Skip to main content

BAGAI SINGA YANG LAPAR!

Pada 6 Mac lalu telah diadakan majlis perasmian serentak mesyuarat agung Cawangan-Cawangan PAS di Pandan.

Tetamu pada malam itu adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Saudara Roslan Dato’ Mohd. Shahir.

Sungguhpun Sdra. Roslan bukanlah “crowd-puller” seperti Haji Mohammad Sabu atau Dato’ Hassan Ali namun kehadiran pada malam itu adalah di luar dugaan.

Pejabat kita di Jalan H yang boleh menampung sehingga 150 orang penuh sesak. Ramai yang terpaksa duduk di luar.

Kehadiran malam tersebut adalah jauh lebih ramai dari majlis yang sama pada tahun lepas yang dirasmikan oleh Dato’ Hassan Ali.

Tidak ada makanan istimewa pada malam itu, hanya biskut kering tetapi ramai ahli-ahli tetap tidak berganjak selepas majlis perasmian itu. Ramai yang menggunakan peluang yang ada untuk bertemu dan bersembang sesama mereka.

Kita telah mengadakan satu mesyuarat agung khas pada 23 Januari lepas juga di Jalan H dan pejabat kita juga penuh sesak.

Mesyuarat agung itu telah dirasmikan oleh Saudara Mohd. Radzi Yusuf, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Selangor.

Bagi mereka yang telah bertungkus-lumus siang malam untuk jemaah, senario di Jalan H pada malam-malam tersebut membolehkan mereka menarik nafas lega.

Semangat ahli-ahli begitu tinggi. Maka tugas para pimpinan sama ada di peringkat Kawasan, Dewan, MTD, Cawangan atau UPU adalah untuk memastikan semangat yang berkobar-kobar itu dapat diterjemahkan kepada gerakerja-gerakerja.

Janganlah semangat dan tenaga yang membuak-buak itu dibazirkan.
Jika empangan tidak dibina maka air terjun akan menjadi sekadar tatapan mata sahaja. Tetapi dengan empangan yang dibina maka tenaga elektrik dapat diperolehi.

MTD-MTD akan menurunkan gerakerja ke peringkat UPU-UPU dari masa ke semasa. Tugas anda di UPU adalah untuk memastikan semangat dan tenaga yang ada di kalangan ahli-ahli dapat menjayakan gerakerja-gerakerja kita.

Jika ini berlaku maka seperti kata Haji Mohammad Sabu, “Kita akan memasuki pilihanraya bagaikan seekor singa yang lapar”

CULAAN UNDI

Pada pilihanraya umum yang lepas kita telah mengedarkan lebih 120,000 helai risalah di Pandan.

Ianya diedarkan secara rambang dari rumah ke rumah dan di tempat-tempat awam.

Kita tidak tahu berapa banyak darinya dapat menemui pengundi yang berdaftar di Pandan maka berlakulah pembaziran sama ada dari segi tenaga atau wang ringgit.

Perkara yang sama akan berlaku jika kita tidak mengenalpasti para pengundi.

Tetapi jika kita mengetahui siapakah para pengundi dan apakah kecenderungan mereka maka kita hanya perlu menghantar kepada mereka yang boleh dipujuk untuk mengundi kita.

Kita tidak akan membazirkan risalah-risalah kita kepada pengundi-pengundi UMNO yang tegar atau ahli-ahli PAS yang “hardcore”.

Oleh itu culaan amatlah penting.

APA YANG ANDA PERLU LAKUKAN?

MTD-MTD telah mengedarkan senarai pengundi menurut daerah mengundi kepada UPU-UPU atau Cawangan-Cawangan.

Bagi fasa pertama, tugas mereka adalah untuk melakukan culaan statik.

Mereka tidak perlu melakukan culaan dari rumah ke rumah untuk fasa ini.

Kumpulkan beberapa orang ahli semasa usrah atau adakan pertemuan khas dan bacakan nama-nama yang ada di dalam senarai pengundi itu.

Mungkin tidak payah mengadakan pertemuan khas, bawalah senarai pengundi anda ke mana-mana dan tanyalah ahli-ahli akan status pengundi-pengundi itu.

Saya yakin kecenderungan hampir 75 peratus pengundi-pengundi itu dapat dikenalpasti melalui cara ini.

TIDAK ADA DAFTAR PEMILIH

Bagaimana sekiranya anda tidak mempunyai daftar pemilih?

Senaraikan nama isi rumah di jalan, lorong, kelompok, blok atau tingkat anda. Kemudian cubalah mengenalpasti kecenderungan mereka. Serahkan maklumat ini kepada Kawasan, JPRK atau MTD dan mereka akan menyemak yang mana satu adalah pengundi di Pandan.

Gerakerja ini amatlah berharga kerana selain dari dapat menjimatkan tenaga dan wang ringgit, ianya juga dapat membantu kita menjangka keputusan pilihanraya bagi daerah mengundi anda.

Oleh itu jadikanlah gerakerja ini sebagai agenda utama. Janganlah menunggu sehingga mendapat arahan selanjutnya dari MTD atau UPU anda. Anggaplah ini sebagai satu arahan resmi.

JANGAN DATANG KE PROGRAM SEPERTI PERGI KE CARREFOUR

Baru-baru ini telah dibangkitkan tentang ukhwah di kalangan ahli-ahli.

Ramai yang bersetuju kita perlu memperkuatkan ukhwah di antara kita. Sama ada di antara AJK Kawasan, Pemuda, Muslimat atau Cawangan-Cawangan.

Pada hemat saya tugas ini adalah tanggungjawab bersama. Setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing.

Bantuan anda untuk membiayai risalah ini amat dihargai. Sumbangan boleh dibuat kepada akaun Maybank 162188009572 di atas nama saya. Sila SMS setelah menyumbang. Janganlah datang ke program atau ke mesyuarat seperti kita pergi ke Carrefour atau ke Giant di mana kita akan membeli barang-barang yang diperlukan dan terus balik. Tidak ada interaksi di antara kita dan pelanggan-pelanggan lain kecuali jika terdapat mereka yang kita kenali.

Janganlah di program-program kita hanya duduk di kalangan kelompok kita dan hanya menegur atau hanya bersalaman dengan mereka yang rapat dengan kita. Dengan yang lain, untuk melemparkan senyuman pun kita enggan. Setelah selesai program kita akan terus balik.

Cubalah bersalaman dengan semua yang hadir. Tidak kiralah secara Pekida, secara Tabligh atau apa saja cara, yang penting kita bersalaman.
Biarlah orang menganggap kita gila kerana bersalaman dengan semua orang tetapi janganlah sampai orang menganggap kita sombong.

PENTINGNYA ORANG NOMBOR DUA

Baru-baru ini heboh di dalam akhbar bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menafikan bahawa beliau bermasalah dengan Pak Lah.

Terpulanglah kepada kita untuk mempercayainya atau tidak tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Najib bukanlah pilihan pertama Pak Lah sebagai TPM.

Menurut sumber-sumber dalaman, pemilihan Najib adalah akibat dari desakan Tun Mahathir kerana pilihan pertama Pak Lah adalah Dato’ Seri Muhyiddin Yasin. Mungkin itu sebabnya segala yang Pak Lah lakukan tidak menjadi kerana beliau tidak redha dengan timbalannya.

Di dalam sebuah organisasi atau pentadbiran, orang nombor dua adalah sama pentingnya dengan orang nombor satu. Tanpa sokongan orang nombor dua maka sehebat mana sekalipun orang nombor satu, organisasi atau pentadbiran itu akan gagal.

Tun Mahathir yang memaksa Pak Lah sepatutnya lebih arif tentang perkara ini kerana beliau telah merasai bagaimana mentadbir dengan timbalan yang setia kepada beliau dan timbalan yang tidak.

Sekiranya Najib terus menjadi TPM, saya berpendapat UMNO akan terus menghadapi masalah dan sudah tentunya ini akan membuka seluas-luas ruang bagi pembangkang.

4 RABIUL AWAL 1428 / 23 MAC 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi