Skip to main content

WAKIL RAKYAT PERLU BERCAKAP UNTUK SEMUA!

Menurut para pemerhati politik, Parlimen akan dibubarkan pada hari Chap Goh Mei, penamaan calon pada 8 Mac dan hari mengundi pada 16 Mac.

Kita tertunggu-tunggu akan bentuk Malaysia selepas pilihanraya umum yang ke 12 ini. Adakah satu kerajaan baru akan dibentuk di peringkat Persekutuan atau di negeri-negeri yang dianggap sebagai “panas”? Atau BN akan dapat terus bertahan dan akan menjadi lebih ganas, zalim, gelojoh dan rakus lagi?

Sekiranya BN gagal ditumbangkan, walaupun jangkaan ini berbunyi sungguh pesimistik dan menentang arus, saya berharap di Parlimen dan di Dewan-Dewan Undangan Negeri, mereka tidak akan diberi laluan yang mudah.

Kita semua masih ingat nostalgia pasca pilhanraya umum 1999 di mana BN digasak dan dibelasah oleh ahli-ahli Parlimen BA. Tidak seinci pun ruang diberikan oleh wakil-wakil rakyat BA yang dapat mematahkan hujah dan seterusnya menutup mulut wakil-wakil rakyat BN.

Pada hakikatnya wakil-wakil BA walaupun dipilih untuk mewakil pengundi di kawasan-kawasan mereka namun mereka mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Ditambah pula dengan jumlah mereka yang sedikit, pada Parlimen kali ini jumlah pembangkang tidak sampai 10% dan wakil-wakil PAS hanya boleh dikiri dengan jari di sebelah tangan, mereka yang dipilih mestilah mempunyai kualiti dan kaliber yang boleh bercakap untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan kawasan yang mereka wakili sahaja.

DAP telah lama menyedari akan hakikat ini dengan memastikan pimpinan tertinggi mereka dapat dihantar ke Parlimen. Itulah sebabnya Lim Kit Siang kerap berpindah, dari Melaka ke Pulau Pinang dan sekarang di Perak. Beliau tidak berucap untuk Ipoh Timur tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, sebagai ahli PAS saya amat berharap agar PAS menurut jejak DAP di dalam hal ini. Hanyalah yang terbaik perlu “dilepaskan” ke Parlimen. Lebih-lebih lagi PAS sebagai suara Islam di Malaysia perlu memastikan bahawa suara ini kedengaran di peringkat yang paling tinggi di negara kita.

Di dalam dunia tanpa sempadan, sentimen-sentimen kenegerian dan kedaerah perlu dileburkan.

PILIHANRAYA SATU PESTA?

Saya ingin menceritakan pengalaman saya dengan dua ahli kita baru-baru ini.

Yang pertama adalah ketika saya pergi bersolat Asr di sebuah surau di mana ahli-ahlinya sungguh aktif dengan aktiviti surau tetapi hampir tidak terlibat dengan gerakerja PAS Kawasan walaupun pelbagai usaha untuk mendekati mereka telah dilakukan.

Seorang ahli berkata kepada saya, “Jangan takut, malam ini kami akan ke Melewar untuk mendengar Mat Sabu”.

Yang kedua adalah ketika saya mengiringi Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, ketika beliau berceramah di Dusun Tua.

Seorang ahli dari Pandan yang saya jumpa di sana telah memarahi saya kerana kita jarang mengadakan ceramah-ceramah umum.

Saya menerangkan kepada beliau bahawa kita baru sahaja menganjurkan majlis minum teh bersama Ustaz Nasharuddin di Town Park, Pandan Indah. Town Park terletak di tengah-tengah pusat komersial Pandan Indah, beberapa ratus meter dari Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

PAS di banyak tempat di Selangor jika berceramah di ceruk-ceruk, di markas-markas atau akan meletakkan rostrum di dalam rumah kerana takut diganggu polis. Tetapi kita di Pandan meletakkan PAS di tengah-tengah masyarakat dan kita tidak gentar dengan ugutan dan tekanan dari mana-mana pihak sekalipun. Ada orang kata kita berani, ada orang kata kita gila.

Tetapi ahli kita itu masih tidak berpuas hati, dia masih mahu “ceramah malam” di markas.

Kedua-dua pengalaman itu membuat saya bertanya akan gerakerja yang paling efektif untuk memenangi pilihanraya.

Adakah ianya “ceramah malam” di markas? Atau pergi ke Melewar untuk mendengar Mat Sabu?

Tidak dapat dinafikan ceramah memainkan peranan yang penting di dalam mengubah minda rakyat.

Ketika gelombang reformasi melanda negara kita mulai 1 September 1998, ceramah-ceramah perdana atau dengan lebih tepat lagi ceramah-ceramah mega dengan kehadiran melebihi 30,000 orang telah berjaya mengumpil rakyat dari cengkaman UMNO-BN.

Tetapi kadang kala orang yang sama datang ke ceramah-ceramah malah Mat Sabu sendiri pernah merungut kerana orang yang sama sering datang ke Melewar. Tidak ada orang-orang baru.

Jadi apakah yang sepatutnya gerakerja utama kita?

Di dalam Konvensyen Pilihanraya PAS Negeri Selangor pada 23 Disember lepas, Saudara Wan Nik Yusuf dari Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP) memberitahu bahawa gerakerja pilihanraya yang paling penting di Kelantan adalah yang berkaitan dengan daftar pemilih.

Sama ada mendaftarkan pengundi-pengundi baru atau mengenalpasti kecenderungan para pengundi.

Cawangan-cawangan akan memastikan setiap ahli dan penyokong berdaftar sebagai pengundi. Mereka juga mengetahui bila anak-anak ahli dan penyokong mereka akan layak untuk mengundi.

Buku-buku daftar pemilih yang kita di Pantai Barat mungkin melihat empat atau lima tahun sekali hampir menjadi “teks” usrah-usrah. Buku daftar itu sentiasa dirujuk setiap hari. Mereka mengenali semua orang.

Alasan kita di Selangor selalunya adalah ahli-ahli kita tidak ramai seperti di Kelantan. Atau penduduk-penduduk kota sering berpindah randah. Tetapi kadang kala apabila kita bertanya kepada ahli-ahli tentang kecenderungan jiran-jiran terdekat mereka, mereka tidak tahu! Sudah berjiran lebih sepuluh tahun tetapi gagal menyelami hati budi orang-orang di sekelilng mereka.

Apabila diberikan buku daftar pemilih sama ada akan dipulangkan buku yang tidak bertanda, sebersih selepas dibasuh dengan sabun Trojan, atau telah terjual bersama surat-surat khabar lama.

Ini membuat saya bertanya, adakah kita benar-benar serius berusaha untuk menang atau menganggap pilihanraya hanya sekadar satu pesta sebagai alternatif kepada “Jom Heboh” atau “Jom Gegar”?

Di dalam keadaan kita yang sedikit di Selangor berbanding dengan UMNO, gerakerja yang kita lakukan mestilah tepat kepada sasaran. Masa dan wang ringgit tidak seharusnya dibazirkan dengan kerja-kerja yang tidak berkesan dan tidak mendatangkan sebarang hasil.

Untuk memenangi pilihanraya bukanlah sekadar pergi ke Melewar mendengar Mat Sabu. Bukanlah sekadar duduk di surau mendengar kuliah ustaz yang hebat-hebat kerana lebih 95% yang masih tidak ke surau. Bukanlah sekadar duduk di kedai-kedai kopi di kalangan kita mengutuk UMNO. Bukanlah sekadar menaikkan bendera dan poster selepas penamaan calon. Tetapi ianya adalah kerja yang berterusan dan berpanjangan. Pilihanraya tidak dimenangi di dalam masa seminggu!

Menurut Saudara Wan Nik, gerakerja memenangkan PAS di Kelantan dalam tahun 1990 bermula secara sepenuh masa dari tahun 1986. Terdapat petugas-petugas seperti beliau yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihanraya. Tetapi di Selangor jika ada yang memberi tumpuan sepenuh masa kepada pilihanraya, mereka akan dilabelkan sebagai sebagai sekular. Nampaknya orang di Selangor lebih pandai dari Tuan Guru Nik Aziz!

APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN?

Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu gerakerja pilihanraya kita.

Tidak perlu menunggu Cawangan anda bermesyuarat kerana anda boleh melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Tidak perlu menunggu restu dari Ketua Cawangan anda kerana ini adalah arahan terus dari Yang Di Pertua PAS Kawasan.

Malah tidak perlu menunggu wujudnya Cawangan kerana gerakerja ini boleh dilakukan tanpa bantuan sesiapa.

Di antaranya adalah,

1. Mengumpul sebanyak mungkin nombor telefon “handphone” pengundi-pengundi “atas pagar” dan “UMNO cair”
2. Menyenaraikan nama dan alamat pengundi-pengundi “atas pagar’ dan “UMNO cair” yang anda kenali.
3. Mengedarkan risalah-risalah yang dikeluarkan oleh PAS Kawasan. Fotokopi semula jika mampu. Walaupun jika ia diedarkan kepada hanya 10 orang atau 10 buah rumah, ianya amat berharga.
4. Menghadiahkan akhbar-akhbar seperti Harakah, Siasah dan Berita KeADILan kepada pengundi “atas pagar’ dan “UMNO cair” selepas dibaca. Jangan simpan dan menjadi ia “suratkhabar lama”. Masukkan ke dalam peti surat mereka.
5. Menghadiri program-program PAS Kawasan walaupun berseorangan. Kehadiran anda amat membantu di dalam menaikkan moral para petugas di samping memberi imej yang positif di kalangan para pengundi.
6. Naikkan bendera PAS di rumah anda.

Kerja-kerja ini lebih bermakna kepada gerakkerja pilihanraya kita dari pergi ke Melewar mendengar Mat Sabu. Hubungilah saya untuk maklumat lanjut. Kita mempunyai masa yang amat terhad. Anggap Parlimen telah dibubarkan.

Selamat berjuang!

2 Muharram 1429 / 11 Januari 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

BUKAN SEMUA WARGA EMAS CERGAS SEPERTI PAK MAON.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat dari 3.4 juta ( 2018 ) kepada 3.5 juta ( 2020 ). Dari segi peratusan penduduk, ia adalah peningkatan dari 10.3 peratus kepada 10.7 peratus. Sementara untuk rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 2.2 juta ( 2018 ) kepada 2.3 juta ( 2020 ) atau 6.7 peratus ( 2018 ) kepada 7.0 peratus ( 2020 ).  Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih ini atau kumpulan Warga Emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka. Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan rekabentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut. Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan Warga Emas ini juga memiliki keperluan-keperluan mereka yang tersendiri. Kita tidak boleh sama se

BAB 15 - HULL, DI MANA PERANG SAUDARA BERMULA.

Hull adalah satu bandaraya di timur laut England dan lebih kurang 200 km dari London. Perjalanan ke London adalah 4 jam dengan kereta atau 3 jam dengan keretapi. Dengan penduduk lebih kurang 250,000 ia adalah bandaraya ke 10 terbesar di Britain. Hull adalah sebuah pelabuhan. Terdapat feri-feri penumpang ke Rotterdam di Belanda dan Zeebrugge di Belgium. Bandaraya tersebut terletak terletak di dalam daerah ( county ) Yorkshire yang unik dengan budayanya yang tersendiri. Yorkshire adalah daerah terbesar di England justeru telah dibahagikan kepada beberapa kawasan pendtadbiran iaitu North Yorkshire, South Yorkshire, West Yorkshire dan East Riding of Yorkshire. Hull terletak di dalam East Riding of Yorkshire atau East Yorkshire dan nama lamanya ketika saya tinggal di sana adalah Humberside. Nama itu ditukar dalam tahun 1996. Saya telah menyambung pengajian saya di Hull dalam bidang Senibina ( Architecture ) setelah menduduki peperiksaan A-Levels. Selepas MCE ( SPM ) saya telah ditawarkan un