dipertimbangkan dan diluluskan.

Cadangan-cadangan ini akan memastikan proses “migrasi” dapat dilakukan dengan lebih mudah. Mereka yang membayar bil-bil air tidak akan menjadi mangsa disebabkan seglintir yang enggan. Tambahan pula penduduk akan mendapat air percuma untuk 20 meter padu yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sebelum “migrasi” atau dengan meter pukal, Syabas akan kehilangan pendapatan kerana bayaran dari penduduk yang menjelaskan bil-bil mereka kepada pemaju atau ejen pengurusan tidak akan sampai kepada mereka. Tetapi selepas “migrasi” bayaran akan sampai terus kepada mereka.

5 Januari 2009

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi