Skip to main content

'YB Mad dan 'skandal tanah'

Friday, January 11, 2008
Kuek Ser Kuang Keng Jan 10, 08 5:32pm
Malaysiakini

Penduduk Ampang mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka dari Umno, Mad Aris Mad Yusof terbabit dalam sekurang-kurangnya lapan skandal tanah.

Mad Aris yang turut menjadi ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak tahun 1992, menafikan dakwaan tersebut, tetapi penduduk mengesyaki beliau telah menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan banyak tanah simpanan kerajaan di Ampang untuk tujuan komersial.

Ini termasuk kawasan hijau, kawasan simpanan untuk tapak sekolah, longkang, kawasan simpanan jalan, zon pemampan dan tanah kosong. Kawasan terbabit didakwa telah dipajakkan kepada kroni-kroninya yang kemudiannya memajaknya semula kepada syarikat-syarikat pada kadar sewa yang tinggi.

Penduduk yang kecewa dengannya telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendesak supaya Mad Aris digugur daripada senarai calon pilihanraya umum yang lalu.Bagaimanapun, Mad Aris masih dipilih untuk bertanding dan menang untuk penggal keempat.

Malaysiakini akan menyiarkan komen Mad Aris dalam siri terakhir esok.

Skandal tanah

Dari maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan dan maklumat dalam memorandum-memorandum dan surat-surat aduan penduduk, Malaysiakini menemui sekurang-kurangnya lapan dakwaan membabitkan skandal tanah, iaitu:

1. Restoran Millennium Curry House di Jalan Nirwana, Taman Nirwana.

2. Zon industri ringan yang terletak antara Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Kampung Pandan Dalam.

3. Kedai 'Perabut Cempaka' di Jalan Cempaka 3, Taman Chempaka.

4. Zon Industri ringan di Jalan Nirwana 10, Taman Nirwana.

5. Tapak semaian Pandan Puri Corporation di Jalan 1, Taman Putra Sulaiman.

6. Medan selera yang telah dirobohkan bersebelahan SMK Pandan Indah.

7. Padang sasar golf di Pandan Perdana dan,

8. Rumah-rumah tiga tingkat di Taman Chempaka dekat tesen Star LRT.

Berikutan adalah maklumat mengenai dua kes terbabit:

Zon industri ringan

Zon industri ringan seluas 1,500 meter persegi terletak yang di antara MRR2 dan Kampung Pandan Dalam, pada asalnya merupakan kawasan zon pemampan yang disediakan oleh pemaju projek kemudahan awam.

Selepas ia diserahkan kepada MPAJ, majlis tersebut memberi kelulusan pada tahun 2000 untuk ia dimajukan dengan sokongan Mad Aris sebagai wakil rakyat Pandan.

Pada masa ini operasinya dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta, Pandan Puri Corporation Sdn Bhd, dan menempatkan berbelas-belas buah garaj, kedai perabot dan lain-lain.Kawasan zon industri ringan ini terletak hampir dengan kawasan perumahan Kampung Pandan dan tiada jalan atau laluan anara garaj-garaj tersebut dengan rumah-rumah di situ.

Penduduk di situ tidak puashati dengan keadaan tersebut kerana kehidupan harian mereka terganggu oleh bunyi bising dari garaj-garaj tersebut yang dibuka hingga larut malam.

Bagaimanapun, akhbar berbahasa Inggeris, The Sun, melaporkan pada 26 November tahun lalu bahawa pembangunan di situ disokong oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri mempunyai dasar yang membenarkan kawasan zon pemampan dimajukan mengikut kesesuaian di kawasan tersebut," kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud dalam jawapannya melalui emel, sambil menambah ia memberi hasil tambahan kepada MPAJ.

Medan selera

Dalam satu lagi kes, kawasan medan selera seluas empat ekar bersebelahan SMK Pandan Indah, telah dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta pada tahun 2002, dengan mendapat sokongan Mad Aris dan Adun Gerakan kawasan Teratai, Yap Soo Sun.

Syarikat tersebut mendapat kelulusan dari Jabatan Tanah dan Galian (PTG), MPAJ dan pihak pentadbir sekolah tersebut untuk memajak kawasan simpanan tapak sekolah itu, untuk dibina medan selera.

Tidak lama selepas medan selera dibuka, ia mendapat bantahan keras daripada ibubapa kerana ia menyebabkan pencemaran.Selepas pihak pentadbir sekolah menarik balik sokongannya dan PTG memutuskan tidak memperbaharui kontraknya, maka medan selera itupun telah dirobohkan.

Walaupun isu tersebut telah berakhir, tetapi persoalan mengenainya masih berterusan.

Mengapa majlis perbandaran membenarkan medan selera dibina di kawasan bersebelahan dengan sebuah sekolah? Apakah alasan bagi Mad Aris dan Yap menyokong projek tersebut?

Lebih penting lagi, bagaimanakah kawasan simpanan tapak sekolah boleh dipajakkan kepada sebuah syarikat swasta untuk dibina medan selera?

Tanah dikomersialkan

Pengerusi Jawatan Bertindak Penduduk Taman Nirwana Phase 1 dan 2, M Thomas, 52, memberitahu Malaysiakini, pada mulanya, kawasan itu diperuntukkan untuk membina kemudahan awam ianya dikomersialkan.

“Beberapa tahun selepas tanah itu diserahkan kepada majlis perbandaran, statusnya secara rahsia ditukar untuk penggunaan komersial dan swasta. Penduduk hanya menyedari mengenainya apabila projek pembangunannya bermula," katanya.

Menurutnya, pembangunan komersial di tanah simpanan itu akan menjejaskan taraf kehidupan dan harga rumah di kawasan berkenaan. Tambahnya, langkah mengkomersialkan tanah simpanan yang diperuntukkan untuk memperbesarkan longkang, akan mengakibatkan berlaku banjir kilat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemuda Kemajuan Kampung Pandan, Isa Mahadi, 37, mengadu kawasan lapang yang diperuntukkan untuk belia bermain bolasepak dan malah bilik sembahyang di Pandan Utama juga menjadi mangsa pembangunan swasta.

Thomas, yang aktif dalam persatuan penduduk sejak lebih 14 tahun lalu, berkata, tindakan mengkomersialkan kawasan simpanan tersebut bermula selepas pilihanraya umum 1999.

Beliau menggesa MPAJ supaya memberi penjelasan mengapa penduduk tidak dibawa berunding apabila meluluskan penukaran status tanah terbabit dan mengapa kebanyakan kawasan terbabit dimajukan oleh syarikat yang sama.

Malaysiakini difahamkan, kawasan yang dimajukan menjadi zon industri ringan di sepanjang MRR2, kedai 'Perabut Cempaka', tapak semaian dan padang sasar golf, semuanya diuruskan oleh Pandan Puri Corporation Sdn Bhd.

Menurut laporan akhbar The Sun pada 21 Januari tahun lalu, pengarah syarikat tersebut ialah Mohammad Abdullah, 49, yang juga Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Hulu Langat.

Pengarah-pengarahnya yang lain ialah Jalaluddin Zainal Abidin, 54, Nasir Saian, 47, dan Abd Samat Mohd Ali, 43.

Jalaluddin mengetuai jawatankuasa kecil cawangan tersebut untuk "mendapatkan" tanah terbabit manakala Abd Samat merupakan Bendahari manakala Nasir pula ahli biasa.

Walaupun sesetengah penduduk mendakwa, Mad Aris mereka orang yang bertanggungjawab di sebalik penukaran status tanah berkenaan, mereka tidak dapat memberi bukti yang kukuh, untuk mengaitkannya dengan jawatan Mad Aris dalam kerajaan.

‘Seperti kongsi gelap’

Mad Aris dilantik sebagai Adun pada tahun 1990 dan dilantik sebagai ahli MPAJ pada 1992.

Beliau juga menganggotai jawatankuasa tanah daerah Hulu Langat.Mengikut prosedurnya, jawatankuasa tanah daerah bertanggungjawab untuk meluluskan permohonan penukaran status tanah tetapi ia mesti kemudiannya disahkan oleh Exco Kerajaan Negeri.

Majlis perbandaran juga memainkan peranannya dalam proses penukaran status tanah kerana bangunan atau pembangunan di atas tanah tersebut memerlukan kelulusan darinya. Majlis biasanya akan mendapatkan pandangan wakil rakyat dari parti pemerintah mengenai perkara itu.

Berdasar itu, Thomas mendakwa, Mad Aris telah menyalahgunakan kuasanya dan dengan sokongan kerajaan negeri, dapat menswastakan tanah berkenaan untuk keuntungan peribadi.

“Beliau mendesak jawatankuasa tanah supaya bersetuju dengan penukaran status. MPAJ hanya bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan penyelenggeraan, sedangkan penukaran penggunaan tanah biasanya dicadangkan oleh orang politik.

“Tiada tender terbuka, tiada pendokumenan yang sempurna. Kami tidak tahu banyak mana syarikat swasta itu bayar, dan ke manakah perginya wang tersebut? Mereka mengendalikannya seperti sebuah kongsi gelap," kata seorang penduduk.

Penduduk telah membuat aduan kepada MPAJ, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Abdullah and malah Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetapi semuanya tidak membawa sebarang hasil. Berita asal

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi