Skip to main content

PARLIMEN TELAH DIBUBARKAN!

Saya masih ingat lagi rapat umum pertama yang saya hadiri. Ianya pada pilihanraya umum 1974, ketika itu saya berada di dalam tingkatan 1 dan saya telah dibawa ke sana oleh bapa saya.

Walaupun rapat umum itu adalah rapat umum BN tetapi semasa itu kami menetap di Petaling Jaya yang merupakan kubu kuat pembangkang.

Dalam pilihanraya umum tahun 1969, Goh Hock Guan mewakili DAP telah menang di sana.

Ketika DAP hampir menang di Selangor dalam tahun 1969, beliau dikatakan akan menjadi Menteri Besar. Tetapi Gerakan di Selangor pimpinan Tan Chee Koon enggan bersama DAP di dalam sebuah kerajaan campuran. Maka UMNO-Perikatan kembali berkuasa.

Pada pilihanraya umum 1974, beliau telah “belot” dan bertanding di atas tiket BN tetapi kalah di tangan calon DAP.

Walaupun di sekolah rendah, saya tahu wakil rakyat saya bernama Goh Hock Guan dari parti “roket”, Beliau adalah seorang arkitek tetapi itu bukanlah pendorong kepada saya untuk menjadi seorang arkitek hari ini.

Mungkin Goh Hock Guan tidak dapat “cari makan” di dalam pembangkang. Tetapi bukan semua arkitek seperti beliau. Bukan semua yang mengejar “gold and glory”. Ada yang meninggalkan bidang mereka dan menjual ayam goreng. Ada yang mahu menternak kambing. Ada yang lebih zuhud dari Ustaz dan Ustazah.

Bercerita tentang zuhud, bekas wakil rakyat PAS yang menang di Parit dalam tahun 1969, Allahyarham Hashim Gera, adalah ayah rakan sedarjah saya. Pertama kali saya berjumpa YB itu, juga dalam tahun 1974, beliau tidaklah seperti seorang YB. Pada saya begitulah sepatutnya seorang YB atau pemimpin, “simple” dan bukan yang minta diraikan, dihormati dan disembah,

PILIHANRAYA ZAMAN DULU-DULU

Perbezaan pilihanraya ketika itu dan masa kini adalah amat ketara. Di antaranya adalah tempoh kempen yang panjang.

Di zaman Tunku, jarak di antara penamaan calon dan pengundian ada yang sehingga 47 hari. Pada pilihanraya umum 2004, ianya adalah 9 hari.

Bagaimana agaknya jika tempoh berkempen hari ini juga sepanjang 47 hari?

Adakah ini bermakna kita akan mempunyai masa yang secukupnya untuk menerangkan kepada rakyat polisi-polisi kita?

Atau adakah jentera pilihanraya kita akan keletihan?

Tidak semua orang boleh bercutiebih dari seminggu!

Walau bagaimanapun, pada pendapat saya 3 bulan tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada kita.

Pada hakikatnya hari ini, sama ada di Pandan atau di Kapar atau di mana-mana sahaja di Selangor, jentera pilihanraya PAS sudah bergerak seperti Parlimen telah dibubarkan.

Inilah perbezaan di antara 2008 dan 2004.

Walau bagaimanapun bukan semua ahli menyedari akan hakikat ini. Ada yang masih lena tidur. Ada yang masih tidur-tidur ayam. Malah ada yang tengah koma!

PARLIMEN SUDAH DIBUBARKAN

Ceramah umum, ceramah kelompok, program-program kemasyarakatan, edaran risalah dan mesyuarat di Pandan diadakan lebih rancak dan kerap dari ketika tempoh berkempen pada pilihanraya umum 2004.

Malah ada yang telah dimasukkan ke hospital akibatnya!

Seperti yang sering saya katakan, Parlimen telah dibubarkan.

Oleh itu, kepada para petugas, masa untuk keluar bertugas adalah sekarang!

Masa untuk menawarkan diri untuk menjadi petugas adalah sekarang!

Masa untuk menderma adalah sekarang!

Jika anda menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk tampil ke hadapan maka anda telah ketinggalan keretapi!

Jika anda menunggu sehingga penamaan calon untuk menyumbang wang ringgit maka sumbangan anda akan hanya dibazirkan untuk gerakerja sampingan sahaja!

Gerakerja utama telah dilakukan sebelumnya!

PERINGATAN PRESIDEN

Dato’ Seri Presiden semasa taklimat khas kepada pimpinan Kawasan-Kawasan bulan lepas telah berkata bahawa semasa pilihanraya duit akan mencurah-curah datang kepada PAS tetapi ketika itu duit hanya boleh digunakan untuk “buat makan” sahaja.

Benar sekali, wang yang diterima di saat-saat akhir hanya akan digunakan untuk membeli makanan para petugas. Akhirnya bilik-bilik gerakan kita menjadi seperti “mini market”. Makanan-makanan yang dibeli cukup untuk menghadapi satu perang nuklear.

Atau wang yang diterima di saat-saat akhir akan digunakan untuk mencetak beribu-ribu risalah. Akibatnya para petugas terpaksa tidur bertilamkan risalah dan poster. Masa tidak mencukupi untuk mengedar beribu-ribu risalah yang diterjunkan beberapa hari sebelum hari mengundi.

Memang benar ada ganjarannya di akhirat kelak bagi sumbangan-sumbangan kita tetapi biarlah sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Oleh itu, sekali lagi saya menggesa, “Jika hendak menyumbang untuk dana pilihanraya, sumbanglah sekarang dan jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan”.

KERAJAAN BARU

Tidak mustahil satu kerajaan baru akan ditabalkan di negeri Selangor selepas pilihanraya umum ke 12.

Suasana politik sekarang menunjukkan bahawa perubahan itu boleh berlaku. BN boleh ditumbangkan.

Tetapi walau siapapun yang akan memimpin kerajaan baru, ianya adalah satu kerajaan campuran. Komposisi kaum di antara Islam dan bukan Islam adalah 50-50.

Pada konvensyen PAS Selangor tahun lepas, Dato’ Mustafa Ali telah menekankan bahawa di Selangor, realitinya adalah perkongsian kuasa.

Inilah realiti kita di Selangor. Ia bukan Kelantan. Ia bukan Terengganu. Ia bukan Kedah. Ia bukan Perlis.

Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberikan lebih ruang kepada Islam untuk didaulatkan.

Undang-undang dan peraturan-peraturan yang menindas perkembangan Islam akan dinyahkan.

UMNO yang menyekat perkembangan dakwah Islam yang sebenar akan menjadi sejarah silam.

Kerajaan negeri, walaupun kerajaan campuran, akan meletakkan Islam kembali di tempat yang sepatutnya.

Prejudis dan permusuhan terhadap Islam yang dibiarkan subur di bawah UMNO akan turut dinyahkan.

Keadilan Islam akan dapat difahami oleh semua.

Tetapi ianya akan berlaku jika kita semua, bukan sahaja ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sahaja, bersatu menuju ke arah matlamat yang sama.

Jika kita asyik bertelagah, kamu tidak ada petugas aku ramai petugas maka UMNO dan BN akan terus juara.

Jika kita tidak mahu mengundi parti-parti pembangkang lain kecuali parti kita sendiri maka ini bermakna kita memberi laluan kepada BN. Bukankah matlamat kita untuk mengalahkan calon-calon BN tidak kira siapa yang menentang mereka? Bukankah dengan tidak mengundi kita pada hakikatnya telah memenangkan BN?

Kita memerlukan satu sama lain untuk mengalahkan BN.

Dalam tahun 1990, pengundi Cina bersama pembangkang tetapi pengundi Melayu tetap bersama BN maka BN gagal dikalahkan kecuali di Kelantan.

Dalam tahun 1999, pengundi Melayu bersama pembangkang tetapi pengundi Cina pula bersama BN maka sekali lagi BN tetap unggul kecuali di dua negeri.

Seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit. Bukan hanya orang Melayu. Bukan hanya orang Cina atau India.

Parti-parti komponen BN bekerja untuk memenangkan calon BN, tidak kira siapa. Tetapi adakah perkara yang sama berlaku kepada kita? Agaknya sampai bila, kita akan terus “dipecah dan diperintah” oleh BN? Dilaga-lagakan seperti ayam sabung untuk kepentingan mereka.

UMNO sering berkata PAS belot apabila PAS bekerjasama dengan orang-orang Cina, dan ramai yang percaya, tetapi UMNO yang menjual kampung-kampung Melayu kepada pemaju-pemaju Cina tidak dihebohkan.

Mungkin kita terlalu bodoh kerana percaya kepada dakyah-dakyah UMNO dan SB-SB.

Mungkin kita hanya berlegar-legar di kalangan kelompok kita sendiri sehingga gagal melihat suasana secara menyeluruh atau “the big picture”.

Kita perlu juga melihat dari luar. Cuba-cubalah berfikir secara global bukan sekadar kampung atau taman kita sahaja. Kita ada 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor, kampung atau taman malah DUN anda adalah hanya satu titik di dalam satu lukisan yang besar.

16 Muharram 1425 / 25 Januari 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi