Skip to main content

PEMBANGUNAN SEMULA : Bahagian 2 - PERANAN KERAJAAN MENJAGA KEPENTINGAN PENDUDUK.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad

Penduduk asal juga mesti memastikan kos-kos akibat pembangunan semula tidak dibebankan ke atas mereka. Contohnya apabila kediaman mereka dirobohkan sudah tentu mereka memerlukan penempatan sementara sehingga pembangunan baru itu siap. Kos penempatan sementara itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Ini termasuk kos-kos sampingan seperti yuran penyelenggaraan kediaman sementara itu atau kos-kos perpindahan.

Perpindahan ke kediaman sementara mungkin akan mengakibatkan kos pengangkutan tambahan kepada penduduk untuk ke tempat kerja dan anak-anak untuk ke sekolah jika tidak terdapat sekolah yang sesuai untuk mereka. Kesemua ini perlu diambil kira di dalam sebarang perjanjian yang akan mereka tandatatangani. Perlu jelas siapa yang akan menanggung semua kos-kos tersebut.

Setelah pembangunan yang baru siap, penduduk sudah tentu akan hidup di dalam suasana yang berbeza. Mereka  sudah tentu akan menikmati kediaman yang lebih luas dan lebih selesa. Tetapi adakah terdapat kos-kos tambahan di kediaman baru mereka? 

Mereka mungkin biasa membayar yuran penyelenggaraan di pangasapuri lama mereka tetapi sudah tentu ia berbeza di kediaman yang baru. Di pangsapuri kos rendah, mereka mungkin membayar RM20 hingga RM50 sebulan. Tetapi di pembangunan baru yang bernilai ratusan ribu ringgit atau setengah juta ringgit sudah tentu yuran penyelenggaraannya berkali-kali ganda lebih tinggi. Mereka mungkin tidak mampu membayarnya.

Satu penyelesaian perlu dicapai bersama pemaju. Mungkin diskaun untuk beberapa tahun atau mungkin dikecualikan terus. Tetapi bukan selamanya sesuatu pembangunan itu akan diuruskan oleh pemaju. Akhirnya ia akan menjadi tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama ( JMB ) atau Perbadanan Pengurusan ( MC ) dan mungkin mereka tidak akan bersimpati dengan penduduk asal.

Selain dari itu, pembangunan baru sudah tentu bersekali dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan rekreasi atau riadah. Penduduk asal perlu tahu apakah kemudahan-kemudahan tersebut dan adakah mereka akan dikenakan sebarang caj untuk menggunakannya.

Malah perkara-perkara seperti tempat letak kereta juga perlu dipersetujui supaya penduduk asal tidak terkejut apabila berpindah masuk. Berapa tempat letak kereta yang diperuntukkan?  Adakah mereka perlu membayar untuk tempat letak kereta tambahan? Jika perlu berapa kosnya?

Perkara-perkara ini perlu dirundingkan dengan pemaju sebelum penduduk menyerahkan kediaman mereka dan satu persetujuan dicapai. Dalam hal ini kerajaan mempunyai peranan yang besar. Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan akan menyediakan satu garispanduan untuk pembangunan semula. Garispanduan ini penting untuk mengelakkan sebarang pertikaian dan menjaga kepentingan penduduk asal.

Malah peranan kerajaan adalah lebih dari hanya menjaga kepentingan penduduk asal. Kerajaan yang perlu menentukan bentuk pembangunan semula walaupun projek ini adalah inisiatif swasta. Pihak perancangan Negeri atau Kerajaan Tempatan perlu memainkan peranan utama. Perumahan adalah satu instrument politik yang berkesan. Terdapat satu negara yang melaksanakan pembangunan semula dan akibatnya terdapat satu kaum yang tidak menjadi majoriti di mana-mana kawasan Parlimen negara tersebut. Akhirnya kaum tersebut telah hilang sebahagian besar kuasa politik mereka.

Pembangunan semula bermakna pembaharuan tetapi ini tidak bermakna membuang segala-gala yang lama. Terdapat perkara-perkara yang perlu dikekalkan. Warisan dan sejarah masyarakat tidak sepatutnya dipadamkan. Ini penting apabila pembangunan semula berlaku di kampung tradisi atau penempatan lama yang kaya dengan sejarah.

Hari ini terdapat mereka yang mengenalpasti kawasan-kawasan seperti itu untuk dibangunkan seolah-olah penduduk di kawasan-kawasan seperti itu tidak ada tempat lagi di tengah kota. Kalau ada sekalipun usaha untuk mengekalkan warisan di situ ia dilakukan sekadar seperti melepaskan batuk di tangga. Mungkin satu papan tanda atau nama bangunan awam yang bersempena nama pengasas kampung tersebut. Tidak lebih dari itu.

Saya pernah terlibat dengan satu projek pembangunan semula yang mentransformasi sebuah kawasan pangsapuri kos rendah kepada sebuah pembangunan bertaraf antarabangsa. Saya telah mencadangkan agar kedai-kedai yang telah menjadi teras kepada masyarakat di situ sejak berpuluh tahun dipindahkan ke dalam pembangunan yang baru. Jika tidak kedai-kedai yang sama tetapi kedai-kedai seperti itu.

Akhirnya kesemuanya bergantung kepada kehendak politik ( political will ) kerajaan dan ketabahan ( preseverance ) penduduk. Ia mungkin menjadi pertentangan di antara mereka dan pemaju. Penduduk juga perlu berhati-hati dengan kerajaan sekiranya pemaju yang terlibat adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan ( GLC ). Justeru garispanduan adalah penting agar peranan dan hak masing-masing adalah jelas. Malah bukan sekadar garispanduan tetapi satu Akta atau Enakmen khusus untuk pembagunan semula diperlukan.

22 Januari 2021

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...