Skip to main content

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis.

Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ.

Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu.

Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut.

Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan.

UMNO MEMANG PENYAMUN

Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran.

Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka.

Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, Pandan Indah yang hilang sama sekali akibat dari kerakusan UMNO.

Ada padang permainan seperti di Taman Maju Jaya dan Taman Cheras Indah yang telah menjadi kecil apabila UMNO membina dewan-dewan mereka.

Merampas dan mencuri adalah kerja UMNO. Tetapi apakah yang dilakukan oleh kita apabila jenayah seperti ini berlaku di hadapan mata kita?

FAIT ACCOMPLI

Hampir kesemua dari kita, sama ada yang bergaji 5 angka atau yang tidak ada sebarang angka, menganggapnya sebagai satu fait accompli atau sesuatu yang tidak boleh diubah lagi.

Kita hanya berpeluk tubuh seolah-olah adalah menjadi hak UMNO untuk merampas mana-mana tanah yang ada di bumi yang tercinta ini.

Yang mempunyai Ph. D. atau yang menghafal beratus-ratus ayat Al-Quran pun hanya sekadar merungut dan membebel di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau sahaja.

Tetapi Eugene Mark Gabriel dan rakan-rakannya dari Taman Bukit Puchong tidak bersikap seperti kita.

Mereka bangkit mempertahankan hak mereka. Mereka membantah. Mereka mengumpul tandatangan. Mereka sanggup berhadapan dengan samseng-samseng UMNO.

Sebagai orang Islam tidakkah kita berasa malu kepada mereka?

SYOK SENDIRI

Setiap Muharam kita akan mengadakan sambutan Maal Hijrah. Kita memperingati pengorbanan Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Penuh sesaklah masjid dan surau apabila ustaz-ustaz kita menceritakan tentang kepayahan yang dilalui oleh Rasulullah SAW merentas padang pasir.

Setiap Ramadhan kita menjemput ustaz-ustaz untuk menyampaikan tazkirah yang berapi-api. Kita kagum dengan kejayaan di Badr yang berlaku di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Kita gembira apabila ustaz-ustaz menceritakan tentang kehebatan pejuang Hamas dan Hizbullah seolah-olah kita yang telah sama-sama bermandi darah menentang Yahudi Laknatullah.

Kita bangga apabila surau-surau kita berjaya menjemput penceramah-penceramah yang berani mendedahkan tindakan-tindakan UMNO yang sesat lagi menyesatkan itu.

Tetapi kita hanya sekadar ingat. Kita hanya sekadar kagum. Kita hanya sekadar gembira. Kita hanya sekadar bangga. Kita hanyalah syok sendiri sahaja.

KITA MESTI BERJIWA BESAR

Kita tidak mengambil pengajaran dari apa yang kita dengar sejak bertahun-tahun lamanya.

Apabila penyelewengan berlaku di hadapan kita, kita hanya menikus. Apabila hak-hak kita dinafikan, untuk bersuara pun kita tidak mampu.

Biarlah apa sahaja yang hendak dilakukan oleh UMNO, ada telinga kita pekakkan, ada mata kita butakan dan ada mulut kita bisukan.

Ada di antara kita yang takut kepada UMNO lebih dari takut kepada Allah. Seolah-olah rezeki kita datang dari UMNO dan bukan dari Allah.

Kita terus takut dengan bayang-bayang dan sentiasa merasakan diri kita terlalu kecil.

NASIHAT KETUA POLIS DAERAH

Di dalam pertemuan kami dengan pihak polis tahun lepas, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ketika itu telah memberitahu bagaimana penduduk Petaling Jaya dan Subang Jaya sering membangkitkan isu-isu yang melibatkan majlis-majlis perbandaran tetapi perkara sedemikian tidak berlaku di tempat kita.

Maksud beliau yang sebenar adalah, “Terdapat banyak penyelewengan tetapi apa yang PAS telah lakukan?”

GERAKAN ISLAM PERLU PRIHATIN

Mungkin ada yang berkata, “Kita sebuah gerakan Islam bukan parti politik semata-mata”.

Saya ingin bertanya kepada mereka, “Adakah Islam mengajar kita berdiam diri apabila penyelewengan dan rasuah berlaku di sekeliling kita?”

Adakah memadai kita hanya berkubu di surau-surau walhal duit rakyat dibazirkan dan disalahgunakan secara terang-terangan?

Saya yakin jika umat Islam hanya dianjurkan duduk di masjid dan surau sahaja maka Rasulullah SAW tidak akan meninggalkan kota Makkah.

KEJAYAAN KITA

Ada seorang ahli pernah memperlekehkan usaha-usaha kita menangani isu-isu tempatan.

“Apa yang PAS boleh buat?”, katanya.

Sebenarnya banyak kejayaan yang telah kita capai.

Kita pernah berjaya mendesak MPAJ menutup sebuah pusat pengumpulan sampah milik seorang Ketua Cawangan UMNO. Kawasan itu sekarang telah dijadikan padang permainan kanak-kanak.

Kita pernah membuat aduan tentang sebuah projek pembinaan yang membahayakan penduduk. Akhirnya Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan telah mengarahkan MPAJ bertindak.

Kita pernah membuat aduan tentang lampu-lampu di sebatang jalan yang telah rosak sejak beberapa bulan. MPAJ telah menggantikan lampu-lampu itu dalam masa seminggu selepas menerima aduan kita.

Kita telah memimpin bantahan rakyat yang mengakibatkan MPAJ membatalkan hasrat untuk mewajibkan penduduk membeli tong sampah yang berharga di antara RM145 hingga RM 180.

Kita pernah membantah pemberian lesen menjual arak kepada sebuah “food court” yang terletak di atas rizab sekolah. Ketika artikel ini ditulis, “food court” itu tidak beroperasi.

RAKYAT PERLU BANGKIT

Jika saya hendak menyenaraikan kejayaan-kejayaan kita, mungkin risalah ini tidak akan mencukupi.

Saya tidak bertujuan untuk berbangga tetapi PAS Kawasan tidak dapat menjalankan tugas ini bersendirian. Rakyat perlu bangkit seperti di Taman Bukit Puchong.

Kita mesti memulakan budaya menulis surat atau menghantar memorandum sama ada di atas nama Cawangan, surau, penduduk atau individu.

Kita menganjurkan forum tentang gejala sosial tetapi pernahkah kita menghantar memorandum membantah kewujudan arked-arked video di Pandan Jaya yang dijadikan pusat perjudian para remaja?

Kita menghentam UMNO kerana membenarkan judi tetapi pernahkah kita menghantar surat mendesak MPAJ supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada kedai-kedai judi?

Jika rakyat dapat menyahkan mentaliti mereka adalah terlalu kerdil dan tidak mempunyai apa-apa kuasa, mereka tidak akan dapat dipermain-mainkan.

Selamat berjuang!

21 Muharam 1428 / 9 Feb 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi