Skip to main content

SETIAP AHLI PERLU MEMAINKAN PERANAN MASING-MASING

Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tuan-tuan dan puan-puan yang diberkati Allah SWT,

Saya telah menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Terengganu.

Daripada pemerhatian di kampung isteri saya, nyata sekali kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh sedang bekerja keras untuk mempertahankan negeri yang dirampas dari PAS pada pilihanraya umum yang lepas.

Terdapat banyak kemudahan-kemudahan baru yang dibina atau sedang dibina untuk rakyat.

Mungkin ramai yang akan berkata dengan duit royalti minyak, kerajaan BN Terengganu tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mengumpan rakyat dengan pelbagai gula-gula.

Tetapi pembinaan di antara kemudahan-kemudahan itu tidak melibatkan kos yang begitu tinggi.

Menurut pandangan saya yang telah lebih 15 tahun terlibat di dalam industri pembinaan, ianya boleh dilaksanakan dengan kos yang rendah melalui konsep gotong royong.

Tetapi mengapakah ianya tidak dilaksanakan semasa pemerintahan kerajaan PAS?

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Dr. Abdul Aziz Bari di dalam satu artikel di dalam Harakah bahawa ramai profesional di dalam PAS yang tidak memainkan peranan sebagai seorang profesional.

Mungkin mereka di Terengganu terlalu sibuk untuk memikirkan tentang perlaksanaan Syariah sehingga tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara seperti perpustakaan desa, pasar, gerai dan banyak lagi kemudahan-kemudahan yang amat diperlukan di kampung-kampung seperti di kampung isteri saya.

Kenapa tidak biarkan para ulamak memikirkan tentang perlaksanaan undang-undang tersebut dan para profesional atau mereka yang ahli di dalam bidang-bidang teknikal memainkan peranan di dalam bidang masing-masing?
Kadang-kala inilah masalah ahli-ahli kita.

Mereka terlalu sibuk memikirkan tentang isu-isu antrabangsa seperti masa depan Hamas di Palestin sehingga markas yang penuh dengan sawang atau rumput yang panjang tidak langsung dipedulikan.

Mereka terlalu sibuk berbahas tentang isu-isu nasional seperti perpecahan di dalam UMNO sehingga bihun yang ditempah untuk Tarbiyyah Haraki tidak ada orang yang sudi untuk menghidangkannya dan mengakibatkan pembaziran.

Adalah lebih baik sekiranya lebih ramai ahli yang mengambil sikap, “Yang ini perlu dilakukan begini, biar saya membantu melakukannya”.

Tugas memperkukuhkan organisasi PAS di Pandan adalah tanggungjawab setiap ahli. Saya sentiasa menunggu ahli-ahli untuk tampil ke hadapan untuk menawarkan khidmat untuk membantu. Kita tidak ketandusan idea-idea baru, hanya tidak ada orang untuk melaksanakannya.

Baru-baru ini, kita telah menubuhkan satu pasukan untuk mengedarkan risalah-risalah kita di tempat-tempat awam dan membantu kerja-kerja penerangan yang lain. Saya berharap lebih ramai ahli akan menyertai pasukan ini yang dinamakan Briged Pandan dan terbuka kepada semua peringkat umur. Sila hubungi saya jika berminat.

PENGUASAAN ILMU

Di dalam menghadapi masyarakat bandar seperti di Pandan penguasaan ilmu adalah amat penting.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zulkfli Ahmad, ramai di antara penceramah-penceramah PAS yang menggunakan hampir 90% dari masa berceramah untuk menghentam BN atau UMNO tetapi hanya 10% untuk menerangkan apa yang Islam atau PAS menawarkan kepada rakyat.

Itupun sekadar ucapan, “Kembalilah kepada Islam” atau “Islam akan menyelesaikan sebarang masalah”.

Mungkin cara ini sesuai di dalam tahun-tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan tetapi di dalam millennium yang baru ini terutamanya bagi masyarakat bandar yang sofistikated, hujjahnya mestilah juga sofistikated.

Para ulamak telah menjalankan tugas mereka untuk memaklumkan masyarakat tentang yang halal dan yang haram, untuk menetapkan halatuju, memberi kesedaran, memberi motivasi dan perkara-pekara asas yang lain. Tetapi tugas yang paling berat adalah untuk menerangkan kepada rakyat alternatif yang terperinci kepada yang haram itu.

Mereka tahu riba’ itu haram tetapi mereka mahu tahu secara terperinci apakah alternatif kepada sistem yang sedia ada? Apa akan jadi kepada bank-bank yang sedia ada? Apa akan jadi kepada pinjaman-pinjaman yang telah diberikan menurut cara konvensyenal? Apa akan jadi kepada pelaburan-pelaburan mereka? Apa akan jadi kepada BSKL? Apakah perancangan jangkapanjang kita untuk menarik FDI? Apakah kita akan perlu lagi FDI?

Tidak memadailah kita sekadar menjawab, “Kembalilah kepada Islam dan semua akan dapat diselesaikan”.

Inilah di antara soalan-soalan yang terpaksa dijawab oleh kita setiap hari di luar masjid dan surau yang akan menentukan sama ada orang akan menyokong kita atau tidak.

Saya yakin kebanyakan rakyat tahu apa yang halal dan haram tetapi mereka tidak nampak apa yang akan kita laksanakan jika diberikan peluang untuk memerintah. Akhirnya mereka menolak kita.

CERITA ISTERI YANG DIDERA

Ada cerita seorang isteri yang kadang-kala dipukul oleh suaminya tetapi enggan melaporkan tindakan tersebut.

Menurut beliau, suaminya adalah seorang yang amat penyayang kepada anak-anak mereka.

Isteri itu rela melalui sedikit kesengsaraan demi anak-anak.

Saya tidak mengatakan tindakan isteri itu betul tetapi inilah realiti kehidupan di mana suasana yang “ideal” hampir tidak akan wujud sama sekali.

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Kadang-kala jika kita mahu memanfaatkan kelebihan seseorang, kita perlu menerima kekurangan beliau. Tidak ada orang yang “perfect”.

Seperti anak-anak kita, mungkin ada yang rajin membantu kerja-kerja di rumah tetapi kuat merajuk. Ada pula yang rajin membaca tetapi malas membantu kerja-kerja di rumah.

Begitulah juga di dalam organisasi seperti PAS. Kita mesti belajar menerima kekurangan dan kelebihan sahabat-sahabat kita.

Ada yang pandai berceramah tetapi malas untuk datang ke mesyuarat. Ada yang boleh menguasai masyarakat tetapi tidak mahu memegang sebarang jawatan. Ada yang boleh memimpin Usrah tetapi gagal apabila mengendalikan majlis resmi.

Dari segi komitmen pula, ada yang boleh bergiat di peringkat Cawangan tetapi tidak boleh di peringkat Kawasan. Ada yang boleh di peringkat Dewan tetapi tidak di peringkat Cawangan. Ada yang boleh di peringkat Kawasan tetapi tidak di peringkat Cawangan.
Setiap orang ada gunanya. Ada kalanya ada program gagal kerana mereka yang diberikan tanggungjawab yang tidak sesuai dengan kebolehan atau minat mereka. Yang salah bukannnya mereka tetapi kita yang memberikan tugas kepada orang yang salah.

Kerap di mesyuarat agung ahli-ahli mempersoalkan kehadiran AJK di mesyuarat-mesyuarat. Tetapi ahli-ahli itu juga bersalah kerana telah memilih orang yang tidak berkemampuan atau tidak berminat untuk menjalankan tugasnya!

AWAS INFILTRASI

Jika kita sentiasa tidak berpuas hati dengan sahabat-sahabat kita, ini akan memberi peluang kepada musuh untuk memecahbelahkan kita.

Sebuah Cawangan kita telah lumpuh akibat dari tindakan seorang SB yang ditugaskan untuk menekan Ketua Cawangannya.

Surau di situ juga huru-hara akibat dari peranan SB tersebut.

Oleh itu, berwaspadalah dan elakkanlah dari berinteraksi dengan mereka, kerana mereka telah dilatih untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang anda tidak sedari.

Janganlah berharap untuk mempengaruhi atau “turning-over” mereka kerana mereka pandai berpura-pura.

Maklumat-maklumat Parti adalah penting untuk gerak kerja BN dan UMNO.

Keadaan di mana Cawangan-Cawangan kita yang terkuat berada di dalam DUN Teratai, di mana orang Melayu adalah minoriti, bukan berlaku secara kebetulan.

Maklumat yang dikumpul oleh SB-SB telah membantu SPR untuk memastikan Cawangan-Cawangan kita yang aktif diletakkan di dalam DUN di mana PAS tidak mungkin akan bertanding.

Ada Cawangan kita yang aktif telah dimasukkan ke dalam DUN Teratai walaupun dari segi kedudukan geografi ianya sepatutnya berada di dalam DUN Cempaka yang mempunyai pengundi Melayu yang majoriti.

Walau bagaimana, mereka merancang tetapi Allah juga merancang dan perancangan Allah itu mengatasi segala-galanya!

Selamat berjuang!

Zulkaedah 1427 / 15 Disember 2006

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

PRESTASI MESTI BOLEH DIUKUR .

Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu. Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain. Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang memba

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau U