Skip to main content

KENAPA KHIDMAT MASYARAKAT?

Di antara slogan yang paling disebut-sebut sekarang adalah “Memasyarakatkan PAS”.

Tetapi apakah itu “Memasyarakatkan PAS”? Adakah ianya satu “publicity stunt” yang dilakukan dua tiga bulan sekali untuk menunjukkan bahawa PAS itu prihatin?

Mungkin kita akan menganjurkan hari kesihatan, memanggil Harakah, mengambil gambar dan berharap dunia akan menyanjung kita. Kemudian kita akan kembali seperti sediakala sehingga program kemasyarakatan yang akan datang.

Pada pendapat saya itu bukanlah “Memasyarakatkan PAS” tetapi ia sepatutnya merupakan satu anjakan pradigma dan perubahan sikap. Bukannya program-program yang memasyarakatkan PAS tetapi setiap ahli menjadi agen untuk memasyarakatkan PAS.

Ahli-ahli perlulah prihatin dan responsif setiap masa dan ketika, bukannya bermusim. Tetapi sikap seperti ini tidak boleh dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Bukan semua ahli yang mampu.

Jika ia dipaksa, kepura-puraan kita akan satu hari tersingkap terutamanya apabila kita berhadapan dengan kes-kes yang mencabar seperti yang melibatkan kewangan atau mengorbankan masa.

RAKYAT YANG MELARAT

Kehidupan di kota dengan kenaikan kos sarahidup menekan majoriti rakyat. Rungutan gaji yang tidak cukup kedengaran di mana-mana. Kekayaan negara tidak dibahagikan sama rata dengan yang kaya membolot segala-galanya.

Yang miskin pula dituduh sebagai malas dan enggan berusaha. Walhal ramai yang mempunyai dua tiga pekerjaan. Ada yang berniaga pasar malam, membawa teksi kawan atau “direct-selling” untuk memastikan keluarga mereka tidak kebuluran.

Di negara kita untuk mendapatkan bantuan dari badan-badan seperti pusat zakat atau Baitulmal adalah amat memeritkan. Saya difahamkan ketika ramai yang amat memerlukan, Baitulmal mempunyai “surplus” berjuta-juta ringgit.

Akhirnya ramai yang terpaksa pergi kepada Along seperti seorang mualaf rakan kerja saya yang terpaksa berjumpa Along kerana hendak berkahwin setelah gagal mendapatkan bantuan Baitulmal.

Yang biasa hidup selesa mungkin tidak akan memahami penderitaan rakyat marhaen walaupun hingga ke hari Qiamat. Oleh itu adalah menjadi tugas kita yang memahami untuk memainkan peranan masing-masing.

DR. MAHATHIR DAN PARTI ISLAM

Dr. Mahathir pernah berkata beliau tidak setuju sebuah parti itu di namakan “Parti Islam” kerana jika pemimpin dan ahli parti itu menyeleweng maka bukan sahaja parti tetapi Islam juga akan mendapat malu.

Kita mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Dr. Mahathir tetapi memang benar jika kita yang merupakan pemimpin atau ahli sebuah parti Islam mengambil sikap tidak peduli dan tidak prihatin maka nama Islam akan tercemar.

Relakah kita membiarkan umat Islam yang melarat dibantu oleh kumpulan-kumpulan Kristian, Buddha, Hindu, sosialis atau liberal walhal kita hanya duduk selesa bertasbih dan mendengar kuliyyah?

DUNIA MATERIALISTIK

Perlulah kita dijanjikan undi sebelum kita menghulurkan bantuan? Perlukah kita bertanding pilihanraya sebelum kita menjadi lebih prihatin? Di manakah keyakinan kita terhadap dosa dan pahala atau syurga dan neraka jika kita mengharapkan balasan duniawi sebelum berbuat sesuatu?

Adakah kita lupa kepada hadith Rasulullah SAW yang menyatakan keluar seorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik dari dia beriktikaf sebulan di dalam masjid?

BAGAI LANGIT DAN BUMI

Saya telah bersekolah menengah di sebuah sekolah yang pada suatu masa dahulu merupakan yang paling elit di negara kita.

Pada mulanya ia merupakan sekolah bagi anak-anak Raja dan para bangsawan. Tetapi apabila negara sedang menuju ke arah kemerdekaan, ianya telah dibuka kepada rakyat biasa.

Di sana saya dapat melihat bagaimana anak-anak Raja dan Menteri bersama-sama anak-anak penoreh getah dan pesawah padi di dalam bilik darjah dan padang permainan yang sama.

Saya dapat menyaksikan dengan mata saya sendiri bagaimana yang paling kaya dan yang paling miskin di negara kita hidup. Kadang-kala amat menjijikkan melihat bagaimana si kaya melayan si miskin.

Ketika itu saya merumuskan bahawa “dosa” yang paling besar di negara kita adalah jurang perbezaan bagaikan langit dan bumi di antara yang paling kaya dan yang paling miskin.

Mungkin itu sebabnya Pandan adalah di antara 2 dari 22 Kawasan di Selangor yang telah berjaya menubuhkan pusat khidmat masyarakat yang beroperasi secara konsisten.

NEGARA KEBAJIKAN

Ketika belajar dan bekerja di Britain selama 9 tahun, untuk 5 tahun saya telah tinggal di timur laut England yang merupakan kubu kuat Parti Buruh. Ketika itu ia masih sebuah parti pembangkang.

Salah seorang ahli Parlimen di tempat saya ketika itu, John Prescott, kini telah menjadi Timbalan Perdana Menteri Britain.

Berbanding dengan Parti Konservatif, Parti Buruh adalah parti bagi para pekerja dan memperjuangkan nasib rakyat kelas bawahan.

Selepas menang mengejut pada pilihanraya umum 1945, Parti Buruh telah menjadikan Britain sebuah “welfare state” atau “negara kebajikan”.

Program-program seperti National Health Service atau NHS telah diperkenalkan dalam tahun 1948 untuk menjaga kebajikan rakyat dari buaian hingga ke liang lahad.

Mereka mungkin berhaluan kiri namun di dalam banyak perkara, nilai-nilai mereka itu mirip kepada Islam walaupun kerajaan Tony Blair kini dikecam kerana telah mengkhianati banyak prinsip-prinsip asal parti tersebut.

WARISAN YANG TELAH DILUPAKAN

Tuan Haji Mohammad Sabu pernah menulis bagaimana konsep “accountability” atau kepertanggungjawaban itu datangnya dari tamaddun Islam tetapi kini mereka di Barat lebih “accountable’ kepada rakyat. Barat telah mengkaji nilai-nilai yang dipelopori oleh Islam dan mempraktikkannya.

Pada saya, begitu juga kebajikan. Bukan sahaja negara-negara Barat amat mengutamakan kebajikan rakyatnya tetapi ia telah dapat menghasilkan kelompok-kelompok manusia yang prihatin dan komited. Sekali lagi mereka mengkaji Islam dan menirunya tetapi kita telah lupa kepada warisan kita.

Ketika di Britain saya ada seorang pensyarah yang juga seorang arkitek tetapi menghabiskan masa di dalam projek-projek membaikpulih kawasan perumahan mereka yang paling dhaif.

Saya juga ada seorang pensyarah yang telah dipenjarakan kerana terlibat di dalam demonstrasi membantah kehadiran peluru-peluru berpandu nuklear Amerika Syarikat di Britain.

Ada seorang pelajar Inggeris di dalam kursus saya yang telah ke Nicaragua semasa cuti untuk membantu penduduk miskin di sana lebih dua puluh tahun sebelum PAS menghantar sukarelawannya ke luar negara.

Mungkin pengalaman seperti ini dan banyak lagi yang telah mula-mula mengajar saya tentang khidmat masyarakat dan pengorbanan.

Tambahan pula saya dibesarkan di Lembah Kelang dan ketika itu keprihatinan Lee Lam Thye semasa menjadi ahli Parlimen DAP adalah satu legenda.

Bukan tujuan saya untuk mengagungkan orang bukan Islam. Pada peristiwa Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah menegur beberapa orang sahabat yang begitu teruja apabila bertemu dengan pemimpin Musyrikin Makkah, Abu Suffian bin Harb. Tetapi hanyalah sekadar untuk membuka mata kita.

JANGAN CONTOHI SIFAT MUNAFIK

Pilihanraya umum dijangka selepas sambutan Merdeka. Sebelum itu, kita akan bermesyuarat agung. Bulan Mac bagi Cawangan-Cawangan. Bulan April bagi Kawasan dan Dewan-Dewan.

Arahan mengadakan mesyuarat agong, termasuk menghadiri mesyuarat agong, bukanlah arahan Kawasan semata-mata tetapi merupakan tuntutan jemaah dan merupakan arahan dari Presiden.

Sekiranya kita enggan mematuhi arahan Presiden maka sudah tentunya kita telah melanggar bai‘ah atau perjanjian kita ketika menjadi ahli PAS.

Pengakuan yang dibuat oleh setiap ahli ketika menjadi ahli adalah “Saya mengaku menerima PERLEMBAGAAN PAS, serta taat kepada KEPIMPINANANNYA dan patuh melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa”

Saya yakin mereka yang menandatangani pengakuan ini akan hadir di mesyuarat agung jika diarah kerana mungkir janji itu adalah di antara sifat-sifat orang munafik!

19 SAFAR 1428 / 9 MAC 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi