Skip to main content

HEBATNYA SEORANG WANITA TUA…..

Ketika itu hari sudah hampir senja. Cuaca yang mendung membuat suasana di Padang Perbandaran Ampang Jaya seperti telah melewati waktu Maghrib.

Majlis Hari Raya Aidilfitri yang dirancang oleh PAS Kawasan Pandan sejak sekian lama hampir berakhir.

Ramai aktivis-aktivis yang sudah lama tidak kelihatan telah turut bersama.

Petugas-petugas dari Pemuda, Muslimat dan Cawangan-Cawangan telah bertungkus lumus tanpa mengenal penat dan lelah.

Kehadiran begitu ramai ahli-ahli dan masyarakat setempat membuatnya di antara majlis yang paling berjaya pernah dianjurkan oleh PAS di Pandan.

Ini ditambah dengan ucapan Dato’ Hassan Mohd. Ali yang hadir pada hari itu bahawa PAS di Pandan telah memilih tempat yang paling sesuai untuk diadakan sebuah majlis Hari Raya.

Menurut beliau, PAS perlu diletakkan di tengah-tengah masyarakat dan tidak wajar disembunyi-sembunyikan lagi.

Kehadiran penghuni-penghuni dari Rumah Orang-Orang Tua Cina Ampang dan kanak-kanak India dari sebuah rumah anak-anak yatim di Pandan Indah membuktikan bahawa program-program PAS bukan sahaja untuk orang-orang Melayu.

Kami sedang sibuk mengemas. Kerusi-kerusi dikumpul. Kain meja dilipat. Muslimat membungkus lauk pauk yang lebih. Pemuda mengutip sampah.

Tiba-tiba kelihatan dari hujung tempat letak kereta, seorang wanita berusia enam puluhan yang dipimpin olah seorang remaja lelaki tergesa-gesa menghampiri kami.

“PAS ada buat majlis Hari Raya ke?”

Termengah-mengah dia bertanya sambil dipimpin oleh remaja itu yang mungkin anaknya.

Saya tersenyum mengangguk dan memanggil beberapa Muslimat untuk melayan beliau.

Menurut pemerhatian saya, wanita tua itu agak rabun dan terpaksa dipimpin oleh anaknya untuk berjalan.

Saya kemudian telah diberitahu bahawa wanita tersebut baru saja mengetahui bahawa PAS ada menganjurkan majlis Hari Raya. Walaupun telah lewat tetapi beliau tetap mahu menghadirinya.

Wanita itu tidak dapat pergi bersendirian kerana matanya telah rabun dan terpaksa menggunakan tongkat kerana penyakit kencing manis.

Alangkah baik sekiranya kita di Pandan mempunyai lebih ramai ahli-ahli sedemikian.

Walaupun matanya telah rabun dan terpaksa bertongkat, majlis pula sudah hampir tamat namun semangat yang berkobar-kobar untuk menghadiri sebuah program PAS tidak dapat dilunturkan.

Jika semua ahli-ahli PAS yang segar bugar itu dapat mencontohinya maka ribuan akan menghadiri majlis-majlis kita.

Kita kerap mendengar pelbagai alasan dari ahli-ahli tentang kenapa mereka gagal menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau majlis-majlis kita. Tetapi agaknya jika wanita tersebut mendengar akan alasan-alasan itu, mungkin beliau akan ketawa terbahak-bahak!

MEMAHAMI SUASANA SETEMPAT

Selepas pilihanraya umum 1999, PAS Kawasan Ampang Jaya ketika itu telah menjemput ahli Parlimen Bachok yang baru untuk menyampaikan taklimat tentang strategi pilihanraya.

Walau bagaimanapun, YB tersebut telah diingatkan oleh seorang AJK Kerja PAS Kawasan yang juga berasal dari Bachok bahawa suasana di Kelantan berlainan dari di Ampang Jaya.

Memang benar, kita mesti menyesuaikan segala strategi yang akan digunapakai dengan keadaan setempat. Sebarang strategi yang hendak digunapakai di Pandan mestilah bersesuaian dengan Pandan.

Kita bukanlah di kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu adalah “overwhelming majority” dan PAS mempunyai beratus-ratus Cawangan seperti di Pendang atau Pengkalan Chepa.

Kita bukanlah juga di kawasan-kawasan di mana jumlah pengundi Melayu adalah kecil seperti di Seremban, Ipoh atau Bukit Mertajam. Tetapi kita di Pandan yang mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.

Walaupun jumlah pengundi Melayu di Pandan adalah sekitar 52% tetapi jumlah penduduk Melayu mungkin lebih ramai kerana ramai dari mereka yang gagal mendaftar sebagai pengundi.
Di Pandan, PAS bertanding di kerusi Parlimen dan memimpin pakatan pembangkang. Kita tidak terperosok di satu cerok yang gelap tetapi merupakan suara yang penting di dalam membangkitkan isu-isu tempatan.

Oleh itu, merancang dan bertindaklah menurut keadaan dan suasana di tempat kita.

NASIB ORANG MELAYU

Saya tertarik kepada ucapan wakil Pemuda UMNO semasa perhimpunan UMNO yang baru lalu ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan.

Menurut Datuk Reezal Merican Naina Merican, walaupun kontrak-kontrak pembinaan diberikan kepada orang Melayu tetapi 80 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan akan pergi ke tangan bukan Melayu kerana pembekal-pembekal binaan adalah orang Cina.

Itupun kalau kontraktor-kontraktor Melayu mahu melaksanakan projek mereka sendiri tetapi walau apapun nasihat PM ketika pertemuan dengan Gabem (Gabungan Badan-Badan Ekonomi Melayu) di Pulau Pinang baru-baru ini, orang-orang UMNO akan tetap menjual projek-projek dan lesen-lesen mereka.

Saya pernah terlibat dengan sebuah projek yang diberikan kepada sebuah kontraktor Melayu tetapi projek itu 100% dijalankan oleh sebuah kontraktor bukan Melayu. Malah kakitangan kontraktor itu tanpa segan silu telah memakai baju dengan nama syarikat mereka di sepanjang projek tersebut.

Akibat dari perkara yang sedemikian, kita hanya melahirkan kelompok orang Melayu yang kaya walhal yang lain masih merempat atau ketinggalan.

Purata pendapatan bulanan isirumah orang Cina telah meningkat dari RM796 dalam tahun 1976 kepada RM4,437 dalam tahun 2004. Tetapi pendapatan bulanan isirumah orang Melayu telah hanya meningkat dari RM339 kepada RM2,711.

Projek diberikan kepada orang Melayu tetapi orang Melayu tidak mendapat peluang pekerjaan akibat dari penganugerahan itu atau diberikan kedudukan yang tidak penting dan tidak dapat memberikan apa-apa manfaat dari segi kemajuan kerjaya.

KAIN KAFAN

Keputusan Kabinet BN baru-baru ini untuk membenarkan warga asing dan pemastautin tetap (PR) membeli hartanah kediaman serendah RM250,000 tanpa perlu kelulusan FIC (Foreign Investment Committee) adalah sehelai lagi kain kafan yang akan membalut jenazah bangsa Melayu.

Ini bermakna mana-mana rakyat asing boleh sesuka hati membeli rumah di mana-mana di Malaysia sekira ianya berharga lebih dari RM250,000.

Dengan peraturan itu, jangan terkejut jika dalam masa lima tahun majoriti penduduk pembangunan-pembangunan baru di bandar-bandar besar adalah warga Singapura atau Taiwan.

Walaupun ada yang mendakwa bahawa ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi tetapi apalah gunanya semua itu apabila orang Melayu disisihkan secara sistematik dari bandar-bandar besar? Yang kaya hanyalah sebilangan kecil sahaja.

TUGAS ANDA

Keputusan di tangan kita. Pilihanraya umum akan menemui kita di dalam masa kurang dari 12 bulan. Kita perlu berusaha dari sekarang.

Masanya belum terlambat bagi anda atau keluarga anda untuk mendaftar sebagai seorang pengundi.

SPR telah melantik wakil kita, Sdra. Suhaimi Ghazali, sebagai Penolong Pendaftar, hubungilah dia di 016-307 8274 atau saya jika sesiapa mahu mendaftar.

Anda juga diperlukan untuk menganggotai Unit-Unit Peti Undi (UPU) di tempat anda. Sumbangan pendapat, fikiran dan tenaga anda amat diperlukan. Sekali lagi, hubungilah saya jika anda berminat.

Jika UPU di tempat anda tidak bergerak, hubungilah saya. Kita akan sama-sama pastikan ianya bergerak.

Zulkaedah 1427 / Disember 2006

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

PRESTASI MESTI BOLEH DIUKUR .

Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu. Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain. Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang memba

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau U