Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad
Sejak akhir-akhir ini pembangunan semula kawasan-kawasan perumahan lama telah dibangkitkan. Kawasan-kawasan seperti pangsapuri kos rendah telah menjadi perhatian untuk dibangunkan.
Pada 23 Disember lepas, kerajaan negeri Selangor menyatakan perancangan untuk membangunkan rumah-rumah pangsa yang uzur dan sedia mempertimbangkan permohonan mana-mana pemaju untuk membaikpulih perumahan terbabit.
Malah sebelum pilihan raya umum 2018, kerajaan pusat mengumumkan akan mewujudkan satu perundangan baharu bagi membangunkan semula Projek-Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) yang lama supaya selari dengan agenda bandar baharu.
Pembangunan semula pangsapuri-pangsapuri usang ini adalah satu keperluan kerana terdapat pembangunan yang sudah tidak praktikal untuk dibaikpulih. Masalah yang dihadapi oleh penduduk adalah serius dan memerlukan tindakan yang drastik.
Ketika saya Exco Perumahan Negeri Selangor, satu skim untuk membaikpulih perumahan berstrata telah diwujudkan pada bulan Disember 2010 yang dinamakan Skim Baikpulih Negara Berkebajikan atau CERIA. Di bawah skim yang dimulakan untuk kediaman kos rendah itu, pemilik membayar 20 peratus kos membaikpulih dan kerajaan negeri 80 peratus. Hampir 100 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih lif, sistem pembentungan, pendawaian elektrik, tangki air dan kerja-kerja krtikal yang lain.
Program ini berjaya memulihkan pembagunan-pembangunan tersebut namun perlu ada satu perancangan jangkapanjang yang menyeluruh. Pembangunan semula atau di Indonesia disebut "peremajaan" ( dari perkataan remaja ) dapat memenuhi keperluan ini.
Walau bagaimanapun pembangunan semula perlu dikawal oleh satu garispanduan agar ia tidak menghasilkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Sudah tentu kita tidak mahu kemudaratan-kemudaratan yang wujud akibatnya mengatasi manfaat-manfaat yang diharapkan.
Pertama pembangunan semula tidak boleh dilihat sebagai satu peluang untuk menghalau golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah keluar dari kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun ia sepatutnya satu usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk asal tanpa memindahkan mereka ke tempat lain.
Ianya juga membuka peluang-peluang untuk pembangunan yang baru di kawasan tersebut dan hasil dari pembangunan ini perlu dinikmati oleh penduduk asal itu. Oleh itu tidak wajar untuk menyisihkan mereka sepertimana para peneroka bandar yang dibayar untuk berpindah keluar tanpa dapat merasai pembangunan yang baru.
Justeru pemilik asal pula tidak sepatutnya merasa kerdil. Pihak yang membangunkan semula seperti pemaju-pemaju sudah tentu bermatlamat untuk mendapatkan pulangan dari pelaburan mereka. Ia adalah satu perniagaan. Orang berniaga perlu mengeluarkan modal maka sebarang pampasan atau tawaran kepada penduduk asal jangan dianggap sebagai "handout" atau bantuan kebajikan. Ianya bukan sumbangan ihsan tetapi ia adalah hak pemilik asal.
Mereka tidak sepatutnya merasa rendah diri apabila mengadakan rundingan dengan pemaju atau kerajaan. Terdapat penduduk asal yang menuntut kediaman baru yang lebih luas dan lebih tinggi nilainya di pembangunan yang akan dibangunkan. Ada yang menuntut kediaman seperti itu serta pampasan kewangan. Pemaju akan menikmati keuntungan maka mereka perlu mengambil kira sebarang tuntutan penduduk di dalam kos pembangunan mereka.
Pemilik asal juga sepatutnya menganggap diri mereka seperti "rakan kongsi" di dalam sebarang projek pembangunan semula. Tanpa persetujuan mereka atau kediaman mereka, projek tidak akan dapat dilaksanakan. Jika para pemaju mengeluarkan modal kewangan, kediaman penduduk adalah modal mereka yang tidak boleh dipandang remeh. Penduduk adalah pemilik kediaman yang memiliki hakmilik yang sah dan bukan seperti peneroka bandar yang pemilikannya tidak didaftarkan.
Terdapat pangsapuri kos rendah yang meningkat harganya sehingga RM150,000 sebuah dan jika terdapat 600 unit maka nilai modal penduduk adalah RM90 juta. Justeru itu penting bagi mereka untuk melihat nilai keseluruhan kediaman mereka dan bukan hanya nilai individu kediaman mereka.
Ketika saya menjadi ADUN di antara 2008 dan 2018, terdapat satu pemaju yang mahu membangunkan sebuah pembangunan pangsapuri kos rendah di kawasan DUN saya. Saya tidak menentang cadangan itu tetapi sentiasa memberitahu penduduk agar menganggap diri mereka sebagai "rakan kongsi" pemaju. Tanpa mereka projek akan gagal.
Saya pernah didatangi oleh penduduk sebuah pangsapuri kos rendah yang lama dan usang di Klang ketika masih Exco Perumahan Negeri Selangor. Saya diberitahu sebuah pemaju perumahan telah menunjukkan minat untuk membangunkan kawasan mereka. Saranan saya kepada mereka adalah untuk mendapatkan para profesional atau mereka yang berpengalaman untuk menasihati mereka agar kepentingan mereka terjamin. Kediaman mereka memang usang dan perlu dibangunkan tetapi mereka tidak seharusnya terburu-buru menerima tawaran pertama yang datang. Tidak salah untuk membuat perbandingan jika terdapat beberapa tawaran.
15 Januari 2021